Artikel Popular

Sunday, June 2, 2013

Jati Diri Nasional: Inggeris atau British?

AHAD,  2  Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jika seseorang itu mengatakan bahawa dia pertama Melayu dan kedua Malaysia, mungkin dia akan menjadi ejekan sebilangan orang, lebih-lebih lagi berikutan pengenalan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Najib  Razak.  Memang sesuatu yang unggul untuk menyatakan kita semua bangsa Malaysia, tetapi dari segi realiti tidak semudah itu kerana tidak wujud "komuniti yang dibayangkan" dalam kalangan rakyat di negara ini.  

Sememangnya,  tidak wujud bangsa Malaysia, sebaliknya yang wujud ialah rakyat Malaysia atau warga Malaysia.  Contoh mudah ialah satu negara, satu bangsa, iaitu Malaysia, tetapi masuk bab bahasa, pendukung  "bangsa Malaysia," kebanyakan mengambil sikap berdiam diri, atau mereka mendakap bahasa Inggeris.  

Sama ada seseorang itu mengaku dirinya Melayu ataupun Malaysia, adalah berkait rapat dengan soal  jati diri atau identiti, seperti juga yang dialami oleh penduduk England  (antara England dengan Britain mengelirukan para pelancong.)  Dalam keluarannya baru-baru ini, The Economist, memetik borang banci tahun 2011, bahawa kira-kira 60 peratus orang di England menyatakan jati diri nasional mereka sebagai hanya  "Inggeris," manakala 19 peratus menyatakan hanya "British."  

Akan tetapi, menurut majalah itu lagi, data yang dikeluarkan pada 16 Mei lalu, menunjukkan wujud variasi yang besar.  Sama ada seseorang itu menganggap dirinya pertama Inggeris atau pertama British merupakan penelah yang sangat berkuasa dari segi kelas, kaum atau ras, dan pujukan politik.

Sementara orang kulit hitam dan orang Asia lebih berkemungkinan menganggap diri mereka British: hanya lapan peratus etnik Bangladesh di England secara  langsung mengenali diri mereka sebagai Inggeris. Golongan tua lebih berkemungkinan menyatakan diri sebagai Inggeris berbanding dengan golongan muda.  Dan dalam kalangan rakyat Britain kulit putih, wujud perpecahan dari segi geografi.  Di tengah London dan tempat kekayaan lain, British adalah popular: hanya 57.5 peratus rakyat Britain kulit putih di Cambridge menyatakan diri mereka Inggeris.  Di kediaman miskin sepanjang Thames Estuary, di West Midlands dan di banyak kota di utara, Inggeris merupakan jati diri ingkar. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...