ISNIN, 13 Jun 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tahun 2008 merupakan tahun krisis: krisis makanan yang mengancam penduduk dunia, terutamanya golongan miskin, dan kenaikan harga minyak yang mengancam semua negara pengimport minyak. Tiba-tiba berlaku kemerosotan ekonomi global yang kini semakin pantas dan menakutkan. Dikatakan bahawa setiap komponen dalam ekonomi, daripada pengguna kepada majikan kepada pemberi pinjaman bertindak dalam ketakutan atau terpaksa, dan dengan itu, menarik orang lain jatuh sama. Seperti kata peribahasa, enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
“Tahun 2009 pula,” tulis Amartya Sen, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi dalam The New York Review Books, “kemungkinannya kelajuan kemerosotan yang jelas, dan banyak ahli ekonomi menjangkakan kemelesetan besar-besaran, malah sebesar yang berlaku pada tahun 1930-an.”
Apabila Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan Pertama membentangkan Belanjawan 2009 pada 29 Ogos 2008 sesetengah pihak mempersoalkan kemampuan belanjawan ini merangsangkan ekonom. Ini kerana selain krisis makanan dan kenaikan harga minyak, “krisis kewangan pertama dalam erti kata sebenar pada abad ke-21,” dengan memetik Alan Greenspan, “sedang marak.”
Meskipun belanjawan ini memperlihatkan penglibatan kerajaan dalam penyediaan pendidikan asas, infrastruktur, dan jaringan keselamatan sosial yang penting dari segi pendekatan tuntas untuk pembangunan, tetapi peruntukan pembangunan adalah rendah, iaitu RM53.7 bilion (25.8 peratus) daripada jumlah peruntukan RM207.9 bilion berbanding dengan peruntukan mengurus yang berjumlah RM154.2 bilion (74.2 peratus). Malah, peruntukan mengurus bagi emolumen yang berjumlah RM38 bilion adalah lebih tinggi daripada peruntukan pembangunan bagi pertanian, perindustrian, dan infrastruktur yang berjumlah RM27.8 bilion. Dengan peruntukan pembangunan sebanyak itu, kemampuan “projek kerja raya” – meminjam istilah John Maynard Keynes – mengekalkan kuasa beli dan merangsangkan pengembangan sektor swasta agak terbatas.
Kini, keraguan itu sedikit sebanyak terbukti benar apabila Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan antara -1 hingga satu peratus pada tahun 2009 berbanding dengan 4.6 peratus tahun 2008. Penguncupan ini mengetepikan ramalan awal bahawa pertumbuhan adalah 3.5 peratus. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun keempat 2008 mencatatkan 0.1 peratus – penurunan yang ketara berbanding dengan purata 6.3 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun berkenaan.
Pada 10 Mac 2009, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan Pertama membentangkan pakej rangsangan ekonomi kedua (2009 – 2010) yang dikenali belanjawan mini bernilai RM60 bilion. Pakej rangsangan ekonomi kedua ini mengandungi empat teras: mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan (peruntukan RM2 bilion); mengurangkan beban rakyat, terutama golongan mudah terjejas (peruntukan RM10 bilion); membantu sektor swasta menghadapi krisis (peruntukan RM29 bilion); dan membina keupayaan masa depan (peruntukan RM19 bilion).
Dengan pembentangan belanjawan mini itu jelas bahawa peruntukan RM207.9 bilion dalam Belanjawan 2009 dan pakej rangsangan ekonomi pertama bernilai RM7 bilion yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri November lalu belum cukup kuat untuk mengharungi tsunami ekonomi yang turut melanda Malaysia. Namun, Datuk Seri Mohd. Najib semasa pembentangan bajet mini, menjelaskan bahawa kerajaan yakin strategi dan langkah-langkah yang diambil dalam pakej rangsangan baru bersama-sama Belanjawan 2009 dan pakej rangsangan pertama, cukup tuntas untuk mencegah ekonomi daripada terjerumus ke dalam kemelesetan yang dalam.
Memang tepat jika ada yang menganggap bahawa pakej rangsangan kedua ini sebagai tali keselamatan (lifeline). Mampukah pakej rangsangan ini yang merupakan hampir sembilan peratus KDNK menyelamatkan ekonomi Malaysia? Sehari selepas pembentangan itu, Datuk Seri Mohd. Najib menjelaskan bahawa pakej rangsangan RM60 bilion itu bukan silver bullet, tetapi diperkenalkan untuk mencegah ekonomi Malaysia daripada terjerumus ke dalam kemelesetan.
Beberapa penganalisis menganggap bahawa pakej rangsangan ini hanya bernilai RM15 bilion dalam bentuk perbelanjaan langsung kerajaan, manakala selebihnya adalah dalam bentuk lain, seperti pinjaman bank yang dijamin oleh kerajaan. Ada yang mempersoalkan saiz pakej rangsangan terlalu besar. Ada pula yang mencadangkan lebih baik kerajaan memberikan baucar pembelian RM1000 kepada setiap isi rumah untuk menggalakkan perbelanjaan pengguna, dan untuk itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan tidak lebih daripada RM10 bilion.
Agensi berita Perancis, Agence France-Presse (AFP) melaporkan bahawa beberapa penganalisis berasa ragu-ragu terhadap pakej rangsangan ini dari segi keupayaan menghindarkan kemelesetan dan bagaimana bersih pelaksanaannya. Standard Chartered dipetik sebagai berkata, “meskipun saiz pakej itu besar, tetapi keupayaannya untuk memastikan pertumbuhan adalah positif masih menjadi persoalan, dan defisti yang meningkat kepad 7.6 peratus tahun ini boleh mengancam penarafan kredit. ING juta dipetik sebagai berkata, tidak tertarik dengan perbelanjaan yang besar, “ekonomi akan menguncup 2.2 peratus tahun ini,dan keadaan politik mendorong kita berfikir tentang banyak perbelanjaan untuk matlamat politik.
Dikatakan bahawa kemelesetan adalah global: eksport, pengeluaran, dan penggunaan jatuh dengan laju. Pertumbuhan global menghampiri sifar, dan ekonomi semua negara maju kemungkinan mengecut pada tahun 2009. Harga saham dan hartanah jatuh terus-menerus, dan akibatnya, para pengguna dan syarikat memerlukan masa yang lama untuk membayar hutang. Kebenaran yang sukar: Tiada siapa yang tahu bilakah kemelesetan akan berakhir. Ramalan ekonomi bila kemelesetan bermula dan berakhir sungguh sukar.
Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick meramalkan ekonomi dunia akan menyusut sebanyak satu hingga dua peratus pada tahun 2009, dan menambah bahawa kesukaran akan berlanjutan ke tahun 2010. Zoellick memberi amaran kepada para pemimpin negara G20 yang bertengkar sesama sendiri bahawa mereka menghadapi risiko “melakukan terlalu sedikit, terlalu lewat” untuk membaiki ekonomi global.
Jika bulan Februari 2009, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyebut “keterukan tidak boleh ditolak kerana krisis dunia semakin dalam, sebulan kemudian, IMF memberi amaran sesuatu yang lebih teruk: “Ekonomi global akan mengecut tahun ini kerana dunia memasuki Great Recession.” IMF pada bulan Januari mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia daripada 2.2 peratus kepada 0.5 peratus pada tahun 2009.
Dalam laporan terbaru yang dikeluarkan pertengahan Mac 2009, IMF mengunjurkan United Kingdom antara negara paling teruk dilanda kemelesetan tahun ini dan satu-satunya ekonomi utama menguncup pada tahun 2010. IMF menyatakan bahawa ekonomi global mengecut sebanyak 0.6 peratus pada tahun 2009 berbanding dengan 3.8 peratus di Britain. Jepun satu-satunya ekonomi utama yang paling teruk tahun ini, menguncup sebanyak lima peratus. IMF juga menjangkakan pertumbuhan dalam kalangan negara G7 ialah -3.2 peratus, sama dengan ekonomi zon euro, manakala pertumbuhan Amerika Syarikat -2.6 peratus. Pada tahun depan, IMF menjangkakan ekonomi United Kingdom mengecut sebanyak 0.2 peratus lagi, manakala negara-negara lain mula mengalami pertumbuhan. Pada tahun 2010, ekonomi global diramalkan berkembang 2.3 peratus, G7 dan Amerika 0.2 peratus, dan zon euro 0.1 peratus.
Kerajaan Singapura menjangkakan KDNK negara itu mengecut sebanyak dua hingga lima peratus tahun ini. Pertumbuhan ekonomi yang disemak semula ialah 1.1 peratus tahun 2008, kurang daripada 1.2 peratus yang dianggarkan sebelum ini. Setiausaha Kewangan Hong Kong meramalkan ekonomi Hong Kong akan menguncup sebanyak dua hingga tiga peratus pada tahun ini.
Apabila Jabatan Buruh Amerika mengumumkan hampir 600,000 pekerjaan hilang pada bulan Januari, dan kadar pengangguran meningkat daripada 7.6 peratus daripada 7.2 peratus pada bulan terdahulu, Mark Zandi, ketua ahli ekonomi di Moody’s Economy.com., menyimpulkan: “Kemerosotan bertambah buruk, dan kemungkinan bertambah buruk, melainkan penggubal dasar bertindak balas secara agresif.”
Tatkala dunia dilanda kemelesetan, peningkatan kadar pengangguran amat mencemaskan yang menunjukkan bahawa kemelesetan semakin dalam. Dunia terperangkap dalam kitaran ganas: pengangguran dan kemelesetan. Sebagaimana krisis makanan, peningkatan kadar pengangguran boleh menggugat kestabilan sesebuah kerajaan. Dijangkakan beberapa pemimpin negara mengalami nasib seperti Perdana Menteri Iceland, Geir Haarde yang terpaksa meletakkan jawatan akhir Januari 2009.
Di Malaysia, kadar pengangguran meningkat daripada 3.7 peratus pada tahun 2008 kepada 4.5 peratus tahun 2009, manakala belanjawan mini merancang mewujudkan 163,000 peluang latihan dan pekerjaan. Meskipun kadar pengangguran di Malaysia meningkat, tetapi tidak seburuk pengangguran di negara lain, misalnya Sepanyol (14.4 peratus), Ireland (8.2 peratus), Perancis (8.1 peratus), Greece (7.5 peratus), dan Kanada (7.2 peratus). Sementara kadar pengangguran di Amerika pada bulan Februari meningkat kepada 8.1 peratus, tertinggi sejak akhir tahun 1983 kerana majikan bertindak memotong kos dengan mengurangkan 651,000 pekerjaan. Sejak kemelesetan bermula pada Disember 2007, ekonomi Amerika kehilangan sebanyak 4.4 juta pekerjaan, dengan lebih separuh berlaku sejak empat bulan lalu. Pengangguran di Britain dijangka meningkat kepad 9.5 peratus pada tahun 2010 daripada 6.3 peratus sekarang, manakala kadar pengangguran di Jerman dijangka meningkat kepada 10.5 peratus daripada 7.8 peratus.
Setakat ini, setiap negara masih tercari-cari “ramuan” terbaik untuk memerangi kemelesetan. Nyata bahawa beberapa usaha yang diambil, seperti pakej rangsangan ekonomi, pelan penyelamat, penurunan kadar faedah, dan potongan cukai masih belum menampakkan kesannya. Di United Kingdom, misalnya, potongan pencukaian nilai ditambah (VAT) keseluruhannya tidak berkesan. Dalam kajian perniagaan bulanannya, British Chambers of Commerce (BCC) mendapati bahawa lebih 90 peratus firma British percaya bahawa potongan VAT gagal membantu perniagaan mereka.
Di tengah-tengah perpecahan yang mendalam antara Amerika Syarikat dengan Eropah bagaimana untuk bertindak balas terhadap krisis ekonomi pasaran yang merebak secara meluas sejak Perang Dunia Kedua, Robert Zoellick berkata: “Membersihkan sistem perbankan lebih penting daripada mengepam pertumbuhan melalui potongan cukai atau meningkatkan perbelanjaan.”
Bagi Presiden Bank Dunia itu, pakej rangsangan sahaja tidak cukup untuk menyelamatkan ekonomi daripada kemelesetan. “Jika kamu tidak menangani isu perbankan, rangsangan hanya seperti sugar high. Tindakan ini menyuntik beberapa tenaga ke dalam sistem, tetapi kemudian kamu berasa hampa, kecuali kamu membuka semula pasaran kredit.” Dengan merujuk kepada penyelidikan IMF tentang kira-kira 122 krisis kewangan dan ekonomi, beliau menegaskan, “turnaround tidak boleh berlaku, kecuali kamu membersihkan aset buruk dan melakukan permodalan semula bank.”
Tanpa menafikan pentingnya saiz pakej rangsangan, keberkesanan pelaksanaannya merupakan penentu, tetapi ini “mudah cakap daripada bertindak.” Hakikat keberkesanan pelaksanaan turut diakui oleh Datuk Seri Mohd. Najib dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The Wall Street Journal yang turut diterbitkan oleh beberapa akhbar tempatan. Di kebanyakan negara, apabila menyebut keberkesanan pelaksanaan pakej rangsangan, misalnya menyalurkan peruntukan mengikut masa yang ditetapkan, banyak pihak berasa tidak yakin. Kerenah birokrasi berleluasa, dan ini boleh mendorong kemelesetan untuk bertapak dan terus bertapak.
“Pada dasarnya, setakat mana keterukan kemelesetan ini akan bergantung pada kelajuan pelaksanaan langkah kerajaan untuk ‘membebaskan’ pasaran kredit dan kejayaan pelbagai pakej rangsangan global dalam memulihkan perniagaaan dan keyakinan pengguna,” kata Richard Lambert, Ketua Pengarah Confederation of British Industry (CBI).
Di tengah-tengah tsunami ekonomi melanda dunia, Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke meredakan sedikit gelora kecemasan yang dihadapi oleh pelbagai pihak. Dalam wawancara yang dirakamkan dengan “60 Minutes” CBS pada pertengahan Mac, beliau berkata bahawa kemelesetan Amerika kemungkinan akan berakhir tahun ini dan pemulihan bermula tahun depan, bergantung pada tugas yang sukar: mendapatkan bank memberikan pinjaman secara bebas semula dan mendapatkan pasaran kewangan untuk bekerja secara lebih normal.
Pengakuan Bernanke ini memberi harapan bukan sahaja kepada Amerika, bahkan banyak negara lain, termasuk Malaysia. Apabila Amerika berjaya keluar daripada kemelesetan, maka negara lain yang terbabit akan mengikut jejaknya, manakala negara yang belum terbabit kemungkinannya akan terselamat.
Bagi Datuk Seri Mohd. Najib sebaik-baik sahaja menerajui negara sebagai Perdana Menteri keenam, beliau terpaksa mengharungi pancaroba: tsunami politik yang masih bergelora dan tsunami ekonomi yang mula melanda. Sebagaimana Barack Obama di Amerika, Najib terpaksa bertempur dengan krisis ekonomi yang cukup mencabar dan menguji kepimpinan dan wibawanya. George W. Bush meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari lalu dengan kepopularan yang merudum akibat tsunami ekonomi melanda Amerika.
Hartawan dan kapitalis agung Amerika, Waren Buffett dalam wawancara dengan CNBC sehari sebelum Najib membentangkan belanjawan mini, menjelaskan dengan tepat bahawa ekonomi Amerika sebagai menjunam dengan teruk. Namun demikian, yang tidak kurang pentingnya ialah peringatan beliau, “ambil masa lima minit untuk berasa takut, perlu masa lama untuk berasa yakin” – suatu kesukaran dalam mengharungi tsunami ekonomi.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Mei 2009.)
No comments:
Post a Comment