JUMAAT, 24 Jun 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Krisis kewangan global baru-baru ini menyaksikan kepulangan John Maynard Keynes, iaitu kebangkitan semula secara meluas dasar "Keynesian." John Bellamy Foster dalam wawancaranya mengatakan bahawa Keynes menyokong dasar fiskal mengembang dan pembiyaan defisit ketika kemelesetan, dan semua kerajaan kini mencuba untuk melaksanakan dasar mengembang tersebut hingga sesetengah keadaan, meskipun pada amnya, bukannya pada skala yang cukup besar. Pada pandangan umum, kenaikan upah akan mengurangkan permintaan terhadap burh, tetapi beberapa Keynesian awal berhujah bahawa mengagihkan semula pendapatan daripada keuntungan kepada upah akan meningkatkan permintaan penggunaan, kerana para pekerja menyimpan kurang berbanding dengan kapitalis, dan dengan itu, meningkatkan output dan guna tenaga.
John Maynard Keynes terkenal dengan penegasannya yang beliau sebut "kesalahan menonjol" ekonomi kapitalis: pembahagian pendapatan yang terlalu tidak seimbang dan ketidakupayaannya untuk mengekalkan keseimbangan guna tenaga penuh. Kesalahan menonjol ini mewujudkan ketidakstabilan dalam proses pelaburan kapitalisme, iaitu jentera pengumpulan. Kapitalisme, menurut Keynes, ialah sistem yang digambarkan oleh ketidakpastian. Pelaburan hilang dinamismenya apabila keuntungan yang dijangkakan terhadap pelaburan baru tertekan, berpunca terutamanya kehadiran dan kekangan permintaan yang dijangkakan. Oleh sebab saluran pelaburan lenyap, modal menjadi spekulasi, menaikkan gelembung aset dan mencetuskan ketidakstabilan kewangan dan prospek lebih banyak krisis yang teruk pada masa depan.
Harry Magadoff, intelektual Marxis yang seangkatan dengan Paul Sweezy, pernah membangkitkan bahawa istilah "negara Keynesian" yang menjadi ungkapan yang meliputi pelbagai konsep dan mengelirukan. Istilah itu mungkin mempunyai makna untuk negara Scandinavia dan tempat-tempat lain, tetapi di Amerika Syarikat bagaimana? Tegas beliau, meskipun konsep itu selalu diterapkan untuk New Deal, perbelanjaan defisit New Deal tidak ada kena mengena dengan Keynes. Seterusnya, Magdoff menegaskan bahawa anggapan "negara kebajikan Keynesian" cenderung untuk menyamarkan fakta bahawa apakah yang benar-benar mengubah arus bukan negara kebajikan, Keynesian atau sebaliknya, tetapi peperangan. Dalam maksud itu, seluruh konsep Keynesianisme boleh membingungkan. "Alasan saya," tulis beliau, "adalah bahawa mitologi negara kebajikan Keynesian yang mungkin tanpa kesudahan adalah berakar umbi pada puak kiri, seperti tempat lain."
Peranan kerajaan adalah untuk merangsangkan permintaan menerusi perbelanjaan ketika ekonomi kendur. Menurut Keynes, kerajaan sepatutnya menanggung defisit dan meminjam wang ketika kemerosotan; hutang ini boleh dibayar balik menerusi pencukaian yang tinggi ketika pertumbuhan ekonomi. Perbelanjaan kerajaan semasa Kemelesetan Besar dan tahun pasca-Perang Dunia Kedua berkesudahan pewujudan negara kebajikan.
John Maynard Keynes, seperti yang dibahaskan oleh David Choat, membuka laluan untuk negara kebajikan dengan justifikasinya untuk campur tangan negara dan peruntukan negara. Beliau memetik Adam Przeworski, ahli akademik pengajian politik yang mengatakan Keynes memberi golongan demokrat sosial "sesuatu yang perlukan segera, iaitu dasar yang berbeza untuk mentadbir ekonomi kapitalis. Choat menegaskan gabungan unsur yang dikemukakan oleh Przeworski itu menyediakan rangka kerja teoritis yang membawa makna kemunculan negara kebajikan.
Dengan Kemelesetan Besar dan kemudian, Perang Dunia Kedua, maka dikatakan paradigma klasik ditinggalkan sama sekali. Dipercayai bahawa kerajaan diperlukan untuk memainkan peranan dalam mengawal selia ekonomi mereka dan paradigma laissez faire tidak dapat beroperasi dengan "tangan tidak nampak." Tangan sebenar diperlukan untuk berfungsi sebagai unsur timbal balas untuk mengawal kitarannya dan mana-mana penyalahgunaan spekulatif.
Selepas Perang Besar dan Kemelesetan Besar semakin lantang kritikan terhadap teori neoklasik muncul daripada Veblen dan Galbraith. Tulis Alvaro J. de Regil, "namun begitu, Keynes merupakan ahli ekonomi yang mengambil sepenuhnya teoritis dan amalan berpisah daripada paradigma klasik dan berjaya mempengaruh dasar ekonomi banyak negara." Tambah Regil, "dalam mana-mana kes, dalam demokrasi, kerajaan berkewajipan, dari segi prinsip, untuk menyediakan keadaan untuk guna tenaga penuh, untuk usaha ini, sokongan langsung golongan yang menganggur adalah perlu untuk mengekalkan permintaan agregat dan mewujudkan plaftorm minimum untuk negara kebajikan. Pastinya, ini sesuatu yang ditakuti oleh kuasa konservatif kerana kerajaan mesti campur tangan menerusi pencukaian dan bentuk lain untuk mengawal dan mengawal selia keadaan berlebih-lebihan dan percanggahan kapitalisme."
Selepas perang, menurut pemerhatian Regil, selama 30 tahun darjah yang sangat besar dalam kemajuan ekonomi sebenar di banyak negara dengan sistem kapitalis. Eropah, Amerika Iberia, Asia Timur, dan negara anggota Komanwel British mengalami pengembangan ekonomi sebenar dan kemajuan sosial sebenar. "Secara keseluruhan, untuk hampir 30 tahun, kebajikan semua lapisan dalam masyarakat meningkat dengan cukup besar di kebanyakan dunia kapitalis. Kedua-duanya negara maju dan negara membangun menerapkan ekonomi Keynesian. Dunia Pertama mengukuhkan sistem kebajikannya, dan Dunia Ketiga memulakan sistem kebajikannya sendiri.
"Peristiwa yang paling penting adalah bahawa tanggungjawab kerajaan, dengan menggunakan tangan yang sangat nampak dan bertindak campur tangan dalam ekonomi bila-bila sahaja diperlukan, adalah menyediakan kebajikan umum kepada semua lapisan masyarakat, menjadi andaian umum. Tanggungjawab pertama kerajaan demokratik adalah untuk menyediakan dan mengekalkan keadaan yang perlu untuk barang bersama," tulis Regil. "Oleh itu, kerajaan demokratik yang merupakan wakil tunggal masyarakat domestik mereka, adalah bertanggungjawab mengurus ekonomi supaya dapat memastikan kekayaan yang dihasilkan memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat dalam cara saksama." Tegas beliau, "justeru, menerusi etos Keynesian, kebajikan masyarakat kapitalis berjaya hampir selama 30 tahun."
Dalam "Keynes and the Welfare State," Maria Cristina Marcuzzo, secara perbandingan, mengupas peranan John Maynard Keynes dalam pembentukan negara kebajikan, dan tegas beliau, peranan Keynes itu, baik dari segi teoritis mahupun amalan, tidak pernah dikaji dengan terperinci. Wujud kecenderungan yang meluas untuk menggambarkan Keynes sebagai bapa pengasas negara kebajikan dan dakwaan bahawa revolusi Keynes menyediakan kewajaran untuk perlunya sektor awam yang besar dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, Maria Cristina berhujah jelas bahawa penglibatan Keynes dalam mereka bentuk dua peristiwa penting negara kebajikan di Great Britain, iaitu insurans sosial nasioal dan dasar kerajaan guna tenaga penuh, agak terhad.
Seperti yang ditegaskan oleh Prabhat Patnaik, "Keynes, ahli ekonomi borjuis yang terkenal pada abad ke-20, sangat membenci kesengsaraan yang pengangguran bawa untuk kelas pekerja. Objektif usaha teoritisnya adalah untuk menamatkan kesengsaraan dengan membersihkan tapak teoritis untuk campur tangan (borjuis) negara dalam pengurusan permintaan dalam ekonomi kapitalis. Beliau begitu komited terhadap masyarakat berperikemanusiaan, dan percaya bahawa peranan ahli ekonomi adalah untuk komited dalam cara itu. Akan tetapi, pada masa yang sama, beliau antisosialis." Justeru, seperti yang dinyatakan di atas, negara kebajikan Keynes ialah negara kebajikan kapitalisme.
No comments:
Post a Comment