Artikel Popular

Friday, May 10, 2013

Politik dan Perubahan Demografi

JUMAAT, 10 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tulisan ini bukan tentang politik Malaysia yang Pilihan Raya Umum ke-13 baru sahaja selesai, yang menyaksikan pelbagai fiil orang politik: muram, berang, merungut, dan tidak kurang juga riang gembira.  Sebaliknya, tulisan ringkas ini merujuk makalah yang ditulis oleh +Nate Cohn dalam +The New Republic.  

Dalam makalah terbaharu itu, Cohn menegaskan bahawa akibat perubahan demografi, maka Republikan akan menghadapi kesukaran untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika tahun 2016, meskipun ketika itu,  Presiden +Barack Obama tidak ada lagi. Cohn merujuk November 2012 Current Population Survey (CPS) Voting and Registration Supplement, yang berasaskan temu bual dengan beratus-ribu penduduk.  CPS bertanyakan rakyat Amerika, sama ada mreeka menyertai pilihan raya tahun lalu.

Tidak memeranjatkan, hujah Cohn, CPS mendapati bahawa pengundi tahun 2012 lebih pelbagai jika dibandingkan dalam mana-mana pilihan raya.  Orang kulit putih yang mewakili hanya 73.7 peratus pengundi, jatuh daripada 76.3 peratus pada tahun 2008 dan 79.2 peratus tahun 2004.   Secara perbandingan, tinjauan pendapat keluar mendapati bahawa orang kulit putih mewakili 72 peratus pengundi tahun 2012, berbanding 74 peratus (2008) dan 77 peratus (2004).  

Untuk pertama kali, CPS mendapati kadar orang kulit hitam yang keluar mengundi mengatasi orang kulit putih, dengan 66.2 peratus orang kulit hitam keluar mengundi berbanding dengan 64.1 peratus orang kulit putih.  Banyak pihak yang menjangkakan bahwa orang kulit hitam yang keluar mengundi akan merosot pada tahun 2012, tetapi CPS sebenarnya mendapati bahawa orang kulit hitam yang keluar mengundi, bahkan lebih tinggi pada tahun 2012 berbanding dengan tahun 2008, meningkat daripada 64.7 peratus kepada 66.2 peratus.

Berbeza dengan jangkaan prapilihan raya oleh banyak pengulas, CPS mendapati bahawa kadar keluar mengundi orang kulit putih bukan Hispanic (dengan itu, orang kulit putih) dan Hispanic merosot:  Orang Hispanic yang keluar mengundi jatuh daripada 49.9 peratus kepada 48 peratus, manakala orang kulit putih merosot daripada 66.1 peratus kepada 64.1 peratus warganegara dalam lingkungan umur mengundi.  Walaupun begitu, bahagian Hispanic yang meningkat daripada jumlah penduduk membolehkan bahagian pengundi Hispanic meningkat sebanyak mata penuh, daripada 7.4 peratus kepada 8.4 peratus.

Di peringkat negeri, CPS sentiasa menyanggah tinjauan pendapat keluar, ada kalanya begitu ketara.  Di setiap negeri medan pertempuran, CPS mendapati lebih banyak pengundi orang kulit putih berbanding dengan tinjauan pendapat keluar.  Di Colorado, Pennsylvania, dan Ohio, perbezaannya ialah 4.4 titik hingga 6.8 titik. 

Setelah merujuk data demi data yang dikemukakan oleh CPS, Cohn berhujah bahawa masalah besar bagi Republikan adalah punca utama kemerosotan bahagian pengundi kulit putih ialah perubahan demografi, dan bukannya tingginya jumlah orang kulit hitam yang keluar mengundi.  Perubahan demografi adalah signifikan bahawa gabungan Obama akan bertahan untuk kembali kepada kadar yang keluar mengundi pada tahun 2004. 

Dalam makalah yang lain, Nate Cohn, menegaskan bahawa kemenangan Barack Obama pada tahun lalu bukan kerana pengundi kulit hitam yang keluar mengundi, bahkan jika jumlah keluar mengundi sama dengan tahun 2004. +Mitt Romney tetap akan kalah.

Memang, selepas Pilihan Raya Presiden tahun lalu, masa depan Parti Republikan kelihatan pudar, seperti yang dapat dilihat dalam makalah oleh  +John McCain dalam Foreign Policy. Sementara itu, untuk pilihan raya yang akan datang,  pada pihak Parti Demokratik, calon yang diperhatikan terkenal, ialah +Hillary Clinton For President 2016, selain Naib Presiden Joe Biden.  Meskipun masih jauh, Hillary mula dijadikan sasaran berikutan serangan terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi pada tahun lalu ketika kerancakan  kempen Pilihan Raya Presiden.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...