KHAMIS, 5 Mei 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sesungguhnya, beberapa hari lalu, untuk Presiden Barack Obama padat dengan tindakan. Pada akhir April, beliau ke Alabama, wilayah yang teruk dilanda puting beliung yang mengorbankan kira-kira 300 nyawa, dengan kemusnahan yang beliau tidak pernah saksikan sebelum ini. Dua hari sebelum itu, Rumah Putih mengeluarkan surat beranak Obama untuk mengesahkan bahawa beliau warganegara Amerika, iaitu lahir di Hawaii. Sejak Pilhan Raya Presiden 2008, kewarganegaraan Obama sering diungkitkan dengan dakwaan bahawa tidak lahir di Amerika, tetapi di tempat lain, iaitu Kenya. Seterusnya, semasa makan malam Koresponden Rumah Putih, beliau menggasak Donald Trump salah seorang bakal calon Presiden 2012 daripada Republikan yang dalam kempennya mendesak Obama mengeluarkan surat beranaknya, yang turut hadir dalam majlis itu. Berikutan tindakan mengeluarkan surat beranak itu, Trump dengan bangga mengatakan bahawa beliau berjaya dalam tuntutannya, sedangkan pihak lain sejak bertahun-tahun mendesak Obama, tetapi gagal. Berikutan kejayaan itu beliau terus “mengorek” latar belakang pendidikan Obama yang menurutnya, “teruk.”
Dan, dua hari lalu, Ahad malam waktu Amerika, Presiden Obama muncul mengumumkan berita yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Amerika khususnya, sejak satu dekad lalu, iaitu pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan, oleh pasukan Navy SEALs. Pengeluaran surat beranak itu dan pengumuman pembunuhan Osama itu, bagi Jason Horowitz yang menulis dalam The Washington Post, “sama ada secara kebetulan ataupun tidak, berturut-turut pengumuman menghasilkan sesuatu yang amat berbeza: Presiden mengambil berat tentang isu keselamatan negara yang sangat penting dan pihak lawan politik sibuk dengan borang hospital yang berusia 50 tahun.” Horowitz juga memetik komen sinis Peter King, Pengerusi Republikan Jawatankuasa Dewan tentang Keselamatan Dalam Negeri bahawa “sementara Republikan bercakap tentang surat beranak Obama, Obama pula menyiapkan sijil kematian Osama bin Laden.”
Sekurang-kurangnya dalam akibat segera serangan di Abbottabad dan pengebumian bin Laden di Laut Arab Utara, tulis Horowitz lagi, “laungan golongan yang meragui kewarganegaraan dan patriotisme Obama, kini terpaksa merendahkan suara mereka.” Bahkan, Donald Trump, secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Presiden Obama dan lelaki dan wanita dalam Angkatan Tentera yang melaksanakan tugas mereka dengan sungguh baik.
Obama yang dengan muka selamba selepas mengeluarkan perintah operasi ketenteraan pada hari Jumaat, sempat diperhatikan oleh beberapa pengulas, antaranya Llyod Grove: “Presiden mengecam Donald Trump di Washington, melawat tempat yang musnah akibat puting beliung di Alabama. Menyampaikan ucapan upacara konvensyen di Miami, manakala mengarahkan misi rahsia membunuh Osama bin Laden.” Mengingat semula semua peristiwa itu, tulis Grove, Obama pemain poker yang sukar dipercayai: “Seseorang tidak pernah menjangkakan bahawa Obama menggolek buah dadu tentang operasi ketenteraan yang mungkin elok, dan mungkin memusnahkan kepresidenan beliau.”
Kepopularan Obama yang kini dalam kelembapan, iaitu pertengahan 40-an, hampir terendah dalam tempoh kepresidenannya, menurut peninjau pendapat awam, John Zogby dijangkakan meningkat sebanyak 10 mata. Walau bagaimanapun, ada yang menjangkakan bahawa tidak banyak perubahan penarafan beliau kerana kadar pengangguran yang tinggi, harga gas yang tinggi, dan ketidakstabilan politik di Timur Tengah. Sebilangan kecil tinjauan pendapat nasional yang baru yang dilaksanakan serta-merta selepas kematian Osama bin Laden, seperti yang dilaporkan oleh Mark Blumenthal, menunjukkan kegembiraan dan kelegaan bersama-sama dengan peningkatan tanggapan terhadap Presiden Barack Obama menangani keganasan dan perang di Afghanistan.
Dengan pengumuman kematian Osama bin Laden, Presiden Obama mewujudkan perbezaan yang luar biasa jika dibandingkan Presiden George W. Bush. Tulis Dan Froomkin, “Obama Succeeded Where Bush Failed: Osama bin Laden Rhetoric and Reality.” Dan, mustahil untuk mendengar Obama mengisytiharkan “keadilan dilaksanakan” tanpa memikirkan berapa lama keadilan tidak dilaksanakan. Sementara bagi Ed Schultz, memperlihatkan fahaman keluarbiasaan (exceptionalism) Presiden Obama dan rakyat Amerika. “Beliau menunjukkan keberanian yang luar biasa sepanjang 48 jam lalu. Beliau tanpa ragu-ragu membuktikan bahawa beliau boleh menjawab panggilan ‘pukul 3.00 pagi.’ Yang lebih penting, meskipun wujud perpecahan yang mendalam di negara ini dari segi politik, kita kini mula bersatu padu sedikit.”
Marc Ambinder yang menulis dalam National Journal, menghuraikan secara terperinci tentang kehebatan operasi pasukan rahsia yang berjaya membunuh Osama bin Laden. Tulis beliau, “dari Pangkalan Udara Ghazi di Pakistan, helikopter MH-60 yang diubah suai menuju ke pinggir bandar garison Abbottabad, kira-kira 70 batu dari pusat Islamabad. Dalam helikopter berkenaan itu ialah Navy SEALS, yang diterbangkan merentas sempadan dari Afghanistan, bersama-sama dengan isyarat taktik, pemungut rahsia, dan pemandu arah yang menggunakan pengimej hiperspektrrum yang terlalu sulit.”
Seperti biasa setiap kali berlaku peristiwa besar, The New York Times membawa para pembaca dengan pemberitaan yang mendalam dan menarik, “Bin Laden is Dead, Obama Says” yang ditulis oleh Peter Baker, Helene Cooper, dan Mark Mazzetti. Dalam kemunculan lewat malam di Bilik Timur Rumah Putih, Presiden Obama mengiystiharkan bahawa “keadilan telah dilaksanakan” menandakan kematian Osama bin Laden. Berita itu disambut dengan penuh keriangan oleh orang ramai yang berkumpul di luar Rumah Putih, di Times Square, dan di tapak Ground Zero. Di sepanjang pusat Bandar Washington, para pemandu membunyikan hon sepanjang malam.
Akhbar itu memetik ucapan Presiden bahawa “untuk dua dekad, Bin Laden menjadi pemimpin dan simbol al-Qaeda,” yang disiarkan di seluruh dunia. “Kematian Bin Laden menandakan pencapaian yang sangat bermakna pada hari ini dalam usaha negara kita mengalahkan al-Qaeda.” Presiden Obama mengenang kembali kenyataannya dalam kempen Pilihan Raya Presiden 2008 apabila beliau bersumpah untuk memerintahkan tentera Amerika untuk melancarkan serangan dalam negara Pakistan jika perlu, bahkan tanpa kebenaran Islamabad. Menegaskan kerjasama melawan keganasan dengan Pakistan yang membantu menjejak Amerika menjejak Osama bin Laden, Obama berkata, “itulah yang telah kita lakukan.” The New York Times juga memetik kata-kata Presiden Amerika yang penuh bersemangat, “perjuangan menentang keganasan akan diteruskan, tetapi malam ini, Amerika menghantar mesej yang memang jelas: Tidak kira berapa lama, keadilan akan dilaksanakan.” Yang menarik, Obama dengan hati-hati menambah bahawa sebagaimana George Bush lakukan semasa beliau menjadi Presiden, iaitu Amerika Syarikat tidak berperang dengan Islam. “Bin Laden bukannya pemimpin Islam; dia membunuh orang Islam secara berleluasa,” tegas Obama.
Presiden Barack Obama yang sebelum ini, khususnya dalam menangani pergolakan di dunia Arab dituduh terhegeh-hegeh, tidak dapat membuat keputusan, tidak cukup jantan, dan bermacam-macam lagi sindiran, dalam sekelip mata berubah wajah: kepimpinan dan kewibawaannya terserlah. “Semuanya kerja dan tidak ada main-main,” tulis John Dickerson dalam Slate, melihat kesibukan dan kemunculan Obama sebelum saat pembunuhan Osama. “Dalam garis masa operasi Osama bin Laden, kita hanya lihat bagaimana tertutupnya kehidupan rahsia Presiden menghantuk kehidupan awamnya.” Tambah Dickerson, pada masa yang terlalu serius tertumpu pada Osama, masalah dan isu lain Presiden tangani, termask: penutupan kerajaan, ucapan besar tentang belanjawan, permulaan kempen Presidennya, kebodohan surat beranak, dan pengeboman Libya. Oh, dan cuba “memenangi masa depan.” Menyenaraikan beberapa peristiwa penting yang melibatkan Obama dari 14 Mac hingga 28 April, Dickerson merumuskan: Daripada semua rahsia Presiden Obama terpaksa pikul, perincian operasi Osama bin Laden kemungkinan satu yang paling besar.
Kejayaan membunuh Osama bin Laden – “pengganas yang paling dikehendaki” oleh Presiden W. Bush sepanjang tempoh kepresidenannya - mendedahkan bagaimana Obama bekerja yang tidak diamalkan oleh Presiden sebelum beliau. Barack Obama, menurut pemerhatian Tara McKelvey, ialah calon Presiden pertama berkempen di atas pentas serangan tentera yang disasarkan. George W. Bush mungkin banyak bergantung pada Presiden Pervez Musharaff untuk menentang pengganas di Pakistan. Akan tetapi, Obama, tegas McKelvey, melakukannya sendiri. Beliau membawa bersama-sama Operasi Khas dan operatif CIA, yang bekerja rapat di Pakistan, dan menggunakan usaha terselindung untuk memburu al-Qaeda di Pakistan dalam cara yang Bush tidak lakukan.”
Bagi Obama, matlamatnya membunuh dan bukannya menangkap Osama bin Laden, dan inilah yang disempurnakan oleh Navy SEALs. Lebih daripada itu, untuk melaksanakan misi yang mahir dan nekad itu, Obama mempertaruhkan jawatan Presidennya. “Hari ini,” tulis David Corn, “semuanya hore, termasuk daripada Republikan dan penyokong dasar luar konservatif, bahkan mereka yang tidak hentik-henti mengutuk Obama sebagai orang yang terhuyung-hayang berlutut lemah dan naif yang dari segi praktik, kepingin untuk melemahkan keselamatan nasional negara.” Corn mengemukan contoh pada Februari lalu, Newt Gingrich menggasak Pentadbiran Obama sebagai “kerajaan yang sangat lemah diterajui oleh kumpulan amatur dalam dasar luar. Akan tetapi, pada pagi Isnin, Gingrich memuji Obama kerana melancarkan kempen Amerika yang “makin hebat” dalam “menentang musuh kita.” Namun, bayangkan apakah Gingrich dan yang lain-lain daripada Obama Hate Machine akan kata seandainya misi itu gagal. Ringkas, tegas Corn, mesejnya ialah: Jimmy Carter, Jimmy Carter, Jimmy Carter, iaitu membandingkan Obama dengan Presiden daripada Demokratik yang lalu ketika gagalnya Desert One Operation pada tahun 1980 untuk membebaskan tebusan Amerika di Iran.
Untuk seketika sekurang-kurangnya, Obama berjaya menutup mulut celupar yang mengkritik beliau selama ini. Seperti yang dikatakan oleh Stephanie Mencimer, "Not Bad for a Kenyan Muslim Communist!" yang akhirnya membunuh Osama bin Laden. Selepas hampir dua tahun serangan tidak henti-henti terhadap Presiden Obama, gerakan Tea Party anehnya diam di tengah-tengah pembunuhan Osama bin Laden. Stephanie memetik respons Robin Stublen, penganjur Tea Party di Florida yang membenci Obama, yang berkata, “Saya fikir menakjubkan. Beliau benar-benar melakukan apa yang Presiden patut lakukan.”
Michael Tomasky yang Jumaat lalu merupakan hari terakhirnya di The Guardian tidak mahu ketinggalan untuk memuji dan menyanjung Obama. “Pertama, jelas bahawa Obama pastinya Presiden yang kuat pada hari ini jika dibandingkan dengan dua hari lalu. Tambah beliau, “Obama mempunyai darjah kebolehpercayaan kini yang beliau tidak miliki sebelum ini. Beliau bukan tentera, tidak menghayati budaya tentera. Semua itu masih benar. Akan tetapi, kini pada asasnya, dipadamkan. Beliau mendapatkan Osama bin Laden.” Bagi Tomasky, sebahagian besar kejayaan operasi ini ada kena mengena dengan Obama sendiri. Beliau mengadakan mesyuarat keselamatan negara, beliau menanyakan soalan, beliau membuat keputusan. Dari segi keselamatan, meskipun mungkin berlaku serangan pengganas ke atas bumi Amerika, Republikan tidak boleh lagi mempersenda Barack Obama yang berjaya mendapat Osama hanya dalam tempoh dua tahun setengah, selepas lelaki yang keras, iaitu George W. Bush dan Dick Cheney gagal mendapatkannya selama tujuh tahun setengah.
Tatkala perlumbaan 2012 bermula, Barack Obama berjaya menumpaskan Osama bin Laden – sesuatu yang tidak sedap didengar oleh Republikan. Kejayaan operasi di Pakistan itu memperkukuh tanggapan orang ramai bahawa Presiden mereka memang kuat. Presiden yang calon-calon Presiden daripada Republikan kritik sebagai Panglima Besar yang serba tak kena, lagipun, tegas Howard Kurtz, baru sahaja mempengerusikan operasi ketenteraan yang musuh Amerika yang paling besar hampir satu dekad selepas dia merancang serangan 11 September. Kurtz mengingatkan bahawa penghapusan Osama tidak bermakna dengan kuasa ajaib akan menghapuskan kelemahan Presiden atau dengan apa cara juga membayangi ekonomi yang tenat. Dari satu segi yang lain, Republikan seolah-olah kehilangan senjata tajam mereka selama ini menyerang Obama sebagai pemimpin yang lemah. “Bagi Obama yang sering dikritik kerana menangani perang di Afghanistan dan pemberontakan di Mesir, Libya, dan Syria, misi Osama bin Laden dapat membantu menyemarakkan lagi aura kompotens.”
Meskipun terlalu awal untuk mengatakan bahawa peristiwa bersejarah untuk Amerika meletakkan Obama mara dalam perlumbaan 2012, tetapi sekurang-kurangnya titik kelemahan beliau yang sering menjadi sendaan sudah tertutup rapat. “Lupakan rekaan Trump dengan surat beranak borang panjang,” tulis John Nichols, “pengumuman Presiden Obama pada malam Ahad bahawa beliau memerintahkan misi yang berjaya untuk membunuh Osama bin Laden merupakan tindakan cemerlang politik yang akan membuahkan hasil untuk beliau selama berbulan-bulan, mungkin tahun-tahun yang mendatang.” Sebagaimana beberapa komen lain yang dipetik sebelum ini, Nichols juga membangkitkan kegagalan George W. Bush menghapuskan Osama: Presiden yang pengkritik konservatif terus-menerus tolak kerana entah kenapa kurang berkebolehan atau kurang komited untuk menentang keganasan jika dibandingkan dengan Presiden sebelum beliau, berjaya melakunnya, sedangkan Bush gagal melakukannya.
Walau bagaimanapun, George E. Condon Jr. mengingatkan bahawa berdasarkan sejarah yang berlaku terhadap beberapa Presiden sebelum ini, pembunuhan Osama bin Laden tidak menaikkan nama Obama untuk Pilihan Raya Presiden tahun depan. Akan tetapi, pembunuhan Osama bin Laden mustahil mengubah trajektori fundamental kempen Presiden. “Pilihan Raya Presiden 2012 akan menjadi referendum terhadap Obama menangani ekonomi. Jika keselamatan negara bukan merupaka isu utama untuk para pengundi dengan Osama masih terlepas, maka hal ini tidak akan terus tertanam dalam minda satu tahun setengah selepas dia dibunuh.” Demikian peringatan Josh Kraushaar, “Presidency at a Crossroads.”
Walaupun dijangkakan bahawa sebagaimana Pilihan Raya Presiden 2008 dan Pilihan Raya Separuh Penggal 2010, Pilihan Raya Presiden pada tahun depan juga lebih diwarnai oleh isu ekonomi jika dibandingkan dengan keselamatan negara, tetapi dengan pembunuhan Osama bin Laden, Presiden Barack Obama tidak mudah dipermain-mainkan atau dipersendakan oleh Republikan. Memang benar jika dikatakan bahawa Obama mengambil tindakan politik yang cemerlang dengan memperlihatkan kepada rakyat Amerika bahawa sebagai Panglima Besar, beliau mengarahkan misi yang penuh risiko, iaitu mempertaruhkan bukan sahaja nyawa komando yang terlibat dan maruah Amerika Syarikat, bahkan juga mempertaruhkan jawatan Presiden.
No comments:
Post a Comment