Artikel Popular

Tuesday, June 14, 2011

Perang Kata

RABU, 15 Jun 2011
Oleh:    ZULKIFLI  SALLEH


Louis Althusser, dalam bukunya, Lenin and Philosophy and Other Essays, membahaskan mengapa falsafah bergaduh kerana kata.    Menurut beliau, realiti perjuangan kelas “diwakili” oleh “idea” yang “diwakili” oleh kata. Dalam  taakulan saintifik dan falsafah, tegas Althusser,  kata (konsep, kategori) ialah “instrumen” pengetahuan.  Akan tetapi, dalam perjuangan politik, ideologi, dan falsafah, kata juga merupakan senjata, bahan letupan atau penenang, dan racun.  “Kadangkala,” bahas beliau, “seluruh perjuangan kelas mungkin boleh disimpulkan dalam perjuangan untuk sepatah kata terhadap kata lain.”
Sebilangan ulasan tentang  Pemberontakan  Arab kedua yang tercetus di Tunisia dan Mesir  khususnya, serta   Libya, Yaman, dan beberapa negara lain amnya, memberikan tumpuan yang berlebih-lebihan terhadap peranan Facebook, Twitter, Blog, WikiLeaks, dan Internet. Padahal, media baru  itu hanya  merupakan sokongan logistik terhadap pemberontakan Arab itu. “Penggunaan media baru,” ulas Walter Armbrust, Profesor Pengajian Timur Tengah di Oxford, “adalah sebahagian identiti revolusi.  Belia menguasai medium dalam cara yang golongan tidak dapat faham dengan sepenuhnya.”
 Di samping  mengabaikan peranan rakyat Arab sendiri untuk bangkit memberontak, ulasan berkenaan juga menafikan peranan kandungan atau secara khusus  kata yang disalurkan melalui pelbagai media. Yang berlaku di Mesir itu – negara yang mempunyai  penduduk paling banyak di dunia Arab dikatakan penting untuk berjuta-juta rakyat Arab lain yang juga sengsara akibat pengangguran, ketidaksamaan, rasuah, dan kerajaan yang tidak bertanggungjawab  - dan berkongsi bahasa yang diliputi dalam media, seperti al-Jazeera dan tapak rangkaian sosial yang pihak penafis rasmi tidak mudah halang.
Di Tunisia, para penunjuk perasaan  datangnya daripada pelbagai lapisan dan golongan,  semuanya  menyanyikan lagu kebangsaan dan meneriakkan slogan utama “Ben Ali Berambus.”   Selepas Zine el-Abidine Ben Ali  melarikan diri ke Arab Saudi, bentuk sindiran yang tajam yang diterbitkan dalam majalah The Economist, “Ali Baba Sudah Pergi, Bagaimana dengan 40 Orang Penyamun.”  Sementara isteri beliau, bekas pendandan rambut, Leila Trabelsi,  digelar Lady Macbeth.  Nesrine Malik dalam makalah dalam guardian.co.uk pada pertengahan Februari turut mengetengahkan  perang kata, “Ice Queens of the Arab World,” yang mendedahkan kehidupan mewah dan boros beberapa orang isteri pemimpin Arab.  Bermula dengan Lady Macbeth, iaitu Leila Trabelsi yang dianggap setaraf dengan Imelda Marcos Filipina, kemudian beralih kepada Suzanne Mubarak, bekas wanita pertama Mesir dan Permaisuri Rania Jordan.
Di Mesir, pihak penganjur tunjuk perasaan bukan sahaja bersetuju dari segi menghantar mesej  taktik terlebih dahulu, tetapi juga memastikan kejayaan menggembleng sokongan golongan miskin dan kurang berpendidikan.  Untuk golongan ini, mereka menumpukan isu ekonomi sebagai  dikir  tunjuk perasaan, dan bukannya penyeksaan. “Kami menggunakan bahasa mereka,” kata Dalia Ziada, aktivis  hak asasi manusia dan penulis blog, “kami tidak menggunakan bahasa kami sebagai pengguna Internet.”
Penunjuk perasaan yang muncul  dengan kostum, memegang sepanduk, lukisan kartun, dan seni pemasangan mudah ahli.  Seorang lelaki mengangkat-angkat kasutnya yang menyematkan nota memberitahu Mubarak bahawa dia menendang bekas Presiden itu.  Sementara yang lain memegang isyarat yang berkata, “Mubarak, Shift+Delete.”   Di Dataran Tahrir, kolektif  troubadour mempunyai pengkhususan dari segi mencipta slogan yang lucu, kesat, dan ditujukan secara langsung kepada presiden, misalnya, “Mubarak, kamu badak sumbu (kharteet),”  “berambus, berambus, kamu perosak (ghateet).”
Banyak penunjuk perasaan yang  mengangkat poster dengan perkataan “berambus”  dalam  bahasa yang berbeza – kalau-kalau Mubarak tidak faham. Penunjuk perasaan juga mempamerkan mesej menggunakan bahasa yang melampaui sempadan mereka, menunjukkan bahawa khalayak mereka bukan hanya Mubarak, tetapi juga dunia.  “Irhal” muncul pada isyarat  dan poster dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa, termasuk Jerman dan Cina sebagai sindiran “jika Mubarak  bebal bahasa Arab, mungkin Mandarin memberikan kepandaian.
Selepas  rejim Hosni Mubarajk ditumbangkan, Ben Zimmer menulis “How the War of Words Won in Cairo” dalam akhbar The New York Times.  Bagaimana anda memberitahu diktator supaya berundur?  Jawapannya, di Mesir, adalah dengan sajak, bahasa teknologi, hiroglif atau tulisan lambang, dan banyak lagi.  Untuk berminggu-minggu, di Dataran Tahrir dan tempat-tempat lain di Mesir, para penunjuk perasaan memberitahu Presiden Hosni Mubarak supaya berundur, dengan bergurau menggunakan pelbagai dialek dan bahasa untuk memastikan idea tersebar luas.   Dan, pada Jumaat 11 Februari, Mubarak akhirnya mendapat mesej itu dan meletakkan jawatan.
Di  bawah pemerintahan autoritarian, Zimmer merumuskan, “bercakap kebenaran untuk kuasa, lazimnya mengambil bentuk ragam ungkapan yang terlalu berwarna-warni dan kreatif.” Tambah beliau,   “Bermain dengan kata lazimnya satu daripada beberapa cara untuk mencabar sistem politik yang menindas, dan memperlihatkan jenaka di  sebalik kepintaran linguistik untuk mewujudkan ikatan kukuh perpaduan.” 
Wujud  keselarian kejatuhan Ceausescu di Romania atau Suharto di Indonesia.  Penunjuk perasaan biasanya menggunakan nama pemimpin yang mereka tentang itu sebagai bahan persendaan.  Di Indonesia pada tahun 1990-an, aktivis mengubah nama Presiden mereka menjadi akronim sindiran tajam: “sudah harus tobat.”  Sementara di Mesir, pada isyarat protes mereka sendiri, pakar bahasa Mesir mentransliterasikan “irhal,” imperatif bahasa Arab baru untuk “berlepas,” menjadi hiroglif Mesir supaya “firaun” dapat faham.  (Mubarak digelar  firaun dan  apabila beliau enggan meletakkan jawatan, antara komen ialah “firaun enggan pergi.”)
Memeranjatkan, tulis Zimmer, bahasa Inggeris ialah bahasa asing yang diutamakan.  Dalam hubungan ini, beliau memetik pandangan Niloofar Haeri, Profesor Antropologi di Johns Hopkins University yang mengkaji bahasa dan politik Mesir:  “Menggunakan bahasa Inggeris adalah cara untuk ‘memperlihatkan bahawa negara itu adalah moden dan warganegaranya tahu bahasa global,’ melawan streotaip Barat bahawa Mesir  sebagai mundur dan tradisional.”
Orang ramai yang mahu menggulingkan rejim bukan sekadar perang kata, tetapi juga memperlihatkan  Mesir  sebagai pentas  Revolusi Kebudayaan, seperti  yang cuba dibahaskan oleh Robyn Creswell, dalam The New York Times.     Bersama-sama dikir, wujud banyak muzik baladi, menarik, gaya popular,  di samping pengucapan puisi dan menggantung patung ukiran.  Amalan  ini merupakan   budaya folk Mesir: kasar, cabul serta lucu, canggih dari segi politik.
Berbanding dengan versi budaya atas ke bawah rejim, tulis Creswell, penunjuk perasaan mencipta egalitarian popular yang ingkar dan budaya konfrontasi mereka  sendiri.  “Meskipun intelektual Mesir berbelah bagi, orang ramai yang turun ke Dataran Tahrir menandakan garis yang cukup jelas, iaitu selalu berdikir:  “Siapakah mereka dan siapakah kita?”  Di sini mereka menggunakan kata yang menunjukkan perbezaan kelas atau darjat:  “Mereka ialah pihak berkuasa, sultan.” “Mereka kaya, dan kerajaan di sebelah mereka.”  “Kita miskin, diperintah.”  “Fikirkan, gunakan kepala anda.”  “Lihat siapakah antara kita yang memerintah yang lain.”
Bahasa memainkan peranan penting dalam perjuangan kelas, seperti yang diperhatikan   oleh penulis Rusia, V.N. Voloshinov dalam bukunya, Marxism and the Philosophy of Language (1929).  Bagi beliau, kumpulan yang berbeza mencuba untuk mengaksenkan kata dalam cara untuk menyatakan atau melahirkan pengalaman interaksi sosial mereka dan aspirasi mereka.  Akibatnya, “tanda menjadi arena perjuangan kelas.”  Sementara Michel Foucault, intelektual Perancis menganggap “bahasa sebagai rupa bumi kuasa (terrain of power).” Justeru, memang tidak memeranjatkan apabila  bahasa memainkan peranan dalam menggulingkan rejim di dunia Arab.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Mei 2011.)




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...