Artikel Popular

Thursday, June 16, 2011

Negara Kebajikan, Neoliberal, dan Sosialis

KHAMIS,  16  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam “The Mauritius Miracle, or How to Make Big Success of Small Economy,”  Joseph Stiglitz, melahirkan kekaguman beliau  terhadap negara kecil di pantai timur Afrika yang menyediakan pendidikan percuma hingga ke universiti  untuk semua warganegaranya, pengangkutan untuk murid-murid sekolah, penjagaan kesihatan percuma, termasuk pembedahan jantung. Tulis Stiglitz, “anda mungkin mengesyaki negara seperti itu, sama ada kaya dari segi fenomena ataupun pada laluan pantas ke arah krisis kewangan.”  Sebaliknya, negara kaya di Eropah, semakin tidak mampu membiayai pendidikan universiti, dan meminta orang  muda dan keluarga mereka menanggung kos, manakala Amerika Syarikat pula tidak pernah mencuba untuk menyediakan pendidikan kolej percuma untuk semua, dan terpaksa menghadapi pertarungan yang sengit semata-mata untuk memastikan golongan kaya Amerika dapat menikmati penjagaan kesihatan.


Meskipun Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, tidak menyatakan keajaiban Mauritius itu sebagai negara kebajikan, hakikatnya itulah mesej yang ingin beliau sampaikan dengan menyatakan pelbagai kemudahan yang kerajaan  sediakan untuk rakyat.    “Negara itu menghabiskan dekad lalu dengan berjayanya membina ekonomi yang pelbagai, sistem politik demokratik, dan jaringan keselamatan sosial,” tulis beliau.  “Orang Mauritius memilih laluan yang membawa kepada tahap tertinggi kepaduan sosial, dan pertumbuhan ekonomi – dan kepada tahap terendah ketidaksamaan.”

Dalam maksud yang paling ketat, seperti yang dibahaskan oleh Sherry Holetzky, negara kebajikan ialah kerajaan menyediakan kebajikan atau kesejahteraan warganegaranya dengan sepenuhnya.  Kerajaan sedemikian terlibat dalam kehidupan warganegara pada setiap peringkat.  Kerajaan menyediakan keperluan fizikal, kebendaan, dan sosial, dan bukannya orang menyediakannnya sendiri.  Tujuan negara kebajikan adalah mewujudkan kesamaan ekonomi atau memastikan taraf hidup yang saksama untuk semua.  Negara kebajikan menyediakan pendidikan, perumahan, makanan, penjagaan kesihatan, pencen, insurans pengangguran, cuti sakit atau cuti kerana kecederaan, pendapatan tambahan dalam sesetengah keadaan, dan upah yang sama menerusi kawalan harga dan upah.  Kerajaan juga menyediakan pengangkutan awam, penjagaan kanak-kanak, kemudahan sosial, seperti tempat letak kereta awam dan perpustakaan, di samping menyediakan seberapa banyak barang dan perkhidmatan.  Sesetengah item ini dibayar melalui program insurans kerajaan, manakala yang lain dibayar melalui cukai.  Kebanyakan negara maju tidak benar-benar negara kebajikan, meskipun banyak yang menyediakan sekurang-kurangnya sesetengah program perkhidmatan sosial atau hak kelayakan.  Barang dan perkhidmatan ini pada amnya boleh didapati hanya untuk orang tertentu yang memenuhi keperluan yang ditetapkan.  Mereka yang memenuhi prasyarat, bagaimanapun, adalah dijamin atau layak untuk menikmati faedah itu sebagai hak.  Jenis sistem ini sering kali dirujuk sebagai “jaringan keselamatan,” yang direka bentuk untuk membantu golongan yang paling mudah terjejas.

Bagi mereka yang begitu ghairah membahaskan negara kebajikan, seperti yang berlaku di negara kita sekarang, dan mungkin ada parti politik yang tersentak,  dipetik Sherry Holetzky sekali lagi bahawa “negara kebajikan dari segi sifatnya ialah sosialis.”     Negara itu mengagihkan semula kekayaan dengan mengenakan cukai yang berat terhadap golongan kelas menengah dan atasan dalam usaha untuk menyediakan barang dan perkhidmatan kepada golongan yang kurang bernasib baik.  Bahkan, negara yang tidak secara tipikal berpegang pada  sosialisme biasanya menawarkan sekurang-kurangnya beberapa bentuk jaringan keselamatan, dan kebanyakannya memperluaskan penyediaan itu.”  Meskipun sesetengah negara, bahas Sherry lagi, meskipun sesetengah negara percaya bahawa mewujudkan negara kebajikan merupakan peranan yang betul bagi mana-mana kerajaan pusat, hanya sebilangan yang berjaya mewujudkan sistem yang lebih berkesan.  Negara berkenaan tidak mampu menyediakan sesuatu yang saksama untuk semua warganegara mereka, selalu meninggalkan mereka yang paling memerlukan dalam serba kekurangan.  Pencatuan barang dan perkhidmatan juga menjadi masalah utama apabila terlalu banyak orang bergantung pada negara kebajikan.

Dalam membahaskan kemungkinan model  kebajikan Sweden untuk Kanada, Ingo Schmidt menegaskan bahawa negara kebajikan tidak ada komoditi yang boleh dipakejkan dan dikirimkan ke seberang laut.  Setiap negara kebajikan merupakan penyataan keseimbangan institusi  kuasa kelas di negara tertentu pada masa tertentu.  “Negara kebajikan Sweden,” tulis Schmidt, “seperti yang kita ketahui, dari segi asal-usulnya wujud kerana para pekerja dan kaum tani menggembleng kuasa bersama ketika Kemelesetan Besar 1930-an dan golongan borjuis memutuskan untuk menyatukan kelas popular ini ke dalam strategi pengumpulan yang tujuannya pada produktiviti yang tinggi dan pasaran dunia.  Perjuangan kelas ketika Kemelesetan Besar itu di Kanada mengambil bentuk yang berbeza, dan hasil perjuangan itu masih memberikan impak terhadap pembangunan negara kebajikan hari ini.”

Immanuel Wallerstein cuba menyusurgalurkan kemunculan negara kebajikan dengan kemunculan  Parti  Demokratik Sosial  (SPD) di Jerman yang pada tahun 1959 yang beralih daripada parti kelas pekerja menjadi parti orang ramai.  “Apa yang SPD Jerman dan parti-parti  demokratik sosial lain muncul untuk menyatakan pendirian pada masa itu ialah kata sepakat yang dikenali ‘negara kebajikan.’  Dalam objektif ini, pada tempoh pengembangan besar ekonomi-dunia ketika tahun 1950-an dan 1960-an, amat berjaya.”  Walau bagaimanapun, apabila ekonomi-dunia memasuki kebekuannya yang panjang bermula pada 1970-an, dan dunia memasuki tempoh “globalisasi” neoliberal, parti-parti demokratik sosial mula pergi jauh.  Mereka menggugurkan penekanan pada negara kebajikan untuk menjadi penyokong semata-mata versi yang lebih lembut keutamaan pasaran.

Dalam “The State of Welfare:  United States 2003,”  Tony Platt, memerhatikan ketika 25 tahun lalu, berlaku transformasi kebajikan Amerika daripada model liberal, iaitu Keynesian kepada model neoliberal, yang dipacu oleh perniagaan.  “Kebangkitan semua negara perang dan peranan utama puak kanan dalam Pentadbiran Bush telah menutup seketika debat politik tentang masa depan kebajikan, tetapi ekonomi negara ini dan polarisasi perkauman akan akhirnya memaksa mempertimbangkan semula dasar perkhidmatan kemanusiaan.”

Menjejaki neoliberal sebagai  doktrin ekonomi politik yang muncul pada akhi tahun 1930-an, David Harvey dalam bukunya, New Imperialism yang secara radikal menentang komunisme, sosialisme, dan semua bentuk campur tangan kerajaan melampaui yang dikehendaki untuk memperoleh penyusunan harta persendirian, institusi pasaran, dan aktiviti keusahawanan.  Korpus pemikiran neoliberal dibentuk secara aktif pada tahun 1940-an oleh pemikir, seperti von Hayek, Ludvig von Mises, Milton Friedman, dan sekurang-kurangnya untuk seketika, Karl Popper. Hanya selepas krisis pengumpulan berlebihan menjadi begitu nyata pada tahun 1970-an, neoliberal dilihat secara serius sebagai alternatif kepada Keynesian dan rangka kerja yang lebih berpusatkan negara yang lain untuk penggubalan dasar.  Kemunculan neoliberal di persada dunia dikaitkan dengan Margaret Thatcher yang bersama-sama Ronald Reagan, mengubah seluruh orientasi negara daripada negara dan ke arah sokongan aktif terhadap keadaan “sebelah penawaran” pengumpulan modal.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengubah rangka kerja dasar mereka dalam sekelip mata,  dan dalam beberapa tahun, doktrin neoliberal mencipta kemenangan mudah melalui institusi yang menguasai dasar, pertama di dunia Inggeris-Amerika, tetapi kemudiannya banyak tempat lain di Eropah dan dunia, tulis Harvey.  “Oleh sebab penswastaan dan liberalisasi pasaran merupakan mantera gerakan neoliberal, kesannya adalah untuk menjadikan  pusingan baru ‘kurungan dan bersama’ ke dalam objektif dasar negara.”

David Harvey dalam wawancaranya dengan Sasha Lilley juga menyentuh  golongan neoliberal yang menurut beliau, berpandangan bahawa campur tangan negara dan penguasaan negara adalah sesuatu yang perlu ditakuti.  Dan mereka tidak hanya bercakap tentang fasisme dan komunisme, tetapi mereka juga bercakap tentang pembinaan negara kebajikan yang kuat yang ketika itu muncul di Eropah dalam tempoh pascaperang dan juga bercakap tentang apa-apa jenis campur tangan kerajaan ke dalam bagaimana pasaran berfungsi.  Mereka melihat peranan mereka sebagai sangat politik, bukan hanya menentang fasisme dan komunisme, tetapi juga terhadap kuasa negara, dan terutamanya terhadap kuasa negara demokratik sosial di Eropah.  Berhubung dengan negara kebajikan, Harvey menyatakannya “liberalisme tertanam,” yang  dicirikan oleh kompak jenis antara buruh dengan modal, idea jaringan keselamatan sosial, dan komitmen guna tenaga penuh.

Dari segi politik, penyokong globalisasi neoliberal, seperti yang diperhatikan oleh  Immanuel  Wallerstein, mencapai kejayaan yang tinggi.  Satu demi satu kerajaan, di Selatan global, di blok sosialis, dan negara Barat yang kuat, menswastakan industri, membuka sempadan mereka untuk perdagangan dan urus niaga kewangan, dan mengurangkan negara kebajikan.  Idea sosialis, bahkan idea Keynesian, dipersenda dan diragui dengan sewenang-wenangnya dalam pendapat awam dan diketapikan oleh elit politik.  Masalahnya hanya kejayaan politik ini tidak standing dengan kejayaan ekonomi.  Kebekuan keuntungan dalam perusahaan perindustrian di seluruh berterusan.  Peningkatan  pasaran saham di mana-mana jua tidak berasaskan keuntungan produktif, tetapi terutamanya pada manipulasi kewangan spekulatif.  Agihan pendapatan di seluruh dunia dan di  dalam negara menjadi semakin pencong, iaitu peningkatan besar-besar dalam pendapatan 10 peratus teratas dan khususnya satu peratus teratas daripada penduduk dunia, tetapi kejatuhan dalam pendapatan sebenar dalam kebanyakan penduduk dunia.  Justeru, Wallerstein merumuskan tahun 2008 sebagai kematian globalisasi neoliberal yang ideologinya bergema sejak awal 1980-an.

Berikutan krisis kewangan dan kemelesetan global,  mendorong kerajaan di banyak negara  campur tangan  melalui pelan penyelamat, pemiliknegaraan, dan pakej rangsangan ekonomi yang melahirkan apa yang dikenali sebagai Kerajaan Besar.  Untuk seketika, dengan tumpasnya fundamentalisme pasaran,  banyak negara di dunia memperlihatkan diri mereka sebagai negara kebajikan, meskipun hakikatnya, menyelamatkan kapitalisme yang menghadapi krisis yang teruk. 

Namun,   sejak tahun lalu, negara kebajikan  terpaksa memberikan laluan kepada jimat cermat.  “Kita memasuki Zaman Jimat Cermat,” tulis Robert J.  Samuelson dengan begitu yakin dalam “The Age of Austerity.”  Zaman ini telah tiba di Eropah dan kini menuju ke Amerika Syarikat, tambah beliau.  “Kerajaan seluruh Eropah memotong perbelanjaan sosial dan menaikkan cukai, atau berfikir-fikir untuk berbuat demikian.  Negara kebajikan dan pasaran bon bertembung, dan negara kebajikan berundur.”


Melampaui jimat cermat yang kini dirangkul mesra oleh kebanyakan negara Eropah, William Mitchell dapat mengesani kemunculan neoliberal yang  membohongi kerajaan bahawa jika kerajaan memotong perbelanjaan, sektor swasta akan “masuk” untuk mengisi jurang yang ditinggalkan itu.  Perdana Menteri British, kempen jimat cermat David Cameron dan potongan belanjawan yang membayangi Presiden Obama adalah terpengaruh dengan pembohongan ini. 


“Sebelum krisis,”  tulis Mitchell, “ahli ekonomi  dan penggubal dasar neoliberal mendakwa peranan kerajaan sepatutnya terbatas untuk membebaskan pasaran melalui pembatalan kawal selia.  Dengan pengangguran dilihat sebagai masalah individu, golongan neoliberal menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya tidak cuba mengurangkan pengangguran dengan meningkatkan perbelanjaan awam dan/atau mengurangkan cukai. Bahkan, golongan neoliberal mendakwa bahawa apa-apa jua kerajaan salah dalam usaha untuk mengurangkan pengangguran dalam cara ini, mereka menjadikan keadaan semakin buruk, menyebabkan inflasi dan meningkatkan beban hutang terhadap pembayar cukai (kini dan kemudian).”


Oleh sebab keterukan krisis terbaharu dikurangkan, tegas Mitchell,  golongan neoliberal melancarkan kempen propaganda besar-besaran untuk memperteguh dakwaan mereka bahawa defisit belanjawan adalah buruk dan sepatutnya dielakkan. Jimat cermat kini dilihat sebagai tidak dapat dielakkan.  Bagi mereka, seperti isi rumah, kerajaan mesti hidup dalam kemampuan mereka. 

Dengan kata lain, lupakan negara kebajikan. Rakyat tidak  boleh lagi mengharapkan kerajaan menyediakan barang dan perkhidmatan untuk mereka. Kepulangan neoliberal yang mula mempengaruhi banyak kerajaan, sesungguhnya berita buruk kepada rakyat yang ingin bernaung di bawah negara kebajikan. Pada masa ini, neoliberal berselindung  defisit belanjawan dan jimat cermat,  dan dengan itu, tidak dapat dipastikan, sama ada mereka  mendendangkan semula lagu lama mereka, iaitu penswastaan, liberalisasi, dan pembatalan kawal selia.  

Seperti yang dipetik di atas, Sherry Holetzky berkata bahawa negara kebajikan dari segi sifatnya ialah sosialis, tetapi beliau tidak menghuraikan dengan terperinci.  Prabhat Patnaik dalam “Socialism and Welfarism” cuba menjelaskan bahawa keprihatinan sosialisme  adalah dengan kebebasan manusia yang antaranya berkait dengan guna tenaga penuh (atau hampir penuh), langkah negara kebajikan, mengurangkan ketidaksamaan sosial dan ekonomi, dan pewujudan orde kemanusiaan.  Meskipun fahaman kebajikan dan sosialisme dari segi konseptual adalah berbeza, tegas Prabhat Patnaik,  wujud hubungan dialektik antara kedua-duanya.  Sememangnya, dialektik ini menjelaskan mengapa  borjuis begitu nekad menentang negara kebajikan dan mengapa sosialisme mesti selalunya secara bertengan berjuang untuk negara kebajikan dalam masyarkat borjuis.  Beliau juga mengemukakan alasan mengapa borjuis menentang negara kebajikan yang bermaksud  di sini gilang-gemilang keseluruhan usaha, termasuk campur tangan negara dalam pengurusan tuntutan untuk mengekalkan guna penuh (atau hampir penuh), keselamatan sosial, penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma atau hampir percuma,  dan penggunaan pencukaian untuk menghalang ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan.  Pertama, usaha itu menghalang etika asas sistem borjuis; kedua, penerimaan fahaman kebajikan sama seperti “tiada keyakinan” dalam sistem borjuis; dan ketiga, usaha negara kebajikan meningkatkan kekuatan tawar menawar proletariat dan segmen lain orang yang bekerja.  “Ringkasnya, penentangan pekerja dan bahagian lain orang bekerja menjadi sengit dengan kewujudan langkah  negara kebajikan.”


Dengan wujudnya hubungan dialektik antara fahaman kebajikan dengan sosialisme, Prabhat mencadangkan golongan sosialis menyokong langkah negara kebajikan bukan kerana hanya langkah itu adalah kemanusiaan, bukan hanya kerana langkah itu memberikan faedah kepada orang yang bekerja, tetapi langkah itu mengentalkan keazaman orang ramai untuk menentang, membantu proses mengubah mereka daripada objek kepada subjek, dan dengan itu, membantu proses menajamkan perjuangan kelas.

Makalah ini tidak bertujuan mengupas polemik kepartian yang berlaku tentang negara kebajikan yang hingga kini, nampaknya belum reda. Tanpa bermaksud memperlekeh mereka yang terlibat dalam polemik itu yang secara keseluruhan menjurus kepada politik semata-mata, makalah ini cuba mengetengahkan kefahaman tentang negara kebajikan.  Sebenar-benarnya, di mana-mana sahaja orang berbicara tentang negara kebajikan, dan ada yang mengisytiharkan negara kebajikan telah mati – sesuatu yang agak keterlaluan.  Berikutan usaha neoliberal untuk memulihkan dan seterusnya memperkukuh kedudukan mereka, pastinya  akan memberikan kesan yang mendalam  terhadap  negara kebajikan.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...