Artikel Popular

Tuesday, July 26, 2011

Dari Tucson ke Utoya: Mimpi Ngeri Demokrasi

SELASA,  26 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setakat ini, wujud beberapa  perbandingan ringkas  antara kejadian tembakan di Tucson, Arizona, Amerika Syarikat pada 8 Januari tahun ini, yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 13 orang lain termasuk Anggota Perwakilan, Gabrielle Giffords, dengan serangan di Utoya pada Jumaat lalu yang mengorbankan lebih 80 nyawa.  Misalnya,  Christopher Hitchens yang menulis dalam Slate yang mengkritik mengapa terlalu banyak "pakar" mengisytiharkan serangan Oslo itu adalah angkara pengganas Islam, yang cuba mengaitkan kedua-dua peristiwa itu.  "Maka sekali lagi, suspeks utama dalam pogrom tersebut,  Anders Behring Breivik, kelihatan muncul  melengkapkan senarai bacaan Jared Loughner dirinya sendiri, di samping latar belakang dalam keghairahan Nordic kuasa kulit putih."

Senarai bacaan yang dinyatakan oleh Hitchens itu dipetik daripada Laura Miller yang menyenaraikan beberapa buku yang menjadi minat Loughner yang melepaskan tembakan di Tucson itu yang mencetuskan tuding jari antara puak konservartif dengan liberal.  "Konservatif menunjukkan petikan Loughner, The Communist Manifesto sebagai bukti bahawa dia sayap kiri yang gila, manakala puak libeal mentafsirkan keghairahan remaja berusi 22 tahun itu terhadap We, the Living oleh  Ayn Rand sebagai bukti bahawa dia ialah sayap kanan."  

Buku lain dalam senarai Loughner, termasuk klasik kanak-kanak Alice's Adventures in Wonderland, Peter Pan, dan  The Phantom Tollbooth.  Dia juga mendakwa bahawa dia meminati Mein Kampf oleh Adolf Hitler.  Walau bagaimanapun, Laura mengingatkan bahawa idea bahawa senarai   senarai bacaan itu akan memberitahu kita tentang Loughner dan mana-mana politik yang dia ada untuk menembak 19 orang benar-benar tidak bijak."

Sementara Breivik, tulis John Hudson yang merujuk beberapa sumber,  diilhamkan oleh orang Amerika, berdasarkan pemeriksaan terhadap manifestso setebal 1500 halaman itu, "amat dipengaruhi oleh kumpulan kecil penulis blog Amerika," termasuk penulis blog, Robert Spencer, Atlas Shruger, Pamela Gellar, dan blog yang memakai nama samaran, Gates of Vienna.  Dia juga mengikuti dengan penuh minat debat Amerika yang sengit tentang Islam.  Manifestonya mengutuk ahli politik Norway kerana gagal mempertahankan negara daripada pengaruh Islam, memetik Robert Spencer, yang mengendalikan laman Jihad Watch Web, sebanyak 64 kali, dan memetik penulis Barat yang berkongsi pendapat dengannya bahawa imigran Islam membawa bahaya yang sangat serius terhadap budaya Barat. 

Manifesto Breivik juga memplagiat karya Ted Kaczynski dengan hanya menggantikan perkataan "golongan sayap kiri" atau "kiri" dengan "Marxisme budaya" atau "fahaman pelbagai budaya."  Kedua-duanya melahirkan kesangsian yang mendalam terhadap kerajaan sosialis dan masyakat majmak secara amnya.

Loughner yang melepaskan tembakan di Tucson, seperti yang dibahaskan oleh David Von Drehle dalam Time, mempercayai dirinya merupakan mangsa kawalan  minda kerajaan.  Dia boleh melawan balik dengan mencipta mata wang baru.  Dia boleh belajar bermimpi ketika sedar, yang memberinya kuasa untuk terbang.  Dia boleh mencipta tatabahasa baru yang akan mengurangkan kerajaan kepada perkataan semata-mata, jika silap dengan sedihnya, penjawat awam.  Puak liberal menyalahkan radio dan Fox News kerana berlaku hal seperti ini, tetapi laman web sayap kiri nyata lebih berkemampuan melemparkan tuduhan yang kadangkala terikat dengan imejan keganasan kepada Sarah Palin, banker, dan George Bush.

Tragedi di Tuscon, bagi Richard Kim yang menulis dalam The Nation, serangan terhadap kerajaan, serangan terhadap orang awam, dan serangan terhadap demokrasi.  "Apa yang kita tahu Loughner menyasarkan  pegawai yang dipilih.... Bahkan jika nyata bahawa Loughner tidak mempunyai motif kepartian atau ideologi untuk berbicara, bahawa yang kita semua perlu tahu untuk mengatakan dengan tepat bahawa dia melakukan jenayah politik dalam maksud yang lebih luas dan betul-betul bermakna.  Dia secara ganas menyerang ucapan awam politik - dan itu sepatutnya menyusahkan kita semua.

"Ini pembunuhah demokrasi, serangan bersenjata terhadap warganegara yang berkumpul untuk melakukan hak paling berharga untuk Amerika, iaitu hak untuk kebebasan bersuara dan berhimpun," tulis Katrina vanden Heuvel dalam editorial The Nation selepas beberapa hari berlaku peristiwa tembakan di Tucson itu.  "Tiada yang lebih  merosakkan demokrasi selain menggunakan keganasan untuk menimbulkan rasa gentar dataran awam, menutup ucapan, membunuh mereka yang berusaha melakukannya."  Beliau memetik bahawa "Arizona adalah tempat tumpuan prejudis dan ketaksuban" dan "lubuk kemarahan dan kebencian Tea Party terhadap imigran" - sesuatu yang juga menimbulkan kebencian  Anders Behring Breivik, terurtamanya terhadap imigran Muslim.

Sebab pulut santan binasa.  Para wartawan dan cerdik pandai politik sayap kiri menuduh retorik Sarah Palin dan gerakan Tea Party menyumbang kepada persekitaran politik toksik sekarang.  Bekas Gabenor Alaska dan bekas calon Naib Presiden Amerika itu menggunakan bahasa yang keras, seperti menggesa penyokong "mengisi semula peluru" selepas kalah dalam perdebatan penjagaan kesihatan di Amerika Syarikat. Sarah terkenal dengan menggunakan bahasa dan tindakan keterlaluan, seperti menggunakan metafora ketenteraan "putar dan isi" dan bercakap tentang "menyasarkan" pihak lawan.  Peta tumpuan minat (crosshhairs) dan imejan senjata api di daerah 20 anggota Kongres Demokrat, termasuk Gabrielle dalam laman Web Sarah turut dikaitkan dengan pembunuhan itu.  Tumpuan minat hari serta-merta menjadi simbol yang kuat terhadap apa yang telah berlaku dan menjadi bahasa politik.


Menembak tokoh politik, menurut takrif adalah "politik," tulis James Fallows sebaik-baik sahaja berlaku tragedi Tucson.  Itu bagaimana sasaran menjelma kepada pemerhatian awam; itulah sebabnya kita berkata "pembunuhan orang ternama" dan bukannya pembunuhan biasa.  Memetik Fallows, pembunuhan terbaharu di Utoya, boleh ditakrifkan "politik,"  dan  seperti yang dinyatakan oleh Peter Beaumont, "serangan Norway menunjukkan motif politik.  Menyasarkan pejabat kerajaan dan kem Parti Buruh memperlihatkan  agenda politik di belakang serangan itu.

Dalam "Christian Terrorism,"  William Saletan cuba menarik perhatian bahawa jika orang Islam bertanggungjawab terhadap keganasan Islam, adakah penghentam Islam bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai di Norway?  Pada hari Jumaat, penulis blog anti-Islam, Pamela Geller menyambar berita pembunuhan besar-besaran di Oslo.  "Mengimbas blog Geller dan laman kawan-kawannya, dan anda akan lihat bagaimana padatnya idea ini memenuhi dunia dalam talian Breivik.  Saletan memetik Charles Johnson yang merumuskan bahawa "dalam kekejaman Norway, tanggungjawab lebih jauh keterangan dan langsung. Orang seperti Fjordman dan Pamela Geller dan  sfera  blog sayap kanan yang meluahkan retorik yang mengakibatkan malapetaka yang dahsyat dan enggan mengutuk puak pelampau dalam kalangan mereka kini berlumuran daraah sebenar kanak-kanak di tangan mereka."


Apabila terdedah pembunuh  itu ialah orang kulit putih, Kristian, dan kelahiran Norway, namanya Anders Brevik, dan bukannya pejuang jihad Islam, tegas Alex Pareene, mendedahkan seterusnya bahawa dia adalah dari segi politik lebih kurang Tea Partyer Scandinavia, yang dihantui dengan ancaman yang dibayangkan tentang pengislaman Eropah, dan mengakui penentang "fahaman pelbagai budaya."  Tegas Pareene lagi, "Breivik ialah orang gila, tetapi orang gila yang politik tidak boleh dibezakan daripada Pamela Geller, untuk menamakan seorang penyokong sayap kanan Amerika yang karyanya dipetik secara berkenan oleh Brevik dalam penulisannya  yang meluas itu. 


Selepas menyentuh  serangan Jared Loughner di Tuscon yang puak kanan dalam melindungi Sarah Palin, menuduh remaja itu menghidap skizofrenia, Roger Cohen melalui kolumnya dalam The New York Times menegaskan Breivik tidak keseorangan seperti Loughner.  Keganasannya dirangka dalam persekitaran Eropah khusus yang berkongsi ciri dengan persekitaran Amerika khusus untuk Loughner: kemerosotan ekonomi relatif, pemulihan pengangguran, kebimbangan kelas menengah, dan tahap tinggi imigrasi merupakan latar belakang untuk Islamofobia rasis dan menggunakan bayang-bayang yang mengerikan yang dibuat-buat tentang "pengambilan orang Islam" sebagai isu politik sendal untuk menyalurkan kekecewaan ke arah kanan.  Roger mengkritik sayap kanan yang antifahaman pelbagai budaya dan anti-Islam,  mengingatkan bahawa Breivik mempunyai banyak rakan pengembara ideologi di kedua-dua belah Atlantik:  Geert Wilders (Belanda),  Marine Le Pen (Perancis), parti sayap kanan jauh di Sweden dan Denmark, dan Newt Gingrich dan Peter King (Amerika Syarikat).
"A Right-Wing Monster," tulis Ross Doughat, seorang lagi kolumnis The New York Times, gelaran yang paling layak dan sesuai untuk Breivik golongan sayap kanan.  "Akan tetapi, golongan pelampau hanya berkembang," Doughat mengingatkan, "apabila sistem politik berpura-pura bahawa masalah tidak wujud. Puak konservatif di kedua-dua belah Atlantik mempunyai obligasi untuk mengakui bahawa Anders Behring Breivik merupakan jenis raksasa sayap kanan yang mempunyai ciri tersendiri."  Gelaran raksasa terhadap Breivik juga digunakan oleh Henning Mankell, iaitu kepulangan yang dahsyat mentaliti Ubermensch yang menandakan Nazisme Hitler yang menakluki dan menyeksa Norway semasa Perang Dunia Kedua. Pelampau sayap kanan, nasionalis dengan unsur fundamentalisme Kristian menjadikan Norway yang mempesonakan, negara dengan minyak dan kekayaan, tiba-tiba terdedah pada kata-kata yang sudah basi tentang kejahatan dan kecelakaan. 


Pada malam Isnin, 120,000 orang Norway berarak untuk mengenang mereka yang terkorban.  "Dalam menghadapi kebencian, dan tatkala kedalaman kehibaan," tulis Christina Petterson, "mereka berarak untuk 'demokrasi' dan 'tolak ansur'.  Elok jangan tunggu kehibaan meraikan kita."  Namun, demokrasi yang yang diarakkan itu sedang runtuh.   Seperti yang dibahaskan oleh Simon Jenkins bahawa pada tahun 2004, Norway menyambut kemerdekaan satu abad, tetapi majoriti sarjana mencapai kesimpulan bahawa "infrastruktur demokratik" negara mereka perlu segera dibaiki.  "Rantaian perintah" tradisional daripada pengundi dan kawasan kepada keputusan kerajaan pusat, telah terhakis.  Dengan hanya 4.9 juta orang penduduk, Norway diuruskan oleh oligarki pengabadian sendiri pegawai, banker, peguam, dan media di Oslo.  "Norway, sejak kemunculan kekayaan minyaknya, adalah dalam bahaya menjadi negara yang terlalu selesa untuk risau tentang politik.  Demokrasi menanggung penderitaan bukan daripada kurangnya kepaduan sosial, tetapi mungkin daripada terlalu banyak kepaduan sosial.


Oleh sebab kedua-dua tragedi itu, iaitu di Tucson dan Utoya,   bukannya angkara orang Islam, maka untuk menutup malu, biasanya pelakunya dituduh gila. Sesungguhnya, mustahil orang gila mampu melahirkan manifesto yang begitu tebal sarat dengan ideologi  anti-Islam dan anti-Marxisme, dengan sumber bacaan dan petikan yang meluas. The Economist menyebut  “2083: A European Declaration of Independence” yang dihasilkan oleh Breivik itu manifesto pembunuhan:  Dia membaca dan menyumbang kepada laman web sayap kanan jauh dan Islamofobia, dan menghabiskan banyak masa belajar bagaimana mencipta bom.  Walau bagaimanapun, Boris Johnson menafikan bahawa "Breivik berpegang pada ideologi tertentu, sebaliknya dia hanya berminat pada dirinya yang merancang untuk menghidupkan semula orde purba Knights Templar."  Dalam konteks yang lebih luas, memetik Gary Younge yang menulis dalam The Nation, Eropah merupakan sarang keganasan yang bergelumang dengan fasis dan rasis.


Pembunuhan  di Tucson dan Utoya sekali lagi mencetuskan mimpi ngeri demokrasi yang tidak dapat dilindungi oleh tuduhan bahawa kedua-dua pelakunya adalah tidak siuman.  Jika selama ini demokrasi yang diperkenalkan di negara bekas komunis di Eropah dan Timur Tengah sering menimbulkan keraguan, tetapi kini negara, misalnya dalam kes ini, Amerika Syarikat dan Norway menyaksikan demokrasi yang comot, atau lebih tepat lagi, berlumuran darah.

















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...