Artikel Popular

Sunday, May 12, 2013

KDNK Lawan Pertumbuhan

AHAD, 12 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Sebaik sahaja laporan  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat suku pertama tahun 2013 dimaklumkan, iaitu mencatatkan pertumbuhan 2.5 peratus, di bawah jangkaan, Robert Shapiro menulis dalam +The Daily Beast  tentang penyalahgunaan dan makna KDNK. Beliau mengingatkan bahawa kita tidak sepatutnya meletakkan terlalu banyak mempercayai laporan tunggal KDNK.  Data kemungkinan disemak semula, diperiksa semula, dan ditafsirkan semula sepanjang masa. 

KDNK, seperti yang dinyatakan dalam buku teks prauniversiti, mempunyai beberapa kelemahan, misalnya tidak mengambil kira khidmat suri rumah.  Bahkan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dicadangkan supaya kegembiraan atau kesejahteraan turut diambil kira dalam mengukur ekonomi sesebuah negara, walaupun tidak mengambil alih KDNK sama sekali.  

Kritikan terbaharu terhadap KDNK, datangnya daripada hartawan, +Bill Gates, yang menurut beliau,  mengurangkan anggaran pertumbuhan, seperti yang berlaku di Sub-Sahara Afrika.   Tegas Gates, salah satu ukuran pertumbuhan dan penambahbaikan kehidupan manusia ialah KDNK per kapita.  Namun, hujah beliau, KDNK mungkin merupakan petunjuk yang tidak lengkap di negara miskin, yang membangkitkan keprihatinan bukan sahaja penggubal dasar atau orang seperti beliau yang banyak membaca laporan Bank Dunia, tetapi juga untuk setiap orang yang mahu menggunakan statistik sebagai rujukan untuk membantu penduduk miskin di dunia. 

"Sejak lama lagi saya percaya bahawa KDNK mengurangkan anggaran pertumbuhan, bahkan di negara kaya," tulis Gates, "yang pengukurannya agak canggih, kerana amat sukar untuk membandingkan nilai sebangkul barang sepanjang masa yang berbeza."

Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa kelemahan atau kekurangannya, KDNK masih tidak ada penggantinya.  Sebarang kritikan terhadap KDNK itu sebenarnya berkait dengan kritikan terhadap  ilmu ekonomi itu sendiri, seperti yang dibahaskan dalam makalah The Economist, yang antaranya memetik  Daniel McFadden, yang menggariskan "sains baru keseronokan."  Beliau menegaskan bahawa ekonomi sepatutnya lebih bergantung pada bidang, seperti psikologi, neurosains, dan antropologi.  Beliau mahu ahli ekonomi menerima bukti daripada disiplin lain bukan sekadar penjelasan cebisan kelakuan yang tidak secocok dengan model piawai. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...