Artikel Popular

Wednesday, January 9, 2013

Jimat-cermat Langkah Silap

RABU, 9 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jimat-cermat yang diamalkan, hujah Immanuel Wallerstein dalam komentarnya, ialah jimat-cermat yang dikenakan terhadap golongan yang lemah dari segi ekonomi dalam kalangan penduduk dunia.  Kerajaan terpaksa menyelamatkan diri mereka daripada kemungkinan muflis dan melindungi perbadanan mega (terutamanya, tetapi bukan hanya bank mega) daripada menanggung akibat (kehilangan hasil).  

Meskipun terbukti bahawa jimat-cermat lebih banyak kemudaratan berbanding dengan kebaikan, banyak negara, terutamanya di Eropah melaksanakan langkah tersebut, yang  kononnya dikatakan berkesan jika dibandingkan dengan rangsangan fiskal. Dalam kalangan negara zon euro yang dilanda krisis hutang, Greece dipaksa melaksanakan jimat-cermat sehingga dilihat  hilang kedaulatan dan harga diri, manakala Italy walaupun kaya dari segi budaya, kini dianggap bertaraf  negara Dunia Ketiga

Pelaksanaan jimat-cermat di zon mata wang bersama itu, bukan sahaja memburukkan lagi ekonomi yang pertumbuhan masih lemah, tetapi juga membawa implikasi politik dan sosial,seperti yang dicatatkan oleh Rosemary Righter  dalam edisi khas Newsweek, "dari Athens melalui Rom dan Madrid ke Paris dan seterusnya ke Dublin, para pengundi yang bangkit memberontak menentang jimat-cermat menumbangkan seorang demi seorang ahli politik."

Baru-baru ini, salah sebuah organisasi yang digelar troika yang memaksa negara zon euro yang dilanda krisis hutang melaksanakan jimat-cermat, iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengakui "kami silap tentang jimat-cermat."  Walaupun pemotongan perbelanjaan yang ketara dan kenaikan cukai merupakan petua IMF untuk mana-mana negara yang menghadapi krisis kewangan, seperti di zon euro, kini pegawainya mengakui bahawa jimat-cermat sedemikian boleh membawa lebih banyak kemudaratan jika dibandingkan apa yang difikirkan sebelum ini.  Pemotongan perbelanjaan di zon euro menjejaskan ekonomi ketika krisis kewangan masih mengganas

Ahli ekonomi IMF,  Olivier Blanchard, memohon maaf kerana kegagalan menjangkakan bagaimana langkah jimat-cermat melemahkan pertumbuhan ekonomi. "Amazing mea culpa," daripada beliau, lapor The Washington Post.

Barangkali pengakuan pegawai IMF sudah terlewat kerana zon euro terus dilanda krisis, meskipun diisytiharkan  sudah berakhirData terbaharu menunjukkan zon itu masih bergelut dengan  kadar pengangguran yang tertinggi, iaitu 11.8 peratus pada November


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...