Artikel Popular

Monday, January 14, 2013

Tonggak Perubahan Ekonomi: Budaya dan Masyarakat

ISNIN, 14 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sekali lagi, budaya dan masyarakat dianggap penting untuk perubahan ekonomi.  Kali ini datangnya daripada Anne Applebaum yang menulis dalam The Washington Post. Anne memulakan tulisannya dengan membangkitkan kisah pelakon terkenal Perancis Gerard Depardieu  yang mengumumkan bahawa beliau berpindah ke Belgium kerana Presiden Francois Hollande mengugut untuk mengenakan cukai terhadap jutawan pada kadar 75 peratus pendapatan mereka.

Tidak lama selepas pengumuman itu, Depardieu tidak berpindah ke Belgium, sebaliknya ke Rusia, iaitu ke Sochi dan di sana beliau bertemu dengan Presiden Vladimir Putin, dan beliau dianugerahi kerakyatan negara itu. Beliau dikatakan cuba menyimpan wang dengan mengelak cukai.

Anne Applebaum mengkritik perbincangan tentang ekonomi hanya tentang ekonomi semata-mata, tanpa mengambil kira emosi atau mungkin psikologi nasional.  Ada kalanya, hujah beliau, kita menulis jika ekonomi ialah sains, sama dengan kimia dan fizik.  "Naikkan cukai capai hasil X, potong belanjawan dan capai hasil Y.  Akan tetapi, jika dasar cukai Perancis berjaya atau gagal dan boleh diterima atau ditolak, terima kasih kepada pelakon yang mencuri perhatian, apakah faktor membentuk perbincangan di tempat lain?"

Seterusnya, Anne Applebaum membandingkan Latvia dengan Greece.  Apabila ekonomi Latvia menjunam pada tahun 2010 dan 2011, tidak berlaku mogok, protes, dan keberangan.  Negara itu bukan sahaja menerima jimat-cermat, tetapi juga memilih semula Perdana Menteri yang melaksanakan langkah tersebut.  Sebaliknya, di Greece, hujah beliau, potongan belanjawan yang lebih kecil secara relatifnya, membawa kepada kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kecil (18 peratus sejak krisis bermula), tetapi juga mencetuskan mogok dan rusuhan. Rakyat negara itu mengundi menyingkirkan ahli politik mereka beberapa kali, membentuk parti fasis baru dan melontarkan bom petrol ke arah bank.  Sementara itu, ekonomi mereka tidak  pulih.  Kadar pengangguran mencatat rekod tertinggi, iaitu 26.8 peratus, tertinggi di Eropah. Oligarki yang reput, tegas Kostas Vaxevanis, dalam The New York Times.

Dari segi  jimat-cermat yang dilaksanakan secara berbeza antara  di Latvia dengan  di Greece, Anne memetik Anders Aslund  bahawa kesan jimat-cermat di Latvia amat dirasai oleh golongan birokrat, tetapi kurang dirasai oleh pesara.  Latvia juga melakukan pemotongan yang besar dengan cara yang betul.  Orang Greece melindungi sektor negara mereka, melakukan pemotongan perlahan, dan tidak pernah meyakinkan, sama ada orang awam mereka ataupun pemiutang tentang komitmen mereka.

Anne sekali lagi menegaskan bahawa ekonomis dan bukan sains, seperti kimia dan fizik sambil mengingatkan bahawa sesiapa yang mengemukakan cadangan kepada Presiden Barack Obama, sepatutnya ingat bahawa kebolehlaksanaan dasar jimat-cermat atau rangsangan fiskal di Amerika Syarikat mungkin juga bergantung pada suasana politik yang dasar itu diperkenalkan, suasana negara ketika itu , dan siapa tahu, mungkin kelakuan selebriti kita juga.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...