Artikel Popular

Thursday, May 19, 2011

Kemelesetan: Berapa Dalam, Berapa Lama?

JUMAAT,  20 Mei  2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

Kasino di Macau dibanjiri oleh kaki judi, kebanyakan dari Tanah Besar China, lelaki dan wanita, remaja dan dewasa.  Tidak cukup wang tunai di tangan, di ATM dikeluarkan wang atau kad kredit digunakan untuk pertaruhan minimum HK$200 atau HK$300 satu pusingan.  Di Kowloon, pada waktu malam, manusia berasak-asak  dan sesetengahnya dengan telefon bimbit di tangan, berbaris panjang untuk  menaiki bas dan untuk membeli makanan di restoran sushi dan   di Ireland’s Potato.   Di Hong Kong, jalan raya sesak dengan kenderaan dan orang ramai berpusu-pusu  di   Sogo   yang mengadakan jualan murah.  Di Starbucks, para pelanggan menikmati hidangan sambil membaca majalah dan membuka notebook.  Sebagaimana di Kowloon, di Hong Kong juga orang ramai berbaris panjang untuk menaiki bas.  Mass Transit Railway (MTR) yang berulang-alik di antara Kowloon dengan Hong Kong dan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Macau dan Hong Kong ke Kuala Lumpur sarat dengan penumpang.

Gambaran kehidupan awam pada awal Disember ini seolah-olahnya tidak mengenali apa erti kemelesetan  atau  belum menerima tempias kemelesetan yang merebak ke seluruh dunia, sedangkan gambaran ekonomi sebenar  kian suram dan muram.   Setiap kali pasaran saham global merudum dan harga minyak dunia jatuh, alasannya  kebimbangan terhadap kemelesetan.  Presiden Amerika, George W. Bush  memaklumkan  bahawa beliau setuju dengan pelan penyelamat bernilai AS$700 bilion untuk institusi kewangan Amerika Syarikat hanya selepas diberitahu bahawa negara itu menghadapi risiko terbenam ke dalam kemelesetan yang lebih teruk daripada Kemelesetan Besar. 


Krisis di Wall Street merebak ke Main Street  apabila jualan runcit  di Amerika Syarikat jatuh  dengan ketara, menghantar gelombang kejutan ke seluruh rangkaian bekalan.  Pada bulan Oktober, inventori dikurangkan sebanyak 1.1 peratus, kejatuhan terbesar sejak November 2001, manakala jualan borong merosot sebanyak 4.1 peratus, menandakan bahawa ekonomi semakin menjunam ke dalam kemelesetan.   Dan apabila kemelesetan semasa semakin dalam, maka dijangkakan banyak lagi berita suram dan muram dalam beberapa bulan akan datang.  Kekayaan isi rumah yang merosot dengan ketara akibat kejatuhan harga saham dan rumah.  Pengguna dan perniagaan mengurangkan perbelanjaan mereka secara mendadak.

Apabila paun sterling jatuh pada paras rendah pada 12 Disember lalu berbanding dengan dolar euro dalam tempoh lima hari berturut-turut, maka ini  dikaitkan dengan ketakutan bahawa ekonomi British adalah antara yang paling teruk dilanda kemelesetan.  Perdana Menteri British, Gordon Brown dan Govenor Bank of England, Mervyn King,  akur bahawa kemelesetan tidak dapat dielakkan akibat daripada krisis kredit global dan keruntuhan harga rumah.  “Rentetan peristiwa yang luar biasa, hampir tidak dapat dibayangkan,” kata Mervyn King.    

Di tengah-tengah kerancakan kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, majalah Newsweek keluaran 22 Oktober menemu bual tujuh orang Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, sebagai nasihat kepada bakal Presiden.  Antaranya, Paul Krugman yang mengingatkan bahawa ekonomi negara itu terjerumus dalam kemelesetan yang teruk pada bulan Januari 2009.  Seberapa cepat yang boleh, pentadbiran dan Kongres sepatutnya melawan kemelesetan ini dengan melaksanakan pelan rangsangan fiskal yang besar yang memberikan tumpuan terhadap perbelanjaan dan bukannya pemotongan cukai.  

Merentas benua, jatuh bebas merebak daripada pasaran saham kepada   pekerjaan.  Di Amerika Syarikat, pada bulan November,   kehilangan pekerjaan berjumlah 533,000 orang dan pengangguran mencecah 6.7 peratus, tertinggi dalam tempoh 15 tahun.  Jika dicampur dengan jumlah kehilangan pekerjaan bulan September dan Oktober, jumlahnya ialah 1.256 juta orang, tertinggi dalam tempoh tiga bulan sejak Februari 1975.  Goldman Sachs meramalkan bahawa kadar pengangguran sekarang akan mencecah 8.5 peratus pada akhir tahun 2009.   Seandainya tiga pengeluar kereta, iaitu General Motors Corp., Chrysler LLC, dan Ford Motors Co. yang di ambang muflis gagal memperoleh pinjaman kecemasan  bernilai AS$14 bilion,  nescaya industri automotif runtuh dan berjuta-juta orang di Amerika  kehilangan pekerjaan. 

“Depression Economics Returns,” makalah   Paul Krugman dalam The New York Times pada 14 November lalu,  seperti  mengisytiharkan kemelesetan di Amerika Syarikat.  Berita ekonomi semakin teruk.  Buruk seadanya, tetapi  beliau tidak menjangkakan satu lagi Kemelesetan Besar. Malah, tulis Krugman, kita mungkin tidak melihat kadar pengangguran yang sepadan dengan yang tertinggi selepas Kemelesetan Besar, iaitu 10.7 peratus pada tahun 1982,
Pada awal Disember lalu, National Bureau of Economic Research  mengakui  bahawa ekonomi Amerika Syarikat terbenam dalam kemelesetan pada bulan Disember 2007.  Namun,  seperti yang dinyatakan oleh Peter S. Goodman dalam The New York Times 22 Julai, banyak ahli ekonomi percaya bahawa kemelesetan bermula enam atau tujuh bulan lalu.  Tambah Goodman, “jika ramai orang kehilangan pekerjaan, kilang menghentikan pengeluaran, kedai berhenti menjual barang, dan kurang wang dalam saku, ini kemungkinannya kemelesetan.”

Kemelesetan  menjelajah dunia mencari mangsanya, dan muncul ketakutan global terhadap kemelesetan.  Amerika Syarikat dan Jepun, dua ekonomi terbesar di dunia adalah perlahan.  Keadaan yang sama dialami oleh Perancis dan Jerman, kuasa ekonomi dominan dalam zon euro (euro-zone).  Australia, Hong Kong, dan Singapura juga terjebak dalam kemelesetan.   
 Pada 8 Oktober 2008, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan amaran dalam  Global Financial Stability Report terkini, yang diterbitkan sebagai persediaan mesyuarat tahunannya di Washington.  IMF mengingatkan bahawa krisis kewangan sekarang yang terus menyekat pasaran wang dunia semakin jelas menjerumuskan kegawatan ekonomi yang teruk dan berlarutan di seluruh dunia.  

Pada akhir November, Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pula mengumumkan  bahawa sejak awal tahun 1980, kini negara maju berhadapan dengan kemelesetan yang paling teruk.  OECD menekankan bahawa beberapa negara, termasuk Britain, Hungary, Iceland, Ireland, Luxembourg, Sepanyol, dan Turki yang kemerosotan akan teruk, sebahagiannya adalah kerana kejatuhan harga rumah, di samping terdedah secara paling langsung dengan krisis kewangan.

Dalam  tinjauan  ekonomi (economic outlook) setengah tahun 2008 organisasi yang beribu pejabat di Paris itu, ekonomi kemungkinannya menguncup sebanyak 0.4 peratus pada tahun 2009 bagi 30 buah negara anggotanya berbanding dengan jangkaan pertumbuhan 1.4 peratus.  OECD memaklumkan bahawa  pengangguran dalam kalangan negara anggotanya boleh meningkat sebanyak  lapan juta orang antara tahun 2009 – 2010.  Kadar pengangguran purata dalam kawasan OECD dijangkakan sebanyak 5.9 peratus pada tahun 2008,   meningkat kepada 6.9 peratus tahun 2009, dan mencecah 7.2 peratus pada tahun  2010.

Amerika Syarikat kemungkinannya mengalami penguncupan sebanyak  0.9 peratus pada tahun 2009 menyusuli pengembangan 1.4 peratus pada tahun 2008, manakala   zon euro kemungkinannya menguncup sebanyak 0.6 peratus pada tahun 2009 selepas mengalami pertumbuhan 1.0 peratus pada tahun 2008.  Menurut OECD lagi,  ekonomi Amerika akan menguncup sebanyak kadar disukutahunan 0.3 peratus pada suku tahun ketiga 2008, dan disusuli dengan kemerosotan yang besar, iaitu 2.8 peratus pada suku tahun keempat.  Pemulihan hanya dijangkakan pada suku tahun ketiga 2009 apabila output mula meningkat 0.6 peratus.

Dalam zon euro, outuput jatuh sebanyak 0.9 peratus pada suku tahun ketiga 2008, disusuli dengan kemerosotan 1.0 peratus pada suku tahun keempat 2008.  Sebagaimana Amerika Syarikat, output zon euro tidak dijangkakan melonjak semula hingga suku tahun ketiga 2009, dan lonjakan itu hanya pada kadar yang sederhana, iaitu 0.1 peratus. Angka Kesatuan Eropah rasmi awal November 2008 mengesahkan bahawa zon euro secara keseluruhannya dalam kemelesetan pada suku tahun ketiga,  kali pertama sejak penubuhannya.  Zon euro yang mengandungi 15 buah negara yang menggunakan dolar euro sebagai mata wang utama mereka, susut sebanyak 0.2 titik peratusan antara Julai hingga akhir September, iaitu menguncup pada margin yang sama dalam tiga bulan sebelumnya.  Pertumbuhan negatif dalam dua suku tahun berturut-turut menandakan ekonomi secara rasmi memasuki kemelesetan.

Menurut  agensi statistik Kesatuan Eropah, Eurostat, pada akhir November, pengangguran dalam zon euro meningkat kepada 7.7 peratus pada bulan Oktober, tertinggi dalam masa dua tahun apabila pertumbuhan merosot dengan ketara.  Eurostat memaklumkan bahawa kira-kira 225,000 lebih orang mencari pekerjaan pada bulan Oktober  berbanding  bulan sebelumnya.  Ini bermakna kira-kira 12 juta orang di zon euro kehilangan pekerjaan bulan lalu.  Di 27 buah negara Kesatuan Eropah pula, kira-kira 17 juta orang mencari pekerjaan pada bulan Oktober, 290,000 lebih daripada bulan sebelumnya.  Suruhanjaya eksekutif Kesatuan Eropah meramalkan bahawa pasaran buruh akan menjadi semakin buruk pada tahun 2009, dengan zon euro meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2009 daripada yang terendah selama satu dekad, iaitu 7 peratus pada akhir tahun 2007.  Ini akan menyaksikan tambahan dua juta orang yang kehilangan pekerjaan. 

Jerman dan Italy, ekonomi terbesar keempat di benua Eropah mengalami kemelesetan ketika suku tahun ketiga 2008. Sebaik-baik sahaja OECD mengeluarkan kenyataannya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jerman jatuh sebanyak 0.5 peratus dalam suku tahun ketiga tahun ini, menyebabkan ekonomi terbesar dalam Kesatuan Eropah mengalami kemelesetan kali pertama dalam tempoh lima tahun. Sepanyol juga mengalami suku tahun pertama pertumbuhan negatif dalam tempoh 15  tahun, tetapi agak memeranjatkan apabila OECD memaklumkan bahawa Perancis  mengekalkan kadar pertumbuhan positif.


Pada akhir Oktober, diakui secara rasmi bahawa  nilai saham terpadam sebanyak 90 bilion paun sterling,  nilai paun sterling jatuh  teruk, dan British mengalami  kejatuhan paling banyak dalam KDNK.  Setelah angka baru menunjukkan bahawa ekonomi negara itu menguncup  sebanyak 0.5 peratus sejak Julai – September, kali pertama sejak 16 tahun lalu, Bank of England terpaksa memotong kadar faedah.  Kemerosotan KDNK itu menimbulkan kejutan besar;  keadaan ini dijangkakan  terus berlaku  satu tahun atau lebih, dan kemelesetan ini seteruk yang berlaku pada awal 1990-an atau awal  1980-an.  National Institute for Economic and Social Research, menjangkakan kemesorotan mencecah 0.9 peratus pada tahun 2009.  Pengangguran mencecah dua juta orang pada akhir tahun 2008, dan tiga juta orang pada akhir tahun 2010.

Britain, seperti yang dinyatakan oleh OECD akan mengalami penguncupan output sebanyak 1.1 peratus pada tahun 2009 selepas tumbuh sebanyak hanya 0.8 peratus pada tahun 2008.  Unjuran ini sama dengan unjuran oleh kerajaan British berikutan dengan pelaksanaan pakej rangsangan bernilai AS$30 bilion. Pada tahun 2009, Confederation of British Industry (CBI) menjangkakan  ekonomi  British   adalah paling teruk dalam tempoh tiga dekad,  menguncup sebanyak 1.7 peratus, sedangkan sebelum ini ekonomi negara ini dijangkakan mengalami pertumbuhan positif sebanyak 0.3 peratus.  Britain juga dipercayai akan mengalami kadar pengangguran yang  paling tinggi untuk tempoh 15 tahun pada awal tahun 2010, iaitu 2.9 juta orang atau 9 peratus tenaga kerja dijangka kehilangan pekerjaan.  Namun, jika pengangguran mencecah paras tertinggi, iaitu 9 peratus, kadar ini lebih rendah daripada kemelesetan sebelum ini, iaitu 10.9 peratus awal tahun 1990-an dan lebih 12 peratus pada awal 1980-an.  Pengangguran pada tahun 2008 sebanyak 5.8 peratus ketika suku tahun ketiga adalah tinggi dalam tempoh 11 tahun.

“Apa yang jelas,” kata John Cridland, Timbalan Ketua Pengarah CBI, “kemelesetan yang pendek dan tidak dalam, seperti yang kita harapkan beberapa bulan lalu, kini kemungkinannya lebih dalam dan lebih lama.”

Di Jepun, kemelesetan bermula suku tahun kedua 2008, dan hanya dijangka berakhir sepanjang suku tahun pertama 2009, apabila output dijangkakan melonjak semula pada kadar tahunan 0.8 peratus. Selain Britain, Jepun juga mengalami kemelesetan yang dalam.  Angka rasmi yang dikeluarkan pada awal Disember menunjukkan bahawa ekonomi negara itu  menguncup sebanyak 1.8 peratus dalam suku tahun ketiga 2008 pada asas disukutahunan, berbanding dengan anggaran 0.4 peratus sebelum ini.  Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi di China kekal di bawah kadar angka berganda, walaupun pada akhir tahun 2008,   eksportnya  merosot. Pada tahun 2009, OECD mengunjurkan pertumbuhan China adalah sederhana, pada 8.0 peratus.


“Sekarang, kemelesetan  telah disahkan, perbahasan akan tertumpu kepada tempoh dan keterukannya,” kata  Martin Van Vliet, daripada ING Financial Markets, seperti yang dilaporkan dalam The Independent.  “Dari segi sejarah, kemelesetan yang didahului oleh episod tekanan kewangan yang berkait dengan perbankan mempunyai kecenderungan untuk lebih dalam dan lebih lama.  Akibatnya, kemungkinan krisis kredit semasa yang menyebabkan kemerosotan lebih teruk daripada yang berlaku pada tahun 2001/2002 selepas krisis dotcom.” 

Ketua Pegawai Eksekutif Merrill Lynch & Co., John Thain, seperti yang dilaporkan oleh Reuters pada 11 November,   tidak menjangkakan bahawa ekonomi global pulih dengan segera daripada krisis kredit  dan persekitarannya hampir menyamai persekitaran tahun 1929 yang mencetuskan Kemelesetan Besar. Bercakap dalam Persidangan Perkhidmatan Kewangan, Thain berkata, “kita sedang menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat sukar.  Ekonomi Amerika menguncup terlalu pantas, mewujudkan ketidakpastian untuk beberapa suku tahun akan datang.”


Namun, pada masa yang sama, masih ada harapan bahawa dasar agresif yang diambil setakat ini, dan nampaknya rangsangan dasar seterusnya yang tidak dapat dielakkan akan membantu ke arah pemulihan secara beransur-ansur dalam separuh kedua tahun 2009.  Apabila berhadapan dengan kemerosotan ekonomi yang dalam,  rangsangan dasar fiskal memainkan peranan penting.  Hingga kini, banyak negara,  melaksanakan pakej rangsangan ekonomi,  pemotongan kadar faedah, dan pemotongan cukai. Yang terbaru, persidangan kemuncak Kesatuan Eropah pada Disember lalu mengumumkan AS$267  bilion rangsangan  atau 1.5 peratus KDNK Kesatuan Eropah untuk melawan kemelesetan. Sebelum itu, pada awal Disember, selepas berakhirnya Dialog Ekonomi Strategik antara Amerika Syarikat dengan China, kedua-dua negara itu bersetuju menyediakan kredit bernilai AS$20 bilion (Amerika sebanyak AS$12 bilion, China sebanyak AS$8 bilion) untuk pengimport di negara membangun membeli barang keluaran kedua-dua negara itu bagi menyekat merebaknya jangkitan krisis  kewangan dan mengelakkan daripada kemelesetan global.

Paul Krugman dalam makalahnya mengingatkan bahawa apabila ekonomi yang meleset berlaku,  peraturan biasa dasar ekonomi tidak lagi boleh diterapkan:  kebaikan menjadi tabiat buruk, sikap berhati-hati ialah berisko dan sikap yang cermat ialah kebodohan.  Beliau juga mengingatkan peningkatan pengangguran akan menyebabkan pemotongan seterusnya dalam perbelanjaan pengguna.  Perbelanjaan pengguna yang lemah akan menyebabkan pengurangan dalam pelan pelaburan perniagaan.  Dan ekonomi yang menjadi lemah akan menyebabkan lebih banyak pemotongan pekerjaan, merangsangkan lagi kitaran penguncupan.
Pemulihan dalam kawasan OECD tidak mungkin berlaku sebelum separuh kedua tahun 2009 apabila Amerika mendahului jalan keluar daripada kemelesetan.  Oleh sebab jangkaan melantun semula dalam pertumbuhan berlaku pada separuh kedua tahun 2009, OECD mengunjurkan bahawa output ekonomi dalam kalangan negara anggotanya akan meningkat pada 2010 sebanyak  1.5 peratus.

Dengan unjuran bahawa ekonomi kebanyakan negara  mengalami pemulihan pada tahun 2010 dan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar 3 peratus pada tahun 2009,  kemungkinan ekonomi negara ini terjebak dalam kemelesetan adalah tipis.  Lagipun,  Bank Pembangunan Asia (ADB) meramalkan negara Asia, kecuali Jepun mengalami pertumbuhan 5.8 peratus pada tahun 2009, walaupun  kadar pertumbuhan terendah sejak tahun 2001.
            
      (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi  Februari 2009.)

  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...