Artikel Popular

Tuesday, May 3, 2011

Akhirnya “Raksasa” Mati di Tangan “Tuannya” Sendiri

SELASA,  3 Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Sejak tengah hari semalam, akhbar dan stesen televisyen menyiarkan pengumuman Presiden Barack Obama tentang kematian orang yang paling dikehendaki oleh Amerika, iaitu Osama bin Laden.  Perburuan hampir  satu dekad, iaitu sejak berlaku serangan 11 September 2001, berakhir dengan pertarungan  selama 40 minit.  Sejak pengumuman oleh Obama itu yang disambut dengan keriangan oleh penduduk Amerika dan beberapa negara lain, berita, laporan, ulasan, dan komen membanjiri dunia.  Presiden Obama yang selama ini dianggap lemah, kini muncul sebagai  wira yang memperkukuhkan kedudukannya untuk Pilihan Raya Presiden 2012.  Walau bagaimanapun, ulas Julian Borgers,  perisytiharan kemenangan perang terhadap keganasan adalah terlalu awal, atau memetik Patrick Cockburn, “adakah kini kita benar-benar selamat daripada ancaman keganasan?”
Selama tempoh perburuan itu, Osama dikatakan bersembunyi di dalam gua di Afghanistan, jauh sekali untuk membayangkan beliau tinggal di sebuah mansion  yang tersergam yang terletak di  Abbottabad, kira-kira 70 batu  dari Islamabad, membangkitkan tanda tanya terhadap kerajaan Pakistan. Memetik Tariq Ali, yang menulis dalam LRB Blog  berikutan pembunuhan Osama bahawa “Amerika sendiri membunuh angsa yang bertelur emas untuk Pakistan.”
Kematian Osama disambut dengan pelbagai reaksi, antaranya keriangan dan kesedihan.  Bagi sesetengah orang, Obama ialah pengganas, manakala bagi sesetengah yang lain, beliau pejuang jihad.  Pokoknya, anda berdiri di mana anda duduk. “Akan tetapi, revolusi massa di dunia Arab sepanjang empat bulan lalu,” tulis Robert Fisk, “bermakna bahawa al-Qaeda dari segi politik telah pun mati.  Bin Laden memberitahu dunia, sesungguhnya beliau memberitahu saya secara peribadi, bahawa beliau mahu memusnahkan rejim pro-Barat di dunia Arab, kediktatoran Mubarak dan Ben Ali.  Beliau ingin mendirikan Kalifah Islam yang baru.  Akan tetapi, beberapa bulan ini, berjuta-juta orang Muslim Arab bangkit dan bersedia untuk mati syahid bukan untuk Islam, tetapi demi kebebasan dan liberti dan demokrasi.  Ben Laden gagal menghapuskan pemerintah yang zalim. Orang ramai yang melakukannya. Dan mereka tidak mahu khalifah.”
Namun, hakikatnya, Osama bin Laden pernah dipelihara dan dibesarkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, seperti  Arab Saudi dan Pakistan semasa mereka berganding tenaga menentang Kesatuan Soviet yang menceroboh Afghanistan.  Apabila Kesatuan Soviet berjaya diusir, negara itu berkecai,  dan   Perang Dingin Berakhir, Afghanistan menjadi medan peperangan yang ditinggalkan, manakala  Osama dan para pengikutnya, yang kini dikenali sebagai kumpulan al-Qaeda dilupakan sama sekali.  Berakhirnya Perang Dingin membuka medan pertempuran yang baru, iaitu antara Amerika dengan Islam, yang tidak perlu menunggu lama untuk mencetuskan persengketaan: pada tahun 1990, Sadam Hussein – satu lagi raksasa yang dipelihara dan dibesarkan oleh Amerika,  menceroboh Kuwait dengan pengetahuan dan "restu"  Amerika. 
Pemberontakan popular  Arab menyaksikan rejim yang bersekongkol dengan Amerika, satu demi satu tumbang: dari Tunisia ke Mesir, dan beberapa yang lain menunggu giliran. Dan, semalam, Amerika terpaksa bertindak sendiri membunuh satu lagi raksasa yang mereka pelihara dan  besarkan, iaitu Osama bin Laden yang menerima nasib yang serupa dengan  Sadam Hussein.  Satu pengajaran bahawa memang Amerika mengajar mereka mencuri epal dalam kebun orang, tetapi jangan sekali-kali memandai-mandai mencuri epal dalam kebun Amerika: padah akibatnya.  
Apabila Amerika menjadikan Sadam dan Obama raksasa, sesungguhnya harapan mereka ialah raksasa itu menyerang orang lain, iaitu musuh Amerika. Jangan sekali-kali berpaling tadah!  Seperti biasa, Amerika akan melahirkan raksasa baru demi kepentingan hegemoni mereka di seluruh dunia. Mungkin kita tidak perlu lama untuk menunggu kelahiran raksasa ciptaan Amerika ini kerana kalau tidak, kompleks perindustrian  ketenteraan  akan  keusangan dan puak neokonservatif akan kesunyian. Presiden Amerika pula akan kelihatan hilang taring kerana setiap presiden negara itu mesti berani melancarkan peperangan, baik terhadap negara mahupun pelaku bukan negara, seperti Osama bin Laden.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...