Artikel Popular

Monday, July 18, 2011

Skandal Penggodaman Telefon: David Cameron Huyung-hayang

SELASA,  19  Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


                                                 David Cameron dan Rebekah Brooks


Sejak terdedahnya skandal penggodaman telefon yang melibatkan The News of the World pada awal bulan ini, seseorang demi seorang nama dikatakan terlibat, baik secara langsung mahupun tidak langsung.  Selain mendedahkan tokoh dan individu yang menjadi mangsa penggodaman itu, tidak kurang juga mereka yang dikatakan mempunyai hubungan dengan individu yang melakukan penggodaman itu.  

Sejak mula-mula lagi, iaitu edisi pertamanya pada tahun 1843, tulis James Kirkup,  The News of the World berbangga dengan mencetuskan skandal dan keterujaan dengan liputannya.  Seperti yang diketahui umum, pendedahan itu dilakukan oleh The Guardian, dan skandal penggodaman telefon itu mendapat liputan yang meluas.  The News of the World secara tidak sah menyasarkan murid sekolah, Milly Dowler dan keluarganya.  Milly ketika hilang berusia 13 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Walton-on-Thames, Surrey, pada 21 Mac 2002.  Di samping itu, ibu bapa  Holly Wells dan Jessica Chapman, dua kanak-kanak yang dibunuh oleh Ian Huntley  turut menjadi mangsa penggodaman telefon oleh akhbar itu.

Berikutan pendedahan skandal penggodaman itu, Rupert Murdoch mengumumkan penutupan akhbar yang berusia 168 tahun itu, dengan keluaran terakhirnya pada 10 Julai.  Kemudian, pada 15 Julai,  Rebekah Brooks mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ketua eksekutif News International, syarikat  induk The News of the World kerana dia pernah berkhidmat sebagai editor dengan akhbar itu dan terlibat dengan penggodaman.  Pada Jumaat lalu, Les Hinton, sahabat lama dan orang kepercayaan Murdoch, penerbit The Wall Street Journal dan ketua pegawai eksekutif  Down Jones meletakkan jawatan.

Perkembangan terbaharu berhubung dengan skandal penggodaman telefon ini ialah John Whittingdale, pengerusi Konservatif  Jawatankuasa Kebudayaan, Media, dan Sukan mengakui bahawa beliau sahabat lama pembantu rapat Murdoch, iaitu Les Hinton, dan pernah makan malam bersama-sama Rebekah Brooks.  Anggota parlimen ini yang akan mengetuai serangan terhadap Rebekah Brooks dan Rupert serta James Murdoch minggu ini, mempunyai hubungan rapat dengan empayar media itu. The Independent on Sunday juga mendapat tahu bahawa anak perempuan Murdoch, Elisabeth, juga mengadakan pertemuan dengan Whittingdale beberapa kali.  Dalam kalangan 386 orang "sahabat" dalam Facebook, hanya anggota parlimen yang dia senaraikan ialah Whittingdale.  Beliau juga hanya ahli parlimen dalam kalangan 93 orang "sahabat" Facebook Hinton.


Skandal penggodaman telefon menuntut mangsa yang berprofil tinggi lagi apabila akhbar semalam melaporkan Sir Paul Stephenson, pegawai polis kanan di Britain, Pesuruhjaya Polis Metropolitan meletakkan jawatan, ketika bantahan politik terhadap pemakluman Scotland Yard yang melantik Neil Wallis, bekas timbalan editor akhbar itu, sebagai penasihat perhubungan awam. Dalam kenyataan yang beremosi, Paul Stephenson berkata bahawa dia tidak mahu "bertolak ansur" dengan Perdana Menteri, dan menyatakan perletakan jawatan itu adalah kerana integriti peribadinya tercemar.  Sementara itu, Rebekah Brooks ditangkap di balai polis London kerana disyaki terlihat dalam penggodaman telefon dan menyogok rasuah kepada polis.  Pada hari Isnin semalam,  gagal menangani skandal penggodaman telefon dengan serius, menyebabkan John Yates, Penolong Pesuruhjaya Polis Metropolitan turut meletakkan jawatan.


Sejak  pendedahan skandal penggodaman telefon itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron diibaratkan  "telur di hujung tanduk"  kerana sahabat dan sekutunya daripada News International melakukan kerosakan yang berkekalan dan tidak boleh diubah dalam reputasi beliau.  David Cameron adalah dalam pembentung kerana sahabat-sahabatnya di akhbar itu, tegas Peter Oborne dalam blogstelegraph.co.uk.  "Beliau sepatutnya tidak mengambil Andy Coulson, editor The News of the World,  berkhidmat sebagai pengarah komunikasinya.  Beliau sepatutnya tidak cuba berbaik-baik dengan Rupert Murdoch."  Tambah Oborne, "dan kesilapan yang paling teruk, beliau sepatutnya tidak membenarkan dirinya menjadi kawan rapat Rebekah Brooks."

Perdana Menteri, seperti yang Peter Oborne cuba mengingatkan  "tidak boleh mempertahankan dirinya daif kerana  siapa sebenarnya Andy Coulson telah diberitahu kepada penasihat rapatnya oleh Alan Rusbridger, editor The Guardian, akhbar yang mendedahkan skandal penggodaman telefon. Rusbridger juga pergi berjumpa Nick Clegg, kini Timbalan Perdana Menteri.  Justeru, Cameron dan Clegg, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengetahui segala-galanya tentang Coulson sebelum rundingan kerajaan gabungan Mei tahun lalu. Dan namun, kedua-duanya tidak memberikan perhatian dan terus melantik Coulson pengarah komunikasi Downing Street, tindakan yang tidak bijak yang pengemis percaya.



                        Rebekah Brooks dan Andy  Coulson, sahabat Perdana Menteri

Skandal penggodaman telefon jika dilihat dari segi kejauhan jangkauan dan kedalaman impak diibaratkan Watergate Britain, lebih-lebih lagi melibatkan kebertanggungjawaban dan integriti David Cameron, namun beliau masih berdolak-dalih.  Skandal penggodaman itu melanda No.10:  David Cameron terpaksa berhempas pulas untuk menjauhkan dirinya daripada skandal penggodaman telefon The News of the World, tulis Robert Winnett  apabila beliau dihadapkan dengan soalan tentang keputusannya melantik Andy Coulson itu.  Campur tangan beliau itu muncul selepas 24 jam pengumuman bahawa akhbar yang berusia 168 tahun akan ditutup, dan pada hari polis menangkap Coulson dan bekas pemberita akhbar itu atas tuduhan penggodaman telefon dan pembayaran haram  kepada polis.  Coulson ialah editor akhbar itu yang ketikanyalah kebanyakan penggodaman dikatakan berlaku, tetapi diberikan "peluang kedua" dengan pekerjaan untuk Cameron.  Nick Davies yang menulis dalam The Guardian, menjejaki penglibatan Coulson dalam penggodaman telefon, sama ada dia mengetahui dan merestui aktiviti itu. 

Dalam sidang akhbarnya di Downing Street, David Cameron mempertahankan keputusannya melantik Coulson, tetapi mengakui bahawa hubungannya dengan anggota kanan empayar Murdoch terlalu rapat.  "Kebenaran yang sangat dalam adalah kerana pemimpin parti begitu berminat untuk meraihkan sokongan akhbar."  Beliau menjelaskan bahawa sebelum melantik Andy Coulson,  beliau melantik syarikat untuk menyemak latar belakangnya.  Akan tetapi, pemimpin Parti Buruh berkata bahawa Cameron masih gagal untuk memulihkan keyakinan terhadap cara kerajaan menangani skandal ini. Beliau enggan memohon maaf atas kesilapan yang membawa malapetaka membawa Andy Coulson memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Reputasi David Cameron semakin tercalar apabila beliau dituduh memperlihatkan "kekurangan pertimbangan yang luar biasa" selepas beliau mengundang Andy Coulson ke Chequers dan bermalam di sana pada bulan Mac, dua bulan selepas dia meletakkan jawatan sebagai pengarah komunikasi Downing Street, lapor Nicholas Watt. Sementara itu, Downing Street menyenaraikan kunjung mengunjungi antara David Cameron dengan eksekutif kanan daripada empayar media Murdoch, antaranya Rebekah dan James Murdoch. 

Namun,  pendedahan terbaharu menunjukkan hubungan  mesra antara Perdana Menteri dengan News International yang melibatkan separuh kontak dengan media selepas pilihan raya tahun lalu adalah dengan syarikat itu.  Persahabatan Cameron merupakan masalah, tulis Mehdi Hasan, "bilakah beliau akan menjauhkan dirinya daripada tiga serangkai toksik Murdoch, Coulson, dan Brooks?  David Cameron, seperti yang dikatakan oleh Ian Katz, mempunyai hubungan istimewa dengan Rebekah Brooks bahawa mereka makan malam sempena Krismas.  Rebekah pernah memberitahu kawan-kawannya bahawa dia tidak perlu melawat Downing Street untuk bertemu Perdana Menteri kerana dia berjumpa beliau dalam suasana yang lebih meriah di sekitar Oxfordshire selatan.

Sejak pendedahan skandal penggodaman telefon itu, David Cameron terpaksa menempuh hari-hari yang cukup panjang, baik secara rasmi sebagai Perdana Menteri mahupun secara peribadi. Tangan kotor yang terbabit dalam skandal itu merupakan sahabat beliau.  Segala usahanya untuk mengawal tangkis kerosakan lebih memburukkan lagi keadaan.  Semakin beliau cuba menjauhkan diri, semakin banyak kekotoran memalit dirinya.  Janet Daley dalam komennya tentang pendirian David Cameron dalam sidang akhbar pada hari Jumaat 8 Julai lalu:  "Saya fikir beliau akan berkata 'untuk  menyata terang-terang apakah yang benar-benar silap dalam hubungan antara ahli politik dengan akhbar.'  Beliau sebenarnya mengutamakan dalam ucapan alu-aluan bukan hanya masalah dengan etika akhbar, atau kawal selia mereka, tetapi dengan cara 'politik bekerja' di negara ini. Wau. Saya fikir, ini mungkin menjadi lebih berani dan lebih penerimaan tanggapan yang mana-mana pemimpin lakukan dalam memori hidup,"

"Permainan telah berubah.  Maharaja hilang pakaian," tulis  Polly Toynbee dalam nada menyindir terhadap David Cameron.  Akhirnya, Parti Buruh menendang belenggu: tiada lagi pengampu Murdoch yang mengaibkan Tony Blair dan Gordon Brown.  Dalam krisis ini, Ed Miliband membuatkan semua berlari dan Cameron dipaksa mengikut, melakukan apa yang mungkin beliau tidak lakukan sebaliknya.  Miliband yang mula-mula mendesak diadakan penyiasatan.

Dalam "Phone Hacking:  Spreading Scandal, Mounting Questions"  editorial The Guardian pada 15 Julai menegaskan bahawa News International menghabiskan masa yang begitu lama untuk mengekang krisis komersial, bukannya berusaha menghadapi skandal yang lebih penting.  Editorial itu juga mempersoalkan apakah pertimbangan David Cameron mengundang Coulson untuk bermalam di Chequers pada bulan Mac, yang ketika itu tidak lagi berkhidmat sebagai pengarah komunikasi.  Cameron mungkin sebelum ini berkata bahawa beliau memberikan "peluang kedua" kepada orang "jujur," tetapi pada masa Coulson meletakkan jawatan pada Januari, bukti semakin bertambah bahawa bekas editor The News of the World terbabit dalam penggodaman telefon.  "Cameron memperlihatkan tanda beliau mengambil perkara ini," tulis editorial itu, "jika hanya kerana implikasi  terhadap beliau semakin serius."

David Cameron sejak menjadi Perdana Menteri tahun lalu, mula kelihatan cuba terbang tinggi.  Malangnya, tiba-tiba terdedah skandal penggodaman telefon yang menyebabkan beliau dihimpit  dari segenap penjuru.  Akibatnya, beliau kelihatan terhuyung-hayang.































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...