Artikel Popular

Wednesday, January 16, 2013

Kelas Menengah Dunia Berkembang

RABU, 16 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sejak tahun lalu sekurang-kurangnya, perhatian tertumpu pada golongan kelas menengah yang kian terhakis di banyak negara, terutamanya di Amerika Syarikat, yang mengalami kepupusan sejak lebih satu dekad.  Francis Fukuyama yang menulis dalam Foreign Affairs kira-kira setahun lalu, melahirkan kebimbangannya tentang kelangsungan demokrasi liberal berikutan kemerosotan golongan kelas menengah.

Apabila  Barack Obama dalam kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2012 menyatakan bahawa beliau membela nasib golongan kelas menengah, pihak lawan dan para pengkritik menegaskan bahawa golongan berkenaan semakin mengecil ketika beliau menjadi Presiden negara itu.  Di Amerika Syarikat, keterhakisan golongan kelas menengah, antaranya kerana ketidaksamaan pendapatan, kadar pengangguran yang tinggi, dan kemiskinan.  Presiden Obama diperhatikan, menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kemiskinan  kerana belanjawan yang ketat dan kebuntuan politik.  

Namun, sejak tahun lalu, dijangkakan golongan kelas menengah dunia akan meningkat.  Laporan terbaharu menjangkakan bahawa bilangan  golongan kelas menengah dunia akan bertambah.   Berjuta-juta orang golongan mewah baru dalam ekonomi sedang muncul membentuk semula dan menentukan semula saiz kelas menengah global.  Golongan tersebut akan berkembang daripada dua bilion orang kepada hampir lima bilion orang pada tahun 2030, menurut Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).  Ketika itu, penduduk dunia dijangkakan berjumlah lapan bilion orang.

OECD mentakrifkan "kelas menengah" ialah golongan yang memperoleh pendapatan AS$10 hingga AS$100 sehari, diselaraskan dengan kuasa beliau setiap mata wang.  Kini, penduduk di negara membangun menyumbang hampir 30 peratus perbelanjaan pengguna dunia, meningkat daripada 18 peratus satu dekad lalu kerana mereka menjadi golongan kelas menengah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...