Artikel Popular

Sunday, May 8, 2011

Kematian Osama: Perselisihan Agama, Kecelaruan Moral, dan Kekalutan Legasi

ISNIN, 9 Mei 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Sememangnya, tidak memeranjatkan kita, seperti yang diperhatikan oleh Ahmad Fuad Rahmat, bahawa banyak golongan liberal Amerika, termasuk orang Islam, kini turut menyambut perayaan kematian Osama bin Laden. Mereka mungkin tidak bersetuju dengan bagaimana Perang terhadap Keganasan dilancarkan, tetapi mereka sekurang-kurangnya bertolak ansur dengannya dan tidak mempunyai alasan untuk melihat Osama dengan simpati dalam mana-mana keadaan sekalipun. Osama, tegas Ahmad Fuad, ialah “pengganas yang paling berjaya di Amerika, seperti yang dapat dilihat, dan trauma 11 September dan ketakutan dia menyerang semula pada bila-bila masa sentiasa menghantui minda rakyat Amerika dalam cara mereka tidak bersedia untuk itu. Sememangnya, bagi mereka yang ingin menghapuskan keterujaan empayar 10 tahun lalu, inilah masa untuk meraikan kemenangan.”
Pastinya, tidak semua orang berkongsi keriangan berikutan kematian Osama, terutamanya di dunia Islam, yang dengan pelbagai alasan, meratapi pemergiannya: pengganas bagi Amerika khususnya, namun jihadis bagi sebilangan umat Islam. Justeru, kematian Osama, seperti yang cuba dibahaskan oleh Ali H. Soufan, berakhirnya impian jihadis kerana bagi anggota al-Qaeda yang pernah beliau soal siasat di Teluk Guantánamo dan tempat-tempat lain selepas Peristiwa 11 September, Osama bin Laden tidak pernah hanya sebagai pengasas kumpulan itu, tetapi juga idea. Dia mewujudkan kepercayaan bahawa versi Islam mereka adalah betul, bahawa keganasaan ialah senjata yang betul, dan mereka akhirnya muncul sebagai pemenang. “Kematian Osama,” tulis Soufan, “tidak mematikan idea itu, tetapi memberikan tamparan maut.”
Reaksi segera anggota al-Qaeda terhadap kematian Osama, menurut jangkaan Soufan, adalah dalam bentuk merayakan kematian syahidnya. Ideologi kumpulan menjadi jaguh kematian untuk mati cara itu: Lagu digubah, video dirakamkan, dan kem latihan sebagai penghormatan dinamakan sempena nama para pejuang yang mati. Timbalan-timbalan Osama akan cuba menyuntikkan semangat orang ramai dengan menjadikan Osama tokoh seperti Che Guevara bagi al-Qaeda, alat propaganda yang lebih berkesan untuk yang telah mati jika dibandingkan dengan masih hidup. Namun, Soufan mengingatkan bahawa tidak mengambil masa yang lama untuk al-Qaeda untuk mula mengucapkan Osama bin Laden tidak mati. Dia bukan hanya jelmaan ideologi al-Qaeda, tetapi juga adalah utama untuk kumpulan berjaya mengumpulkan dana mengambil anggota baru. Tanpa Osama, al-Qaeda akan mendapati dirinya kekurangan wang dan anggota.
Semasa hayatnya, bagi Barat, terutamanya Amerika, Osama sebati dengan keganasan. Selain itu, seperti yang ditegaskan William Saletan, mitos Osama bahawa dia bukan sekadar pengganas, tetapi juga sebagai penglipur lara. “Cerita palsu kehidupannya menemui cerita palsu kematiannya.” Osama juga digelar orang gila yang mempunyai pengaruh yang cukup besar di sebuah negara penyangak dan gagal, iaitu Afghanistan, dan semakin memperlihatkan kuasa yang semakin kuat terhadap negara jirannya, iaitu Pakistan. Di sebalik banyak gelaran negatif, seperti pengganas, pembunuh rakyat jelata, dan orang gila, Osama juga mempunyai gelaran istimewa yang simbolik yang menggambarkan betapa bernilainya dia untuk Pakistan. Dia diibaratkan angsa bertelur emas dan dengan itu, walaupun Amerika hanya mahu dia mati, Pakistan mahu dia hidup. Perburuan Amerika terhadap Osama hampir satu dekad menyebabkan Pakistan mendapat berbilion-bilion dolar dalam bentuk bantuan dan ketenteraan. Justeru, timbul tanda tanya mengapa bunuh angsa ini?
Dalam keluaran khas Newsweek Disember 2001 – Januari 2002, Francis Fukuyama menulis bahawa 11 September menyerang kemodenan, berasaskan kebencian fundamentalis Islam terhadap semua nilai Barat, di samping homoseksual, kemuaan, dan kaum wanita. Beliau mahu perang terhadap musuh baru, dan untuk alasan itu, beliau perlu menekankan jurang “ketamadunan,” dan pergi lebih jauh serta menyifatkan Islam sebagai “Islamo-Fasisme.” Sering dikatakan bahawa Osama bin Laden benci akan kebebasan Amerika, dan perbandingan antara dia dengan Hitler, antara Islamo-Fascisme dengan Nazisme, menjadi kelaziman untuk beberapa ketika.
Peristiwa 11 September, menurut Imam Feisal Abdul Rauf – nama yang tidak asing lagi di Amerika dan Malaysia, mewujudkan luka yang melebarkan lagi pemisahan antara dunia Islam dengan Barat. Sebagaimana sebilangan besar rakyat Amerika, Feisal tidak dapat menyembunyikan perasaannya terhadap kematian Osama yang berkebetulan dengan gelombang revolusi di dunia Arab: peristiwa penting yang memberikan harapan. “Kita berharap ini akan menutup bab keganasan, sama ada yang dilakukan oleh pelaku bukan negara, seperti al-Qaeda ataupun pelaku negara, seperti Gaddafi di Libya. Feisal juga memuji Presiden Obama atas usaha tegasnya dalam peperangan terhadap keganasan, termasuk membawa Osama ke muka pengadilan dan menyokong aspirasi dunia Arab untuk mewujudkan rejim demokratik yang responsif terhadap kehendak rakyat mereka.
Seperti yang dapat ditonton pada kaca televisyen dan dibaca melalui akhbar, sesetengah rakyat Amerika meraikan pembunuhan Osama bin Laden dengan berlebih-lebihan yang boleh membangkitkan persoalan dari segi kewarasan dan kerasionalan. Benedict Carey, dalam Celebrating a Death: Ugly, Maybe, but Only Human,” membahaskan dengan panjang lebar bahawa membalas dendam dan kebanggaan tidak menjadikan orang Amerika juga kelihatan seperti pengganas. Carey memetik pendapat ahli sains sosial yang berkata “membalas dendam menjadikan kita kelihatan seperti manusia. Daripada pelbagai rujukan, beliau menegaskan bahawa ahli psikologi menunjukkan bahawa keinginan untuk membalas dendam merupakan langkah sensitif bagaimana masyarakat menanggapi kedua-duanya, iaitu keseriusan jenayah dan mana-mana ancaman yang besar yang pelakunya mungkin cetuskan. “Dendam paling memuaskan apabila wujud alasan yang kuat untuk menuntutnya, kedua-duanya, iaitu amalan dan emosi.”
Di sebalik kegembiraan dan keterujaan dalam kalangan rakyat Amerika, kematian Osama bin Laden juga mencetuskan banyak kontroversi, misalnya cara mayatnya dikebumikan, kewujudan teori konspirasi, dan yang tidak kurang menarik, seperti yang didedahkan oleh The New York Times, “Account Tells of One-Sided Battle in Bin Laden Raid” dan The Guardian, “Osama bin Laden 'was Not Armed When Killed'.” Serangan yang melibatkan 20 orang Navy SEALs itu, secara keseluruhannya adalah satu pihak. Kecuali tembakan daripada mereka yang berada di perkarangan penginapan Osama pada peringkat awal operasi, boleh dikatakan tidak tentangan daripada pihak Osama.
Apabila diketahui umum bahawa Osama bin Laden dibunuh dalam keadaan dia tidak bersenjata, maka hal ini bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang Islam, tetapi juga wujud anggapan bahawa dia tidak diberikan keadilan yang sewajarnya. Rowan Williams, Ketua Biskop Canterbury dipetik oleh The Guardian sebagai berkata, “memang penting bahawa keadilan kelihatan dilaksanakan,” sebagai reaksi beliau terhadap kematian pengganas yang paling dikehendaki di dunia. Williams berkata bahawa pembunuhan Osama bin Laden yang tidak bersenjata oleh pasukan khas Amerika Syarikat meninggalkan beliau dengan “perasaan sangat tidak selesa.” Beliau juga mengkritik cara Pentadbiran Obama kelihatan mengubah laporannya tentang serbuan itu. Apabila ditanya tentang apa-apa justifikasi moral bagi kematian pemimpin al-Qaeda itu, beliau berkata: “Saya fikir membunuh orang tidak bersenjata adalah selalunya meninggalkan perasaan tidak selesa, kerana tidak memperlihatkan bahawa keadilan kelihatan dilaksanakan.”
Akhbar itu juga memetik pelbagai pihak yang membangkitkan, baik dari segi undang-undang mahupun moral, adakah wajar dan rasional membunuh Osama yang tidak bersenjata. Ada yang membandingkan Osama dengan pemimpin Nazi yang selepas Perang Dunia Kedua diberikan perbicaraan yang adil sebelum dijatuhi hukuman sebagai penjenayah perang. Namun, dibahaskan bahawa perbandingan tersebut tidak tepat kerana pemimpin Nazi menyerah kalah, sedangkan Osama dan al-Qaeda tidak berbuat demikian.
Robert Fisk yang menulis dalam The Independent menganggap bahawa Amerika Syarikat melakukan kesilapan apabila membunuh Osama yang tidak bersenjata: Pemimpin al-Qaeda ini tahu bahawa dia gagal. Kini, Amerika mengubah nasibnya mati syahid kerana dia dibunuh dalam keadaan tanpa senjata. Osama bin Laden mendapat balasan yang setimpal bahawa mereka yang hidup dengan pedang cenderung untuk mati dengan pedang, tetapi banyak rakyat Arab dan juga akhbar Arab bahawa dia tidak mendapat keadilan, iaitu ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah antarabangsa di The Hague.
Meskipun Amerika berhasrat untuk mencegah pewujudan tempat suci yang membawa Osama ke tempat pengebumian rahsia di Laut Arab, Osama sebagai Salafis dan Saudi, berhasrat untuk mempunyai kubur yang tidak bertanda. Tulis Fisk, “dia dan penyokongnya percaya penanda kubur adalah menyembah berhala; dan dengan itu, Saudi ini berhasrat mengebumikan mereka yang sudah mati tanpa bertanda dan untuk memusnahkan tempat suci purba dan bukannya untuk mewujudkan tempat berkenaan.”
Seperti yang dilaporkan secara meluas, Amerika Syarikat tidak mahu menjadikan kubur Osama sebagai tempat suci. Pegawai-pegawai Amerika berfikir untuk menjadikan Osama lebih tidak relevan semasa mati berbanding dengan semasa dia hidup. Mereka menegaskan bahawa dalam kecemasan tidak seorang pun yang ingin mengambil mayat Osama. “Mencari negara yang sedia menerima mayat pengganas yang paling dikehendaki di dunia memang sukar. Oleh itu, Amerika memutuskan mengebumikannya di laut. Namun, Adam Weinstein mengingatkan jangan memperbodohkan diri sendiri: Mengebumikan Osama di cakerawala tidak akan melenyapkan mana-mana teori “dia tidak mati.” Akan tetapi, Amerika Syarikat kedengaran sedikit tidak jujur apabila mereka berkata Osama dicampakkan ke dalam Laut Arab untuk menghormati ajaran Islam.
Osama bin Laden telah mati. Apakah yang perlu dilakukan terhadap mayatnya menimbulkan masalah kepada Amerika Syarikat. Para pegawai akan berwaspada mewujudkan tempat suci atau membekalkan teori konspirasi, meskipun menghormati tradisi pengebumian Islam, tulis Paul Harris. Ke manakah hendak dihantar mayat Osama bin Laden? Keluarga sangat luasnya di Arab Saudi kebanyakannya menjauhkan diri mereka daripada dia. Kerajaan Saudi akan berwaspada untuk mempunyai mana-mana kubur di bumi Saudi yang boleh menjadi tempat suci untuk pengikut Islam radikal – banyak manusia seperti itu di Arab Saudi.
Osama bin Laden, tegas Brian Palmer, sepatutnya dianggap bernasib baik jika dibandingkan dengan Adolf Hitler yang membunuh diri. Sepanjang suku abad berikutnya, mayat Hitler digali dan dikebumikan semula beberapa kali. Pada tahun 1970, Ketua KGB, Yuri Andropov mengarahkan pegawai yang bernama Vladimir Gumenyuk mencari tempat pengebumian rahsia yang akhir untuk Hitler supaya kuburnya tidak menjadi tempat suci puak neo-Nazi. Hingga hari ini, Gumenyuk enggan mendedahkan lokasinya.
Namun, bagi para ulama dan sarjana Islam, pengebumian pemimpin al-Qaeda di laut mengaibkan umat Islam. Meskipun cara itu dibenarkan oleh Islam, tetapi hanya dalam keadaan tertentu apabila kematian berlaku di atas kapal yang jauh dari daratan. Penganalisis dan peguam Islam Mesir yang terkenal, Montasser el-Zayat, dipetik sebagai berkata, pengebumian Osama di laut dilakukan untuk mencegah kuburnya menjadi tempat suci. Akan tetapi, pilihan yang ada ialah kubur tidak bertanda. “Mereka tidak mahu lihat dia menjadi simbol, tetapi dia telah pun menjadi simbol dalam hati manusia.”
Sementara itu, Presiden Barack Obama menjelaskan bahawa mayat itu diuruskan menurut Islam yang memerlukan pengebumian yang cepat. Dalam wawancara dengan 60 Minit, beliau menjelaskan keputusan itu dibuat secara bersama. “Dan saya fikir, kami mengurusnya dengan sesuai.”
Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Sentimen atau kecaman orang Islam, termasuk ulama dan sarjana Islam boleh dikatakan datangnya dari negara yang penduduk Islam merupakan golongan majoriti. Untuk berlaku adil, pendirian umat Islam yang merupakan golongan minoriti, terutamanya di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, wajar diberikan perhatian. Berikutan 11 September, golongan Islam minoriti bukan sahaja diaibkan, didiskriminasikan, dan dipandang serong, bahkan juga ada yang diburu. Mereka menjadi mangsa angkara perbuatan Osama. Justeru, jangan terperanjat jika mereka mempunyai pandangan yang berbeza terhadap Osama, baik semasa dia masih hidup mahupun selepas dia mati. Bagi keluarga Islam mangsa 11 September, Osama tidak sepatutnya diperlakukan pengebumian Islam.
Dalam “Osama bin Laden's Controversial Sea Burial” McKay Coppins membahaskan bahawa pengebumian agama mencetuskan kritikan daripada semua seluruh spektrum ideologi. Beliau memetik Glenn Beck yang mengkritik kerajan Amerika Syarikat kerana menunjukkan terlalu banyak hormat kepada pembunuh rakyat jelata. Beck, puak Kanan konservatif dalam acara radionya berkata, “Masalah saya dengan ini adalah bahawa kita memberi lelaki ini pengebumian yang menimbulkan rasa hormat di laut. Saya benar-benar ingin masukkan lelaki ini dalam pengisar daging dengan babi, maaf. Oh, anda tidak akan dapat 72 orang gadis sunti?” Sementara golongan yang mempertahankan pengebumian keagamaan adalah kedua-duanya, iaitu moral dan pragmatik: Kerajaan Amerika Syarikat tidak menghormati Osama bin Laden sendiri, tetapi sebaliknya terhadap upacara Islam – kepercayaan dengan berjuta-juta pengikut yang mencintai keamanan yang terkejut melihat kerajan Amerika Syarikat memperlakukan ajaran al-Qur’an secara sombong.
Kontroversi seterusnya melibatkan cadangan untuk menyiarkan gambar kematian Osama bin Laden yang akhirnya disekat oleh Presiden Barack Obama yang berasa bimbang langkah tersebut boleh mengapi-apikan golongan pelampau untuk bertindak balas. Sesetengah pihak, termasuk dalam Kabinet beliau sendiri, yang memihak kepada penerbitan foto itu berhujah sebagai bukti bahawa ketua al-Qaeda itu telah mati. Akan tetapi, Obama berkata bahawa bahkan jika foto diterbitkan, masih ada mereka yang menafikannya. “Hakikat perkara ini adalah anda tidak akan lihat Osama bin Laden berjalan di atas bumi ini semula.”
Seorang pembaca dalam surat kepada editor The New York Times, iaitu Dominique Browning memuji keputusan Presiden Obama tidak mengeluarkan fotograf mayat Osama bin Laden. “Saya asyik memikirkan babak dalam Iliad oleh Homer apabila Achilles menuntut bela kematian sahabat karibnya, Patroclus dengan membunuh Hector. Achilles mengheret mayat Hector dengan ratanya melalui kotoran untuk tontonan orang ramai." Namun, tidak semua orang berpendirian seperti itu, seperti yang diulas oleh Rupert Cornwell, bagaimana mengerikan sekalipun, orang awam Amerika akan menuntut gambar, ulas Rupert Cornwell. Pentadbiran Obama, sebagaimana Kongres berbelah bahagi tentang penyiaran foto Osama itu.
“Kita melaksanakan tugas kita. Kita membunuh Osama bin Laden. Isytihar Thomas L. Friedman dalam “Farewell to Geronimo” dalam kolumnya. “Kini, orang Arab dan Islam mempunyai peluang untuk melaksanakan tugas mereka pula – bunuh Bin Ladenisme dengan kertas undi, iaitu pilihan raya yang sebenar, dengan perlembagaan sebenar, parti politik sebenar, dan politik progresif sebenar.” Friedman melihat apa yang berlaku di dunia Arab sekarang sebagai penolakan yang jelas terhaadap ekstremisme dan perbezaan yang nyata dengan Bin Ladenisme. Dengan andaian bahawa golongan sederhana berkobar-kobar dan komited sebagaimana golongan pelampau, dan jika itu berlaku, maka tegas beliau, kedua-duanya, Bin Laden dan Bin Ladenisme akan bersemadi di dasar lautan.
Yang menarik dalam tulisan Friedman itu ialah menggunakan “Geronimo” – nama kod yang mencetuskan kontroversi sebagai judulnya. Pentagon mengumumkan bahawa CIA mempunyai nama kod “Geronimo” Osama bin Laden, mengambil sempena nama pemimpin penentangan peribumi. Apabila berita kematian Osama mula-mula sampai kepada Obama, mesej dibaca: “Geronimo KIA.” “Geronimo” menurut Ahmad Fuad Rahmat yang dipetik pada permulaan makalah ini, kurang berkaitan dengan sifat Osama bin Laden, yang sememangnya fasis, pembenci perempuan, dan anti-Semit. Nama kod itu mendedahkan urusan besar tentang sejarah yang menjadikan Amerika empayar dan tentang bagaimana sejarah bergores dengan sendirinya dalam kesedaran orang ramai, yang belajar melakukan pembinasaan mana-mana penentangan terhadap empayar, apa-apa sahaja ciri moral dan politiknya.
Penggunaan Geronimo untuk nama kod Osama bin Laden menyebabkan Puak Apache Fort Sill mendesak Presiden Obama memohon maaf. “Sekarang jujga anak-anak Amerika Peribumi di seluruh negara ini berhadapan dengan realiti memiliki seorang tokoh yang paling dihormati kini dikaitkan dengan pengganas dan pembunuh beribu-ribu orang Amerika yang tidak bersalah,” kata Pengerusi Puak Apache Fort Sill, Jeff Houser. Geronimo merupakan legenda dalam kalangan Apache dan puak Amerika Peribumi yang lain kerana tabah dan berani mempertahankan tanahnya daripada Tentera Amerika Syarikat dan Mexico.
“Membandingkan pemimpin Apache yang menjadi legenda dengan pengganas dan musuh Amerika Syarikat sesungguhnya mengaibkan dan benar-benar membawa kerosakan kepada Amerika Peribumi pada setiap peringkat umur,” kata Suzan Shown Harjo, Presiden Morning Star Institute. “Memang mengejutkan, benar-benar mengejutkan bahawa hal seperti ini berlaku. Beliau memberitahu Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Amerika Senat, “Nama kami dicuri dan kemudian kami dinamai semula supaya kami dapat dikawal.” Senator Daniel Akaka, Pengerusi Hal Ehwal Orang Asli Amerika dilaporkan berkata bahawa beliau berasa terkejut dengan penggunaan nama Geronimo dalam serbuan yang membunuh Osama bin Laden. “Kemenangan ini menyatupadukan negara kita, dan malangnya nama kod ini digunakan.”
Dengan menelusuri sejarah perjuangan Geronimo dalam menentang pencerobohan terhadap negaranya dan penindasan terhadap orangnya, dan beliau tidak menceroboh Amerika Syarikat, Steven Newcomb mengkritik bahawa Amerika Syarikat bahawa boleh mempunyai Presiden yang berketurunan Afrika-Amerika, tetapi masih tidak sedar akan permusuhan dengan pemimpin Apache yang diseksa.
Sesungguhnya, kematian Osama bin Laden banyak mencetuskan kontroversi dari segi agama, moral, dan legasi. Daripada cara dia dibunuh tanpa melawan kepada pengebumiannya di laut kepada desakan penyiaran foto kematiannya kepada penggunaan nama kod, banyak menimbulkan persoalan dari segi perselisihan agama, termasuk budaya, kekacauan moral, dan kekalutan legasi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...