RABU, 4 Mei 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bagaimana perbuatan membakar diri, seperti yang dilakukan oleh Mohamed Bouazizi mampu mencetuskan revolusi di Tunisia? Seperti yang diketahui, Bouazizi ialah siswazah daripada banyak siswazah yang menganggur di negara itu, mencari rezeki dengan menjual buah-buahan di pekan kecil Sidi Bouzid. Berikutan kereta sorongnya disita oleh polis, maka pada 17 Disember lalu, beliau bertindak membakar dirinya di hadapan jabatan kerajaan. Tindakan beliau yang terdesak itu akhirnya menumbangkan pemerintah autokratik, dan menjadi inspirasi berbelas-belas orang lelaki yang membakar diri mereka di Mesir, Algeria, dan Mauritania.
Pengorbanan diri yang berlaku dalam banyak masyarakat dan di mana-mana sahaja, menurut Robert F. Worth melalui tulisannya dalam akhbar The New York Times, “membangkitkan kengerian dan kekaguman, dengan beberapa pengulas Arab menobatkan Bouazizi sebagai mati syahid untuk revolusi Timur Tengah yang baru.” Dalam tulisannya itu, Worth memetik pandangan Tarik Tlaty, penganalisis politik Maghribi, bahawa orang ramai menganggap Bouazizi dan mereka yang meniru perbuatannya adalah berani, dan kebanyakan orang ramai tidak menggunakan perkataan “bunuh diri.” Mereka tidak juga menggunakan perkataan “syahid.” Sebaliknya, mereka menyebut mereka “orang yang rela berkorban (sacrificers),” dan mereka bercakap tentang “pemberontakan.” Tidak ada bahasa agama.
Orang ramai di Tunisia mengambil langkah bijak apabila mereka mengelakkan daripada menggunakan “bunuh diri” kerana perkataan ini boleh dikaitkan dengan kebodohan. Mereka juga mengelakkan daripada menggunakan bahasa agama, iaitu syahid yang boleh mencetuskan kontroversi yang boleh menghakis keyakinan orang ramai.
Dalam suasana apabila rakyat berasa kecewa dan tidak puas hati terhadap ketidakadilan ekonomi dan sosial, penggunaan perkataan orang yang rela berkorban, seperti Bouazizi, sungguh berkesan sehingga mencetuskan pemberontakan popular. Lebih-lebih lagi, mereka berkongsi nasib yang sama dengan siswazah yang malang ini, dan dengan itu, pengorbanannya sentiasa menghantui mereka. Jika mereka tidak berkongsi nasib yang sama, nescaya perbuatan nekad Bouazizi itu sekadar berjaya meraih simpati untuk seketika, jauh sekali membakar semangat untuk menggulingkan rejim.
Pemberontakan popular yang berjaya menumbangkan rejim Zine el-Abidine Ben Ali yang memerintah Tunisia selama 23 tahun, dikenali sebagai Revolusi Melati (Jasmine Revolution). Dari segi sejarah, revolusi besar biasanya mengikut negara, seperti Revolusi Perancis, Revolusi Amerika, dan Revolusi Rusia. Beberapa pemberontakan dalam sejarah akhir-akhir ini memilih nama poetik, bermula dengan Revolusi Bunga Teluki menentang diktator di Portugal padad tahun 1974, kita dapat melihat Revolusi Baldu pada tahun 1989 di Czechoslovakia disusuli oleh Revolusi Mawar di Georgia, Revolusi Oren di Ukraine, dan Revolusi Tulip di Kyrgyzstan, antaranya.
Mengapa banyak pemberontakan yang berlaku akhir-akhir ini dinamakan sempena nama bunga atau warna? Bagi Jeremy Singer-Vine yang menulis dalam majalah Slate, adalah kerana “penjenamaan.” Revolusi selalunya dikaitkan dengan sesuatu yang menggerunkan, penuh dengan pertumpahan darah dan pembunuhan, kezaliman dan kekerasan, dan kehilangan harta benda. Bahkan, banyak nyawa orang yang tidak berdosa terkorban. Demi mengelakkan tanggapan negatif, maka pejuang revolusi memilih nama yang indah, seperti bunga dan warna untuk menarik sokongan orang ramai. Jika ada orang masih berkata, “apa ada pada nama,” sesungguhnya, ini pendapat yang sama sekali silap.
Penulis blog, Zied El Hani, yang juga wartawan terkenal akhbar Essahafa, seperti yang dilaporkan oleh media, ialah orang pertama yang menyebut gelombang tunjuk perasaan itu Revolusi Melati. “Satu simbol Tunisia,” kata beliau. “Warna putihnya melambangkan toleransi rakyat Tunisia, dan keharuman baunya seperti Tunisia. Melati mencerminkan kekayaan negara ini.” Oleh sebab bunga melati ialah bunga kebangsaan negara itu, dan dengan itu, unsur penting dalam jati diri nasional, maka pengenalan pemberontakan popular itu sebagai Revolusi Melati lebih mudah diterima oleh rakyat Tunisia. Malahan, kemekaran dan keharuman melati kini turut dirasai di seluruh dunia Arab apabila di sana sini, tercetus pemberontakan popular yang dikenali Pemberontakan Arab kedua.
Daripada inspirasi Revolusi Melati Tunisia, dari Mesir ke Maghribi ke Jordan ke Algeria ke Yaman, Jalan Arab (Arab Street – jangan keliru dengan Arab Street di Singapura) kembali semula sebagai kuasa politik. “Jalan” bagi masyarakat Arab ditunjukkan menentang sesuatu, lazimnya negara asing atau dan minoriti etnik dalam semangat ketaksuban. “Jalan” tradisional, tulis Amir Taheri dalam The New York Post pada pertengahan Januari lalu, “hanya dipenuhi oleh kaum lelaki, individu yang kelihatan marah dan garang.” “Jalan” wujud untuk menuntut supaya kebebasan seseorang dihapuskan, dan bukannya kebebasan itu diperluas lagi. Namun, Revolusi Melati Tunisia menawarkan Jalan Arab baru yang tidak lagi dipenuhi oleh kaum lelaki semata-mata, tetapi kaum wanita turut kelihatan.
Protes atau tunjuk perasaan yang berlaku sekarang dikatakan memperbaharui perbincangan tentang “Jalan Arab,” metafora yang berguna untuk menjelaskan pendapat popular di dunia Islam. Namun, tulis Brian Palmer dalam majalah Slate, kita tidak pernah mendengar apa-apa tentang “Jalan Amerika Latin” atau “Jalan Eropah.” Lalu, tanya beliau, dari mana datangnya ungkapan ini? Daripada orang Arab sendiri. Pada tahun 2009, jelas Palmer, Profesor Terry Regier dan Muhammad Ali Khalidi menerbitkan kertas kerja yang mencari asal usul dan penggunan ungkapan Jalan Arab. Mereka mendapati bahawa akhbar berbahasa Arab selalu menggunakan jalan sebagai gantian untuk pendapat awam popular, dan tidak hanya merujuk kepada Islam semata-mata. Wartawan di negara Arab juga menulis cerita tentang “Jalan British,” “Jalan Amerika,” dan “Jalan Israel.”
Menurut Palmer lagi, daripada sumber Oxford English Dictionary, Wyndham Lewis, penulis dan pelukis Inggeris sebagai orang pertama merujuk pendapat awam popular sebagai “jalan.” Lewis menggunakan ungkapan itu pada awal 1930-an, tidak disedari di England dan Amerika, tetapi metafora ini muncul dalam bahasa Arab pada tahun 1950-an. Sidang editor Lubnan menggunakan jalan untuk mewakili golongan pekerja yang tertindas di dunia Islam. Maka, apabila ahli sains politik Amerika mendapat metafora ini pada tahun 1970-an, mereka menggunakannya secara eksklusif untuk orang Arab. Metafora ini seterusnya memasuki media arus perdana Barat pada akhir tahun 1980-an. Sebelum tahun 1987, wartawan Amerika selalu merujuk “pendapat awam Arab” dan bukannya jalan. Pada tahun 2006, wartawan menggunakan metafora jalan untuk menjelaskan sentimen popular di dunia Arab.
Daripada penyelidikan kedua-dua ahli akademik berkenaan, iaitu Regier dan Khalidi, yang dipetik oleh Palmer, wujud perbezaan nada antara bahasa Arab dengan bahasa Inggeris yang menggunakan ungkapan tersebut. “Dalam bahasa Inggeris,” tulis Palmer, “Jalan Arab terlalu kerap dikaitkan dengan kemeruapan dan kacau-bilau yang mudah ‘meletup’ atau ‘meledak,’ tetapi kurang disedari.” Para penulis dalam bahasa Arab kadangkala menggunakan juga imejan ini, tetapi mereka lebih mengagungkan jalan ini, sebagaimana ahli politik Amerika sangat gemar menjelaskan Main Street di Amerika. Akhbar Yaman, Al-Ayyam menjelaskan Jalan Mesir sebagai “jantung dan hati nurani orang Arab.”
Sesungguhnya, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada Pemberontakan Arab kedua yang berlaku sekarang: tentang kebangkitan kuasa rakyat yang sekian lama tertindas; tentang penggulingan rejim kuku besi. Yang tidak kurang pentingnya ialah tentang penggunaan bahasa yang betul dan tepat untuk meniupkan semangat dan menggembleng sokongan rakyat jelata. Juga tentang Jalan Arab yang kini berubah wajah menjadi tumpuan dunia kerana di sanalah kedengaran laungan setiap lapisan rakyat Arab, lelaki dan wanita, tua dan muda, menuntut kebebasan dan menegakkan demokrasi. Kini, kita dapat menonton bagaimana simbol dan metafora mampu mengubah dunia Arab dan mungkin juga mengubah dunia.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa April 2011.)
No comments:
Post a Comment