Artikel Popular

Monday, May 30, 2011

Marx, Lenin, dan Luxemburg

SELASA, 31 Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sempena Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, saya terfikir-fikir untuk menulis sesuatu untuk kaum buruh yang banyak mengukir sejarah dunia. Juga tentang kedinamikan mereka sebagai kuasa sosial, sebagaimana kedinamikan kaum tani di banyak negara Dunia Ketiga. Namun, tulisan ini bukannya tentang buruh secara langsung, tetapi tentang pemikiran tiga tokoh yang boleh dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan buruh, iaitu Karl Marx, V.I. Lenin, dan Rosa Luxemburg. Antara ketiga-tiga itu, Marx lebih menonjol kerana beliau dianggp sebagai ahli falsafah sosial dan ekonomi, meskipun Lenin pernah menerajui Revolusi Rusia dan ungkapan beliau yang sentiasa dipetik, “What is to be Done?” Dalam Dewan Masyarakat saya pernah mengulas buku Karl Marx dan Friedrich Engels, Communist Manifesto (dengan pengenalan David Harvey) yang telah dimasukkan dalam blog ini, “Dokumen Sejarah.” Demikian juga dengan buku Rosa Luxemburg, iaitu The Accumulation of Capital dan The Rosa Luxemburg Reader yang (diedit oleh Peter Hudis dan Kevin B. Anderson) yang pernah ulas dalam majalah yang sama, Jun 2005, “Legasi Luxemburg.”

Memilih ketiga-tiga tokoh itu untuk penulisan sempena Hari Pekerja, sepintas lalu seakan-akan “mengada-ngada” yang boleh membangkitkan persoalan apakah kerelevanannya? Kewajaran saya menulis Marx, Lenin, dan Luxemburg adalah kerana saya menemui tulisan terbaharu tentang dalam mereka: Marx dalam The Guardian, Lenin dalam MRZine, dan Luxemburg dalam The Nation. Sejak 4 April lalu, akhbar tersebut setakat ini menerbitkan lapan bahagian makalah yang ditulis oleh Peter Thompson, iaitu “Part 1: Religion, the Wrong Answer to the Right Question,” “Part 2: How Marxism Came to Dominate Socialist Thinking,” “Part 3: Men Make Their Own History,” “Part 4: 'Workers of the World, Unite!',” Part 5: The Problem of Power,” “Part 6: The Economics of Power,” “Part 7: The Psychology of Alienation,” dan “Part 8: Modernity and the Privatisation of Hope.”

Sementara Prabhat Patnaik, ahli ekonomi Marxis di India, baru-baru ini muncul dengan “Lenin and Keynes” dan Vivian Gornick dengan “History and Heartbreak: The Letters of Rosa Luxemburg” untuk edisi bercetak The Nation 2 Mei yang diperoleh lebih awal dalam talian.

Dalam bahagian pertama, seperti yang dibahaskan oleh Peter Thompson, pertimbangan Marx tentang agama, politik, ekonomi, dan masyarakat secara keseluruhan bukan hanya semata-mata latihan falsafah, tetapi percubaan aktif untuk mengubah dunia, untuk membantu dunia mencari inti baru. Ahli falsafah, menurut Marx, hanya mentafsirkan dunia dalam pelbagai cara; persoalan penting adalah untuk mengubah dunia.”

Makalah ini tidak bertujuan mengupas satu demi satu bahagian yang ditulis oleh Peter Thompson itu; sebaliknya memilih beberapa bahagian yang difikirkan sesuai dan relevan. Dalam bahagian empat, Thompson menumpukan penulisannya terhadap Communist Manifesto dengan menyatakan isu utama adalah bahawa kapitalisme mewujudkan keadaan untuk kejatuhannya sendiri. Buku yang terbit pada tahun 1848, bahas beliau “kemungkinan dibaca secara meluas dan dokumen politik yang paling berpengaruh pada zaman moden, tetapi juga kemungkinan paling disalahfahami dan disalahpetikkan.” Bagi Marx, hal ini bukan hanya persaingan politik, tetapi adanya pertentangan struktur yang “tidak dapat tidak membawa kemenangan kepada proletariat” menewaskan borjuis yang membangunkan kuasa produktif, yang mencipta “penggali kubur” mereka sendiri. Walau bagaimanapun. Thompson mengakui bahawa kemungkinan terlalu awal untuk mengatakan, sama ada ramalan Marx penggulingan yang tidak dapat dielakkan terhadap golongan borjuis adalah betul, tetapi kuasa para pekerja bersatu untuk memperoleh konsesi daripada negara melalui pembaharuan sosial adalah sesuatu yang Marx tidak bersusah payah untuk melakukannya dalam manifesto. Beliau memetik seruan adalah mudah: Pekerja dunia, bersatu!

Di sini, elok dirujuk komen atau pandangan ringkas tentang buku Communist Manisfesto oleh Rustam A. Sani dalam dalam bukunya, Menjelang Reformasi. Dalam bab “Kapitalis Baru atau yang Sama,” Rustam sempena sambutan 150 tahun buku itu, menyatakan “salah satu kesan berakhirnya Perang Dingin yang menandakan runtuhnya projek politik sistem kapitalis terencana secara pusat (yang mendakwa diilhamkan oleh Marx) di Kesatuan Soviet ialah terdapatnya penafian terhadap sosial Marx pada keseluruhannya.


Merujuk nama yang diberikan, iaitu “Era Pasca-Marx,” Rustam cuba menyangkal pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa “salah satu ‘kelemahan’ pengajaran ilmu ekonomi di pusat-pusat pengajian tinggi kita ialah kerana ekonomi Marx masih diajarkan sebagai suatu perspektif yang diterapkan dalam memahami realiti ekonomi masa kini.” Sebaliknya, hujah Rustam, dalam pelbagai kalangan pemikir ilmu ekonomi hari ini, pelbagai aspek teori ekonomi Marx didapati masih merupakan alat teoretis yang berguna bagi memahami pelbagai ekonomi global – baik secara langsung mahupun melalui jalur pemikiran yang kuat yang dipengaruhi atau diilhami Marx.”

Rustam juga memetik kata-kata sejarawan terkenal, Eric Hobsbawm dalam edisi perayaan terbitan Verso buku tersebut: “Dunia yang diperikan oleh Marx dan Engels pada tahun 1848 … jelas merupakan dunia yang kita didiami 150 tahun kemudian.” Bahkan, Rustam terus mempertahankan Marx dengan berkata, “sistem kapitalis yang kita kritik hari ini, bagi saya, bukanlah sistem kapitalis yang baru, tetapi sistem kapitalis yang sama seperti yang telah diperikan oleh Marx pada tahun 1848.

Memeranjatkan Communist Manifesto dipetik dan dikagumi oleh penulis neolioberal dan kolumnis The New York Times, iaitu Thomas Friedman, seperti yang dapat ditatapi dalam bukunya, The World is Flat: A Brief History of the Globalized World ini the 21st Century. Ulasan buku Friedman ini telah saya masukkan dalam blog ini, dan dengan itu, tidak perlu diulangi lagi di sini.

Dalam bahagian kelima, masalah kuasa, Peter Thompson, mengetengahkan Marx bersama-sama dengan Lenin dan Rosa Luxemburg. “Jika wujud satu perkara yang memisahkan biri-biri revisionis dengan kambing Leninis,” bahas Thompson “ialah bahawa persoalan kuasa: apakah kuasa, bagaimana anda mengambilnya, bagaimana mempertahankannya, dan bagaimana anda berpegang padanya?” Tambah beliau tentang gabungan dengan Lenin “jika kita menganggap Marx ialah ahli teori revolusi, maka Lenin ialah orang yang berusaha menyatukan teori dengan amalan atau praktik.” Dalam membahaskan, sama ada wujud kesinambungan antara Marx, Lenin, dan Stalin, Thompson membangkitkan kritikan Luxemburg terhadap Lenin. Selain itu, beliau menyatakan bahawa ada golongan yang menganggap terhentinya antara Marx dengan Lenin dan yang mengagumi Max kerana kemahiran analitisnya, tetapi menentang langkah kediktatoran Lenin.

Owen Hatherley dalam ulasan buku Why Marx Was Right oleh Terry Eagleton baru-baru ini menulis bahawa Marx dan Lenin, kedua-duanya gemar berjenaka. Justeru, mereka akan menghargai ironi bahawa sejak krisis kewangn sekarang bermula, analisis mereka tentang ketidakstabilan kapitalisme yang memusnahkan disahkan secara luar biasa pada masa yang sama gerakan yang mereka kononnya idam-idamkan dalam keadaan tiada kuasa dan nazak. Memetik persoalan yang sering dikemukakan pada tahun 2008 oleh beberapa makalah jurnal gedung kapitalisme, “Adakah Marx betul,” Hatherley menjawab, “tetapi revolusi proletariat secara aneh gagal bangkit untuk memberikan respons terhadap krisis itu.” Dalam ulasan itu juga, beliau mengulas biografi ringkas, Lenin oleh Lars T Lih yang menafikan bahawa pemikiran dan amalan Lenin melibatkan “bimbang tentang para pekerja,” dan bahawa Lenin teruk betul optimis tentang organisasi kelas pekerja. Bagi Lenin, pemimpin revolusioner mempunyai tanggungjawab untuk membawa kelas pekerja ke kancah revolusi, dan semua teori di dunia ini tidak membantu jika keadaan politik dan ekonomi tidak ada. Lenin percaya bahawa Perang Dunia Pertama menawarkan peluang sebenar untuk memusnahkan kapitalisme.

Dalam Lenin and Philosopy and Other Essays, Louis Althusser, antaranya mengatakan bahawa politik yang memutuskan segala-galanya. Bukan politik secara umum: politik Marxis-Leninis. Tambah beliau, “apabila saya memahami politik Marxis-Leninis, saya mula mempunyai kegemaran yang mendalam terhadap falsafah juga, kerana akhirnya saya memahami tesis hebat Marx, Lenin, dan Gramsci: bahawa falsafah pada asasnya, politik.” Tercetusnya Pemberontakan Arab kedua, membangkitkan semula pesanan terkenal Lenin bahawa “kuasa terletak di jalan-jalan.”

Lenin pernah berpesan bahawa cara terbaik untuk memusnahkan sistem kapitalis adalah dengan merosakkan nilai mata wang (is to debauch the currency) yang dianggap betul oleh John Maynard Keynes dalam bukunya, Essays in Persuasion. Tiada cara paling halus, yang paling pasti, untuk mengubah asas yang wujud dalam masyarakat berbanding dengan cara merosakkan nilai wang. Proses ini, bahas Keynes ini menarik semua kuasa hukum ekonomi tersembunyi ke sebelah pemusnahan, dan melakukannya dengan cara yang tiada seorang pun dalam sejuta manusia mampu mendiagnosis. Namun begitu, Michael V. White dan Kurt Schuler mempersoalkan siapa yang benar-benar berkata demikian: Keynes atau Lenin?

Dalam “Lenin and Keynes,” Prabhat Patnaik cuba melihat beberapa persamaan antara kedua-duanya: seorang pensyarah di Cambridge, dengan lebih sebelah kaki ke  dalam kerajaan British; penyokong Parti Liberal, yang menentang kuat Revolusi Bolshevik. Seorang lain ialah revolusioner Rusia, menghabiskan masa bertahun-tahun dalam buangan dalam kemiskinan yang teruk, terbenam dalam konflik yang sengit dalam kalangan émigré, hingga baru-baru ini berhadapan dengan kebangkitan revolusioner yang berusaha gigih dan berkemungkinan beliau memahami dengan kejelasan itu bahawa beliau datang untuk menerajuinya, menghadapi perang saudara, epidemik tifus, dan percubaan membunuh yang akhir meragut nyawanya.

Di sebalik perbezaan yang ketara itu, Prabhat Patnaik, mencuba untuk mencari persamaan antara kedua-dua tokoh itu. Untuk permulaan, bahas beliau, kedua-duanya berasa hormat intelektual yang mendalam antara satu sama lain, meskipun wujud perbezaan politik mereka. V.I. Lenin pernah menggelar John Maynard Keynes, “pencinta damai borjuis British,” “buta seni borjuis kecil,” dan “musuh Boslshevisme yang tidak dipujuk. Namun, Lenin mengasaskan seluruh tesisnya tentang mengapa keadaan sudah matang untuk revolusi dunia pada analisis Keynes dalam The Economic Consequences of the Peace. Bahkan, beliau memuji Keynes bahawa “tiada seorang pun pernah menulis tentang kapitalisme lebih daripada Keynes. Sementara Keynes pula, bahas Patnaik, bukan sahaja merujuk dalam beberapa tempat kepada ‘kilauan’ Lenin, tetapi juga dalam buku yang sama, berkata tepat pada masanya tentang inflasi: ‘Lenin pernah berpesan cara terbaik untuk memusnahkan sistem kapitalis adalah dengan merosakkan nilai mata wang;… Lenin pastinya betul.’”

Lenin, melihat modal kewangan, tegas Patnaik, sebagai berusaha gigih di mana-mana sahaja untuk menguasai dan untuk memperoleh “wilayah ekonomi” sambil mengorbankan lawan. “Justeru, persaingan antara modal kewangan ‘negara’ yang berbeza (kepunyaan ‘negara’ besar), setiap satu disokong oleh Negaranya, yang mulai sekarang, mengambil bentuk peperangan antara imperialis yang banyak menumpahkan darah, seperti yang ditunjukkan dalam Perang Dunia Pertama.” Lari daripada kesusahan ini hanya mungkin dengan cara menggulingkan sistem kapitalisme yang dikuasai kewangan dan dengan menunjuki sosialisme.”

Keynes yang mencadangkan campur tangan Negara, manakala bagi Lenin, respons terhadap seruannya untuk penggulingan kapitalisme. Revolusi Bolshevik, dan pembentukan Communist International, iaitu perjuangan Kesatuan Soviet menentang fasisme, sumbangannya terhadap kebijajahan pascaperang dan penyebaran sosialisme, membentuk bersama-sama saga epik abad ke-20.

Dalam kalangan pemikir Marxis utama pada zaman Revolusi Rusia, Rosa Luxemburg, yang berketurunan Yahudi Poland, muncul sebagai tokoh yang berbicara untuk masa sekarang. Legasi Luxemburg terus subur dalam era global tatkala kapitalis pasaran semakin dominan dan kritikan terhadap kuasa birokratik diterima secara meluas dalam gerakan untuk kebebasan manusia. Demikian tulis saya dalam ulasan buku beliau yang saya nyatakan sebelum ini. Adrieene Rich pada blurb The Rosa Luxemburg Reader dengan penuh sanjungan menyatakan bahawa Luxemburg menjelajah abad ke-21 bagaikan “burung utusan” yang maha agung, menjangkau setiap benua dan sejarah untuk mengingatkan kita bahawa keadan masa kini bukannya sesuatu yang baru, tetapi merupakan kesinambungan konflik manusia yang berpanjangan, yang berubah hanya dari segi keamatan dan skop.

Vivian Gornick baru-bari ini muncul dalam The Nation dengan “History and Heartbreak: The Letters of Rosa Luxemburg” memulakan penulisan dengan mengingati wanita radikal ini. “Semasa saya kecil,” tulis Gornick, “saya diberitahu beliau sosialis agung. Beliau mengkritik Lenin. Beliau mati dibunuh.” Setelah memperkenalkan latar belakangnya sejak kecil, dihantar melanjutkan pengajian di Zurich, dan pada musim luruh 1890, Rosa berkenalan dengan Leo Jogiches, seorang revolusioner pelajar. Sejak zaman remajanya, Rosa melihat politik radikal sebagai cara untuk hidup sekurang-kurangnya. Beliau ingin segala-galanya: perkahwinan dan anak-anak, buku dan muzik, berjalan petang musim panas dan revolusi. Rosa bukan sekadar memperlihatkan dirinya sebagai intelektual, tetapi juga beliau aktif dalam politik: beliau dan Leo menubuhkan Parti Marxis Poland.

Kemudian Rosa berpindah ke Berlin dan aktif dalam Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), parti sosialis yang paling berkuasa di Eropah. Sepanjang dua dekad berikutnya, Luxemburg menulis buku, esei, dan makalah tentang satu aspek politik radikal atau yang lain; mengambil bahagian secara tetap dalam lawatan berceramah yang panjang merentas Eropah; mengajar di sekolah parti; dan membesar menjadi seorang anggota yang paling petah berkata-kata dan berpengaruh sayap kiri yang kian menyusahkan dalam SPD. Luxemburg percaya bahawa hati dan jiwa kapitalisme dalam semua bentuknya perlu dibanteras semata-mata menerusi pemberontakan spontan pekerja berpangkat rendah seandainya pula menjadi demokrasi sosial. Bagi beliau, perkataan “mogok am” adalah muktamad.

Beliau dicampakkan ke dalam penjara beberapa kali menyebabkan semakin keliru dari segi semangatnya, meskipun mindanya masih cergas. Pada musim panas 1918, ketika masih dalam penjara dan kini beliau kini menderita terhadap apa yang berlaku di Rusia, di samping di Eropah, beliau menyiapkan risalah yang dikenali The Russian Revolution yang hingga hari ini, diiktiraf sebagai salah satu dokumen yang paling bersemangat dalam pemikiran politik moden.
Menjelang abad ke-20, Luxemburg bertemu Lenin; meskipun beliau mengagumi daya intelek dan keazaman Lenin, beliau tetap mengkritik Lenin. Bagi beliau, Lenin “lebih tertumpu terhadap mengawal parti, dan bukan menyuburkan parti, mengecilkan parti, bukannya memajukannya, mendisiplinkan dengan ketat, bukannya menyatupadukan parti. Hal ini, fikir beliau, tidak memberikan petanda baik.

Ketiga-tiganya, iaitu Marx, Lenin, dan Luxemburg, boleh dikatakan belayar dalam sebuah kapal, tetapi tidak semestinya sentiasa sehaluan. Luxemburg misalnya, ketika dalam penjara masih membaca Tolstoy, tidak membaca Marx. Setahun selepas Lenin berkuasa dan enam bulan sebelum Luxemburg meninggal dunia, beliau menulis dalam penjara menyatakan dan mengkritik kesilapan Lenin yang menyekat kebebasan. Pastinya, ketiga-tiganya, terutamanya Marx memberikan sumbangan yang besar terhadap dunia intelektual dengan pemikirannya yang sentiasa mengundang perdebatan. Apabila pemikiran mereka, terutamanya Marx diketengahkan semula pastinya tidak memeranjatkan sama sekali.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...