Artikel Popular

Saturday, May 7, 2011

Pelayaran




SABTU, 7 Mei 2011


Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Pelayaran ini
bukannya pelayaran Captain Cook
meredah samudera
menongkah gelombang
merentas benua
meneroka jajahan
memahat sejarah.

Tapi hanyalah pelayaran persiaran

tanpa bayangan awan cemas gelora gementar
meninggalkan Suak Sydney
membelah gemalai alunan ombak
menyusur suak, teluk dan pulau
melewati jambatan, dermaga dan pelabuhan.


Panorama kota pelabuhan Sydney
berwarnakan kecantikan dan gaya hidup
berlatarkan alam semula jadi
berpancarkan sejarah dan monumen
berukirkan seni dan budaya.


Kota pelabuhan
lambang kebanggaan dan kemegahan
bangsa penjajah yang meneroka penempatan
atas nama misi peradaban
atau beban orang kulit putih.

Namun, di sebelahan pangkalan Suak Sydney
di Muzium Seni Sezaman
terbentang ungkapan bernada protes berbara perjuangan:
200 tahun pembohongan orang kulit putih
Berakhirnya kekuasaan dan keagungan orang kulit putih
Inilah kebebasan.

Pelayaran persiaran
menghakiskan kebanggaan dan kemegahan
menjelmakan hakikat kehidupan manusia sejagat
bergelut dengan kejahatan dan kecelakaan
bertarung dengan kekuasaan
menuntut kebebasan.




Sydney
2 Julai 2008

(Nota: Sajak ini pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera Januari 2009.)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...