Artikel Popular

Wednesday, June 22, 2011

Pemulihan Apa?

RABU,  22 Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"What Recovery?:  The Five  Myths About the U.S. Economy," terpampang pada kulit depan majalah Time dalam keluarannya baru-baru ini.   Di dalamnya terkandung makalah yang ditulis oleh Rana Foroohar, "Don't Hold Your Breath,"  dengan mukadimah "Ini bukan pemulihan bapa anda.  Mungkin, bahkan bukan pemulihan sama sekali.  Memaparkan mitos ekonomi Amerika baru."  Sebagaimana kebanyakan pengulas lain yang meragui bahawa pemulihan ekonomi Amerika betul-betul berlaku  menggunakan kadar pertumbuhan terbaharu, harga rumah, dan kadar pengangguran yang tinggi, demikian juga dengan Rana:  "Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2011 yang hanya 1.8 peratus - di bawah jangkaan di atas tiga peratus, dan anggaran suku kedua lebih kurang sama.  Kemudian, muncul laporan harga rumah yang merosot yang tidak pernah berlaku sejak Kemelesetan Besar.  Yang paling teruk, angka pengangguran yang membuatkan anda menangis, iaitu hanya 54,000 pekerjaan diwujudkan pada bulan Mei, kurang daripada separuh daripada yang dijangkakan dan kurang daripada satu pertiga daripada apa yang diperlukan untuk mengurangkan kadar pengangguran 9.1 peratus."  Untuk menampakkan lagi kesuraman ekonomi Amerika, beliau juga merujuk laporan keyakinan pengguna yang rendah dalam tempoh enam bulan dan kajian pembuatan yang lemah.  


Lebih membimbangkan ialah kemungkinan ekonomi Amerika mengalami kemelesetan curam berganda, seperti yang cuba dibahaskan oleh Stephen Gandel  pada awal bulan ini.  "Dalam beberapa minggu lalu, dengan meningkatknya angka laporan ekonomi yang teruk, termasuk bilangan pekerjaan bulan lalu yang mendukacitakan, maka wujud perbincangan semakin menjadi-jadi kemungkin apa yang dikatakan kemelesetan curam berganda.  Maksudnya, apabila ekonomi terjebak ke dalam kemelesetan semula ketika cuba pulilh dari tempoh sebelumnya.


Tentang kadar pengangguran yang tinggi di Amerika Syarikat, membangkitkan kebimbangan banyak orang, daripada Fareed Zakaria bahawa "pertumbuhan berlaku semula, tetapi pekerjaan masih belum"  kepada bekas Presiden, Bill Clinton bahawa "14 juta orang Amerika masih menganggur, suatu pembaziran sumber yang paling besar", tulis beliau dalam "It's Still the Economy, Stupid."   Krisis yang bermula di Amerika, serta-merta merebak  ke seluruh dunia, dengan berjuta-juta orang hilang pekerjaan.  Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan 27 juta orang kehilangan pekerjaan di seluruh dunia pada tahun 2009.  Kira-kira 12 juta orang yang baru menganggur di Amerika Utara, Jepun, dan Eropah Barat.  Golongan penganggur meningkat hampir empat juta orang di Eropah Timur dan Amerika Latin, manakala kadar pengangguran adalah stabil di Asia, Afrika, dan Timur Tengah.  

Dalam Dewan Masyarakat keluaran Januari tahun ini, saya menulis "Pemulihan Tanpa Pekerjaan," dan oleh itu, tidak perlu diulangi lagi di sini. Seterusnya, dalam Dewan Ekonomi keluaran Mei, saya menulis "Perjalanan Masih Jauh" yang memperlihatkan bahawa pemulihan ekonomi dunia masih pada laluan yang masih yang sukar.  Tulisan itu, antaranya membangkitkan gempa bumi yang menimpa Jepun, krisis hutang di zon euro, pengangguran, kenaikan harga makanan, bahaya langkah jimat cermat, dan pemberontakan di dunia Arab.  Dalam tulisan itu, saya juga mengingatkan bahawa apabila orang ramai berkata bahawa pemulihan tidak seperti pemulihan, mereka menjelaskan keadaan yang sebenar.  Meskipun ekonomi berkembang, banyak orang di mana-mana sahaja merasakan hidup mereka tidak lebih baik, antaranya kerana pengangguran masih tinggi.

Krisis hutang Greece semakin hari semakin genting dan bagaikan menghitung detik untuk mungkir.  Menteri-menteri Kewangan zon Euro mendesak Athens meluluskan langkah jimat cermat baru atau terlepas ansurans 12 bilion euro daripada pelan penyelamat tahun lalu, dan pakej pelan penyelamat yang baru yang bernilai 110 bilion euro.  Setahun selepas pelan penyelamat pertama, Greece masih bergelut dengan hutang negara yang tinggi, iaitu 150 peratus KDNK, dan ekonomi masih berhempas-pulas.  Pasaran terpaksa melihat beberapa bentuk kemungkiran sebagai hampir pasti kerana banyak orang Greece yang marah terhadap impak pusingan pertama langkah jimat cermat.


Kegeringan Greece bukannya masalah zon euro  atau Kesatuan Eropah semata-mata, tetapi juga dijangkakan boleh merebak ke  Amerika Syarikat.  Oleh sebab Greece berkemungkinan besar akan mungkir terhadap hutangnya, Bonnie Kavoussi  menjangkakan pemulihan ekonomi Amerika Syarikat menjadi pertaruhan.  Lagi sekali, tulis Kavoussi, "ekonomi global kelihatan mudah terjejas kepada krisis yang dicetuskan oleh sebuah negara kerana kekacauan di Greece dan risiko kemungkiran kerajaan meningkatkan prospek kerugian membadai merentas Eropah dan Amerika Syarikat."  Selain krisis di Athens dan bencana mengancam Eropah, dijangkakan juga bahawa krisis hutang Greece itu boleh mencetuskan krisis kewangan kedua di peringkat global.  Melihat hari demi hari krisis Greece itu semakin meruncing, pasaran dibanjiri oleh  perbincangan tentang "detik Lehmans" menjelaskan bagaimana tingginya harga yang perlu dibayar akibat tidak dapat membuat keputusan, iaitu pertengkaran antara kerajaan Jerman dengan Bank Pusat Eropah.  


Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan kebimbangannya semakin menjadi-jadi tentang kedalaman krisis di Greece, menekankan kegagalan Kesatuan Eropah mengambil tindakan muktamad boleh membawa kepada kesan domino seluruh zon mata wang tunggal dan mengakibatkan kegawatan kewangan global kedua.  Greece dikatakan mempunyai potensi mengulangi kejutan sistem yang luas yang dicetuskan oleh keruntuhan Lehman Brothers pada September 2008, lalu IMF mengingatkan para penggubal dasar menghentikan pertikaian tentang terma pelan penyelamat dan bertindak segera untuk mencegah jangkitan.


Di luar zon euro, tetapi masih dalam Kesatuan Eropah, ekonomi Britain, seperti yang dibahaskan oleh  Robert Skidelsky, adalah beku sebelum pemotongan belanjawan membuahkan hasil, meskipun  ekonominya mula pulih daripada kemelesetan pada suku keempat 2009.  Namun, bahas beliau, tidak cahaya keemasan di hujung terowong, pertumbuhan dijangkakan semakin perlahan dan bukannya semakin pantas, iaitu  masih di bawah kadar pertumbuhan trend, iaitu 2.5 peratus setahun.  Pengangguran kekal mendatar pada 7.7 peratus.  Pinjaman bank untuk perniagaan British menguncup, pada 3.85 peratus, sama seperti yang berlaku pada permulaan 2010.  Indeks FTSE 100 masih sama seperti sebelum pilihan raya.  Britain berada laluan yang terlalu perlahan dalam pemulihan global.


Nouriel Roubini dari New York University, baru-baru ini mengingatkan bahawa perfect storm   kesusahan fiskal, keadaan yang lembap di China, penyusunan semula hutang Eropah, dan kebekuan Jepun,  mungkin mengancam ekonomi global.  Roubini yang dikenali sebagai "Dr. Doom" yang pernah meramalkan krisis ekonomi Amerika, berkata semasa diwawancara di Singapura,  "wujud satu dalam tiga risiko faktor akan bergabung untuk membantutkan pertumbuhan dari tahun  2013."


Jika kira-kira setahun lalu,  banyak orang melihat cahaya pemulihan di hujung terowong, kini cahaya itu kian malap dan suram, dan menunggu detik untuk padam.  Jika dilihat angka pertumbuhan suku pertama tahun ini, termasuk Malaysia sendiri, maka sukar  untuk mengatakan bahawa pemulihan ekonomi global pada laluan yang betul.  Dengan itu juga, terlalu awal untuk meraikannya.  Salah satu faktornya adalah kerana banyak negara, terutamanya di Eropah melaksanakan jimat cermat, sedangkan pemulihan masih lemah.  Dan, nampaknya langkah jimat cermat itu banyak membawa laknat bukannya membawa rahmat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...