Artikel Popular

Saturday, June 25, 2011

Atas Nama Kebebasan

SABTU,  25  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Manusia dilahirkan bebas, dan dia di mana-mana sahaja dirantai.  Kata Jean-Jacques Rousseau dalam The Social Contract, untuk menunjukkan bahawa kebebasan manusia adalah terbatas.  Setiap yang dikatakan oleh beliau tentang kebebasan tidak  dapat  dipisahkan daripada keadilan, dan tentang hubungan yang perlu antara hak kebebasan (liberty) dengan kebaikan, meletakkan beliau dalam aliran kemoralan.  Dalam bahagian lain buku itu, beliau berkata bahawa kebebasan bukannya buah daripada setiap iklim, dan dengan itu, bukannya dalam kapasiti setiap orang.

Dari mana datangnya kebebasan?  Kemodenan mempunyai kecenderungan untuk menjawab, tulis Terry Eagleton dalam bukunya, Holy Terror, "daripada kebebasan itu sendiri" - sesuatu jawapan yang cukup mudah.   Meskipun kebebasan seakan-akan menjadi idaman dan tuntutan banyak orang, David Harvey dalam bukunya, The New Imperialism  memetik Matthew Arnold untuk menggambarkan sesuatu yang sinis tentang kebebasan:  "ialah kuda yang sangat baik untuk ditunggangi, tetapi untuk ditunggangi tempat lain."  Dalam bahasa yang mudah, orang yang memperjuangkan kebebasan itu boleh diibaratkan  "manusia tidak serupa bikin"   - golongan serupa ini  juga terdapat di negara kita sekarang: menuntut kebebasan untuk diri mereka, tetapi menafikan kebebasan untuk orang lain.

Pada hari Khamis  lalu, atas nama kebebasan, mahkamah Amsterdam membebaskan ahli politik populis Belanda,  Geert Wilders atas tuduhan menghasut  kebencian terhadap orang Islam.  Keputusan ini mungkin mengukuhkan pengaruh politiknya dan memburukkan lagi ketegangan terhadap dasar kemasukan warga asing.  Kes yang dihadapkan Wilders itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai ujian kebebasan bersuara di Belanda yang mempunyai tradisi toleransi dan lancang mulut, tetapi dari segi penentangan terhadap kemasukan warga asing, terutamanya dari negara Islam atau negara yang lebih banyak penduduk Islam, kian meningkat. Wilders dikatakan paling lantang mengkritik Islam dan imigresen di Belanda.  Parti Kebebasannya kini ketiga terbesar di parlimen, menunjukkan sokongan terhadap pendirian parti itu terhadap kaum imigran atau pendatang, dan merupakan sekutu minoriti ketua kerajaan.  Akan tetapi, banyak komen Wilders, seperti mengaiktkan Islam dengan Nazisme - adalah berbelah bahagi dari segi sosial.   

Hakim yang membicarakan kes itu berkata bahawa kata-kata Wilders itu kadangkala "melukakan hati," "mengejutkan" atau "menyakitkan hati," tetapi kata-kata itu diucapkan dalam konteks debat awam tentang integrasi Muslim dan fahaman pelbagai budaya, dan dengan itu, bukan tindakan jenayah.  Hakim Amsterdam, Marcel van Oosten menerima kenyataan Wilders adalah ditujukan kepada Islam dan bukannya kepada pengikut agama Islam.  "Meskipun kata-katanya 'melampau dan menghina,' tetapi tidak mencetuskan kebencian.

Wilders berasa sangat berpuas hati dan gembira dengan keputusan itu, memberitahu wartawan.  "Ini tidak banyak kemenangan untuk diri saya, tetapi kemenangan untuk kebebasan bersuara.  Mujurlah anda boleh mengkritik Islam dan tidak boleh disekat dalam debat awam."  Tambah beliau, "kini berita baik adalah bahawa juga sah untuk menjadi kritis terhadap Islam, untuk bercakap secara terbuka dalam cara yang kritis tentang Islam, dan inilah sesuatu yang kita mahu kerana Islamisasi dalam masyarakat kita merupakan masalah utama dan mengancam kebebasan kita dan saya tidak dibenarkan untuk berkata." Sementara itu, banyak penganalisis bersetuju bahawa skop debat dalam perang budaya di negara itu mungkin menjadi semakin luas. 

"Alasan utama Wilders dibebaskan," tulis Ubaldus de Vries, "terletak pada pilihan perkataan dan kemahiran berpidatonya berbanding dengan motifnya.  Mahkamah berpendapat bahawa kenyataan Wilders (termasuk filem Fitna) adalah tentang Islam (agama, atau seperti yang dinyatakan oleh Wilders, ideologi) dan bukannya Muslim (sebagai individu atau sebagai kumpulan.... Oleh itu,  OK untuk menggembar-gemburkan dan menghamput Islam, meskipun subteks menunjukkan bahawa gembar-gembur dan hamput ditujukan ke arah Islam."

Ed West yang meskipun  tidak bersetuju dengan pandangan Wilders terhadap Islam, mempertahankan tindakan ahli politik populis itu kerana dia mempunyai setiap hak untuk   untuk memelihara  kebudayaan kebangsaannya.  Dan hakikatnya, dia pergi ke mahkamah untuk membicarakan pandangannya, dan di bawah  kawalan yang tetap, adalah membimbangkan dan mengaibkan, dan menunjukkan bahawa kebudayaan itu dalam bahaya.  West memetik apa yang Wilders beritahu mahkamah sebelum ini:  "Saya bertindak dalam lingkungan tradisi yang panjang.  Saya membahayakan nyawa saya dalam mempertahankan kebebasan di Belanda.  Daripada semua pencapaian kebebasan kita adalah paling berharga dan palilng mudah terjejas.  Banyak yang mengorbankan nyawa mereka demi kebebasan.  Kita diperingatkan tentang perkara itu dalam peringatan bulanan Mei.  Akan tetapi, perjuangan untuk kebebasan wujud lebih lama lagi."

Wilders yang mencadangkan supaya al-Qur'an diharamkan dan menyamakan kitab suci ini dengan Mein Kampf Hitler, memberitahu mahkamah pada tahun lalu bahawa dia didakwa kerana semata-mata melahirkan pendapatnya.  "Saya dibicarakan, tetapi dibicarakan bersama-sama ialah kebebasan bersuara banyak warganegara Belanda.  Saya telah katakan apa yang saya katakan dan saya tidak menarik balik satu perkataan pun."  Tulis Leo Cendrowicz dalam Time,    Wilders tidak akan berhenti daripada kelancangan terhadap Islam.


Dalam makalah yang lain, Cendrowicz menulis bahawa parti Wilders tidak mempunyai wakil menteri dalam kerajaan, hanya sekadar tempat bersandar kerajaan minoriti Mark Rutte, sebagai pertukaran, kerajaan baru itu menyerima tuntutan Wilder untuk bertindak tegas terhadap kaum imigran dan orang Islam.


Perbicaraan tahun lalu juga menyaksikan terpaksa ditangguhkan apabila Wilders menggasak tiga hakim yang membicarakan kes itu.  "Saya duduk di sini sebagai suspeks kerana saya tidak bercakap apa-apa, kecuali kebenaran," kata Wilders dalam menjelaskan pendapatnya dalam konteks debat awam. "Saya boleh meyakinkan anda, saya akan terus mengisytiharkannya."


Dalam mempertahankan Wilders, Jonathan Kay berkata bahawa dia percaya bahawa Wilders bukannya pentaksub, sekurang-kurangnya dalam erti kata bahawa perkataan itu biasanya  difahami.  "Setakat yang saya ketahui, Geert Wilders hanya seorang ahli politik Barat yang memikirkannya dengan serius."  Meskipun banyak orang Eropah secara bersahaja membuat kesimpulan bahawa Wilders ialah penjual kebencian, Kay mengingatkan  bahawa penegasan Wilders terhadap perbezaan yang betul antara kepercayaan dengan ideologi merupakan idea yang sewajarnya dipandang serius.


Ada yang mengatakan bahawa lebih kuat kebebasan bersuara, lebih berkuat demokrasi, dan merujuk keputusan Mahkamah Agung Synder lawan Phelps bahawa kebebasan bersuara merupakan pertahanan terbaik terhadap ekstremisme - sesuatu yang patut Eropah pelajari. Pada Mei lalu,  Timothy Garton Ash menulis dalam The Guardian membahaskan bahawa untuk menentang puak populis xenofobia yang sedang muncul di Eropah, lebih banyak kebebasan bersuara diperlukan.  Bagi, meminta mahkamah melakukan apa yang tidak ingin dilakukan oleh ahli politik sememang silap.   Atas alasan prinsip kebebasan bersuara dan kebijaksanaan politik, Wilders sepatutnya tidak dihadapkan ke muka pengadilan atas yang dia katakan tentang Islam.  Sebaliknya, ahli politik demokratik arus perdana, dan pemimpin pendapat awam lain, sepatutnya lebih berani dan lantang dalam menentang retorik Wilders yang bersifat menghasut itu.


Merujuk kes Geert Wilders, inilah harga yang perlu dibayar atau pengorbanan yang perlu dipikul jika kebebasan bersuara adalah segala-galanya: kepekaan kaum, agama, dan budaya perlu ditolak tepi. Atas nama kebebasan, seseorang itu boleh bercakap apa-apa sahaja dengan berselindung di sebalik debat awam. Demikian juga media pastinya atas nama kebebasan akhbar boleh menerbitkan atau menyiarkan apa-apa sahaja tanpa berasa bimbang disergah atau digertak, atau dihadapkan dengan pertimbangan kemoralan.  


Beberapa bulan dahulu ketika tercetusnya protes terhadap novel Interlok  yang disusuli dengan upacara pembakaran di Kelang, seseorang ahli akademik menulis dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, menyokong protes  itu. Antara alasannya ialah bahawa sesuatu yang diterima pada suatu masa dahulu, tidak semestinya diterima sekarang.  Bagi sesiapa yang mengikuti banyak tulisannya   dalam akhbar berkenaan pastinya berasa aneh kerana dia memperjuangkan kebebasan: kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan badan kehakiman, dan kebebasan segala-galanya.  Tiba-tiba dalam kes novel Interlok dia mengubah nada, mencampakkan kebebasan jauh: dwistandard.  Atau memetik semula Matthew Arnold tentang kebebasan   "ialah kuda yang sangat baik untuk ditunggangi, tetapi untuk ditunggangi tempat lain."





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...