Artikel Popular

Monday, October 31, 2011

Penipuan Demokratik

ISNIN,  31 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Samir Amin, intelektual Marxis, yang usianya  bulan ini genap 80 tahun, muncul dalam Monthly Review dengan dua makalah, iaitu "An Arab Springtime?" yang sebelum ini dapat diperoleh melalui dalam talian dan pernah juga dipetik dalam blog ini, dan satu lagi ialah "The Democratic Fraud and the Universalist Alternative."  

Bagi Amin, tidak sukar untuk mencari alasan kegagalan demokrasi pilihan raya untuk menghasilkan perubahan sebenar: semua masyarakat yang wujud hingga sekarang berasaskan sistem duaan eksploitasi buruh (dalam pelbagai bentuk) dan penumpuan kuasa negara bagi pihak golongan pemerintah.  Realiti asas ini mengakibatkan depoliticization/disacculturation segmen yang sangat besar dalam masyarakat.

"Konsensus" (sempadannya ditakrifkan oleh hak mengundi sejagat)  dunia sezaman kita, bahas beliau, adalah lebih konservatif jika dibandingkan dengan sebelum ini.  Di pusat sistem-dunia, konsensus ialah proimperialis dalam erti kata keberkekalan aliran sewa imperialis diterima kerana itu merupakan syarat untuk pengeluaran semula sosial, penjamin "kemewahannya" berbanding dengan kemiskinan golongan lain. Di pinggir, respons orang ramai terhadap cabaran (kepapaan yang berpunca daripada proses pengumpulan kapitalis/imperialis) masih bercelaru.

Dalam keadaan ini, jelas Amin, satu-satunya jalan bagi "pilihan raya" adalah selalunya dibayangkan oleh kuasa dominan sebagai cara kemungkinan paling baik untuk mengekang gerakan tersebut, untuk menamatkan kemungkinan bahawa perjuangan menjadi radikal.  Pada tahun 1968, sesetengah pihak berkata bahawa "pilihan raya adalah untuk orang bodoh," dan pandangan tersebut bukannya tidak sahkan oleh fakta.  Anggota yang dipilih, sekarang juga, seperti hari ini di Tunisia dan Mesir, berfungsi hanya untuk menamatkan "kekacauan," untuk memulihkan kestabilan."  Untuk mengubah segala-galanya supaya tidak ada yang berubah.

Walau bagaimanapun, Samir Amin tidak mencadangkan supaya kita meninggalkan pilihan raya.  Sebaliknya, beliau mencadangkan bagaimana membawa bersama-sama bentuk pendemokrasian yang baru, kaya, berdaya cipta yang menerusinya pilihan raya dapat digunakan dalam cara lain daripada yang dibayangi oleh kuasa konservatif - suatu cabaran.



Amin menegaskan Bapa Pengasas Amerika Syarikat jelas berhasrat untuk memastikan demokrasi pilihan raya daripada menjadi instrumen yang boleh digunakan oleh ramai untuk membangkitkan persoalan orde sosial berasaskan harta persendirian (dan perhambaan!).  Perlembagaan negara itu, tegas Amin, berasaskan (secara tidak langsung) pilihan raya presiden (jenis raja yang dipilih) yang memegang beberapa kuasa penting.  Kempen Pilihan Raya Presiden di bawah keadaan ini biasanya tertumpu pada "fahaman dwipartisan," yang cenderung secara progresif menjadi apa yang dinyatakan sekarang:  penyataan "parti tunggal." 


Amin menegaskan bahawa Bapa Pengasas mereka pentas hiasan latar sandiwara, dan penipuan demokratik kemudiannya memperlihatkan dirinya sebagai menawar "alternatif (iaitu Demokrat dan Republikan) yang tidak mampu bangkit pada tahap yang diperlukan oleh alternatif sebenar.  Beliau mengingatkan bahawa tanpa kehadiran perspektif alternatif sebenar, demokrasi tidak wujud.  Sandiwara berasaskan ideologi "konsensus" (!) yang mengetepikan menurut takrif konflik serius antara kepentingan antara wawasan masa depan.


Dalam bahagian kedua makalah itu, Samir Amin membicarakan pendemokrasian, dan bukannya demokrasi kerana menurut beliau, demokrasi disempitkan kepada formula yang dikuatkuasaakan oleh kuasa dominan, ialah sandiwara.  Sandiwara pilihan raya yang menghasilkan pseudoparlimen yang tidak mempunyai kuasa dan kerajaan bertanggungjawab hanya kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO), instrumen monopoli  tiga serangkai imperialis. 


Sebaliknya, pendemokrasian, dianggap sebagai penuh dan lengkap, iaitu pendemokrasian melibatkan semua aspek kehidupan sosial, termasuk pastinya, pengurusan ekonomi, yang hanya boleh menjadi proses tanpa kesudahan dan tidak terikat, hasil daripada perjuangan popular dan daya cipta popular.  Bahas Amin, pendemokrasian tidak mempunyai makna, tidak ada realiti, kecuali pendemokrasian menggembleng kuasa reka cipta itu dari perspektif tahap yang lebih maju dalam peradaban manusia.  Pertempuran bagi pendemokrasian ialah kombat, dan dengan itu, memerlukan mobilisasi, organisasi, wawasan strategik, erti taktik, pilihan tindakan, pempolitikan perjuangan. 


Secara keseluruhan, dalam makalah itu, Samir Amin memberikan penekanan terhadap pendemokrasian berbanding dengan demokrasi kerana demokrasi menurut beliau, ialah penipuan,   sandiwara, dan dikongkong oleh kuasa dominan.  Sebaliknya, pendemokrasian melibatkan rakyat jelata yang menegakkan perjuangan popular. 

Sunday, October 30, 2011

Kebekuan Ekonomi

AHAD,  30 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kebekuan ekonomi dan kelumpuhan politik merupakan ungkapan popular akhir-akhir ini kerana itulah hakikat yang berlaku di Amerika Syarikat hari ini, dan Eropah dalam usaha untuk menyelamatkan euro, demokrasi mati  minggu ini. Eropah meskipun berusaha bersetuju dalam sidang kemuncak di Brussels menyelesaikan krisis hutang Greece dengan "bergunting rambut," langkah ini dikatakan tidak dapat bertahan lama, dan mendedahkan ketandusan kepimpinan, seperti yang dikritik oleh George Soros.  Pelan penyelamat terbaharu ini dijangkakan akan gagal dalam masa seminggu, tetapi untuk berkesan, Greece dan Portugal mesti meninggalkan euro.

Sejak akhir-akhir ini wujud kecenderungan untuk membincangkan kebekuan ekonomi yang mungkin melanda negara maju. Pada akhir September lalu, The Telegraph memetik ahli ekonomi di Goldman Sachs bahawa wujud risiko yang semakin membesar bahawa ekonomi global bergerak dari "Kemelesetan Besar" menjunam ke kancah "Kebekuan Besar."  Ahli-ahli ekonomi itu menjelaskan bahawa kebekuan lazimnya bermaksud tempoh yang lama bagi pertumbuhan yang lembap, iaitu kira-kira 0.5 peratus, inflasi yang rendah, pengangguran yang meningkat dan lekit, harga rumah yang beku, dan pulangan rendah daripada saham.  Wujud peluang 40 peratus situasi semasa berkembang ke arah tempoh kebekuan dalam kalangan ekonomi maju.

Editorial Monthly Review bulan ini juga membahaskan  bahawa Amerika Syarikat terjebak dalam kebekuan, meskipun kemelesetan berakhir pada Jun 2009.  Ekonomi kapitalis terus beku dengan kadar pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada satu peratus pada suku kedua, menyusuli 0.4 peratus suku pertama tahun 2011, dan dengan kedua-keduanya, iatu Kesatuan  Eropah dan Jepun sama-sama dalam keadaan yang teruk.  Editorial itu memetik The New York Times bahawa sesungguhnya, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, dan Jepun menghala ke laluan "yang akan memanjangkan kebekuan ekonomi mereka dan membenamkan mereka ke dalam satu lagi kemelesetan."  


Editorial itu membahaskan bahawa di bawah keadaan seperti ini, para pengulas ekonomi arus perdana akhirnya mula membuka mata mereka kepada realiti kebekuan  endemik.  Editorial berkenaan juga memetik buku The Great Stagnation oleh Tyler Cowen  yang mengakui bahawa wujud masalah di Amerika Syarikat dari segi "kebekuan multidekad."  Justeru, Cowen menulis pengalaman tiga pemulihan ekonomi Amerika tanpa pekerjaan, seperti yang berlaku pada tahun 2009, 2001, dan 1991, yang dari segi sifatnya tanpa pekerjaan.  Pemulihan perdagangan berlaku lebih cepat jika dibandingkan dengan pemulihan pekerjaan.


Amerika Syarikat, seperti yang diketahui masih lagi mengalami pertumbuhan yang lemah, iaitu
 pada kadar 2.5 peratus pada suku ketiga tahun ini, sedangkan pengangguran pula masih degil pada kadar 9.1 peratus.  Demikian juga Eropah yang banyak memberikan tumpuan menyelesaikan krisis zon euro, padahal  pertumbuhan  secara keseluruhannya terlalu lemah dan pengangguran masih tinggi.  


Selain kemungkinan kemelesetan curam berganda, dunia juga dikhuatiri kemungkinan mengalami kebekuan ekonomi.  Baik kemelesetan curam berganda mahupun kebekuan ekonomi, jelas bahawa dunia masih dihantui oleh mimpi ngeri akibat krisis 2008-2009. Meskipun ekonomi dunia dikatakan pulih pada tahun lalu, kesannya  tidak kelihatan kerana kadar pengangguran di banyak negara adalah tinggi.







Friday, October 28, 2011

Hak Asasi Manusia, Imperialisme, dan Ideologi Kapitalis

SABTU, 29  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Nato membekalkan bom, puak sayap Kiri Perancis membekalkan ideologi, tulis Pierre Levy dalam MRZine, merujuk serangan Amerika Syarikat, Britain, Perancis, dan Nato ke atas Libya, "menggunakan hak asasi manusia untuk melancarkan peperangan."  Sebenarnya, serangan terhadap Libya itu bukan sahaja mencabuli resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi juga, seperti yang cuba dibahaskan oleh Levy, penyalahgunaan hak asasi manusia.  Maksudnya, kuasa asing menggunakan hak untuk campur tangan di sesebuah negara atas alasan kemanusiaan, seperti di Libya,  dengan sewenang-wenangnya.

Sejak berakhirnya Perang Dingin,  idea  hak asasi manusia digunakan untuk mewajarkan campur tangan oleh kuasa ekonomi dan ketenteraan utama di dunia,  iaitu Amerika Syarikat di negara yang mudah terdedah untuk serangan mereka.  Demikian pemerhatian Jean Bricmont dalam bukunya,  Humanitarian Imperialism:  Using Human Rights to Sell  War.  Kriteria untuk campur tangan sedemikian menjadi lebih sembarangan dan melayan diri sendiri, dan bentuknya lebih bersifat kemusnahan, dari Yugoslavia ke Afghanistan ke Iraq.  

Dengan menggunakan konsep imperialisme kemanusiaan yang diperkenalkan oleh Bricmont itu, Noam Chomsky memperluaskannya dalam konteks doktrin baru hak imperialis. Berakhirnya Perang Dingin, hujah Chomsky, aliran retorik yang menarik dilepaskan menjamin dunia bahawa Barat  kini bebas untuk meneruskan dedikasi tradisional mereka terhadap kebebasan, demokrasi, keadilan, dan hak asasi manusia yang tidak dihalang oleh persaingan kuasa besar, meskipun wujud sesetengah puak yang dikenalis "realis" dalam teori perhubungan antarabangsa yang memberikan amaran bahawa dalam "memenuhi idealisme yang dipegang secara hampir eksklusif  terhadap dasar luar," kita mungkin pergi terlalu jauh dan mungkin merosakkan kepentingan kita.  "Anggapan sedemikian, seperti 'campur tangan kemanusiaan' dan 'tanggungjawab untuk melindungi' tidak lama kemudian menjadi ciri yang sepi dalam wacana Barat tentang dasar yang dijelaskan secara bersama sebagai mewujudkan 'norma baru' dalam hal ehwal antarabangsa."

Dalam pengenalan "Human Rights Imperialism" yang ditulis Uwe-Jens Heuer dan Gregor Schirmer, The Editors Monthly Review pernah menulis bahawa "hak asasi manusia" dipilih sebagai medan pertempuran propaganda Amerika Syarikat di seluruh dunia.  Amerika Syarikat yang mempenjarakan peratusan yang sangat besar penduduknya jika dibandingkan dengan negara, secara rutin memperlihatkan dirinya sebagai penentu universal hak asasi manusia.  Propagandisnya berhujah bahawa satu-satu alternatif untuk "keuniversalan" hak asasi manusia, seperti yang ditetapkan oleh Jesse Helms, Madeleine Albright, dan George Soros merupakan relativisme yang memberikan makna yang berbeza untuk hak asasi manusia bergantung pada sama ada kemanusiaan yang terbabit ialah Barat atau China, Judeo-Kristian atau Islam, dan seterusnya.

Berhubung dengan makalah yang ditulis oleh Heuer dan Schirmer itu, kedua-dua penulis menegaskan bahawa hak asasi manusia yang terkandung dalam undang-undang antarabangsa untuk kali pertama setengah abad lalu, tetapi dari aspeknya sebagai ideologi (berbanding dengan aspek undang-undang antarabangsa), "hak asasi manusia" menjadi senjata yang berkesan Perang Dingin dan kekal digunakan secara berleluasa sebagai alat propaganda rejim global neoliberal baru.  Di sini wujud perbezaan antara hak asasi manusia dalam undang-undang antarabangsa dengan hak asasi manusia dalam ideologi (neoimperialis).  Bahas kedua-dua penulis ini, sekarang, negara yang beria-ria menjadi pendukung hak asasi manusia, termasuk Jerman dan Amerika Syarikat, mengabaikan hak asasi manusia di wilayah mereka sendiri. 

Heuer dan Schirmer berhujah bahawa hak asasi manusia disalahgunakan oleh Amerika Syarikat dan Nato sebagai alat yang bertujuan memusnahkan apa yang telah dicapai di negara sosialis, masih disalahgunakan sebagai alat untuk memperlihatkan kepentingan hegemoni terhadap kemerdekaan negara Dunia Ketiga, dan lebih kerap disertai oleh penggunaan kuasa ketenteraan.  Hal ini merupakan perkembangan yang bahaya yang boleh direka secara betul menjadi imperialisme hak asasi manusia. 

Hak asasi manusia, menurut kedua-dua penulis tersebut, dibahagikan kepada kedua kategori, iaitu politik/sivil dan ekonomi/sosial. Pendukung hak asasi manusia yang dimaksudkan hanya berminat terhadap hak politik/sivil, tetapi tidak berminat terhadap hak ekonomi/sosial, bahkan mereka menafikannya sama sekali, misalnya terhadap pengangguran.  


Dari sudut pandangan Slovenia, Serge Flere mengemukakan kupasan menarik tentang hak asasi manusia dan ideologi globalisasi kapitalis.  Setelah membincangkan konsep dan sejarah ideologi, Flere berhujah tentang hak asasi manusia dalam ideologi dominan yang menurut beliau, konsep hak manusia kini digunakan sebagai alat politik dalam kesahan tindakan politik yang sangat berbeza pada bahagian pelaku pemerintah di pentas nasional dan dunia.


Bagi Flere, hak asasi manusia selalunya dijaja oleh golongan pemerintah dalam maksud politik yang sempit, tanpa mengambil kira hak ekonomi dan kebajikan, hubungan yang lebih dalam antara hak asasi manusia dengan keadilan, dan secara lebih khusus, tanpa mempertimbangkan prasyarat sosial untuk pengakuan martabat manusia mengikut cara instrumen undang-undang, seperti hak asasi manusia.  Individu dengan hak asasi manusianya adalah ditentukan bebas.  Bebas dalam erti kata, untuk bersaing dari segi buruh, kewangan, dan setiap jenis lain persekitaran yang tersusun sebagai pasaran.


Merujuk beberapa penulisan yang dinyatakan di atas, sesungguhnya, banyak yang perlu dipelajari tentang hak asasi manusia.  Pastinya, banyak pejuang hak asasi manusia di negara kita juga kabur tentang apakah hak asasi sebenar.  Mereka terpasung dalam hak asasi politik/sivil, tetapi mengabaikan hak asasi ekonomi/sosial. Dan, jauh sekali untuk menyedari bahawa hak asasi manusia sebagai alat imperialisme dan ideologi kapitalis.  


Bagi kita yang kurang arif tentang hak asasi manusia, tentunya kita sering diperbodohkan atau dikelirukan oleh  mereka yang berlagak pandai tentang hak asasi manusia.  Memang berbahaya jika kita menelan bulat-bulat apa-apa sahaja doktrin dan slogan disajikan kepada kita tanpa cuba memahami dan mengkajinya terlebih dahulu. 


Seperti yang dibincangkan di atas, hak asasi manusia sering diperalatkan oleh kuasa besar demi kepentingan imperialisme dan ideologi kapitalis mereka. Justeru, jangan pula kita dengan mudah bersekongkol dengan mereka yang berselindung di sebalik hak asasi manusia. 



Gerakan Menduduki Tercemar

JUMAAT, 28  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berbelas-belas orang polis pencegah rusuhan dan beratus-ratus orang penunjuk perasaan menyokong gerakan  Menduduki Wall Street, seperti  dilaporkan  terlibat dalam permainan "kucing dengan tikus" di pusat bandar Oakland pada Selasa lalu, dengan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata sebagai respons terhadap penunjuk perasaan yang berulang-ulang kali mengganggu. Peristiwa itu merupakan kali kelima dalam masa kira-kira tiga jam melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai di  tempat itu apabila  ketegangan berterusan tercetus dalam bentuk konflik sepanjang hari itu. 

Berikutan dengan peristiwa itu, timbul persoalan apa sudah jadi dengan Menduduki Oakland?  "Semua mata tertumpu ke Menduduki  Oakland bahawa terlalu besar untuk gagal, terlalu besar untuk dipenjarakan," tulis Van Jones dalam The Huffington Post.  Tiada alasan untuk menggunakan kekerasan terhadap tunjuk perasaan secara aman.  Kalau berlaku di Damsyik, tentunya Jabatan Negara Amerika mengutuk habis-habisan.

Peristiwa itu juga dikatakan mencemari Menduduki Wall Street yang semakin memperoleh rentak dan meraihkan sokongan, termasuk daripada Vatican, dan mendedahkan sesuatu yang berlaku di Amerika, paling tidak dari segi ketidaksamaan pendapatan.  Bagaimana golongan satu peratus  bertambah kaya, manakala golongan 99 peratus semakin miskin.  


Tindakan penunjuk perasaan bertempur dengan polis dianggap  bukan suatu langkah yang bijak kerana boleh mencemari imej  gerakan itu di mata orang ramai. Selain itu, pihak yang cuba memperlekeh gerakan itu, seperti golongan cerdik pandai yang lantang, termasuk Niall Ferguson yang menulis dalam kolumnya,  mendakwa bahawa Wall Street membantu golongan miskin.  

Pastinya, pihak polis juga turut tercemar kerana bertindak keras terhadap penunjuk perasaan.  Lebih-lebih lagi yang cedera parah ialah Scott Olsen, aktivis Menduduki yang juga  veteran Perang Iraq, seperti yang  dilaporkan.  Mereka didakwa melakukan kesilapan besar  kerana  bertindak seperti itu.  Justeru, kedua-dua pihak, iaitu penunjuk perasaan dan polis dipersalahkan kerana berlaku keganasan tersebut. 

Bagaimana pendirian pejuaang hak asasi manusia dan cerdik pandai yang sering mengapi-apikan tunjuk perasaan di dunia Arab, di negara Dunia Ketiga, dan juga di China apabila pihak polis Oakland bertindak keras?  Mungkin "gajah di hadapan mata tidak nampak." Siapa pula yang akan menghantar nota bantahan kepada pihak kedutaan Amerika di luar negara?








Zon Euro: Sarkozy Terus Naik Berang

JUMAAT, 28  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Persetujuan yang dicapai oleh para pemimpin Kesatuan Eropah semalam untuk "bergunting rambut" dalam menyelesaikan krisis hutang Greece, disambut  oleh pasaran dengan kegembiraan dari Asia ke Eropah ke Amerika Syarikat.  Di Tokyo, Nikkei naik 132.96 mata kepada 9059.50 mata, di London, FTSE 100, meningkat 160.59 mata kepada 5713.82 mata, manakala di New York, Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) diltutup pada 12,208.55 mata, iaitu meningkat sebanyak 339.51 mata.  Namun, United Kingdom dijangkakan mempunyai peluang yang besar untuk terbenam dalam kemelesetan curam berganda.

Yang jelas persetujuan yang dicapai itu tidak meredakan keadaan.  Presiden Perancis Nicolas Sarkozy yang sebelum ini  memberikan kata dua kepada Perdana Menteri David Cameron, terus menunjukkan keberangannya.  Kali ini giliran Greece pula yang menurut beliau, tidak bersedia untuk menyertai zon euro.  Sarkozy nampaknya tidak menyambut keriangan terhadap urus janji yang dicapai di Brussels itu, berkata memang suatu "kesilapan" yang besar membenarkan Greece menyertai euro satu dekad lalu. Meskipun beliau tidak bertujuan mencadangkan Greece keluar daripada zon mata wang bersama itu, beliau mendakwa negara menyertai dengan angka ekonomi yang palsu.


Sejak Greece bergelut dengan krisis hutang lebih setahun yang lalu, terdapat dua cadangan, iaitu keluar daripada zon euro atau mungkir terhadap hutangnya, seperti yang pernah dilakukan oleh Argentina yang kini mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang agak membanggakan. Namun, jika negara itu bertindak keluar, dijangkakan krisisnya semakin teruk.


Dengan keberangan Sarkozy  terhadap Greece itu, jelas bahawa zon yang dianggotai oleh 17 buah negara itu terus bergolak.  Bahkan untuk mengusutkan lagi keadaan, dalam usaha untuk menyelamatkan euro, dakwa Simon Jenkins, "Jerman mengemukakan tuntutan yang tidak dapat dipenuhi."  Selain itu, Canselor Angela Merkel dan Sarkozy meskipun mencapai persetujuan yang penting semalam, dikatakan mereka gagal membaiki keretakan yang sebenar.





Thursday, October 27, 2011

Pertumbuhan Suku Ketiga Bawa Berita Gembira?

KHAMIS, 27  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada suku ketiga 2011 agak pesat kerana para pengguna dan perniagaan mengetepikan ketakutan tentang pemulihan  dan meningkatkan perbelanjaan, mewujudkan rentak yang boleh memacu pertumbuhan  untuk tiga bulan terakhir tahun ini.  

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat dilaporkan berkembang pada kadar 2.5 peratus secara tahunan, demikian menurut Jabatan Perdagangan dalam anggaran pertama pada hari ini.  Kadar ini merupakan kepesatan yang besar jika dibandingkan dengan 1.3 peratus pada suku kedua dan mencapai jangkaan ahli ekonomi. Kadar ini jauh lebih baik daripada suku pertama yang hanya berkembang pada 0.9 peratus, boleh dikatakan agak stabil jika pun tidak menakjubkan kerana di tengah-tengah ketakutan keruntuhan ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri mengalami penurunan gred hutangnya. Dengan itu, sekali gus memadamkan kebimbangan terhadap berlakunya kemelesetan curam berganda.

Namun, KDNK, iaitu ukuran yang lebih tentang aktiviti ekonomi, menurut  The Washington Post tidak cukup kuat untuk mengurangkan kadar pengangguran secara besar-besaran sepanjang masa: tidak cukup untuk membolehkan sebanyak 14 juta orang Amerika yang menganggur bekerja semula. 

Sebelum ini, China  mencatatkan pertumbuhan KDNK suku ketiga tahun ini 9.1 peratus.  Kadar ini jatuh sedikit jika dibandingkan dengan pertumbuhan  9.5 peratus suku kedua dan 9.7 pertumbuhan suku pertama.  Namun, pertumbuhan suku ketiga ini jauh lebih baik daripada pertumbuhan Amerika Syarikat dalam tempoh yang sama dan pertumbuhan hanya 0.2 peratus di zon euro yang terdiri daripada 17 buah negara ketika suku kedua (suku ketiga belum lagi dikeluarkan).


Dengan dua ekonomi terbesar di dunia, iaitu Amerika Syarikat dan China mencatatkan pertumbuhan yang  agak memberangsangkan, apakah banyak negara lain juga mengikut rentak yang sama?  Dan yang paling penting, adakah Malaysia mampu mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih baik demi memastikan sasaran pertumbuhan lima peratus untuk 2011 dapat dicapai?

Pelaburan Swasta Tidak Merangsang Pertumbuhan

KHAMIS, 27 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ahli ekonomi terkenal, Johny Maynard Keynes pernah berpesan bahawa ketika kemelesetan, sektor swasta keberatan untuk melabur dan isi rumah  berbelanja dengan berhati-hati, dan dengan itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk projek kerja raya supaya aktiviti ekonomi menjadi rancak dan mewujukan permintaan agregat.  Di negara kita, setiap kali dalam pembentangan belanjawan, yang terbaharu Belanjawan 2012, kita diberitahu peranan sektor swasta, di samping sektor awam,  untuk memacu pertumbuhan ekonomi.  

Namun, sebagai ahli sejarah ekonomi yang mengkaji kapitalisme Amerika selama 35 tahun, James Livingston, berkata bahawa pelaburan swasta, iaitu menggunakan keuntungan perniagaan untuk meningkatkan produktiviti dan output, tidak semestinya  memacu pertumbuhan ekonomi.  Sebaliknya, hutang pengguna dan perbelanjaan kerajaan memacu pertumbuhan.  Pelaburan swasta bahkan tidak semestinya merangsang pertumbuhan. 

Livingston melalui makalahnya  dalam The New York Times, menulis, "ahli ekonomi akan memberitahu anda bahawa pelaburan perniagaan swasta menyebabkan pertumbuhan kerana pelaburan tersebut membayar untuk loji dan kelengkapan baru yang mewujudkan pekerjaan, meningkatkan produktiviti buruh dan meningkatkan pendapatan kerajaan.  Akibatnya, anda akan mendengar ahli politik menegaskan bahawa lebih banyak insentif untuk pelabur swasta, iaitu merendahkan cukai keuntungan syarikat akan mendorong pertumbuhan yang pesat dan lebih seimbang." 

Antara tahun 1900 hingga 2000,  jelas beliau, per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar (output barang dan perkhidmata untuk setiap orang) meningkat lebih 600 peratus. Sementara itu, pelaburan perniagaan bersih merosot 70 peratus sebagai bahagian KDNK.  Lebih daripada itu, pada tahun 1900 hampir semua pelaburan datangnya daripada sektor swasta, iaitu daripada syarikat dan bukannya daripada kerajaan, sebaliknya pada tahun 2000, kebanyakan pelaburan, sama ada daripada perbelanjaan kerajaan (daripada hasil cukai) ataupun "pelaburan kediaman," iaitu bermakna pengguna berbelanja untuk perumahan, berbanding dengan perbelanjaan perniagaan terhadap loji, kelengkapan, dan buruh. 

"Keuntungan syarikat," tulis Livingston, "tidak memacu pertumbuhan ekonomi, hanya jumlah modal lebihan yang resah, bersedia untuk membanjiri pasaran spekulatif di negara sendiri dan di luar negara."  Tambah beliau, "perbelanjaan pengguna bukan sahaja penting untuk pemulihan ekonomi, tetapi juga perlu untuk pertumbuhan seimbang dalam jangka panjang."

Dengan pendedahan ini, jelas bahawa banyak kerajaan di dunia, termasuk kerajaan kita, yang baru sahaja membentangkan Belanjawan 2012, melakukan perhitungan yang silap terhadap peranan sektor swasta dalam pertumbuhan ekonomi.  Sebaliknya, untuk merangsang pertumbuhan, seperti yang dibahaskan oleh Livingston, bergantung pada perbelanjaan kerajaan dan perbelanjaan pengguna.  

Nampaknya, Najib Razak jika diteliti Belanjawan 2012, menggunakan petua yang silap sebahagiannya,  untuk memacu pertumbuhan ekonomi kerana mengharapkan peranan sektor swasta.  Pelbagai insentif yang beliau curahkan untuk sektor swasta, jika kita berpegang pada pendapat Livingston, tidak signifikan dalam memacu pertumbuhan.   

Kes di negara kita lebih rumit kerana banyak berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam perbelanjaan kerajaan, angkara penjawat awam yang dimuakan, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, yang terbaharu 2010, mungkin boleh membantutkan pertumbuhan. Lebih buruk lagi, setiap tahun perbelanjaan untuk emolumen adalah jauh lebih tinggi daripada pebelanjaan untuk pembangunan yang sering berlaku ketirisan.

Hutang Greece: Setuju "Bergunting Rambut"

KHAMIS, 27 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Para pemimpin  zon euro mencapai persetujuan berhubung dengan pelan penting untuk mengurangkan hutang Greece dan menyediakan negara itu dengan lebih banyak pinjaman pelan penyelamat supaya Greece akhirnya keluar daripada kancah beban hutang yang teruk.  Persetujuan ini bermakna membantu mencegah kerajaan Greece daripada mungkir terhadap hutangnya dan bahkan mengelak kejutan yang lebih teruk terhadap sistem kewangan Eropah.

Mereka dilaporkan akhirnya bersetuju urus janji dengan pemiutang swasta tentang menurunkan nilai 50 peratus atau "bergunting rambut" terhadap pemegangan mereka pada hutang Greece, menyediakan rancangan urus janji yang lebih tuntas untuk menyelesaikan krisis hutang kedaulatan itu.  Kerugian akibat penurunan nilai hutang ini dikatakan lebih besar daripada pelabur swasta telah terima di bawah urus janji pada musim panas ini.  Namun, oleh sebab ekonomi Greece terjejas secara berterusan, maka ini menyukarkan kerajaan untuk membayar balik bonnya.

Mereka juga bersetuju menyediakan dana bernilai satu trilion euro (AS$1.4 trilion) sebagai respons terhadap desakan global supaya mempercepat usaha menentang krisis kewangan, dan  seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg, persetujuan itu  membawa berita baik untuk euro dan pasaran Asia.


Selepas sidang kemuncak tergempar yang berlangsung di Brussels itu, Presiden Kesatuan Eropah, Herman Van Rompuy memaklumkan bahawa  urus janji itu akan mengurangkan hutang Greece kepada 120 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.  Di bawah keadaan sekarang, hutang negara itu akan meningkat kepada 180 peratus KDNK.

Meskipun jika krisis zon euro diselesaikan, bahas Larry Elliott sehari sebelum ini, "cabaran yang paling besar ialah bagaimana memastikan ekonomi 17 buah negara mata wang bersama itu bergerak semula." Dengan kata lain, memastikan ekonomi zon euro berkembanga semula dan bukannya terpasung dalam kemelesetan atau kebekuan.  Elliot mengingatkan bahawa krisis hutang Eropah yang sebenarnya ialah krisis pertumbuhan dan guna tenaga.

Yang jelas, banyak usaha dicurahkan untuk menyelesaikan krisis hutang, sedangkan aspek ekonomi sebenar, iaitu pertumbuhan dan guna tenaga yang semakin runcing lagi genting.  Dalam kes Greece misalnya, meskipun pelan penyelamat yang pertama bernilai 110 bilion euro diberikan, wang tersebut digunakan hutang menebus bon yang matang.  Justeru, yang mendapat habuan segera ialah bank dan pelabur dan bukannya rakyat negara itu.


Menghitung Kepala

KHAMIS,  27  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada 31 Oktober ini, orang ketujuh bilion dijangkakan dilahirkan, demikian lapor Time dalam keluaran terbaharunya.  Pertumbuhan penduduk berlaku dengan begitu pesat, iaitu daripada dua bilion pada 1927 kepada tujuh bilion tahun ini, dan dijangkakan lapan  bilion pada 2025, seterusnya sembilan bilion pada 2043.  Selain itu,  majalah itu menyatakan  pertumbuhan penduduk pada 2011 dirangsangkan oleh kadar kesuburan yang tinggi di wilayah miskin dan oleh peningkatan jangkauan hayat.  Kemudian, menarik perhatian dengan perlunya pembangunan akan menjadi lebih kritikal.  Majalah itu memetik pakar yang percaya bahawa krisis ekonomi mengasak 64 juta orang tambahan hidup dalam kemiskinan melampau.  

Daripada tujuh bilion orang penduduk dunia ini, Time menyatakan 19 peratus di China, 33 peratus Kristian, 50.4 peratus lelaki, 50.5 peratus hidup di bandar atau kota, umur median ialah 29 tahun, pendapatan per kapita AS$10,290 setahun, dan 73 peratus tidak menggunakan Internet.  Dari segi jumlah penduduk pula, 1.3 bilion di China, 1.2 bilion di India, 310 juta di Amerika Syarikat, 240 juta di Indonesia, 195 juta di Brazil, 174 juta di Pakistan, 158 juta di Nigeria, 149 juta di Bangladesh, 143 juta di Rusia, dan 127 juta di Jepun. 

Dengan beberapa buah negara yang majoriti terbesar terdiri penduduk Islam, seperti Indonesia,  Pakistan, Nigeria, dan Bangladesh, di samping sebagai penduduk minoriti terbesar di India, maka penduduk dunia yang beragama Islam merupakan satu jumlah yang agak besar.  Pada tahun 2009, menurut beberapa sumber, "penduduk Islam dianggarkan antara 1.2 hingga 1.57 bilion orang, atau kira 23 peratus daripada 6.8 bilion orang penduduk dunia."  Di banyak negara di Eropah, penduduk Islam merupakan golongan minoriti terbesar, dan yang paling menarik ialah kegagalan Islam menguasai benua itu melalui ketenteraan yang dilancarkan oleh Empayar Ottoman, kini Islam mara melalui demografi. 

Majalah Time juga menyatakan bahawa sejak Homo Sapiens moden muncul kali pertama kira-kira 50,000 S.M., dianggarkan sejumlah 108 bilion orang pernah hidup di dunia, yang bermakna kira-kira 6.5 peratus semua manusia yang dilahirkan masih hidup pada hari ini. "Banyak orang yang memerlukan makanan, pakaian, dan tempat tinggal, dan ahli ekonomi, ahli demografi, ahli sains, dan ahli politik yang selama berasa bimbang berhubung dengan kemampuan dunia untuk menampung manusia kerana jumlah mereka berlipat ganda."  





Hanya beberapa hari lagi menunggu kelahiran penduduk ketujuh bilion, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan Global Population Report  bahawa daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion adalah yang berumur antrara 10 hingga 24 tahun, dan 90 peratus daripada mereka tinggal di dunia membangun. Laporan PBB itu yang dipetik oleh The Guardian, menyatakan bahawa dunia akan terlepas faedah 1.8 bilion orang muda.  Dunia dalam  keadaan bahaya terlepas peluang keemasan untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, iaitu "dividen demografik,"  kerana kohort terbesar orang muda yang pernah diketahui melihat tahun produktif dari segi ekonomi mereka terbuang. Potensi faedah ekonomi berikutan mempunyai penduduk global yang besar yang terdiri daripada orang muda tidak akan dipenuhi, kerana generasi ini menanggung akibat kurang pendidikan, dan pelaburan dalam bidang infrastruktur dan penciptaan pekerjaan.

Apabila golongan belia terpisah daripada arus pembangunan, sesungguhnya ini bukannya petanda kepada mana-mana kerajaan, seperti yang telah pun berlaku sekarang ini: Dari Dataran Tahrir ke kota-kota Inggeris ke Menduduki Wall Street ke Menduduki di Merata-rata Tempat.  Golongan ini pastinya akan turun ke jalanan apabila mereka tidak mempunyai pekerjaan, seperti yang berlaku dari Seattle ke Sydney - memetik The Economist.   Dan  seperti yang berlaku di Britain apabila golongan belia, miskin, dan tidak berpendidikan, dan bukannya geng budaya,  yang merusuh dan menjarah, menurut  analisis baru-baru ini. (The Economist juga mengulas ketibaan penduduk ketujuh bilion, iaitu pertumbuhan penduduk yang pesat.)

PBB dijangkakan mengumumkan ketibaan orang ketujuh bilion itu pada minggu ini, seakan-akan suatu berita gembira. Namun, pastinya, kegembiraan yang berbaur dengan kemuraman apabila memikirkan banyaknya orang perlu   disediakan makanan, pakaian, kediaman, kemudahan kesihatan, dan pendidikan.  Sebuah planet yang penuh sesak.


Wednesday, October 26, 2011

Zon Euro Semakin Kelam

RABU,  26  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Harapan untuk menyelamatkan zon euro yang bergelut dengan krisis hutang   semakin tipis berikutan kegagalan perbincangan kerana Canselor Angela Merkel menolak urus janji pelan penyelamat.  Berikutan kebuntuan itu, dilaporkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bercadang untuk campur tangan, satu langkah yang membawa para pembayar cukai British perlu tanggung untuk menyokong zon mata wang tunggal itu.  Kebuntuan itu juga menyebabkan pasaran London, Paris, dan New York menjunam.  

Harapan bahawa sidang kemuncak di Brussels pada hari ini akan menghasilkan "tawar- menawar hebat," ulas The Guardian yang akhir dapat menyelesaikan krisis hutang kedaulatan yang berlaku selama 18 bulan, suram dengan pantas kerana perbincangan yang dirancangkan pada pagi Rabu dibatalkan.

Dengan kebuntuan  itu, menurut The New York Times, Eropah menghadapi halangan baru dalam krisis yang berkait dengan hutang, sementara Perdana Menteri Silvio Berlusconi  menghadapi tentangan dalam kerajaannya  terhadap perubahan besar yang dituntut oleh Eropah.  Pada minggun ini, menurut akhbar itu, satu lagi kedukaan, iaitu persetujuan tentang rancangan umum, tetapi tanpa banyak spesifik, dan kemungkinan tanpa "dinding wang" yang banyak untuk melindungi Italy dan Sepanyol yang mudah terjejas yang pasaran tuntutkan.

Para pemimpin, menurut The Washington Post, berasa kecewa pada hari Selasa semalam terhadap usaha mereka untuk merangka respons terhadap krisis hutang yang melanda benua itu sehari sebelum tarikh akhir yang dibebankan pada diri sendiri, manakala kebuntuan politik di Italy berhubung dengan langkah jimat-cermat mengelamkan lagi harapan untuk penyelesaian segera.  "Eropah terpaksa bergelut ke arah pelan penyelamat kewangan."  

Sementara editorial akhbar itu hari ini,  yang memerhatikan pertelagahan antara para pemimpin Eropah, mengingatkan bahawa pelan penyelamat Eropah tidak akan berjaya tanpa pertumbuhan. "Untuk beberapa banyak tahun, kadar pertumbuhan Eropah ketinggalan jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan pasaran sedang muncul, memaksa benua itu lebih banyak meminjam untuk mengekalkan taraf hidup."


Eropah kini terkial-kial mencari pemimpin yang mampu menyelamatkan benua itu, daripada Angela Merkel kepada Nicolas Sarkozy.  Dalam keluaran terbaharu Time, Michael Schuman yang menulis "The Japan Syndrome" mengingatkan  Amerika Syarikat dan Eropah belajar daripada pengalaman Jepun sejak 20 tahun lalu, pertamanya, enggan mengakui bahawa sistem ekonomi telah gagal.  "Masalah ekonomi ialah struktur dan bukan hanya berkitar."

Pengajaran yang paling penting daripada Jepun,  tulis Schuman, ialah  bahaya besar berlengah-lengah.  Oleh sebab ahli politik Jepun melepaskan satu demi satu peluang untuk mengubah laluan negara itu, maka masalah semakin teruk, manakala opsyen untuk para penggubal dasar untuk menyelesaikannya semakin kecil."  Tambah beliau, "siling hutang baru-baru ini yang gagal sama sekali di Amerika Syarikat dan tawar-menawar yang berterusan di zon euro berhubung dengan krisis Greece menunjukkan Barat, sebagaimana Jepun, menyepak tin kosong di atas jalan."

Schuman mengingatkan bahawa "apa yang Jepun mengajar Barat ialah pentingnya keazaman politik.  Tanpa keazaman politik, nescaya Barat akan mengalami nasib seperti Jepun."  Meskipun bergelut krisis dengan begitu lama, Eropah masih belum memperlihatkan keazaman politik untuk membawa  zon euro keluar daripada kancah yang semakin dalam lagi teruk.

Tuesday, October 25, 2011

Dari Libya dengan Harapan dan Keseraman

RABU, 26  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah beberapa hari mati dibunuh, pegawai Majlis Peralihan Nasional (NTC) memaklumkan bahawa Muammar Gaddafi bersama-sama anaknya, Mutassim dikebumikan di sebuah lokasi rahsia pada waktu subuh hari Selasa. Kedua-duanya ketika ditangkap masih hidup dengan beberapa kecederaan, tetapi meninggal dunia sehari kemudian.  NTC dilaporkan tidak mahu  kubur  Gaddafi  itu menjadi tempat suci. 


Selepas sembilan bulan satu minggu tercetusnya perjuangan  yang sengit dalam Pemberontakan Arab, akhirnya Libya menyambut Hari Pembebasan pada hari Ahad lalu, berikutan tumpasnya Gaddafi yang memerintah selama 42 tahun.


"Malangnya, untuk dirinya dan untuk Libya," tulis  Mohamad Bazzi dalam Foreign Policy, "Gaddafi mengkhianati revolusinya sendiri, sebagaimana orang kuat Arab yang lain untuk generasinya.  Kematiannya menandakan berakhirnya pemerintahan pemimpin nasionalis gaya lama."


Kematian Gaddafi itu  akan memberikan suntikan semangat terhadap Revolusi Arab yang hampir terkubur seketika apabila rejim Libya, Syria, dan Yaman enggan berundur. Dan, diharapkan rentak revolusi Libya merebak ke seluruh dunia Arab.  Namun, dari satu segi yang lain, "memperlihatkan kepura-puraan Barat dalam meraikan kematian," tulis Banyan dalam blog The Economist




Bahkan, Bernard-Henri Levy, ahli falsafah Perancis yang pernah menasihati Presiden Nicolas Sarkozy supaya menyerang Libya, yang menulis dalam Newsweek tidak berasa senang terhadap cara Gaddafi diperlakukan dan dibunuh kerana ini  boleh "menjejaskan Pemberontakan Libya." Sesetengahnya merasakan kematian Gaddafi itu tidak membawa apa-apa makna berbanding dengan beliau ditangkap dan dibicarakan. 


Lebih menimbulkan keseraman apabila GlobalPost dan The Huffington Post mendedahkan kemungkinan Gaddafi diliwat dengan menggunakan  pisau atau kayu. Berikutan pendedahan itu, Perdana Menteri sementara Libya, Mustafa Abdul Jalil berjanji akan menyiasat punca sebenar yang menyebabkan kematian Gaddafi. 


Memang banyak pihak, termasuk Barat berasa tidak puas hati terhadap cara  Gaddafi dan mayatnya diperlakukan serta pengebumian di lokasi gurun rahsia, tetapi seperti yang dihujahkan oleh Jonathan Jones semalam, "peperangan selalunya amat dahsyat." Atau dengan kata lain, inilah harga yang perlu dibayar,  pengorbanan perlu ditanggung akibat pemberontakan atau revolusi.  



Robinson Crusoe dan Rahsia Pengumpulan Primitif

SELASA,  25  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Saya masih ingat, semasa menuntut di universiti saya pernah mengambil kursus mikroekonomi, dan mengadakan kumpulan perbincangan dengan kawan-kawan yang mengambil kursus berkenaan, dengan setiap orang dikehendaki membentangkan topik tertentu.  Saya diminta membincangkan aspek buruh, salah satu faktor pengeluaran.  Untuk itu, saya membaca sebuah buku teks mikroekonomi yang dalam  membincangkan aspek buruh menyentuh hubungan antara Robinson Crusoe dengan Man Friday.  

Oleh sebab tertarik dengan cerita itu, saya menyentuhnya dalam perbicangan tersebut bahawa Crusoe yang meskipun terdampar di pulau yang kaya dengan hasil mahsul tidak melakukan apa-apa sehingga datangnya Man Friday. (Kalau dalam sastera Melayu Klasik, Man Friday setaraf dengan Bujang Selamat.)  Salah seorang kawan berasa kurang senang kerana saya memetik cerita tersebut untuk membicangkan faktor pengeluaran, iaitu buruh, asyik menyindir saya.  Mungkin bagi dia, cerita Robinson Crusoe dan Man Friday itu tidak ada kena mengena dengan buruh yang dibincangkan dalam mikroekonomi.  

Kemudian, kalau tidak silap ingatan saya, dalam novel Anak Semua Bangsa Pramoedya Ananta Toer, turut menyentuh cerita Robinson Crusoe dengan Man Friday untuk memperlihatkan betapa pentingnya buruh.  Tanpa mereka, sumber asli dan para pemodal tidak dapat mengaut keuntungan, atau menurut istilah Marxis,  melakukan pengumpulan modal melalui penindasan  terhadap buruh.  

Yang menarik, dalam keluaran September lalu, Monthly Review menerbitkan semula tulisan mendiang Stephen Hymer, profesor ekonomi  yang memperincikan kisah Crusoe, iaitu bagaimana bermula sebagai peniaga hamba abadi, dia menggunakan lebihan orang lain untuk memperoleh kekayaan.  Hymer melakukan sedemikian untuk menjelaskan analisis Karl Marx tentang ekonomi kapitalis, terutamanya pada zaman pengumpulan primitif yang menjadi titik tolaknya.

Untuk pengumpulan kapitalis berfungsi, dua jenis manusia mesti bertemu dalam pasaran (dan kemudian dalam proses pengeluaran), jelas Hymer.  Dari satu pihak, pemilik wang yang begitu ghairah meningkatkan modal mereka dengan membeli kuasa buruh orang lain.  Dari satu pihak yang lain pula, buruh bebas yang tidak boleh dihalang oleh obligasi prakapitalis atau harta peribadi.  Sebaik-baik kapitalisme bertapak, kapitalisme mengekalkan pengasingan ini dan mengeluarkannya semula pada skala yang berkembang secara berterusan.

Sebenarnya, banyak pengajaran yang diberikan dalam sastera klasik, termasuk sastera klasik Melayu untuk memahami, khususnya aspek ekonomi dan politik masa kini.  Malangnya, pengalaman saya ketika membaca dan meneliti kajian sastera klasik Melayu, saya dapati kebanyakannya (bukan semuanya) lemah  dari segi analisis, lebih bersifat "potong dan tampal."  

Zon Euro Menjunam ke dalam Kemelesetan

SELASA, 25  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Selepas sebuah demi sebuah negara di zon euro bergelut dengan krisis hutang yang jalan penyelesaiannya kelihatan sukar, kini muncul masalah dalam ekonomi sebenar, iaitu zon berkenaan terbenam dalam kemelesetan.  Hal ini terbukit  apabila PMI jatuh kepada 47.2 mata bulan ini daripada 48.8 mata September, terlalu di bawah konsensus 48.5 mata daripada ahli ekonomi yang ditinjau.  

Komposit  PMI zon euro yang dipetik secara meluas, antara oleh The Guardian dan  The Telegraph, menunjukkan krisis hutang kedaulatan mengheret  zon itu ke dalam kemelesetan. Dengan data PMI ini jelas apa yang dikatakan oleh Fareed Zakaria bahawa "masalah sebenar Eropah ialah tiada pertumbuhan."  Di luar zon euro, United Kingdom dijangkakan  menuju ke arah kemelesetan curam berganda.

Data yang membimbangkan ini datang tatkala para pemimpin bertelagah sesama sendiri, misalnya Presiden Nicolas Sarkozy memberikan kata dua kepada Perdana Menteri David Cameron supaya diam kerana naik mual dengan apa yang Perdana Menteri British memberitahu apa yang zon euro perlu lakukan.  Pertelagahan antara  kedua-dua pemimpin itu, ditafsirkan oleh The Economist, "bersatu di Libya, berperang di Eropah."

Sementara di negara sendiri, David Cameron menghadapi "pemberontakan" 81 orang anggota Parlimen daripada partinya, iaitu Konservatif yang mahukan diadakan referendum atau pungutan suara berhubung dengan keanggota Britain dalam Kesatuan Eropah.  Meskipun Cameron yang menentang pungutan suara menang dengan majoriti besar, kebanyakan sokongan yang beliau peroleh datangnya daripada Parti Buruh dan parti dalam kerajaan pakatannya, iaitu Demokrat Liberal.  Akibat penentangan anggota Parlimen daripada partinya sendiri, Cameron dikatakan mengalami luka yang cukup dalam, dan beliau ialah ketua pasukan yang berseteru.



Eropah di pinggir kemusnahan, menurut pemerhatian Robert Kuttner, bahawa krisis kewangan 
Eropah yang dalam itu merupakan akibat kegagalan para pemimpin Barat menetapkan sistem perbankan ketika krisis mula tercetus pada tahun 2007.  Selain itu, di zon euro, terlalu banyak tumpuan untuk menyelesaikan krisis hutang sehingga mengabaikan langkah, seperti yang dibahaskan oleh Roger Bootle, mewujudkan permintaan agregat.

Tatkala Eropah sedang bergelut dengan krisis dan Menduduki Wall Street semakin memperoleh rentaknya, Vatican mendesak supaya dilakukan tindakan keras terhadap pasaran kewangan.  Tatkala para pemimpin Eropah bertelagah sesama sendiri, para penggubal dasar pula terhegeh-hegeh, dan ahli ekonomi terkial-kial, Vatican, seperti yang dibahaskan oleh Amy Sullivan,  mengemukakan idea radikal untuk pembaharuan kewangan.  Yang menarik, dengan cadangan itu, Vatican ditafsirkan menyokong penunjuk perasaan antikapitalis dan menyerang sistem kewangan global.


Dengan kemelesetan itu, sekali zon euro membawa igauan ngeri yang mengeruhkan lagi  kemuraman ekonomi global dan merancakkan lagi gerakan Menduduki Wall Street, yang  merebak kepada Menduduki Chicago, dan Menduduki di Merata-rata Tempat.












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...