Artikel Popular

Friday, June 3, 2011

Kota Perjudian




SABTU,  4 Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di bumi peninggalan Portugis ini
budaya Timur dan Barat berdakap mesra
destinasi pelancongan permata dunia
Macau dan kasino kembang setangkai.

Naluri tergoda  memaut teruja
melenyapkan rasa takut dan curiga
manusia di keliling meja  bertaruh segala yang ada
memburu kemenangan  di hujung senja
bertembung kecewa bersalut  duka
benih ditabur dituai hampa.

Kota perjudian nafasnya segar 
harapan manusia sentiasa membakar
pantang pulang sebelum beradu
meskipun kecundang terpa bertalu.

Dari jendela hotel kediaman
dibuai alunan rasa pesona
daku merenung   kasino bersiram cahaya
merungkai tamsil di sebalik ragam manusia  
bahawa sebelum terdampar di pantai takdir
hidup ini menuntut perjudian
untuk mara ke mercu jaya
perjudian suatu kemestian
dengannya jua sejarah terukir.

Demi pangkat dan darjat
demi kelas dan status
bukan sekadar wang dan harta
amanah, maruah, dan kuasa, perjudian belaka.

Bergelumang manusia dalam   kerakusan
meranap rimbunan adab  susila
meroboh kota persaudaraan
bercakaran, bersengketa bagai haiwan di rimba.

Perjudian Pak Kaduk kaya pengajaran
menang sorak kampung tergadai
hasil secupak lesap segantang
meriah temasya diri derita.

Perjudian bangsa mengusik kesalan
bumi, pulau,  air, dan segala warisan
berpindah milik beralih sempadan
tidak tertebus hingga akhir zaman.


Macau
4 Disember 2008

            (Nota:  Sajak ini pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera Mei 2009.)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...