AHAD, 22 Mei 2011
OLEH: ZULKIFLI SALLEH
Anita Gabriel dalam “Removing Subsidies is No Easy Fix” agak memeranjatkan memulakan tulisannya dengan memetik Karl Marx, “religion is the opiate of the masses.” Sebenarnya, inilah kelebihan Marx, iaitu sering dipetik oleh sesiapa sahaja, tidak kira sama ada orang itu meminatinya ataupun sebaliknya. Pemikirannya sering dibahaskan hingga kini dan tidak sukar untuk menatapi perbahasan tersebut. Sejak April lalu, guardian.co.uk menerbitkan tujuh bahagian artikel Peter Thompson tentang Karl Marx, bermula dengan “Part 1: Religion, the Wrong Answer to the Right Question.” Sebagaimana Anita, Thompson memulakan tulisannya dengan memetik Marx yang mengkritik agama yang berkesudahan dengan slogan "religion is the opium of the people". Walau bagaimanapun, Anita Gabriel memetik Marx sekadar untuk membandingkan ketagihan rakyat terhadap subsidi yang beliau petik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak: “Subsidies as a whole are like opium (to the masses).” Dalam bahasa Melayu, Najib dilaporkan berkata: “Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk, sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik.”
Subsidi menghantui semula. Buletin Utama TV3 malam tadi, muncul dengan “Dimanjakan Subsidi Sampai Bila?” yang membawa mesej yang jelas: penghapusan subsidi. Sementara Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin meminta rakyat menyokong kerajaan dalam usahanya untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi yang begitu besar yang meningkat daripada RM10.3 bilion tahun lalu kepada RM20.58 bilion tahun ini.
No comments:
Post a Comment