Artikel Popular

Friday, June 17, 2011

Ini Macam ke Penswastaan?

JUMAAT, 17 Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam beberapa hari ini, melalui Facebook, saya dihadapkan dengan kelewatan penerbitan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang hingga hari, masih ada  yang belum diterbitkan lagi.  Dalam suatu program yang berlangsung di DBP semalam, saya dimaklumkan oleh rakan Facebook, kelewatan penerbitan majalah turut dibangkitkan.  Beberapa ha lalu, berikutan kelewatan ini, saya diminta mengemukakan pandangan atau latar belakang beberapa fungsi DBP, iaitu reka bentuk, pracetak, percetakan, pengedaran, dan pemasaran.  Jawapan yang saya boleh berikan ialah bahawa saya tidak terlibat dengan penswastaan beberapa fungsi DBP pada September 2002, kerana ketika itu saya hanyalah Ketua Bahagian (Ketua Editor) Majalah.

Sepanjang ingatan saya berhidmat di DBP, daripada seorang pegawai berpangkat biasa kepada pegawai kanan kepada Pengarah Jabatan Penerbitan, tidak pernah terjadi kelewatan penerbitan seperti yang berlaku sekarang.  "Seburuk-buruk" DBP sebelum penswastaan (saya pernah berkhidmat  sebagai editor di Bahagian Majalah untuk seketika), tidak pernah terjadi kelewatan yang paling teruk dalam sejarah penerbitan majalah DBP.  

Segala-galanya berlaku selepas penswastaan.  Justeru, apa gunanya penswastaan?  Apa jadahnya penswastaan? Sepatutnya penswastaan membawa sesuatu yang semakin baik dan bukannya semakin teruk.  

Sesungguhnya, saya amat bersimpati dengan editor Bahagian Majalah yang bekerja bertungkus-lumus setiap bulan, mengejar batas waktu (deadline), tiba-tiba bulan ini, majalah terbit lewat, dan bahkan ada yang  belum terbit  kerana masalah percetakan. Amat malang bagi mereka, kerana yang terjadi sekarang adalah di luar kawalan dan jangkauan mereka sama sekali.  Namun, "orang lain  makan nangka, orang lain kena getah.  Selain itu, mereka terpaksa berhadapan dengan penulis dan para pembaca  atas  masyarakat  yang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan majalah terbitan DBP?  Di manakah  mereka hendak  sorokkan muka mereka? 

Ketika saya berkhidmat sebagai Pengarah Penerbitan, salah seorang ahli lembaga DBP, Datuk Baha Zain, sering mengingatkan saya supaya majalah terbit setiap bulan dan berada awal dalam pasaran  kerana melalui majalahlah orang ramai dapat merasakan kehadiran DBP di tengah-tengah masyarakat.  

Majalah  dianggap sebagai panji DBP, dan dengan itu, kehadiran dalam masyarakat amat diperlukan.  Namun, kini panji yang menjadi kebanggaan selama ini, kini koyak rabak, compang camping akibat penswastaan. Dalam kata lain, majalah itu merupakan sesuatu yang amat berharga untuk DBP kerana di dalamnya pemikiran, pendirian dan pendapat awam tentang sesuatu isu dan masalah. 

Meskipun masalah kelewatan penerbitan majalah adalah berpunca di percetakan, bagi orang ramai, mereka menganggap itu merupakan masalah DBP.  Mereka berhadapan  dan berurusan dengan DBP, manakala DBP pula mempunyai kebertanggungjawaban dan tanggungjawab moral  untuk menjelaskan kelewatan ini.  

Pesan orang tua, "sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan."  Dalam setiap situasi, peluang dan ancaman saling wujud. Meratapi kesilapan masa lalu, memang tidak ada gunanya.  Memetik Lenin, "apa yang perlu dilakukan?"  

Sesungguhnya, amat malang jika kemelut penswataan DBP tidak dapat diselesaikan segera kerana organisasi ini di bawah Kementerian Pelajaran yang menterinya juga Timbalan Perdana Menteri. Sebelum ini, kita menyaksikan beberapa penswastaan menemui kegagalan, tetapi  kerajaan bertindak pantas menyelesaikannya.  Kelewatan menyelesaikannya mencerminkan sikap tidak membuat keputusan atau sikap tidak tegas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri yang jika dibiarkan berlarutan akan menjadi bahan ketawa dan ejekan orang ramai, lebih-lebih lagi dalam situasi perpecahan politik yang mendalam sekarang.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...