Artikel Popular

Sunday, January 6, 2013

Negara Terbaik untuk Pesara Tahun 2013: Malaysia di Tangga Ketiga

AHAD,  6 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lazimnya, setiap kali penarafan antarabangsa dikeluarkan oleh organisasi tertentu, Malaysia walaupun tidak teruk, hanya sekadar "cukup makan," jauh ditinggalkan oleh negara jiran, iaitu Singapura yang selalunya tergolong dalam negara 10 teratas.

Walau bagaimanapun, dari segi negara terbaik untuk pesara pada tahun ini,  Malaysia, seperti yang dicatatkan oleh Jacquelyn Smith dalam Forbes,   bukan sahaja tergolong dalam negara terbaik teratas, bahkan juga menduduki tangga ketiga selepas Ecuador yang menduduki tempat pertama dan Panama tempat kedua. Negara lain yang turut tersenarai dalam 10 buah negara terbaik teratas, menurut indeks kajian itu,  ialah  Mexico (keempat), Costa Rica (kelima), Uruguay (keenam), Colombia (ketujuh), Sepanyol (kelapan), Thailand (kesembilan), dan Malta (ke-10), daripada 22 buah negara, menurut International Living.

Malaysia, menurut makalah yang ditulis oleh Keith Hockton, merupakan destinasi yang paling menjadi idaman di Asia.  Suhu tropikanya 82 darjah F sepanjang tahun, jelas Hockton, mempunyai pantai, pulau, dan hutan yang indah. Malaysia juga mempunyai warung jalanan yang terbaik di rantau ini, restoran, bar, pusat beli-belah, dan panggung wayang yang hebat-hebat - dan semuanya mampu dinikmati.

Hockton dan isterinya, Lisa menyewa pangsapuri yang menghadap laut AS$1000 (RM3200) sebulan, yang mempunyai kemudahan kolam renang dan gim.  "Kami keluar makan lima malam dalam seminggu, mempunyai bot layar yang kecil, dan jumlah belanjawan kami ialah AS$1719  (RM5500) sebulan.  Dengan AS$10  (RM32) dua orang dapat menikmati tiga makanan," tulis Hockton.

Selain mudah untuk mendapat kawan dan berhubung di Malaysia kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa pertama tidak rasmi, jelas Hockton, "Pulau Pinang dan Kuala Lumpur juga mempunyai pusat perubatan yang cemerlang."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...