Artikel Popular

Thursday, June 9, 2011

Memperkasa Sains Sosial

KHAMIS,  9 Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan semalam, Kementerian Pengajian Tinggi akan membangunkan sebuah universiti berasaskan sains sosial untuk memacu kemajuan dalam penyelidikan negara.  Menteri yang berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik sebagai berkata, "Pembangunan universiti tersebut merupakan pelengkap kepada lima universiti penyelidikan sedia ada yang berteraskan sains dan teknologi."   Tegas beliau, "Universiti penyelidikan sains sosial ini akan dipilih dalam kalangan 15 buah universiti awam yang belum berstatus universiti penyelidikan untuk dibangunkan menjelang 2020." Tambah beliau lagi. "Bagi mencapai matlamat ini, kementerian akan membangunkan satu ukuran yang tepat untuk melihat universiti yang layak bergelar universiti penyelidikan sains sosial.

Pastinya, pengumuman itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli akademik, khususnya ahli sains sosial.  Sementara menunggu respons mereka, saya rasa terdorong untuk mengemukakan beberapa pandangan, meskipun saya bukan layak untuk bercakap tentang sains sosial di negara ini, apatah lagi tentang penubuhan universiti berkenaan.   Hal ini demikian kerana terlalu banyak ahli akademik yang layak untuk membicarakannya dengan lebih mendalam dan tuntas.  

Seperti yang diketahui, banyak universiti awam yang bukan sahaja menawarkan pengajian sains sosial, tetapi juga mempunyai fakulti sains sosial yang lazimnya digabungkan dengan kemanusiaan.  Hanya Universiti Sains Malaysia mempunyai fakulti yang tersendiri yang dikenali Pusat Pengajian Ilmu Kemasyarakatan.  Sebagai lepasan Pusat Pengajian tersebut, seingat saya antara pengkhususan yang ditawarkan ialah ekonomi, antropologi/sosiologi, pengajian pembangunan, dan sains politik.  Selain pengkususan utama dan pengkhususan kecil, para pelajar dibenarkan mengambil beberapa khusus elektif.  

Justeru, dikatakan bahawa Pusat Pengajian Ilmu Kemasyarakatan  di USM adalah yang terbaik untuk pengajian sains sosial di negara ini kerana semua kursus sains sosial ditawarkan di situ, termasuk ekonomi yang dianggap sebagai "ratu" sains sosial.  Sedangkan di universiti lain, ekonomi mempunyai fakulti tersendiri atau digabungkan dengan perakaunan atau pengurusan perniagaan.

Dalam kalangan ahli sains sosial di peringkat antarabangsa,  Immanuel Wallerstein banyak membicarakan kewujudan bidang pengajian ini dan masa depannya; antaranya  telah dipetik dalam "Dua Budaya" yang boleh didapati dalam blog ini.  Dalam bukunya, The End of the World as We Know it:  Social Science for the Twenty-first Century beliau juga membincangkan aspek sains sosial, khususnya dalam bahagian kedua, "The World of Knowledge." Dalam Bab 9, "Social Science and Comtemporary Society:  The Vanishing Guarantee of Rationality," Wallerstein  antaranya menulis:  "Sains sosial dilahirkan sebagai loket intelektual ideologi liberal.  Jika sains sosial mengekalkannya, maka sains sosial akan mati sebagaimana liberalisme mati.  Sains sosial membina dirinya sendiri pada premis optimisme sosial."  Namun, beliau menarik perhatian bahawa kini ialah era pesimisme sosial, dan justeru, tegas beliau, "saya percaya bahawa kita ahli sains sosial mesti mengubah diri kita secara keseluruhannya atau kita akan menjadi  tidak relevan dari segi sosial dan menurunkan martabat kita ke beberapa sudut kecil beberapa akademik kecil..."  Tegas beliau lagi, "saya percaya bahawa unsur utama dalam kelangsungan kita adalah untuk mengembalikan konsep kerasional substantif kepada pusat prihatin intelektual kita."  

Di sini elok dipetik keyakinan Immanuel Wallerstein tentang masa depan sains sosial yang mungkin boleh dikaitkan dengan kewajaran Kementerian Pengajian Tinggi untuk menubuhkan universiti penyelidikan sains sosial.  Dalam Bab 14, "Social Science and the Quest for a Just Society,"  beliau menulis:  "Saya lihat kemungkinan yang berakhirnya secara muktamad perceraian antara sains dengan falsafah, dan seperti yang saya katakan, saya lihat sains sosial sebagai tapak yang pasti menyatukan semula dunia pengetahuan."  

Seterusnya, dalam bab terakhir, iaitu Bab 15, "The Heritage of Sociology,  the Promise of Social Science," beliau mengukuhkan keyakinnya terhadap sains sosial.   "Saya sepatutnya suka untuk berurusan dengan janji sains sosial dari segi tiga prospek yang nampaknya bagi saya, kedua-duanya, iaitu kemungkinan dan diingini untuk abad ke-21:  penyatuan semula epistemologi yang dikenali dua budaya, iaitu sains dan kemanusiaan; penyatuan semula dan pembahagian semula organisasi sains sosial; dan andaian oleh sains sains pemusatan dalam dunia pengetahuan."

Sebarang perbincangan tentang sains sosial, khususnya tentang masa depannya tidak akan sempurna tanpa merujuk kepada Open the Social Sciences:  Report fo the Gulbenkian Commission on the Restructuring of the Social Science yang Immanuel Wallerstein memberikan sumbangan yang cukup besar.  Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh beliau dan dianggotai oleh sembilan orang yang lain yang datang daripada latar belakang, iaitu sains sosial (kebanyakannya), sains semula jadi, dan kemanusiaan.  

Anggota suruhanjaya itu dalam laporan berkenaan cuba mengajukan tiga perkara.  Pertama, untuk menunjukkan bagaimana sains sosial dibina dari segi sejarah sebagai bentuk ilmu dan mengapa sains sosial dibahagikan ke dalam set spesifik disiplin standard secara relatif dalam proses yang berlaku antara akhid abad ke-18 hingga tahun 1945.  Kedua, untuk mendedahkan cara yang pembangunan dunia dalam tempoh sejak tahun 1945 membangkitkan persoalan tentang pembahagian buruh intelektual ini, dan dengan itu, membuka semula isu penyusunan organisasi yang dilaksanakan dalam tempoh sebelum ini.  Ketiga, untuk menjelaskan persoalan intelektual asas yang banyak diperdebatkan baru-baru ini dan menyatakan pendirian kami fikirkan optimum untuk mengorak langkah.

Satu daripada empat cadangan penyusunan semula sains sosial itu ialah mewujudkan program penyelidikan bersepadu di dalam struktur universiti yang merentas garis tradisional, mempunyai objektif intelektual yang spesifik, dan mempunyai dana untuk tempoh yang terhad (katakan lima tahun). Ini berbeza daripada pusat penyelidikan tradisional yang mempunyai hayat tidak terhad dan diharapkan menjadi struktur pengumpulan dana.  "Dalam banyak permintaan terhadap program baru, mungkin apa yang diperlukan adalah bahawa para penyokong yang dibenarkan menunjukkan utiliti dan kesahan pendekatan mereka mengikut jenis program penyelidikan ini, dan bukannya memulakan program pengajaran dengan segera."

Dari banyak segi, langkah Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan universiti penyelidikan sains sosial adalah selari dengan usaha di peringkat antarabangsa untuk memperkasa sains sosial.  Namun, setakat ini, ahli sains sosial tempatan belum lagi memberikan respons atau maklum balas awal mereka terhadap  usaha itu.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...