Artikel Popular

Friday, May 27, 2011

Akhbar di Persimpangan

SABTU,   28  Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Yang sering menjadi bahan berita atau liputan akhbar (juga majalah) adalah akhbar itu sendiri, iaitu tentang masa depan industri penerbitan ini dan tentang dunia kewartawanan.  Tatkala dunia dilanda krisis kewangan 2008-2009, akibat kemerosotan sumbangan iklan yang menjadi nadi kelangsungan akhbar, maka industri persuratkhabaran  menghadapi keadaan yang cukup genting lagi runcing.  Selain faktor sumbangan iklan, kemajuan teknologi, khususnya Internet dikatakan memberikan saingan yang cukup sengit terhadap penerbitan akhbar, seperti yang pernah dibahaskan secara ringkas oleh James Fallows, “Who Exactly is Killing the Press” dua tahun lalu. Akhbar  bagi  Maureen Dowd, ibarat bintang filem yang kesunyian pada zaman tua,  terkejut   mendapati dirinya lapuk akibat perubahan teknologi.  Meskipun wartawan masih popular, dalam kehidupan sebenar mereka merasa seram sejuk.  Namun, beliau masih menaruh harapan terhadap dunia persuratkhabaran dan juga berkias tentang  kewartawanan bercetak bahawa “orang tua hidup lebih lama.”
RealClearPolitics pernah  menyenaraikan 10 akhbar metro di Amerika Syarikat yang dalam kesusahan, antaranya  The Christian Science Monitor yang terpaksa meninggalkan edisi bercetaknya sejak Oktober 2008, kemudian berlaku runtuhan.  The Tribune Co. yang mula-mula memfailkan perlindungan kebankrapan, disusuli oleh Minneapolis Star Tribune, Journal Register, dan Philadelphia Newspapers.  Antaranya akhbar yang menghadapi kesukaran itu ialah New York Daily News, Los Angeles Times, St. Paul Pioneer Press, Chicago Sun-TimesThe Detroits News, dan The Miami Herald,  yang mengalami kemerosotan pengedaran sejak tahun 2007. “Bahkan, Washington Post, salah sebuah akhbar yang paling stabil, dilaporkan 77 peratus kejatuhan  perolehan dalam suku pertama 2008.  Dalam landskap akhbar muram pada hari ini, tiada satu akhbar pun yang selamat.
Tatkala dunia masih bergelut dengan kemelesetan yang terburuk  sejak Perang Dunia Kedua,  Michael Liedtke, editor perniagaan, Associated Press menulis bahawa langganan akhbar di Amerika Syarikat jatuh dengan ketara, dengan  banyak orang menggunakan Internet sebagai sumber berita.  Antara April – September 2009, pengedaran harian purata 379 buah akhbar di negara itu jatuh sebanyak 10.6 peratus pada  kadar yang pantas jika dibandingkan dengan tempoh enam bulan pada tahu  sebelumnya.  Kejatuhan ini  dipacu sebahagiannya oleh kenaikan harga yang tinggi yang dikenakan oleh penerbit yang berebut-rebut untuk mengimbangi jualan periklanan yang terjejas dengan teruk.

The Wall Street Journal mengatasi USA Today sebagai akhbar yang jualan tertinggi di negara itu, dengan pengedaran purata Isnin-Jumaat meningkat 0.6 peratus menjadi 2.02 juta naskhah, menjadikanya hanya sebuah akhbar yang tersenarai dalam 25 ke atas yang meningkat pengedarannya.  Sementara USA Today mengalami keterhakisan yang teruk dalam sejarahnya selama 27 tahun, jatuh lebih 17 peratus dari segi pengedaran, iaitu kepada 1.90 juta naskhah.  Akhbar itu, yang dimiliki oleh Gannett Co., menyalahkan pengurangan dalam perjalanan yang banyak menyumbang kepada kekurangan pengedaran kerana banyak jualan naskhah tunggalnya adalah di lapangan terbang dan hotel.  The New York Times pula kekal di tempat ketiga dengan edaran 927,851 naskhah, jatuh sebanyak 7.3 peratus dari tempoh yang sama tahun 2008.  Edisi Ahad akhbar ini kekal sebagai penjual hujung minggu tertinggi, iaitu 1.4 juta naskhah, jatuh sebanyak 2.6 peratus.

Seterusnya, pada tahun lalu, Audit Bureau of Circulations yang juga dipetik oleh Associated Press, memaklumkan bahawa pengedaran akhbar di Amerika Syarikat terus jatuh dengan teruk, meskipun kadar kejatuhan itu perlahan jika dilbandingkan dengan tempoh enam bulan sebelum ini.  Pengedaran hari Isnin – Jumaat purata jatuh 8.7 peratus dalam tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, manakala pengedaran hari Ahad jatuh 6.5 peratus.  Meskipun lebih baik daripada kejatuhan dari April – September tahun lalu, 25 akhbar teratas di negara itu mengalami kejatuhan pengedaran yang besar.  Pengedaran The San Francisco Chronicle Isnin – Jumaat jatuh hampir 23 peratus dari tahun sebelumnya, kepada 241,330 naskhah, manakala pengedaran Isnin – Jumaat The Washington Post,  jatuh 13.1 peratus, kepada 578,482 naskhah dan jatuh 8.2 peratus, kepada 797,679 naskhah untuk hari Ahad.  USA Today mengalami kejatuhan  13.6 peratus daripada pengedarannya dan secara purata 1.83 juta naskhah.  Kemerosotan yang berterusan ini bahawa bermula dengan kelembapan perjalanan ketika kemelesetan yang mengecilkan jualan yang akhbar itu terutamanya popular, seperti hotel dan lapangan terbang. The Wall Street Journal terus mengekalkan kedudukannya yang teratas dari segi pengedaran, iaitu meningkat sebanyak 0.5 peratus, kepada 2.09 naskhah.  Walau bagaimanapun, akhbar itu sedikit merosot dari segi pengedaran dalam edisi bercetak: pengedaran dalam talian meningkat kira-kira 31,000 naskhah dari tahun lalu, kepada 414,025 naskhah, mengimbangi kemerosotan kira-kira 20,000 naskhah edisi bercetak.

Tahun lalu juga menyaksikan persaingan yang disebut mungkin perang akhbar Amerika yang hebat yang akhir, yang melibatkan The Wall Street Journal dengan The New York Times.  Dan Rupert Murdoch, pemilik The Wall Street Journal, dilaporkan ingin memenangi peperangan itu dengan merebut pembaca dan pengiklan daripada akhbar pesaing.  Namun, The New York Times dikatakan tidak mudah ditundukkan kerana akhbar itu mempunyai banyak pembaca dan banyak daripada mereka pembaca yang setia, dan dengan itu, tidak mudah untuk menawan “medan” akhbar itu.  Menyaingin The New York Times merupakan perjuangan yang Murdoch ada dalam fikirannya apabila News Corp. membeli The Wall Street Journal daripada syarikat induknya Dow Jones & Co. dengan harga AS$5 bilion pada tahun 2007.


Meskipun pada tahun 2010 pada amnya kemerosotan akhbar tidak seteruk tahun sebelumnya, namun beberapa akhbar terpaksa juga memfailkan perlindungan kebankrapan menandakan kesukaran yang terpaksa ditempuhi dalam industri persuratkhabaran.  Pada  Januari tahun itu menyaksikan Affiliated Media Inc., syarikat pemegangan MediaNews Group, pemilik 54 akhbar harian Amerika, mencuba menyusun semula kewangannya di mahkamah  kebankrapan.  Dalam tempoh 13 bulan lalu, dikatakan sekurang-kurangnya 14 penerbit akhbar kini memfailkan perlindungan kebankrapan.  Penerbit akhbar harian Morris Publishing Group juga berbuat demikian  dan merancang mengurangkan hutangnya kira-kira sebanyak AS$288.5 juta.  Akhbar terpaksa bergelut ketika kemelesetan dan para pembaca pula beranjak kepada berita dalam talian.  Bagi Morris yang dimiliki oleh persendirian, situasi dikatakan lebih teruk kerana syarikat itu juga dibebankan dengan hutang yang kebanyakannya terkumpul daripada pengambilan beberapa akhbar pada tahun 1990-an.

Sementara Tribune Company berjaya  memohon  kelulusan mahkamah   untuk rancangan penyusunan semula  pada Febuari 2010.   Tribune yang memiliki Los Angeles Times, Chicago Tribune, The (Baltimore) Sun, dan beberapa akhbar lain, bersama-sama 23 buah stesen televisyen, memfailkan perlindungan kebankrapan pada Disember 2008 kerana kekurangan hasil periklanan dan beban hutang yang teruk, iaitu AS$13 bilion.

David Carr menyelidik dan mengkritik dengan panjang lebar   dalam The New York Times tentang budaya kebankrapan Tribune Company yang dijual pada harga AS$8.2 bilion pada Januari 2008. Meskipun direka cipta semula, tetapi tidak membuahkan hasil, dengan pemfailan kebankrapan dalam tempoh kurang setahun pembelian oleh hartawan Sam Zell, menjadikan kebankrapan terbesar dalam sejarah industri media di Amerika. Lebih 4200 orang hilang pekerjaan sejak pembelian itu, manakala sumber untuk akhbar-akhbar Tribune dan stesen televisyen dipotong.


Di sebalik keruntuhan urus janji dan kebankrapan Tribune merupakan contoh klasik megah diri,  tulis Carr yang merujuk kepada Zell, mogul hartanah yang pada hakikatnya tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan akhbar.  “Meskipun banyak syarikat media cuba memotong kos dan taktik baru dalam beberapa tahun kebelakangan, Tribune terutamanya agresif dari segi merancang daya penarik publisiti dan dalam mencampuradukkan periklanan dengan bahan editorial.  Usaha itu mengasingkan pekerja dan khalayak lama yang akhbar itu layani.”

Meskipun akhbar terpaksa menempuh pelbagai  kesukaran, perniagaannya masih menarik tokoh perniagaan terkenal untuk menceburinya.  Misalnya,  Carlos Slim, hartawan perbankan dan telekom yang pernah dinobat orang terkaya di dunia, menyuntik modal dalam New York Times Company, kumpulan media yang kesukaran,  sebanyak AS$250 juta, meskipun beliau perlu mengakui kesilapan pelaburannya dalam akhbar The Independent.

Walau bagaimanapun, Warren Buffett yang semasa kecil, satu kerja pertamanya ialah menghantar akhbar, dan memiliki beberapa akhbar serta mempunyai pelaburan yang besar dalam Washington Post Company, menganggap masa depan industri persuratkhabaran adalah muram.  “Bagi kebanyakan akhbar di Amerika Syarikat,” kata Buffett, “kami tidak akan membelinya pada mana-mana harga.  Akhbar mempunyai kemungkinan menanggung kerugian yang tanpa kesudahannya.” Untuk menunjukkan pergantungan akhbar pada periklanan, beliau menambah,  “Selagi akhbar adalah penting kepada para pembaca, akhbar penting kepada periklanan.  Akan tetapi, berita kini boleh didapati di banyak tempat lain.”

Industri persuratkhabaran bukan sahaja muram di Amerika Syarikat, tetapi juga di tempat-tempat lain.  Bahkan di bumi Gutenberg sendiri, orang Jerman menghadapi masa depan digital mereka.  Para pakar berkata bahawa akhbar dan majalah Jerman mula mengharungi kesusahan sebagaimana rakan sejawat mereka di Amerika.  Takut akan kemaraan digital, mendorong Canselor Jerman Angela Merkel mengisytiharkan di upacara untuk ulang tahun ke-175 penerbit Bertelsamann/Random House, bahawa masih wujud buku kertas dan akhbar bercetak 50 tahun dari sekarang, yang disambut oleh tepukan gemuruh para hadirin. Jika dibandingkan dengan negarea Eropah lain atau Amerika Syarikat, bilangan langganan untuk majalah dan akhbar di Jerman tidak merosot terlalu pantas.  Namun, kecenderungan dapat diperhatikan bahawa dalam kajian terbaharu, 35 peratus daripada orang yang berumur 16 tahun hingga 39 tahun lebih suka menerima semua maklumat mereka melalui Internet.  Masa untuk perubahan besar dalam industri penerbitan sedang berlaku. Bahkan, aduan daripada editor akhbar Jerman kedengaran sama-sama menyeramkan dengan mereka di Amerika:  kekurangan  pengedaran, kesusutan periklanan, pemberhentian pekerja, dan bagi mereka masih bernasib baik untuk terus bekerja: beban kerja yang meningkat, melakukan segala-galanya.  Sesetengah orang Jerman semakin bimbang tentang kemungkinan bahawa kanak-kanak yang hanya beberapa tahun lalu akan membesar tanpa mana-mana rasa cinta, sama ada praktikal atau sentimental terhadap dunia bercetak.
Demikian juga Perancis sehingga mendorong Presiden Nicolas Sarkozy mengumumkan 600 juta euro dalam bentuk bantuan industri akhbar yang kesusahan di negara itu.  Beliau mengisytiharkan setiap orang yang berusia 18 tahun di Perancis akan langganan percuma setahun untuk akhbar yang mereka pilih untuk menggalakkan minat membaca. Krisis melanda akhbar Perancis adalah kalangan tidak sekali menguntungkan di Eropah, dibendung oleh kesatuan cetak komunis yang ketat, kurangnya kiosk yang menjual akhbar dan kemerosotan pembaca yang jauh lebih rendah daripada di United Kingdom dan Jerman.  Kerajaan Perancis memberi  1.5 bilion euro dalam bentuk bantuan kerajaan langsung dan tidak langsung kepada akhbar setiap tahun.  Sarkozy mengumpamakan akhbar dengan mana-mana industri lain yang memerlukan bantuan, seperti sektor automobil. 

Namun, segala bantuan kerajaan Perancis  itu tidak mampu memastikan  Le Monde, akhbar Perancis yang paling berprestij kekal pada  pemilikan yang asal apabila pada Jun tahun lalu, akhbar yang menanggung kerugian 25 juta euro terpaksa berpindah milik.   Pengedarannya  jatuh sebanyak empat peratus pada tahun 2009, iaitu kepada 288,000 naskhah, dan mana-mana pembeli dijangkakan menjelaskan hutang Le Monde sebanyak 125 juta euro, termasuk pinjaman kecemasan 25 juta euro pada tahun itu.

Dan,  akhbar di Malaysia juga tidak terkecuali.  Memetik  Audit Bureau of Circulations Malaysia, Agence France-Presse (AFP) pada Februari 2009 melaporkan bahawa pada tahun yang berakhir Jun 2008, pengedaran akhbar harian purata adalah 2.5 juta naskhah, jatuh daripada 2.54 juta naskhah pada tahun sebelumnya.  Alkhbar tradisional Malaysia dikatakan menghadapi cabaran serius daripada portal berita dalam talian, yang memperoleh reputasi kerana pantas dan lebih boleh dipercayai jika dibandingkan dengan akhbar yang mesra kerajaan.

Zacks Equity Research dalam Publishing Industry Review and Outlook pada Julai 2010 menyatakan bahawa industri penerbitan sejak sekian lama bergelut dengan hasil periklanan yang merosot, dan kegawatan ekonomi global baru-baru ini memburukkan lagi keadaan.  Keadaan ini  datang dalam olak buri kejatuhan sekular jangka panjang kerana lebih banyak pembaca memilih untuk mendapatkan berita percuma dalam talian, dan dengan itu, menjadikan model percetakan-periklanan semakin tidak relevan.

Menurut Zacks Equity Research lagi, akhbar lebih teruk daripada majalah kerana opsyen berita berasaskan berita berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan.  Keterhakisan selama dua dekad dalam pengedaran akhbar memperkuat kemerosotan dalam hasil periklanan. Kebanyakan pemerhati media melihat tahun 2009 sebagai titik perubahan dalam industri ini.  Pengedaran juga menjadi mangsa kepada potongan belanjawan dengan syarikat akhbar mengurangkan bilangan halaman bercetak dan staf bilik berita dalam menghadapi kelembapan. Kemerosotan dalam pengedaran akhbar yang berlaku sejak 1990-an hingga 2000-an, semakin pantas. Pada mulanya, pengedaran akhbar jatuh kurang daripada satu peratus, tetapi kadar kemerosotan meningkat kepada dua peratus pada 2005, tiga peragtus pada 2007, dan empat peratus pada 2008, dengan semakin banyak pembaca berpindah ke Internet.  Walau bagaimanapun, data terbaharu yang dikeluarkan   Audit Bureau of Circulations menunjukkan bahawa kadar kemerosotan dalam pengedaran diredakan.  Pengedaran akhbar yang jatuh 8.7 peratus untuk enam  bulan berakhir 31 Mac 2010, mencerminkan penambahbaikan terhadap kemerosotan 10.6 peratus yang dicatatkan untuk enam bulan yang berakhir 30 September 2009.

Di manakah silapnya?  Benarkah Internet menjadi saingan utama terhadap akhbar bercetak? Yang pasti,  tiada kesepakataan tentang cabaran Internet terhadap akhbar.   Memang  berlaku di Amerika Syarikat, dalam keadaan tertentu, Internet menggantikan akhbar.  Tapak Web hyperlocal menyampaikan berita tanpa akhbar, seperti yang dilaporkan dalam The New York Times.  Jika akhbar tempatan terpaksa ditutup, tapak Web ini akan menyampaikan berita tentang komuniti.  Sememangnya, syarikat Internet mencuba membangunkan tapak sedemikian lebih satu dekad, tetapi hanya kini kehadiran mereka  dirasai berikutan penutupan beberapa akhbar bercetak.  Pastinya, seperti media tradisional, tapak hyperlocal terpaksa mencari jalan untuk membawa hasil yang cukup untuk menyokong perniagaan mereka.  Setakat ini, mereka mempunyai hanya kejayaan yang terhad  dalam menjual iklan. 

Georgie Ann Geyer berkata bahawa bukannya Internet, sebaliknya pemilikan awam yang merupakan faktor sebenar kemerosotan akhbar.  Pada pandangan umum, kemerosotan pengedaran akhbar di Amerika, menurut Georgie, berpunca daripada pertama para pembaca berpindah daripada akhbar kepada berita Internet, dan kedua, keruntuhan kewangan umum di negara itu, dengan penarikan keluar kewangan dan periklanan yang meletakkan akhbar tanpa pendapatan yang lumayan.  “Akan tetapi, daripada pengalaman saya, ini bukannya masalah utama sama sekali.”  Masalah bermula, tambah beliau, “apabila akhbar mula ‘menjadi syarikat awam’ untuk menerbitkan saham awam, biasanya pada tahun 1980-an, dan dengan itu, menjadi  terhutang budi bukannya kepada komitmen profesional dan moral keluarga akhbar lama, tetapi kepada kaunselor pelaburan yang tamak dan rakus yang sama yang menyebabkan Wall Street runtuh sekarang.”   Georgie juga mengakui bahawa kegagalan akhbar bukannya tidak boleh dielakkan sama sekali. Kegagalan ini berlaku kerana sangat khusus, dan untuk kebanyakan bahagian, dan sama sekali boleh dielakkan, iaitu tindakan yang diambil oleh lelaki dan wanita yang tamak dan angkuh dan yang jelas sedikit memikirkan apakah jenis negara yang mereka sediakan untuk masa depan.

Sebagaimana dunia kewangan yang jatuh bebas, demikian juga dunia persuratkhabaran yang seakan-akan mengikut jejaknya.  Sebagaimana dunia kewangan, pertanyaan yang serupa dikemukakan untuk akhbar:  mampu akhbar diselamatkan? Bagaimana kelangsungannya? Atau memetik Cathy Young tatkala dunia persuratkhabaran kian muram: “mampukah akhbar terus hidup?” Ketika gergasi media terhuyung-hayang, tulis Cathy dalam  RealClearPolitics, dihentam bertubi-tubi oleh Internet dan krisis ekonomi, menyelamatkan akhbar menjadi topik hangat.  Memang betul-betul ironik bahawa media dalam talian yang banyak memudahkan kerja para wartawan dan memperluas khalayak pembaca mereka, juga meninggalkan banyak orang menganggur.  Beliau menegaskan bahawa masyarakat benar-benar memerlukan media profesional, justeru keperluan dapat dipenuhi apabila “media arus perdana” saling lengkap melengkapi dengan blog.  “Media yang bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam demokrasi.  Walau bagaimanapun, pembela media arus perdana akan melakukan dengan baik untuk mengakui beberapa kegagalan mereka.”

Cathy juga memetik editorial The New Republic yang mengeluh bahawa “hentaman akhbar”  sama ada daripada sayap kanan ataupun golongan kiri  yang menuduh media conformism yang mewujudkan “suasana membahayakan” yang melemahkan autoriti akhbar.  Beliau mendedahkan contoh yang didokumentasikan dengan baik tentang bias media yang membawa kepada pemberitaan cincai, dengan wartawan hanyalah mengitar semula siap siar akhbar kumpulan sokongan terhadap isu, seperti keganasan rumah tangga, ketiadaan tempat berteduh, atau bahaya pemilikan senjata api.  “Akhbar,” tulis Cathy, “menjadi sasaran kritikan yang tidak adil, tetapi akhbar tidak dapat dibebaskan daripada tanggungjawab kerana kerosakan terhadap reputasinya.”

Sebelum ini, tidak banyak akhbar yang mengenakan bayaran terhadap para pelanggan atau pembaca yang membaca artikel  akhbar berkenaan dalam dalam talian, kecuali The Financial Times yang  melaksanakannya  pada tahun 2002.  Namun,  kebelakangan ini, akhbar berlumba-lumba mengenakan bayaran, atau apa yang disebut oleh Eric Pfanner, “satu demi satu, penerbit lailn mula melihat kebijakan cara akhbar The Financial Times.” Rupert Murdoch, Ketua Eksekutif News Corporation, menyatakan hasrat bahawa syarikat akan mengenakan bayaran untuk semua tapak Web beritanya.  Rancangan itu melibatkan akhbar utama syarikat di Amerika Syarikat, Britain, dan Australia; sebelum ini, akhbarnya, iaitu The Wall Street Journal telah mengenakan bayaran.  The New York Times yang pada tahun 2009 berura-ura mengenakan bayaran, baru-baru ini telah melaksanakannya apabila para pembaca diberikan percuma hanya setakat 20 artikel sebulan.

Walau bagaimanapun, Cathy Young berpendirian bahawa kecuali The Wall Street Journal, mengenakan bayaran untuk laman Web terbukti tidak dapat dilaksanakan. Alasan utamanya adalah bahawa orang ramai yang membaca berita dan komentar dalam Internet biasanya memperoleh kandungan mereka dari banyak tapak yang berbeza.  Inilah kelebihan Internet, tegas beliua, “anda boleh pergi dari The Washington Post ke London Times sekadar mengklikkan tetikus, dan mengikuti penghubung dalam satu sebuah cerita untuk membaca yang lain.”  Beliau mengingatkan bahawa jika setiap tapak mula menyembunyikan kandungannya di sebalik tembok bayaran, nescaya para pembaca akan menghadapi, sama ada bil yang cukup besar ataupun pilihan yang sangat terbatas, dan banyak yang akan mencuba  memintasi keperluan langganan.

Akhbar bertalu-talu dihadapkan dengan pertanyaan yang berkaitan dengan kelangsungannya: mampukah akhbar terus hidup?  Michael Hirschorn  turut  membahaskan kelangsungan akhbar dan kewartawanan dengan menjadikan The New York Times yang pada tahun 2009 menanggung hutang lebih AS$1  bilion dan hanya memiliki rizab tunai hanya AS$46 juta, sasaran kritikannya.  “Akan tetapi, bagaimana jika media lama mati begitu cepat?  Bagaimana jika taufan datang bersama-sama dan memusnahkan gumuk secara keseluruhannya? Secara lebih khusus, bagaimana jika The New York Times lenyap daripada perniagaan, katakan Mei ini?”

Tambah Hirschorn lagi dengan cukup sentimental, “runtuhnya kewartawanan cetak harian akan bermaksud banyak perkara.  Bagi kalangan kita yang sudah tua untuk masih mengambil berat tentang keluar rumah  pagi Ahad untuk edisi penyendal kita The New York Times, ini bermakna berakhirnya jenis tertentu ritual beradab yang menentukan kebanyakan kehidupan dewasa kita.  Ini juga bermakna berakhirnya jenis tertentu kewujudan bandar kuasi-bohemian untuk beribu-ribu orang penulis, wartawan, dan intelektual awam  kelas menengah yang pintar yang hingga kini mempunyai jenis kehidupan separuh tertawan tentang minda.  Dan, ini akan merosakkan dengan teruk kemampuan akhbar untuk berkhidmat sebagai benteng demokrasi.”

Beliau cuba menarik perhatian bahawa jika anda mendengar sedikit laungan dan melihat sedikit compang-camping pakaian berhubung dengan kematian yang berlaku terhadap institusi, iaitu kewartawanan berkualiti tinggi, ini adalah kerana orang awam secara keseluruhannya dilatih supaya memandang rendah kepad wartawan dan kewartawanan.  Internet melakukan terlalu banyak untuk menggalakkan penggunaan berita yang malas, manakala hampir-hampir membanteras perbezaan ketara dalam jenama akhbar.

Pada Disember tahun lalu, John Lanchester muncul dengan tulisan yang cukup panjang dalam London Review of Books  yang juga mengemukakan pertanyaan yang serupa: mampukah akhbar terus hidup?  Beliau juga meneliti kemerosotan pengedaran akhbar dan pendapatan iklan yang memudarkan dunia persuratkhabaran.  Kekuatan sejarah perniagaan akhbar, tegas Lanchester dari sudut pandangan ekonomi, adalah pada hakikatnya perniagaan ini menawarkan dua arus hasil, iaitu jualan dn periklanan.  Kedua-duanya sejak beberapa tahun ditekan dengan teruk.  Beliau memetik sumber daripada Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), bahawa antara tahun 2004 hingga 2009, industri persuratkhabaran Amerika Syarikat kehilangan 34 peratus pembacanya, manakala di United Kingdom kehilangan pembaca 22 peratus. Namun, beliau pasti bahawa permainan belum berakhir untuk media bercetak.  Beliau sekali lagi memetik OECD tentang kos yang tinggi yang perlu ditanggung oleh akhbar, dan kos ini tidak berkaitan dengan kerja editorial, seperti pengeluaran, penyelenggaraan, pentadbiran, promosi dan periklanan, dan pengedaran. Kos tetap yang besar ini menjadikan organisasi akhbar lebih mudah terdedah pada kemerosotan dan kurang tangkas untuk bertindak balas terhadap persekitaran berita dalam talian.  Semua kos ini tidak perlu lagi ditanggung sekiranya akhbar beralih kepada Internet. Namun, beliau mencadangkan organisasi akhbar mengenakan bayaran kepada pelanggan dalam talian.

“Saya sama-sama berasa pasti dalam mengatakan bahawa apakah media bercetak perlukan, lebih daripada yang lain, tulis Lanchester, “ialah mekanisme pembayaran yang baru untuk pembacaan dalam talian, yang membenarkan anda baca apa-apa sahaja yang anda suka, di mana-mana jua diterbitkan, dan mengenakan kamu bayaran pada asas beragregat, sama ada bulanan ataupun tahunan atau apa-apa jua.”

Kemerosotan industri persuratkhabaran Amerika sekarang, dengan  wartawan diberhentikan kerja, akhbar pula dikurangkan atau ditutup, bagi Alexander Cockburn, kerana kegagalan akhbar itu sendiri memainkan peranannya:  “Lebih kurang, sejak berdekad-dekad, akhbar arus perdana selalunya secara melampau, mengganggu dan mensabotajkan usaha untuk menambaikkan keadaan sosial dan politik kita.”  Beliau mengingatkan bahawa “menangis jangan untuk akhbar semalam, untuk Fourth Estate lama. Pada setiap jam yang kritikal, dalam setiap dekad, akhbar mengecewakan kita.”  Keperluan  untuk memperoleh sumber periklanan, menurut Cockburn, menghalang akhbar daripada melaungkan suara kebenaran.

Untuk membicarakan masa hadapan akhbar, iaitu kelangsungan media ini, sesungguhnya merupakan satu topik yang panjang.  Memang disedari bahawa meskipun tulisan agak panjang, masih ada perkara penting yang tertinggal.  Misalnya, aspek kewartawanan walaupun disentuh, tetapi tidak diberikan analisis yang mendalam dalam tulisan ini.  Di mana-mana sahaja orang mula merasakan bahawa dunia persuratkhabaran seperti yang kita kenali sekarang kini berada di persimpangan.  Kemerosotan jumlah pengedaran dan hasil periklanan dan kewujudan persaingan Internet mengheret  dunia persuratkhabaran  dalam pergelutan yang sengit.  Kemuraman dunia persuratkhabaran pastinya turut memberi kesan yang mendalam terhadap dunia kewartawanan, khususnya tentang profesionalisme seandainya akhbar terpaksa memberi laluan kepada Internet.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...