Artikel Popular

Wednesday, June 26, 2013

Perang Obama

RABU, 26 Jun 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Barack Obama menjejakkan kakinya di Rumah Putih dengan mewarisi dua peperangan yang memakan belanja bertrilion dolar di Iraq dan Afghanistan.  Meskipun  beliau berusaha untuk mengelekkan daripada mengheretkan Amerika Syarikat ke kancah peperangan, dalam kes Afghanistan, beliau merancakkan lagi peperangan di negara yang gagal itu.  Oleh sebab itu, semasa Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, kedua-dua parti, iaitu Demokratik dan Republikan mengelakkan daripada membangkitkan penglibatan Amerika dalam peperangan kerana menyedari bahawa presiden daripada setiap parti trlibat:  George W. Bush memulakannya, manakala Barack Obama meneruskannya.
        Perang Presiden Barack Obama, seperti yang dibahaskan oleh Bob Woodard dalam bukunya Obama’s Wars, adalah keputusan untuk menghantar 30,000 orang lagi anggota tentera ke Afghanistan.  Banyak   anggota Pentadbiran Obama mengambil pandangan yang murung tentang perang yang kurang sumber yang mereka warisi daripada Presiden George W. Bush.  Naib Presiden, Joseph R. Biden dikatakan berasa “pesimistik dan lebih yakin bahawa Afghanistan merupakan versi Vietnam.  Presiden menurut Woodard, nekad untuk mengelakkan kekalutan seperti Vietnam. 
         Beliau dilaporkan berunding dengan Jeneral Colin Powell, bekas Setiausaha Negara, yang berkata dalam pertemuan peribadi pada September 2009:  “Jangan biarkan diasak oleh golongan sayap Kiri  supaya  tidak berbuat apa-apa.  Jangan biarkan diasak oleh golongan sayap Kanan supaya melakukan segala-galanya.”  Dua bulan kemudian, beliau menasihati  Presiden supaya berdiri bersama-sama jeneral yang terus-menerus mendesak penghantaran jumlah yang besar anggota tentera, mengingatkan beliau bahawa “anda ialah Panglima Besar.”
          Tidak cukup dengan Afghanistan yang    menjangkau satu dekad, Presiden  Obama terlibat dalam serangan terhadap Libya dalam Operation Odyssey Dawn.  Resolusi Majlis Keselamatan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB)  pada pertengahan  Mac lalu, bahas editorial The New York Times, merupakan detik luar biasa dalam sejarah terkini.  PBB, Amerika Syarikat, dan Eropah dalam keadaan serba tidak kena kerana begitu lama menyeksakan dan kini, dengan benteng terakhir penentang, iaitu Benghazi hampir-hampir jatuh, bertindak dengan kepantasan yang menghairankan untuk merestui mandat yang kuat yang melampaui zon larangan terbang yang mudah. Lebih luar biasa adalah bahawa desakan untuk bertindak diterajui oleh Perancis dan Britain dan diundang oleh Liga Arab.
        Presiden Obama, tulis editorial itu lagi, bersetuju dengan betul untuk mengatur kedudukan angkatan tentera Amerika hanya selepas dipujuk bahawa negara  lain akan berkongsi tanggungjawab dan kos menguatkuasakan undang-undang antarabangsa.  Amerika Syarikat kini terbenam dalam dua peperangan.  Peperangan yang baru ini tidak boleh dilihat sebagai campur tangan satu pihak di sebuah lagi negara Islam.
         Kata-kata Obama yang sering dipetik berhubung dengan campur tangan Amerika di Libya itu ialah “dalam hari, bukan minggu”  kepada  perintah antarabangsa yang Amerika akan menjadi hanya sebahagian daripadanya. Selain itu, beliau mengingatkan bahawa tindakan ketenteraan ini  tidak melibatkan tentera darat.
          “Dengan pembabitan Obama dalam serangan terhadap Libya,”  seperti yang dikatakan oleh Marc Ambinder dalam National Journal, “peperangan baru pertama Obama.”   Beliau perlu mengimbangkan antara   ideal  atau keunggulan demokrasi dengan   kepentingan keras hidung negara itu dalam membuat keputusannya. “Meskipun situasi Libya agak unik,” tulis Ambinder, “tenteranya entah dari mana hampir sekuat Iran adalah satu perkara, harapan Obama bahawa kempen peperangan yang tidak diterajui oleh Amerika itu adalah pendek,  tidak melibatkan tentara darat akan memuaskan rakyat Amerika yang berasa ragu-ragu tentang campur tangan ketenteraan dan tidak akan membangkitkan kecurigaan rakyat Arab dan orang Muslim bahawa campur tangan Amerika itu adalah percubaan untuk mempengaruhi demokrasi yang berkembang dengan sendirinya.
         Sejak tercetus pergolakan di Libya, Obama dilihat oleh banyak pihak  sebagai “pahlawan yang enggan.”  Apabila sekutu rapat, iaitu Perancis dan Britain secara agresif mendesak idea untuk campur tangan di Libya, Pentadbiran Obama dikatakan bertindak bijak dengan mendesak resolusi PBB membenarkan tindakan ketenteraan yang melampaui zon larangan terbang.  Undi Majlis Keselamatan itu pada hakikatnya memastikan bahawa jika Muammar Gaddafi tidak meletakkan jawatan, nescaya untuk kali ketiga dalam satu dekad, tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dilancarkan terhadap negara Islam.  Campur tangan Amerika itu atas desakan beberapa negara sekutu,  merupakan sumpah “negara  yang diperlukan.”  Sumpah ini, tulis James Kitfield dalam National Journal, menghantui dua Presiden pasca-Perang Dingin sebelum Obama, dan kini giliran beliau.
         Meskipun Presiden Obama akhirnya bertindak untuk campur tangan di Libya  atas alasan kemanusiaan demi memastikan Gaddafi tidak membunuh kejam rakyatnya sendiri, tetapi beliau tetap menjadi sasaran kritikan: terlalu  terlalu lewat, terlalu lemah.  “Obama memang betul dalam menyokong zon larangan terbang terhadap Libya, tetapi beliau sepatutnya melakukannya minggu lalu,”  tulis sejarawan  Niall Ferguson, kolumnis Newsweek.  Obama terpasung dengan persoalan bertindak atau tidak bertindak.  Hasil  teragak-agak beliau dalam keadaan tidak dapat membuat keputusan tidak menggembirakan.”
        Sebaik-baik sahaja Amerika Syarikat bersama-sama Perancis dan Britain campur tangan di Libya, terbongkar cerita bahawa Presiden Obama membuat keputusan itu kerana dipengaruhi oleh tiga srikandi, iaitu Hillary Clinton, Setiausaha Negara Amerika,  Samantha Power, pembantu kanan Majlis Keselamatan Negara, dan Susan Rice, duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - mereka digelar  the Amazon Warriors, the Lady Hawks, the  Valkyries, the  Durgas. Dan, sekali lagi, Presiden Obama dipersendakan seolah-olahnya beliau kewanita-wanitaan dan tiada tulang belakang, dan berlegar-legar di bawah hidung wanita.
        Tatkala tentera Amerika dan sekutu menggempur tentera Gaddafi, Obama terpaksa bertarung dengan kritikan demi   kritikan.  Antaranya mendakwa  bahawa puak neokonservatif  dan puak campur tangan liberal memaksa Obama melaksanakan zon larangan terbang terhadap Libya, meskipun tiada kepentingan utama Amerika Syarikat di negara itu.  “Libya, satu lagi kes fahaman berjaga-jaga terpilih yang dilakukan oleh Barat,” isytihar Tariq Ali dalam guardian.co.uk akhir Mac lalu. Campur tangan Amerika Syarikat-NATO di Libya, dengan restu Majlis Keselamatan PBB, adalah sebahagian respons yang diatur secara terperinci untuk menunjukkan sokongan kepada gerakan yang menentang seorang diktator khususnya dan dengan bertindak sedemikian untuk menamatkan pemberontakan Arab dengan memperlihatkan kawalan Barat. Tariq seterusnya menegaskan bahawa “hujah khusus direka untuk memenangi sokongan daripada warga Eropah-Amerika dan bahagian dunia Arab. ‘Lihat kami,’ kata Obama/Hillary Clinton dan para gabenor Kesatuan Eropah, ‘kami melakukan kerja yang baik.  Kami bersama-sama rakyat.’  Masyarakat sivil dengan mudah digerakkan oleh beberapa imej dan kekejaman Gaddafi dalam menghantar tentera udaranya untuk mengembom rakyatnya sendiri ialah dalih yang  Washington  gunakan untuk mengebom satu lagi ibu negara Arab.”
         Selain mencerminkan kepura-puraan pemimpin dunia yang menggunakan alasan kemanusiaan dan mengelakkan genosid untuk  bertindak,   kedudukan Obama bertambah rumit kerana beliau melibatkan Amerika dalam peperangan di negara asing tanpa kelulusan Kongres. Pengkritik yang lantang daripada  golongan sayap Kiri mendakwa Pentadbiran Obama membenarkan penggunaan angkatan tentera di Libya adalah “tidak mengikut perlembagaan.”  Bekas calon Presiden, Ralph Nader dengan lancar menyenaraikan arahan ketenteraan dan perisikan, yang jelas termasuk di Libya yang beliau berpendapat sebagai pencabulan yang besar undang-undang antarabangsa dan mempunyai asas pendakwaan.  “Mengapa kita tidak lihat apakah yang tersemat dalam minda banyak pakar undang-undang;”  bahas Nader,  “bahawa Pentadbiran Obama melakukan jenayah perang dan jika Bush sepatutnya  didakwa, Obama sepatutnya didakwa.”
        Yang lebih memeranjatkan anggota Perwakilan daripada parti Obama sendiri, iaitu Demokratik, Dennis Kucinich mengeluarkan kenyataan yang sama, menyelar Obama kerana melancarkan campur tangan ketenteraan di Libya tanpa kelulusan Kongres, dan oleh itu, melanggar Perlembagaan.  Bagi Kucinich, tindakan sedemikian merupakan keputusan yang serius dan tidak boleh dibuat oleh Presiden seorang diri. 
        Sebilangan pengkritik menganggap bahawa  memihak penentang Gaddafi bukannya  langkah bijak berdasarkan pengalaman Amerika dalam menentang Kesatuan Soviet di  Afghanistan kerana akhirnya puak yang disokong itu menudingkan senjata mereka ke arah Amerika pula.  “Saya nasihatkan jangan membekalkan senjata kepada pasukan penentang,” kata Richard N. Haass, Presiden Majlis  Tentang Hubungan Luar semasa mengemukakan testimoni pada 6 April di hadapan Jawatankuasa Senat Tentang Hubungan Luar.  “Kita tidak boleh yakin agenda penentangan  ke arah, sama ada rakyat Libya ataupun pelbagai kepentingan Amerika Syarikat, termasuk menentang keganasan. Tidak juga kita pasti seperti ke arah mana unsur penentangan yang menetapkan matlamat yang mungkin akhirnya terbukti dominan.”  Beliau mengingatkan,  “senjata yang dipindahkan boleh digunakan untuk apa-apa tujuan.  Situasi yang buruk selalunya boleh menjadi bertambah buruk.”
        Walau bagaimanapun, Fareed Zakaria dalam tulisan yang menarik dan analitis, “Why Are We in Libya?”   mengakui bahawa beliau berkongsi pandangan bahawa dengan semua yang berlaku di dunia Arab, Amerika Syarikat dan negara lain tidak boleh meninggalkan penentang Libya kerana mereka sedang bergelut dengan pembunuhan kejam.  Bahkan, Fareed yang menulis dalam Time, percaya bahawa tindakan membantu mereka adalah lebih bijak jika dibandingkan dengan campur tangan ketenteraan secara langsung.  “Pada masa lalu,” tulis beliau, “Amerika mampu membiayai perang gerila dengan begitu cekap, membekalkan senjata, makanan, bahan api, dan risikan kepada anak tempatan yang ingin berjuang untuk negara mereka.  Hampir kebanyakannya, kita berjaya menyahstabilkan  rejim lama.”  
       Namun, Fareed tidak dapat menyembunyikan kerisauannya:  “Dalam analisis akhir, cabaran yang paling signifikan untu Barack Obama adalah untuk memastikan penglibatan tentera Amerika adalah terhad.”  Tambah beliau, “jika Gaddafi tidak tumbang segera, nescaya hanya mengambil masa beberapa hari untuk orang ramai di Washington untuk mula mengatakan bahawa Obama kalah, Gaddafi menang, dan Amerika diaibkan.
       Presiden Obama yang berdiam diri selepas Amerika  campur tangan dalam perang saudara di Libya membuatkan rakyat naik berang, lebih-lebih lagi beliau masih sanggup mengadakan lawatan ke Brazil dan beberapa buah negara di Amerika Latin, meskipun beliau akhirnya  terpaksa memendekkan rangka lawatan itu.   Meskipun beliau melancarkan peperangan di bumi asing dan kemungkinan ada tentera Amerika yang terkorban, tetapi beliau  tidak muncul di kaca televisyen dan menjelaskan kepada rakyat Amerika mengapa beliau  membuat keputusan itu.  Apabila Ronald Reagan menghantar tentera ke Grenada pada 25  Oktober 1983,   dua malam kemudian, beliau muncul di kaca televisyen memberikan penjelasan. Apabila George H. W.  Bush memerintahkan serangan terhadap Panama yang bermula pada 19 Disember 1990,  malam berikutnya, beliau muncul di kaca televisyen menjelaskan mengapa. Sebaliknya, Obama mengambil masa seketika untuk menjelaskannya kepada rakyat  yang pada pandangan banyak pihak, beliau tidak sepatutnya bertindak-tanduk begitu.
       Hanya pada   Isnin 28 Mac, iaitu selepas 11 hari menyerang Libya, Presiden muncul memberitahu rakyatnya mengapa beliau bertindak demikian. Mempertahankan perang pertama yang dilancarkannya, beliau mengiystiharkan pada malam itu bahawa Amerika Syarikat campur tangan di Libya demi mencegah pembunuhan kejam terhadap orang awam yang akan menyebabkan hati nurani dunia berlumuran darah dan “mengkhianati siapa kita.”   Tegas beliau, “Sesetengah negara mungkin mampu memejamkan mata terhadap kekejaman di negara lain.  Amerika Syarikat adalah berbeza.  Dan sebagai Presiden, saya enggan menunggu bayang-bayang pembunuhan kejam dan mayat bergelimpangan sebelum bertindak.”
       Berita kabel yang mendahului ucapan itu mahu menyebutnya “doktrin Obama,” tetapi bagi sesetengah penganalisis, ucapan Obama menggariskan keputusannya untuk campur tangan di Libya menentang rejim Gaddafi hanya  menambah petua kepada apa yang telah pun diketahui tentang sikap Presiden terhadap peperangan dan keamanan. Allan Gerson yang muncul dalam akhbar The Huffington Post,  “The Reagan and Obama "Doctrines" vs. the State Department”, mendapati keselarian antara campur tangan Ronald Reagan di Grenada dengan  Barack Obama di Libya.  “Dalam mempertimbangkan respons Presiden Obama dengan Jabatan Negara terhadap krisis Libya, dengan pantas keselarian dengan pengalaman Grenada muncul dalam  minda  saya.”  Sebagaimana Grenada, tambah beliau, situasi di Libya, organisasi serantau, iaitu Liga Arab meminta campur tangan. Sebagaimana Grenada, Libya menunjukkan prospek bencana kemanusiaan yang segera.  Dan, sebagaimana Presiden Reagan di Grenada, Presiden Obama dan pasukannya mempunyai kepentingan keselamatan negara yang luas dalam minda.” 
        Meskipun operasi di Libya diambil alih oleh NATO, namun ada yang berpendapat Presiden Obama sepatutnya membenarkan pesawat Amerika  A-10 dan AC-130 digunakan  di bawah perintah NATO. Misi sebenar di Libya bukan untuk menghalang bencana kemanusiaan, tetapi memastikan Muammar Gaddafi berundur segera. Apabila Gaddafi baru-baru ini mengutus sepucuk surat terbaharunya  kepada Obama meminta beliau menghentikan NATO daripada melancarkan serangan  tidak adil itu, Washington bukan sahaja menolak surat itu, tetapi juga mendesak Gaddafi meletakkan jawatan.
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan  Masyarakat, Jun 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...