Artikel Popular

Tuesday, June 18, 2013

Eropah Terus Bergelut

SELASA,  18  Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada awal Mac 2011 lalu, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz menulis dalam guardian.co.uk melahirkan kekagumannya terhadap keajaiban Mauritius, bagaimana ekonomi kecil mengukir kejayaan yang besar. Negara kecil ini menyediakan pendidikan percuma hingga ke universiti untuk semua warganegaranya, pengangkutan untuk anak-anak sekolah, dan penjagaan kesihatan percuma, termasuk pembedahan jantung untuk semua. Sebaliknya, bahas Stiglitz, negara kaya di Eropah semakin  mendapati diri mereka tidak mampu membiayai pendidikan universiti, dan meminta orang muda dan keluarga mereka menanggung kos tersebut.  Selain itu, beliau melahirkan kekaguman terhadap negara pulau di pantai timur Afrika yang mempunyai penduduk 1.3 juta orang yang  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh  lebih lima peratus setahun hampir selama 30 tahun dan pendapatan per kapita penduduk  meningkat   kepada lebih AS$6700.
            Selepas menyatakan satu demi satu kejayaan Mauritius, Stiglitz cuba menarik perhatian bahawa “banyak negara, tidak kurang Amerika Syarikat, boleh belajar daripada pengalaman negara itu.”  Bahkan, beliau pergi lebih jauh dengan polemik bahawa persoalan bukannya sama ada kita mampu menyediakan penjagaan kesihatan atau pendidikan untuk semua, ataupun memastikan pemilikan rumah secara meluas.  “Jika Mauritius mampu melakukannya,” tegas Stiglitz, “Amerika dan Eropah yang dari banyak segi adalah lebih kaya – juga boleh.”
            Secara tersurat atau  tersirat, Stiglitz cuba mendedahkan kelemahan dan kegagalan negara besar atau negara kaya, seperti Amerika dan negara Eropah mengurus atau mentadbirkan ekonomi mereka. Amerika dan United Kingdom misalnya, meskipun mula mengalami pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran di kedua-dua negara, berdasarkan data terkini, masih  melebihi  lapan peratus.  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini memotong unjuran pertumbuhan ekonomi United Kingdom untuk tahun 2011 kepada 1.75 peratus – penurunan gred untuk kali ketiganya  dalam setahun.  Penurunan unjuran ini mengukuhkan lagi pandangan umum bahawa Britain menghadapi tahun pertumbuhan yang rendah dan peningkatan kadar pengangguran yang tinggi dengan sedikit prospek pemulihan yang mencipta pekerjaan hingga akhir tahun 2012.
Di  Eropah, sebuah demi sebuah negara  terpaksa  bergelut dengan krisis ekonomi.  Krisis hutang yang bermula dengan pelan penyelamat Greece dan Ireland pada tahun lalu, dikatakan menjadi semakin buruk, dan  negara terbaharu   yang meminta diselamatkan, ialah Portugal.  Bergelut  dengan situasi kewangan yang semakin teruk, maka pada pertengahan April lalu, Portugal mula berunding untuk memohon pakej pelan penyelamat dengan Kesatuan Eropah dan IMF.  Negara itu mengikuti langkah Greece dan Ireland, dua negara yang dikatakan pelan penyelamat terbukti tidak berkesan. 
Yang jelas, pelan penyelamat yang dilaksanakan untuk kedua-dua negara itu tidak membuahkan hasil. Langkah tersebut dikatakan tidak menstabilkan pasaran, tidak menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dan tidak memberikan inspirasi kepada perubahan hati tentang kredit.  Sebaliknya, menurut pemerhatian, pelan penyelamat bersyarat yang dikenakan terhadap Greece, Ireland, dan Portugal, membawa kepada kitaran tersembunyi dan bahaya yang berpunca daripada potongan perbelanjaan dan peningkatan cukai yang mewujudkan kebekuan ekonomi, kegelisahan sosial, dan pergolakan ekonomi.
Tatkala Portugal  merayu-rayu  diselamatkan, Greece terus diheret  ke dalam kancah krisis.  Laungan suara masih lantang mendesak kerajaan Greece supaya menyusun semula hutangnya kerana semakin dibimbangi bahawa pelan penyelamat 110 bilion euro gagal menyelamatkan negara itu daripada krisis kewangan yang sangat teruk dan memaksa orang biasa hidup dalam era jimat cermat yang sia-sia. Krisis terbaharu Greece ini mendedahkan kegagalan langkah jimat cermat, dan negara itu, seperti yang didakwa pada pertengahan April lalu oleh salah seorang anggota parti Perdana Menteri George  Papandreou, “negara itu terperangkap dalam ‘kitaran ganas’, tidak mampu membebaskan dirinya daripada krisis dengan dasar yang hanya mendalamkan lagi kemelesetan.”  Di tengah-tengah spekulasi tentang kemampuan negara itu mengelakkan kemungkiran, tercetus gelombang keingkaran awam yang mendorong banyak orang berfikir bahawa Greece menjadi negara yang dapat dikawal.
Sementara itu, Ireland kemungkinan  terjerumus ke dalam dekad yang hilang, seperti yang  dialami oleh Jepun suatu ketika dahulu.  Wujud persamaan antara kemelesetan di Jepun dengan Ireland,  tetapi  bolehkah kerajaan Irish belajar daripada Jepun dan mengelakkan dekad yang hilang? tanya Lisa O’Carroll dalam blognya dalam gurdian.co.uk.   Pastinya, ekonomi berbeza.  Pastinya, Jepun mempunyai mata wangnya sendiri. Pastinya, masalah fiskal dan politik  Ireland wujud, tanpa mempedulikan bencana perbankan Ireland. Tulis Lisa, “Akan tetapi, kita mempunyai krisis perbankan, harga aset runtuh, peningkatan besar-besaran dalam jumlah pinjaman tidak berbayar, deflasi, nyah penuilan (deleveraging), masalah kunci kira-kira dalam bank, perniagaan, dan isi rumah, keadaan tergesa-gesa oleh sektor swasta untuk membayar balik hutang, pengaturan institusi yang mesra antara banker dengan pusat kuasa, kegagalan berulang-ulang kali percubaan terhadap permodalan semula, dan akhir sekali, penyusunan semula yang dalam sistem perbankan Jepun dan Irish.”  Lisa merumuskan “wujud lebih banyak persamaan berbanding dengan perbezaan dalam cerita ini.” 
Ekonomi  Greece dan Ireland telah pun menjadi bingung daripada kadar faedah empat hingga enam peratus dan penguncupan belanjawan drakonian yang dikenakan oleh pelan penyelamat  Kesatuan Eropah atau IMF 110 bilion euro untuk Greece dan 80 bilion euro untuk Ireland.  Sejak Ireland melancarkan program jimat cermat fiskalnya dua tahun lalu, ekonomi negara itu menguncup sebanyak sekurang-kurangnya 11 peratus, manakala ekonomi Greece merosot sebanyak 6.5 peratus antara suku tahun keempat 2009 dengan 2010.  Dalam keadaan seperti ini, ahli ekonomi Nouriel Roubini dilaporkan menegaskan, “untuk seketika, tidak ada negara akan mampu mengurangkan beban hutang awam dan bahawa akhirnya, kedua-dua negara berkenaan akan mungkir.
Portugal yang merayu pertolongan untuk menyelesaikan beban hutangnya daripada IMF dan Kesatuan Eropah pada awal April sepatutnya menjadi amaran kepada demokrasi di mana-mana.  Demikian tulis Robert M.  Fishman dalam The New York Times, “Portugal’s Unnecessary Bailout”  dengan menarik perhatian bahawa Portugal mempunyai prestasi ekonomi yang kuat pada tahun 1990-an dan mengurus pemulihannya daripada kemelesetan global lebih baik daripada beberapa negara lain di Eropah.  Namun begitu, bahas Fishman, “negara itu menjadi sasaran tidak adil dan tekanan sembarangan daripada peniaga bon, spekulator, dan penganalisis penarafan kredit yang kerana pendek akal  atau alasan ideologi, kini berjaya menyingkirkan satu pentadbiran yang dipilih secara demokratik dan berpotensi mengikat tangan kerajaan yang baru.”
Seterusnya, beliau mengingatkan bahaya kuasa pasaran yang  jika dibiarkan tanpa dikawal selia, boleh membawa ancaman untuk menggerhanakan kapasiti kerajaan demokratik, bahkan mungkin Amerika, untuk membuat pilihan mereka sendiri tentang cukai dan perbelanjaan. Tanpa menafikan bahawa kesukaran Portugal mempunyai persamaan dengan Greece dan Ireland kerana tiga negara ini menerima pakai euro sedekad lalu bermakna mereka perlu menyerahkan kawalan terhadap dasar monetari mereka, dan peningkatan secara tiba-tiba premium risiko yang pasaran bon diserahkan kepada hutang kedaulatan ialah pemacu segera untuk memohon pelan penyelamat. 
Walau bagaimanapun, Fishman menegaskan bahawa  krisis Portugal berbeza sama sekali dengan  Greece dan Ireland.  Bagi negara itu, tidak sesuatu yang tulen yang mendasari krisis.  Institusi dan dasar ekonomi di Portugal yang sesetengah penganalisis lihat kecacatan dengan  putus asa pernah mencapai kejayaan yang ketara sebelum negara Iberia yang mempunyai penduduk 10 juta orang tertakluk kepada gelombang demi gelombang serangan peniaga bon.
George Irvin dalam guardian.co.uk, “Portugal Bailout: Three Scenarios for Europe's Economic Future,” menulis bahkan IMF kini memikirkan bahawa Greece akan mungkir tidak berapa lama lagi. “Namun begitu, syarat yang dikenakan terhadap pelan penyelamat Portugal bernilai antara 80 hingga 90 bilion euro yang kini sedang dirundingkan kelihaan sama-sama drastik, dan menyebabkan keadaan bertambah buruk, European Central Bank (ECB) mula menaikkan kadar faedah yang bermakna bahawa Portugal juga  mungkin akhirya mungkir.
Bagi Irvin, Eropah berhadapan dengan tiga kemungkinan  senario untuk baki 2011.  Pertama, senario “berita baik,” adalah bahawa jangkitan tidak merebak ke Sepanyol dan bahawa keadaan akan kekal juga secara relatif bahkan jika ekonomi pinggir terus menguncup.  Kedua, senario “berita buruk” adalah bahawa Sepanyol mungkin menjadi mangsa lagi kepada pasaran bon dan agensi penarafan pada tahun ini. Sepanyol hari ini mengalami pertumbuhan yang perlahan dan pengangguran yang tinggi berbanding dengan Portugal, dan cajas (bank simpanan)  terlalu terdedah pada hutang lapuk gelembung harta tanah yang meletus.  Irvin memetik  Bloomberg yang  menganggarkan bahawa bank-bank Sepanyol mempunyai jumlah hutang 85 bilion euro yang matang pada tahun 2011.  Ketiga, senario “berita benar-benar buruk” bahawa secara peribadi, beliau ragu-ragu Sepanyol akan digulingkan pada 2011.  Jangkitan bukan hanya tentang pasaran mengasak kadar faedah meningkat, tetapi juga berlaku apabila pasaran tidak lagi percaya ubat yang sakit boleh menjadi berkesan.  “Jika sebuah negara mungkir, domino yang masih ada menunggu giliran untuk melakukan perkara yang sama.”
PIGS, iaitu Portugal, Ireland, dan Greece telah terjebak dalam krisis hutang dan terpaksa diselamatkan.  Satu lagi negara PIGS, iaitu Sepanyol diyakini akan mengalami nasib yang sama. Bola api antara Sepanyol dengan Portugal jelas kelihatan. Walau bagaimanapun, Irvin melihat jauh dengan  merumuskan bahawa tanpa mempedulikan sama Sepanyol dapat bertahan pada tahun ini, pastinya pergolakan yang teruk sedang menunggu Eropah.
Pada masa yang sama, IMF mengeluarkan amaran bahawa masalah hutang Eropah membawa risiko kestabilan kewangan.  Risiko keruntuhan baru yang menimpa bank berakhir dalam tempoh enam lalu, tetapi sistem kewangan masih lemah selama empat tahun selepas krisis yang menyebabkan ekonomi global terheret ke dalam kegawatan yang teruk.   Dalam laporan setengah tahunnya,  Financial Stability Report, IMF berkata bahawa masalah hutang kedaulatan menjejaskan Eropah dan keadaan mudah terdedah bank-bank menimbulkan risiko terhadap kestabilan dan pemulihan ekonomi. Selepas mesyuarat terakhir IMF pada Oktober lalu, Ireland dan Portugal menyertai Greece dalam memohon pelan penyelamat supaya mereka dapat keluar daripada kesukaran kewangan mereka. Menurut laporan itu, “kunci kira-kira kedaulatan masih tertekan di banyak ekonomi maju, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan ketidakstabilan pasaran bon kedaulatan di beberapa negara zon euro sepanjang enam bulan lalu.”
Untuk memburukkan lagi keadaan, pada pertengahan April lalu, IMF bertelagah dengan Canselor George Osborne dan Gabenor Bank England, Mervyn King, selepas agensi yang beribu pejabat di Washington itu melahirkan kebimbangannya terhadap keengganan Britain menyokong pakej pendanaan untuk menyelesaikan krisis zon euro.  Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn, mengingatkan bahawa Eropah perlu muncul dengan pelan koheren untuk menangani hutang kerajaan berikutan pelan penyelamat Ireland dan Greece.  Beliau mengkritik percubaan sedikit demi sedikit untuk menyelesaikan masalah hutang setiap negara, yang para pengkritik percaya boleh membawa kepada ketidakstabilan dan melemahkan keyakinan para pelabur di Eropah. 
Sementara itu, Olivier Blanchard, Ketua Ahli Ekonomi, IMF berkata bahawa krisis hutang Eropah adalah satu isu paling penting yang mengganggu ekonomi duna dan mencegah pemulihan keyakinan:  “Bagaimana Eropah akan keluar dari lubang ini merupakan isu yang besar.”  IMF, seperti yang difahami mahu Brussels menyelaraskan strategi jangka panjang dengan kemudahan pendanaan yang negara yang berhutang dapat memperolehnya tanpa memerlukan rundingan selanjutnya.  Para pemimpin zon euro bersetuju melaksanakan Mekanisme Kestabilan Eropah (ESM) bernilai 500 bilion euro, tetapi skim belum bersedia hingga tahun 2013 dan bergantung pada Perancis dan Jerman yang menerajui penaja jamin dana itu.
Walau bagaimanapun, Osborne menyatakan pendiriannya yang jelas bahawa beliau percaya menyelesaikan masalah hutang negara zon euro merupakan perkara untuk zon euro itu sendiri dan tidak melibatkan Kesatuan Eropah yang lebih luas, yang termasuk negara yang memiliki mata wang mereka sendiri.  United Kingdom dijangkakan  turut serta dalam mengumpulkan 85 bilion hingga 90 bilion euro untuk membantu Portugal, tetapi Osborne memberitahu Perancis dan Jerman bahawa tidak ada lagi wang tunai dari United Kingdom untuk pelan penyelamat zon euro selepas membantu Portugal.
Sekali lagi Kesatuan Eropah menjadi tumpuan yang menurut majalah The Economist dalam keluaran akhir Mac lalu, adalah cacat: bagaimana kelemahan para pemimpin nasional melumpuhkan pembuatan keputusan dalam Kesatuan Eropah. Apabila Enda Kenny, Perdana Menteri baru Ireland memohon ihsan dalam sidang kemuncak Kesatuan Eropah agar diringankan lagi terma pelan penyelamat, rakan-rakan sejawatan mempersendakan satu daripada hujah beliau:  bahawa beliau dipilih secara besar-besaran atas janji mendapatkan urus janji untuk negaranya.  Jadi apa? Kita semua ada pilihan raya, kata mereka.  Dua minggu selepas Kenny merayu, satu lagi sidang kemuncak Kesatuan Eropah dibayangi oleh peletakan jawatan Jose Socrates, Perdana Menteri Sosialis Portugal.  Dua hari kemudian, Angela Merkel, Canselor Jerman, yang terlalu berkuasa menundukkan Eropah mengikut keazamannya berhubung dengan krisis euro, dilemahkan oleh dua pilihan raya negeri.  Sekutu utamanya di Eropah, Nicolas Sarkozy dari Perancis, ditundukkan dalam pilihan raya tempatan  pada hari yang sama.
Majalah itu menyatakan satu demi satu kelemahan lain.  Di Mediterranean, Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi, baru sahaja muncul di mahkamah untuk tuduhan pertama daripada beberapa kes perundangan yang boleh membawa ancaman melemahkan kepimpinannya. José Luis Rodríguez Zapatero Sepanyol terlalu  idak popular di negaranya.  Di bahagian utara Eropah, parti-parti antiimigran di Denmark, Belanda, dan Sweden mempunyai pengaruh politik baru.  Di Finland, parti True Finns dijangkakan memenangi pilihan raya pada 17 April.  Dan di Brussels, Perdana Menteri penjaga terpaksa mentadbirkan Belgium tanpa kerajaan sejak pilihan raya Jun 2010.  “Secara ringkas, hari-hari ini, sidang kemuncak seakan-akan wad  hospital gila, dipenuhi dengan tangan dan kaki yang patah, berbaju pasung, dan menghidap sakit yang membawa maut.  Tidak hairan, para pemimpin Kesatuan Eropah terpaksa bertungkus-lumus untuk mengubati krisis hutang kedaulatan.” 
Memetik klasik Agatha Christie, siapa yang melakukannya dalam Murder on the Orient Express, sejarawan Niall Ferguson muncul melalui  kolumnya dalam Newsweek, “Murder on the EU Express”: Dengan kesatuan monetari yang berpecah belah, tuding jari bermula.  Siapa sebenarnya membunuh Eropah?  Masalah mata-mata gelap Belgian, Hercule Poirot adalah bahawa terlalu banyak suspek.  Kematian aneh Kesatuan Eropah mungkin terbukti menjadi kes yang agak sama. “Bukan hanya krisis ekonomi memasuki lubang kewangan hampir semua negara Kesatuan Eropah,” tulis Ferguson, “tetapi juga mendedahkan rasa keberatan yang amat sangat bagi negara yang kurang terjejas untuk menyelamatkan negara yang terjejas dengan teruk.”
Krisis memacuk bukan hanya satu, tetapi dua baji yang memecahbelahkan  ekonomi Eropah.  Pertama, berlaku perselisihan  politik fundamental antara 17 anggota Kesatuan Eropah yang menyertai kesatuan monetari dengan 10 anggota yang tidak menyertainya.  Kemudian, dalam zon euro, wujud perselisihan yang sengit antara teras yang dikuasai oleh Jerman dengan pinggir yang sakit, iaitu negara yang disumpah dengan akronim yang tidak elok, iaitu PIGS. 
Pada mulanya, jari ditudingkan kepada Menteri-menteri Kewangan PIGS sebagai suspek.  Kemudian, apabila defisit Ireland terlalu besar, suspek nombor dua ialah bank-bank Eropah kerana menyelamatkan sektor perbankan yang sembap di negara itu.  Namun, Ferguson mengingatkan bahawa sejak bertahun-tahun kereta api penyatuan Eropah berjalan atas subsidi Jerman, tetapi kini tidak lagi. Oleh sebab proses penyepaian semakin pantas tahun ini kerana ekonomi pinggir lembap dan kerajaan mereka digulingkan, jangan salahkan mangsa. “Para pengundi Jerman yang melakukanya,” kerana angin atau mood mereka boleh disimpulkan seperti yang berikut: No More Herr Nice Guy.
Mungkinkah zon euro berkecai? Mungkinkah Kesatuan Eropah mati?  Demikian persoalan yang dibangkit dari semasa ke semasa akibat krisis yang berpanjangan yang melanda Eropah.  Jika selama ini negara gagal lebih bersebati dengan negara Dunia Ketiga, tetapi kini, negara Dunia Pertama, khususnya Eropah  tidak dapat mengelakkan diri mereka daripada igauan ngeri itu. Sebaliknya, negara Amerika Latin yang sentiasa bergelut dengan krisis kewangan, pergolakan politik, dan kegelisahan sosial, dengan bangga berjaya mengharungi kemelesetan global.  Dan, memetik semula Joseph Stiglitz, negara kecil, seperti Mauritius, boleh diteladani oleh negara kaya, seperti Amerika dan beberapa negara di Eropah.
(Nota:  Makalah asal yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Jun 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...