Artikel Popular

Thursday, June 9, 2011

Menswastakan Keuntungan Merakyatkan Kerugian

JUMAAT,   10  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam kalangan penulis yang mengkritik Dewan Bahasa dan Pustaka  yang  menulis dalam akhbar dalam talian,  antara sasaran kritikan mereka  ialah penswastaan beberapa fungsi organisasi itu, iaitu pracetak, reka bentuk, percetakan,  pengedaran,  dan pemasaran.  Sejak fungsi berkenaan diswastakan pada September 2002, kritikan sememangnya tidak pernah reda, bahkan  kian lantang sejak akhir-akhir ini.  Sepintas lalu, kritikan itu semacam suatu kenakalan kerana kebanyakan penulis menggunakan nama samaran  yang tidak perlu diulas di sini.  Namun, sumber yang memang boleh dipercayai sepenuhnya, juga turut mendedahkan kelemahan penswastaan fungsi DBP itu, misalnya  StarBizWeek pada 16 Februari lalu,   “MARC downgrades Dawama notes"  yang mewujudkan tanggapan bahawa syarikat konsesi penswastaan kemungkinan tidak dapat menebus bonnya yang cukup tempoh.  
Dan,  yang amat  memeranjatkan ialah rerayap Buletin Utama TV3 pada 22 April:  “Jualan DBP jatuh 80 peratus selepas penswastaan.” Setakat mana benarnya rerayap itu, tidak dapat dipastikan kerana tidak lama selepas itu, saya diberitahu oleh seorang kawan, fakta  tersebut  tidak tepat. Walau apa-apa pun, ada dua perkara yang perlu diberikan perhatian; pertama,  peratus kejatuhan sangat besar – sepatutnya tidak berlaku kejatuhan sama sekali kerana ini bercanggah dengan objektif penswastaan – sepatutnya hampir sembilan tahun penswastaan, jualan meningkat 80 peratus.    Kedua,  perkataan “selepas penswastaan”  menarik perhatian saya (dan mungkin juga banyak orang), lalu saya ingin bertanya: Apa jadahnya penswastaan?” Atau dengan kata yang tidak kurang kerasnya:  Pergi jahanam penswastaan!
Antara hujah utama kerajaan untuk penswastaan ialah kekayaan sektor awam dapat digunakan dengan lebih cekap dan baik, pertumbuhan ekonomi dapat digalakkan dengan membebaskan kuasa pasaran  dan melarang kerajaan menyertai bidang sektor swasta; dan mengurangkan saiz serta beban kewangan kerajaan melalui penjualan aset yang merugikan dan aset yang akan memerlukan perbelanjaan tambahan kerajaan yang akan mengurangkan keperluan pinjaman sektor awam pada masa hadapan.
Sejak penswastaan dilaksanakan pada  tahun 1983, iaitu sebaik-baik sahaja Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan Perdana Menteri,  kisah dukanya sering sahaja kedengaran.   Antara penswastaan yang  awal dan gagal    ialah penswastaan Hospital Lady Templer, yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.  Banyak pihak  menjangkakan bahawa  penswastaan hospital yang terkenal sebagai pusat rawatan tibi  adalah mustahil  berdaya maju. Walau bagaimanapun, kerajaan pimpinan Mahathir  ketika itu yang gemar memperlekehkan pendapat awam, tetap tidak berganjak dengan rancangannya.  Terbukti bahawa hospital yang diswastakan itu memang tidak berdaya maju, dan akhirnya kerajaan terpaksa menyelamatkannya.
Dari semasa ke semasa akan terbongkar  kegagalan penswastaan: daripada perkhidmatan pembentungan kepada  lebuh raya; daripada pengangkutan awam kepada perkapalan; daripada penerbitan kepada percetakan.   Kegagalan  ini bukan hanya terpaksa ditanggung oleh  syarikat berkenaan dan kerajaan menjadi penyelamat, tetapi juga yang melibatkan nasib pekerja dan  beban yang ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna. Namun,  kerajaan terus melaksanakan  penswastaan seadanya,  seakan-akan tidak ada cacat celanya.  Bahkan, penilaian dari segi pencapaian matlamat dan keberkesanan penswastaan  tidak pernah sampai kepada pengetahuan rakyat. 
Apabila  disebut penswastaan, nescaya kedengaran   kritikan, bahkan  tentangan. Penswastaan menyebabkan orang awam terpaksa membayar lebih tanpa penambahbaikan yang sepadan untuk perkhidmatan perlu yang disediakan. Kelemahan  penswastaan pernah  dikupas dan dihujah   oleh  Datuk Shahrir Abdul Samad  semasa membahaskan Belanjawan  2010 dalam sidang Dewan Rakat pada awal November 2009.   Beliau  menggesa bahawa kerajaan perlu memastikan gelombang kedua proses penswastaan akan memberikan manfaat kepada masyarakat dan bukan menguntungkan segelintir pihak sahaja.
Tegas beliau,  “kerajaan perlu mengambil iktibar dengan ketidakseimbangan yang berlaku sebelum ini apabila lahirnya kumpulan ahli perniagaan yang kaya dan berjaya, tetapi menyusahkan rakyat apabila projek mereka terbengkalai.  Yang paling utama hasil akhirnya akan menguntungkan rakyat dan bukannya sekadar mewujudkan usahawan segera.”
Gesaan beliau itu yang berdasarkan pengalaman penswastaan selama ini jika diungkapkan semula: menswastakan keuntungan, merakyatkan kerugian. Jika syarikat penerima konsesi penswastaan mengalami kerugian atau tidak berdaya maju, kerajaan dengan menggunakan wang pembayar cukai  akhirnya menjadi penyelamat.
Meskipun berhadapan dengan pelbagai kelemahan, namun  kerajaan, seperti yang ditunjukkan dalam  strategi pertama, iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, Belanjawan 2010, terus memberikan tumpuan terhadap penswastaan.  Dalam melaksanakan inisiatif penswastaan, kerajaan akan mengurangkan secara beransur-ansur penglibatan dalam aktiviti ekonomi yang bersaing dengan sektor ini.  Kerajaan akan menswastakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan agensi kerajaan yang berdaya maju.
Gelombang kedua penswastaan ini bermatlamat membolehkan syarikat dan agensi berkenaan beroperasi dengan lebih cekap. Kesan penswastaan ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan kepada kerajaan
Langkah  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib untuk melancarkan gelombang kedua penswastaan, pastinya mengukuhkan lagi dakwaan majalah The Economist dalam keluaran awal Julai 2009:  “Son versus sons:  The Prime Minister reforms his father’s economic policy.”  Atau dalam bahasa Melayu: “Putera melawan bumiputera:  Perdana Menteri merombak dasar ekonomi ayahandanya.”   Menurut  majalah tersebut, Najib merombak dasar keutamaan berasaskan kaum untuk majoriti Melayu dan bumiputera yang lain yang diperkenalkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB)  oleh  Tun Abdul Razak Hussein.
Milton Friedman, ahli ekonomi pasaran bebas yang ortodoks, pernah mengesyorkan  bahawa untuk negara yang mengalami peralihan daripada sosialisme: “swastakan, swastakan, swastakan.”   Beberapa tahun kemudian,  beliau mengakui bahawa beliau silap.  Yang jelas bahawa kedaulatan undang-undang mungkin lebih asas jika dibandingkan dengan penswastaan.
Sekurang-kurangnya Friedman menginsafi kesilapannya tentang penswastaan di negara sosialis.  Sebaliknya, kerajaan  Malaysia, meskipun berlaku kegagalan penswastaan, tiada seorang pemimpin pun  secara berani dan  jujur mengakui  akan kelemahan dasar itu. Malah,  setiap detik rakyat dihidangkan dengan retorik perubahan dan transformasi,  yang penswastaan turut “tumpang sekaki.”



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...