Artikel Popular

Friday, January 25, 2013

Nasib Tenggiri

JUMAAT, 25 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Semasa kanak-kanak, saya diberitahu bahawa ikan tenggiri ialah ikan yang ada "kelas" jika dibandingkan dengan ikan lain, aya, selayang, tamban, selar, cencaru,  dan bahkan kembung. Hanya orang yang berwang dan tidak kedekut yang sanggup membeli ikan tenggiri.  

Semasa makan angin di Istanbul pada tahun 2010 dan baru-baru ini di San Francisco, saya berkesempatan menikmati  tenggiri yang berbeza sama sekali dengan tenggiri di Malaysia.  Di negara kita, saiz tenggiri sangat besar, sedangkan di kedua-dua tempat itu, tenggiri "kurus."  

Semasa di Istanbul, saya dan anggota rombongan yang lain dihidangkan makan tengah hari berlauk ikan tenggiri dengan asam limau dan sambal (bukan sambal belacan).  Oleh sebab berhari-hari saya dihidangkan sayur-sayuran ketika berhenti makan atau ketika di hotel, dari sebuah tempat ke sebuah tempat, maka terasa benar enak hidangan berkenaan.  Bahkan, saya meminta diberikan seekor lagi, tetapi pekerja restoran itu memberitahu hanya seekor seorang.  Saya juga bertanya apakah jenis ikan itu, jawabnya, "mackerel." 

Demikian juga ketika tiba di San Francisco, saya dan anggota rombongan yang lain dibawa untuk makan malam, menikmati bufet Jepun di Moonstar.  Di situ saya "sapu" dua ekor tenggiri.

Baru-baru ini, Annalisa Barbieri menulis dalam The Guardian, tentang salah urus tenggiri, dan ikan itu dikeluarkan daripada senarai "ikan untuk dimakan" kerana perikanan yang berlebih-lebihan di luar Kesatuan Eropah. Beliau memberitahu beliau mendapat panggilan daripada Marine Conservative Society yang menurunkan gred tenggiri daripada "makan sepuas-puasnya" kepada "makan dengan berhati-hati." 

Walau bagaimanapun, jelas Annalisa, tenggiri yang menjadi perbincangan adalah dari stok  timur laut (kawasan dari Gibraltar ke Rusia), yang tidak terancam.  Hanya dicadangkan dihadkan tangkapan mana-mana ikan. Beliau memetik International Council for the Exploration of the Sea (ICES) bahawa biojisim stok peneluran tenggiri kini kira-kira 2.7 juta tan.  Angka biologi selamat ialah 2.3 juta tan, dan angka ini dijangkakan tidak jatuh di bawah angka pada "tahap eksploitasi semasa" hingga tahun 2014.

Cerita sedih, menurut Annalisa, hingga baru-baru ini perikanan terurus dengan baik.  Kesatuan Eropah dan Norway mempunyai kuota 90 peratus daripada jumlah kuota tenggiri; selebihnya 10 peratus adalah untuk Iceland dan Kepulauan Faroe.  Hingga tahun 2008, hampir tidak ada tangkapan dilaporkan di perairan Iceland dan Faroe kerana di kawasan itu tidak banyak tenggiri untuk ditangkap.  Akan tetapi, beberapa tahun kebelakangan ini, tenggiri mula berpindah berpunca daripada banyak faktor, seperti kenaikan suhu laut dan untuk mencari makanan.  Dua buah negara tepi pantai ini mahu lebih daripada  10 peratus.  Pada tahun 2010, kedua-dua negara itu mula meningkatkan tangkapan mereka daripada 20 peratus kepad 32  peratus daripada jumlah yang dibenarkan.

"Kini, tidak wujud persetujuan antarabangsa yang menentukan had perikanan tenggiri, meskipun ada harapan dilaksanakan pada tahun ini."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...