Artikel Popular

Thursday, January 3, 2013

Terasing dari Dunia Berita: "Mencari" Margaret Brennan

KHAMIS, 3  Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selama lebih kurang seminggu di Amerika Syarikat, berpindah dari satu tempat ke satu tempat, dari sebuah hotel ke sebuah hotel, kerinduan mula menggoda saya.  Akan tetapi, kerinduan itu bukannya terhadap anak-anak saya kerana dua orang sudah mendirikan rumah tangga, tinggal seorang lagi yang sudah besar panjang. Memang sekali-sekala, isteri saya menyebut kedua-dua orang cucu kami, Dania dan Hannah, lebih-lebih lagi apabila dia melihat dua orang Aziel yang turut serta dalam rombongan kami - juga kedua-duanya perempuan.

Bagi saya pula, saya merasakan saya terasing dari dunia berita - perkara yang tidak sepatutnya berlaku di Amerika Syarikat kerana ketika di Malaysia, melalui Internet, saya berpeluang membaca  The New York Times, The Washington Post, The Huffington Post, Los Angeles Times, USA Today, dan The Daily Beast. Juga tidak kurang majalah,  bukan sekadar majalah berita, seperti Time dan Newsweek, bahkan majalah elit, seperti The New York Review of Books, The Atlantic, dan The New Yorker.  Tidak ketinggalan majalah liberal dan berfahaman kiri, seperti The Nation dan Monthly Review. Demikian juga televisyen kabel, sekurang-kurangnya saya menonton CNN dan Bloomberg. 

Dalam penerbangan Eva Air  untuk ke San Francisco, saya berpeluang membaca International Herald Tribune, The Wall Street Journal, dan USA  Today, lalu saya membayangkan tiba di Amerika Syarikat, saya berpeluang membaca akhbar tersebut. Jangkaan saya tidak jauh meleset kerana ketika saya menginap semalaman di Holiday Inn Civic Center,  keesokannya ketika menunggu di lobi hotel - menunggu pemandu pelancong dan anggota rombongan lain untuk sarapan, saya berkesempatan membaca The Wall Street Journal

Pada malam saya mula-mula tiba di hotel tersebut,  saya mula galak mencari saluran televisyen,  berpindah dari satu saluran ke satu saluran, termasuk saluran wayang gambar yang dikenakan bayaran, tetapi saya tidak melanggani saluran itu.  Memang banyak saluran berita yang dapat saya lihat.  Oleh sebab saya terjaga daripada tidur pada awal pagi, dan mata enggan pejam lagi, saya menghabiskan masa dengan membuka satu demi satu saluran televisyen.

Selama makan angin itu, saya dan anggota rombongan lain menginap di enam buah hotel - berpindah-randah, selama 10 malam. Yang paling lama saya menginap adalah di Double Tree, iaitu selama empat malam,  dua malam di Monte Carlo, dan hanya semalaman di setiap hotel yang lain.  Boleh dikatakan setiap malam, walau bagaimana lewat sekalipun saya daftar masuk atau pulang ke hotel, saya mengambil kesempatan untuk menonton televisyen dengan menumpukan perhatian pada saluran berita.  Saya dapati, saluran Fox,  MSNBC, dan CNN di kebanyakan hotel tempat saya menginap, manakala Blomberg agak jarang-jarang.

Sejak di hotel pertama lagi, saya asyik mencari CBS News, tetapi jarang-jarang kedapatan. Jika ada CBS, maka saluran ini yang menjadi perhatian saya kerana ada sesuatu yang ingin saya cari, iaitu Margaret Brennan yang menjadi "sauh" di Blomberg, kemudian berpindah ke CBS News.  Sesiapa yang mengikuti saluran televisyen ini, pasti dapat memerhatikan kehebatan Margaret yang kelihatan bertenaga, bersemangat, dan bergaya ketika membuat laporan dari studio, dari Wall Street, dan di luar Amerika Syarikat, seperti dari Davos.



Margaret yang menyertai CBS News pada Julai lalu, semasa berkhidmat di Bloomberg, pernah mengendalikan  "InBusiness with Margaret Brennan" yang saya seberapa boleh tidak ingin melepaskan peluang untuk menonton program itu. Tanpa menyedari bahawa beliau telah berpindah ke CBS News, saya terus   menonton saluran Bloomberg melalui Astro, menunggu kemunculannya.  Saya mula menyedari bahawa Margaret berpindah ke sana melalui ciak beliau dalam Twitter, antaranya ketika beliau menyertai Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, dalam suatu rangka lawatan yang panjang di seluruh dunia - sebelum Pilihan Raya Presiden tahun 2012. 

Usaha saya mencari Margaret Brennan melalui CBS News gagal kerana  tidak banyak saluran televisyen itu yang saya temui ketika menginap di hotel-hotel.  Kalaupun ada CBS, saya dapati itu bukan saluran News, tetapi saluran lain; demikian Fox, ada bermacam-macam saluran, selain News. 

Nyata bahawa usaha saya mencari  Margaret tidak kesampaian. Saya masih terbayang akan penampilannya semasa di Bloomberg sehingga mendorong saya membandingkanpenyiar televisyen di Malaysia dengan beliau, yang diibaratkan antara "langit dengan bumi." Penyiar tempatan kita, bukan sahaja kelihatan kaku, tidak bertenaga, bahkan ada yang suara mereka seperti "suara itik sekati." Kebanyakannya membaca skrip sepanjang masa.  Sebaliknya, Margaret, walaupun beliau memegang skrip semasa membuat laporan dari Wall Street misalnya, hanya merujuk skrip jika perlu.

Selama di Amerika Syarikat, saya merasakan diri saya terasing dari dunia berita.  Selain saluran televisyen di hotel tempat saya menginap lebih banyak menyiarkan berita tentang Amerika Syarikat, ketika itu misalnya "fiscal cliff" dan tentang Susan Rice, duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diura-urakan dilantik sebagai Setiausaha Negara Amerika, tetapi ditentang oleh anggota Kongres daripada Republikan.

Untuk akhbar pula, selain The Wall Street Journal yang sempat saya baca ketika di Holiday Inn Civic Center, pembacaan akhbar saya boleh dikatakan terputus.  Hanya semasa di Monte Carlo saya berpeluang membaca USA Today  dua hari berturut-turut yang saya peroleh di tingkat tempat saya menginap.  Semasa menginap di Holiday Inn di Williams, saya dapati akhbar tersebut ada disediakan, tetapi keluaran yang sama di Monte Carl: keluaran hari Jumaat yang juga meliputi Sabtu dan Ahad. Sebagaimana di Park Inn, di Harrah's di Laughlin akhbar nasional tidak kelihatan. 

Seterusnya, pada hari pertama di Double Tree, saya bernasib baik kerana dapat memperoleh USA Today dan Wall Street Journal.  Namun, keesokannya, saya hanya berpeluang membaca USA Today, itu pun setelah meminta daripada pekerja hotel selepas saya gagal memperolehnya di hadapan lif lobi hotel.  Hari ketiga, langsung tidak ada kesempatan, walaupun saya meminta daripada pekerja hotel: sudah habis.  Pada hari terahir, iaitu hari keempat, saya tidak ingin lagi meminta daripada pekerja hotel, tetapi sempat menyelak satu dua halaman The Wall Street Journal selepas sarapan di restoran hotel itu. 

Saya berasa terkilan kerana meskipun agak lama saya berada di California, saya tidak berpeluang melihat Los Angeles Times.  Saya tidak membayangkan untuk melihat The New York Times dan The Washington Post  - akhbar yang diterbitkan di Pantai Timur Amerika Syarikat.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...