Artikel Popular

Saturday, June 18, 2011

Fahaman Perlindungan atau Jalan Revolusi?


SABTU,  18  Jun 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH

Pada awal tahun 2008, organisasi antarabangsa, seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, dan Bank Pembangunan Asia serta pihak media terpaksa mengakui bahawa berlaku krisis makanan yang menjejaskan berjuta-juta penduduk dunia. Ketika itu  timbul kesedaran bahawa krisis makanan ini boleh mencetuskan rusuhan dan ketegangan sosial di banyak negara, malahan boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan atau mengubah rejim.  Kemudian, krisis ini disusuli dengan kemelesetan yang melanda dunia yang  dijangkakan semakin dalam dan semakin lama.  Pertumbuhan ekonomi dunia terus merosot, manakala pengangguran kian meningkat.  Usaha yang dilakukan oleh banyak  negara melalui pelan penyelamat, pakej rangsangan ekonomi, pemilikannegara bank, dan pengurangan kadar faedah masih belum membuahkan hasil.  IMF memaklumkan bahawa “keterukan tidak boleh dinafikan” kerana krisis dunia semakin dalam.
Kebelakangan ini disedari bahawa kebanyakan negara seakan-akan ingin  berpegang semula pada fahaman perlindungan. Risiko tindak balas yang teruk terhadap dasar pasaran bebas, dengan perdagangan yang perlahan, maka fahaman perlindungan kewangan dan pasaran kini semakin jelas.  Tatkala setiap negara berusaha menyelamatkan ekonomi negara  masing-masing daripada terbenam dalam kemelesetan, tidak dapat tidak,  usaha ini akan menjurus ke arah  fahaman perlindungan.

Dalam beberapa pertemuan antarabangsa, para  pemimpin dunia mula menumpukan perhatian dan menyatakan kebimbangan terhadap fahaman perlindungan.  Semasa persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru akhir November, 21 buah negara anggota, termasuk Malaysia berikrar tidak menegakkan sekatan fahaman perlindungan baru, sebaliknya mengekalkan perdagangan bebas, meskipun wujud desakan untuk melindungi industri domestik. 
“Fahaman perlindungan ialah jalan menuju kehancuran,”  Perdana Menteri British, Gordon Brown   memberitahu Council on Foreign Relations di New York semasa beliau menghadiri  persidangan kecemasan negara G-20 tentang krisis kewangan global yang berlangsung di Washington pertengahan November lalu.
Para pemimpin dunia yang menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos pada akhir Januari hingga awal Februari memberikan amaran gelombang baru fahaman perlindungan menghalang perdagangan antarabangsa dan memusnahkan pekerjaan.  Di sini,  Brown menegaskan  sekarang bukannya masa untuk negara berundur dari globalisasi ke fahaman perlindungan kerana fahaman ini tidak melindungi sesiapa.  Beliau  sekali lagi mengingatkan bahawa “masalah yang lebih besar” daripada fahaman perlindungan perdagangan ialah ancaman fahaman perlindungan kewangan apabila bank-bank menghantar balik  modal ke negara asal dari luar negara, khususnya pasaran  sedang muncul untuk memenuhi syarat kerajaan bagi pertolongan kecemasan.  “Kecenderungan pada detik ini akan sama ada berundur ke fahaman perlindungan atau berundur tanpa melakukan apa-apa.”  Institute of International Financial menjangkakan aliran modal ke pasaran sedang muncul  akan menjadi perlahan pada tahun ini, iaitu AS$165 bilion berbanding dengan yang tertinggi, iaitu AS$929 bilion dua tahun lalu.
Di Forum Ekonomi Dunia itu para pemimpin lain juga  menyatakan kebimbangan dan menambah bahawa kaedah tradisional perlindungan, iaitu tarif,  kuota, dan peraturan  diskriminasi   turut berlaku.  Perdana  Menteri China Wen Jiabao dalam ucapannya memberikan amaran bahawa fahaman perlindungan akan hanya memperdalam dan memanjangkan lagi krisis ekonomi.   
Beberapa tokoh perniagaan yang  menghadiri forum  itu turut menyatakan kebimbangan masing-masing terhadap kebangkitan fahaman perlindungan.  Gary Cohn, presiden bersama Goldman Sachs Group Inc., yang beribu pejabat di New York menyatakan bahawa beliau amat prihatin terhadap peningkatan fahaman perlindungan dalam industri, seperti perbankan dan pembuatan automobil yang disokong oleh wang pembayar cukai.  Rupert Murdoch, pengerusi News Corp., juga prihatin terhadap fahaman perlindungan:  “Wujud bahaya yang amat sangat ke arah fahaman perlindungan di banyak tempat.”
Namun, yang lebih serius ialah daripada  krisis kepada  konflik:  kemelesetan ekonomi pasti membangkitkan lebih banyak persengketaan di seluruh dunia. Dikatakan bahawa landskap antarabangsa kelihatan berbeza sama sekali pada permulaan tahun 2009 jika dibandingkan dengan tahun sebelum, dan bukannya kerana Barack Obama berpindah ke Rumah Putih.  Masalah besar yang beliau hadapi yang akan memberikan kesan terhadap seluruh pelosok dunia: ancaman kemelesetan ekonomi yang teruk sejak Kemelesetan Besar tahun 1930-an.Lebih 500,000 pekerja hilang pekerjaan setiap bulan.  Di mana-mana sahaja syarikat mengalami kegagalan, dan rangkaian berita kabel Bloomberg pada awal Februari  melaporkan bahawa “Australia menghadapi keruntuhan 100,000 perniagaan.”  Beribu-ribu pemilik rumah menghadapi perampasan setiap hari.   Apabila krisis ekonomi global menuntut mangsanya yang pertama pada akhir Januari, iaitu peletakan jawatan Perdana Menteri Iceland, Geir Haarde akibat protes ganas rakyat, persoalan yang muncul: Siapakah selepas Iceland? 

Immanuel Wallerstein, profesor di Yale University, melalui komentarnya "The Politics of Economic Disaster" pada 15 Februari berpendapat bahawa dunia hanya pada permulaan kemelesetan yang akan berakhir agak lama juga dan akan menjadi semakin teruk berbanding dengan yang berlaku sekarang.  Isu segera bagi kerajaan bukannya bagaimana memulihkan kemelesetan, tetapi bagaimana untuk selamat (survive) daripada kemarahan rakyat yang kian membara yang kerajaan  hadapi sekarang.”  Tulis beliau lagi, “Orang ramai berasa resah dan gelisah. Pada  bulan lalu sahaja, kita dapat melihat orang ramai mengadakan protes jalanan akibat kesukaran ekonomi di negara  kian bertambah -  Greece, Rusia, Latvia, Great Britain, Perancis, Iceland, China, Korea Selatan, Guadeloupe, Reunion, Madagascar, Mexico.”
Fahaman perlindungan muncul dalam semua bentuk dan saiz, daripada duti kepada sekatan perdagangan.  Meskipun banyak negara  berulang kali menyatakan komitmen mereka terhadap perdagangan bebas, namun negara kaya menyediakan jumlah yang besar perlindungan langsung dan tidak langsung untuk industri mereka. Pelan penyelamat bank dan pelan rangsangan fiskal merupakan “fahaman perlindungan tersirat”. Fasal “beli Amerika” dalam pakej rangsangan ekonomi AS$787 yang diluluskan oleh Barack Obama pada 17 Februari   menimbulkan kontroversi, baik di negara itu sendiri mahupun di  negara luar, seperti Eropah,  China, dan Kanada kerana  mengandungi fahaman perlindungan.  Pemberian subsidi kerajaan  untuk pembuat kereta Amerika Syarikat pada akhir tahun lalu juga  nyata merupakan fahaman perlindungan.  Beberapa usaha   Gordon Brown sejak krisis ekonomi global  dan Britain terjebak dalam kemelesetan tidak terlepas daripada fahaman ini. Bagi sesetengah negara Eropah, langkah kerajaan British menggunakan susut nilai   yang kuat dalam mata wang paun sterling berbanding dengan euro semacam  fahaman perlindungan senyap-senyap. Seperti yang ditulis oleh Stephen King dalam akhbar The Independent pada 2 Februari, “Sebagai simbol tindak balas fahaman perlindungan yang meningkat, maka sukar untuk mengatasi protes yang berlaku di United Kingdom Jumaat lalu.”  Mengulangi janji Gordon Brown untuk mewujudkan “pekerjaan British  untuk pekerja British,” penunjuk perasaan menuntut perlindungan dalam industri pembinaan daripada pekerja asing.    Dan bagi King, ahli politik semuanya terlalu mudah digoda oleh pujukan bersifat luaran fahaman perlindungan kerana untuk ini  ada sokongan pengundi.

Burton Folsom Jr., profesor sejarah dan pengurusan di Hillsdale College, seperti yang dilaporkan dalam The New York Times pada 17 Februari  mencadangkan supaya Amerika belajar daripada bencana tahun 1930-an.     Runtuhnya pasaran eksport pada tahun 1930 menyumbang kepada bermulanya kemerosotan dalam industri Amerika apabila Kongres dan Presiden Herbert Hoover meluluskan Tarif Smoot-Hawley yang memaksa duti import yang tinggi terhadap lebih 3000 item asing.  “Jika kita enggan membeli import China, maka China akan enggan membeli eksport kita.  Pengilang Amerika yang dilindungi daripada persaingan asing, kurang mempunyai insentif untuk melakukan inovasi dan memotong harga.”
Kekecewaan terhadap kemegahan “pasaran” yang tidak dikawal muncul sejak pertengahan tahun 1990-an, seperti muncul semula  desakan yang menyeru dasar fahaman perlindungan kerajaan.”  Bob Davis yang makalahnya pernah dipetik oleh Dewan Masyarakat keluaran September menyebut realiti baru:  sekatan nasional sedang bangkit  kerana negara meningkatkan kawalan terhadap sumber dan menggalakkan fahaman perlindungan. 
Richard Gott menarik perhatian bahawa elit politik mempunyai sesuatu yang lebih menakutkan berbanding dengan fahaman perlindungan, iaitu  ancaman  krisis ekonomi membawa pertukaran rejim sedang berlaku.  Dalam makalahnya, “Recession: The Road to Revolution” yang diterbitkan dalam The Guardian 4 Februari, Gott menegaskan bahawa krisis hari ini jangkauannya lebih luas berbanding dengan kebanyakan ahli politik dan para pengulas bersedia untuk mengakuinya, yang berakhir sekurang-kurangnya 10 atau 20 tahun.  Krisis ini bukannya krisis tahun  1929 atau 1917, tetapi boleh dibandingkan dengan deram-derum permulaan yang berlaku pada tahun 1789 hingga meruntuhkan rejim kuno dan bermulanya tempoh revolusi yang panjang yang sarat dengan uji kaji yang tidak dicuba dan ketidakpastian.
Dua laluan terbentang luas yang tidak dapat dielakkan lagi akibat  kemelesetan yang dijangkakan teruk dan berpanjangan: fahaman perlindungan dan revolusi.  Dari segi amalan, kini para pemimpin dunia, sedikit sebanyak mengamalkan fahaman perlindungan demi menyelamatkan ekonomi negara masing-masing, meskipun  mereka beranggapan bahawa fahaman ini berbahaya. Kemelesetan juga   membangkitkan perjuangan politik yang berusaha mencari  masa hadapan yang lebih cerah.  Hakikatnya, apabila berlaku krisis ekonomi yang teruk, muncul  pemimpin populis dan fasis yang mengetuai perarakan massa  melalui jalan revolusi.     
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Mei 2009.)





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...