JUMAAT, 1 Julai 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Secara simbolik, situasi pasaran saham dikaitkan dengan dua haiwan. Lembu jantan untuk pasaran yang cergas, manakala beruang untuk pasaran yang lembap. Sejak krisis kewangan tercetus pertengahan September lalu, pasaran saham dunia kehilangan larian lembu jantan, sebaliknya lebih banyak dikuasai oleh lenggok beruang. Dalam tempoh itu, pasaran lebih diwarnai oleh kebimbangan, ketakutan, dan pesimisme.
Hanya pada bulan April, kebanyakan pasaran saham mula menunjukkan pemulihan. Misalnya, Indeks Purata Industri Dow Jones (Dow) yang jatuh kepada 6594.44 mata pada pada 5 Mac, berjaya memasuki wilayah 8000 mata pada bulan berikutnya, meskipun pada bulan itu juga indeks berundur beberapa kali. Sementara Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pula mengalami peningkatan yang berterusan sejak hari Khamis 9 April apabila Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, mengumumkan barisan Kabinetnya. KLCI ditutup pada 917.89 mata, 10.02 mata lebih tinggi daripada hari sebelumnya, manakala volum urus niaga meningkat daripada 613.012 juta saham kepada 715.124 juta saham, dan nilainya meningkat kepada RM990.704 juta daripada RM945.836 juta. Ahli ekonomi berpendapat bahawa barisan Kabinet baru itu selari dengan jangkaan pasaran.
Keadaan ini berterusan hingga hari Jumaat 24 April apabila KLCI ditutup pada 992.68 mata dengan volum 2.082 bilion saham bernilai RM1.667 bilion berbanding dengan 982.09 mata, dengan volum 1.366 bilion bernilai RM1.276 bilion pada hari sebelumnya. Kenaikan ini ditafsirkan sebagai respons positif para pelabur terhadap langkah liberalisasi pasaran yang melibatkan 27 subsektor perkhidmatan.
Keriangan, keterujaan, dan optimisme dalam kebanyakan pasaran saham, pastinya diharapkan berlanjutan ke minggu terakhir April sebagai persediaan untuk bulan seterusnya. Namun, sejak hujung minggu, media antarabangsa dan tempatan memberikan liputan tentang ancaman selesema babi yang berpunca dari Mexico, merebak ke beberapa buah negara. Akibatnya, pada hari Isnin dan Selasa, pasaran saham dunia bagaikan disondol oleh babi, dan larian lembu jantan seakan-akan berakhir. Dengan kata lain, selesema babi menggempurkan pasaran yang mula menunjukkan pemulihan.
Dalam tempoh dua hari, kebimbangan dan ketakutan mula mewarnai pasaran saham, malahan kerajaan Taiwan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan campur tangan jika selesema babi menyebabkan pasaran saham negara itu terus jatuh. Pada 27 April, beberapa rangkaian berita kabel mula mensensasikan berita yang berbaur cemas; Bloomberg: “Selesema babi menyondol syarikat penerbangan Asia membangkitkan memori tentang SARS,” manakala CNBC: “Pasaran bertindak balas secara berlebih-lebihan;” “menambahkan lagi ketidakpastian dalam ekonomi.”
Pada hari itu juga harga minyak jatuh kepada kira-kira AS$50 per tong kerana dolar yang teguh dan laporan berita selesema babi menjejaskan perjalanan musim panas dan mencetuskan gementar di seluruh pasaran dunia. Kerisauan terhadap selesema ini menyebabkan kejatuhan harga minyak dan pasaran ekuiti. Wabak berkenaan dijangkakan mengurangkan permintaan terhadap bahan api kapal terbang kerana orang ramai kurang berjalan. Walau bagaimanapun, penganalisis Daniel Flynn dari Alaron Trading Corp. berkata, “harga minyak kemungkinan meningkat semula apabila ketakutan terhadap merebaknya selesema babi lenyap.”
Ancaman selesama babi yang kemudian dikenali Influenza A(H1N1) boleh menyebabkan kemelesetan yang dialami oleh Amerika Syarikat semakin dalam. Ekonomi negara itu yang menunjukkan tanda awal tentatif pemulihan, berhadapan dengan kemungkinan ancaman baru yang serius, iaitu selesema babi. Merebaknya wabak ini boleh menjejaskan industri pelancongan, makanan, dan pengangkutan khususnya, memperdalamkan lagi kemelesetan di Amerika dan kemungkinan seluruh dunia. Kesatuan Eropah menasihati warganya supaya mengelak perjalanan yang tidak penting ke Amerika Syarikat dan Mexico. Para pelabur di Wall Street yang berasa bimbang, mencampakkan saham syarikat penerbangan, hotel, pengusaha pelayaran pesiaran, dan beberapa firma makanan atas alasan takut bahawa selesema ini akan mengecilkan permintaan pengguna.
Di Wall Street, saham penerbangan dan saham berkait dengan perjalanan mengalami kerugian yang ketara pada hari Isnin. Namun, dari segi volum, kejatuhan volum yang kecil pada hari itu menandakan bahawa berlaku pengambilan keuntungan dan bukannya ketakutan dalam jualan. Craig Peckham, ahli strategi pasaran di Jefferies & CO, menganggap selesama sebagai “alasan mudah” bagi para pelabur untuk menunaikan keuntungan yang mereka buat dalam beberapa minggu kebelakangan.
Para pelabur dilaporkan mengambil sikap berhati-hati kerana kes selesema babi meningkat. Mereka juga sedar bahawa ketakutan kesihatan sebelum ini hanya mempunyai kesan bertolak-tolakan jangka pendek terhadap pasaran, termasuk selesema burung, penyakit Lembu Gila, dan virus Nil Barat – tidak ada satu pun pernah merebak kepada pandemik global. Terlalu awal untuk melihat kesan selesema babi terhadap pasaran sehingga boleh menimbulkan cemas, tetapi sesuatu yang perlu diberikan perhatian.
“Oleh sebab ketakutan memuncak terhadap wabak selesema babi yang mengancam nyawa manusia,” tulis Jack Healy dalam The New York Times, “para pelabur pada hari Isnin membuat persembahan kewangan yang setara dengan mencuci tangan dan mengenakan pelitup pembedahan. Mereka banyak membeli saham drug, menolak dengan angkuh mata wang peso Mexico, dan mengelak daripada pengeluar daging babi.” Dengan merujuk kepada kejatuhan Dow sebanyak 51.29 mata (0.6 peratus), kepada 8,025 mata pada hari itu, Healy dalam makalahnya, “Stocks Drop Amid Swine Flu Concerns,” menegaskan bahawa pasaran yang lebih jelas menggigil pada separuh pertama hari berkenaan, dan mengorbankan keuntungan sederhana kerana para pelabur memerhatikan berapa jauh selesema ini merebak, dan sama ada kebimbangan terhadap pandemik dibesar-besarkan atau sah.
Kebimbangan dan ketakutan terhadap selesema babi berterusan pada hari berikutnya. Harga saham dan komoditi jatuh kerana kebimbangan terhadap selesema ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi global. Ketakutan merebak dengan pantas dalam ekonomi dunia yang lemah, dan ancaman pandemik ini menyebabkan pemulihan ekonomi dunia yang mula kelihatan, menempuh suatu perjalanan yang semakin jauh. Pasaran saham Amerika, Eropah, dan Asia Pasifik yang merudum pada hari Isnin berterusan pada hari Selasa: Dow 8,016.95 (-8.05) mata, FTSE 100 4,096.40 (-70.61) mata, Nikei 8,493.77 (-232.57) mata, Hang Seng 14,555.11 (-285.31) mata, Indeks Kospi 1,300.24 (-39.59) mata, Straits Times 1,808.41 (-10.20) mata, dan KLCI 965.70 (-14.42) mata.
Jika dibandingkan dengan urus niaga pada 24 April, kebanyakan pasaran pada 28 April, kecuali Shanghai dan Jakarta, mengalami penurunan. Bagi bursa saham Malaysia, liberalisasi sektor kewangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari Isnin tidak dapat mengekang landaan selesema babi. Namun, beberapa penganalisis berhujah bahawa jika kerajaan tidak mengumumkan dasar itu kemungkinan pasaran saham negara ini jatuh lebih teruk.
“Pasaran saham dunia jatuh pada hari Selasa,” lapor AP, “kerana para pelabur bimbang bahawa sebarang pandemik selesema babi boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global apabila WHO berkata kini adalah terlalu lewat untuk mengawal virus dan mendesak setiap negara melakukan apa yang termampu untuk mengurangkan kesan.” Meskipun semua kematian yang disyaki dan kebanyakan daripada 2000 atau jangkitan berlaku di Mexico, namun para pelabur di seluruh dunia membuat keputusan untuk mencari perlindungan, meninggalkan aset yang berisiko, seperti saham, dan mencari semula aset yang selamat, seperti dolar dan yen.
“Pasaran ekuiti,” tegas Stuart Bennett, penganalisis di Calyon Credit Agricole, “mengalami penjualan yang berterusan di tengah-tengah kebimbangan bahawa penularan virus akan melemahkan harapan pemulihan ekonomi berlaku pada akhir tahun ini.” Sementara Brian Bethune, ahli ekonomi di IHS Global Insight dilaporkan berkata: “Anda boleh menegaskan bahawa selesema babi boleh memperluas lagi risiko bahagian bawah terhadap ekonomi.”
Ekonomi Amerika Syarikat boleh mengecut sedikit lagi daripada yang dijangkakan kini. Namun, kebanyakan pakar tidak fikir bahawa meletusnya selesema babi dengan sendirinya akan menghapuskan banyak pekerjaan di Amerika atau memperburukkan lagi ekonomi. Simon Johnson, bekas ketua ahli ekonomi kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menjangkakan hanya “pukulan kecil” terhadap aktiviti ekonomi.
“Tetapi, jika masalah ini berlarutan beberapa bulan, merebak secara meluas, dan mendorong kepada kes selesema yang berleluasa, malahan melibatkan kematian di Amerika, kerosakannya boleh menjadi semakin teruk. Selesama ini boleh melambatkan pemulihan ekonomi Amerika hingga ke tahun 2010,” kata Mark Zandi, ketua ahli ekonomi di Moody’s Economy.com. “Keyakinan pengguna telah pun berselumu, dan sesuatu seperti wabak itu boleh menjejaskan lagi keyakinan mereka.”
Tatkala selesema babi terus menular ke beberapa buah negara dan melanda pasaran, WHO mengeluarkan amaran bahawa negara paling miskin akan menerima kesan yang paling teruk daripada pandemik ini. Bagi Mexico pula, selain peso merudum, negara itu dijangka meminjam AS$47 bilion daripada IMF. Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com., mata wang peso yang merosot 32 peratus dalam tempoh enam bulan hingga 9 Mac kerana ekonomi kedua terbesar di Amerika Latin itu terjebak ke dalam kemelesetan dan keganasan dadah yang semakin berleluasa, telah meningkat kepada 12 peratus dalam tempoh enam minggu sebelum kerajaan mula melaporkan kes selesema babi pada 23 April. Seterusnya, pada awal Mei, Setiausaha Kewangan Mexico, Agustin Carstens dilaporkan mengakui bahawa negara itu dalam kemelesetan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh mengecut 4.1 peratus sebahagiannya kerana selesema babi.
Kathryn Hopkins melalui makalah yang diterbitkan dalam akhbar The Guardian pada 28 April, menyatakan: “Selesema babi pastinya menjejaskan ekonomi dunia yang telah pun lemah, meskipun pada tahap ini sukar untuk membuat penilaian yang tepat. Dalam makalah, “Swine Flu: What the Economists Say,” Kathryn yang memetik beberapa pendapat ahli ekonomi, menyebut bahawa pandemik selesema global yang paling teruk yang dianggarkan oleh Bank Dunia pada tahun lalu mungkin mencecah kos 4.8 peratus KDNK dunia (atau lebih AS$3 trilion).
Namun, keadaan cemas akibat selesema babi tidak terus merasuk para pelabur, dan kebanyakan pasaran menamatkan urus niaga bulan April dengan memberangsangkan. Meskipun belum dapat dipastikan bahawa pasaran lembu jantan (bull market) kembali semula, sekurang-kurangnya pasaran kelihatan cergas, dan bersiap sedia untuk meneruskan rentak ini pada bulan seterusnya. Jika dibandingkan dengan 28 April ketika pasaran menjunam, kebanyakan pasaran bingkas semula pada hari Khamis 30 April.
Dalam urus niaga terakhir bulan April, saham Asia mengalami pemulihan, antaranya kerana data ekonomi Amerika dan Jepun yang menandakan kemelesetan global berkurangan. Para pelabur dikatakan kembali semula ke pasaran setelah meninggalkannya beberapa hari lalu kerana kebimbangan penularan selesema babi dan kerugian yang ditanggung oleh beberapa bank utama. Berbanding dengan hari sebelumnya, Nikkei meningkat 334.49 mata (3.9 peratus) kepada 8,828.26 mata, Hang Seng Hong Kong meningkat 564.04 mata (3.8 peratus) kepada 15,520.99 mata, manakala Kospi Korea Selatan menokok 30.94 mata (2.31 peratus) kepada 1,369.36 mata. Sementara KLCI meningkat sebanyak 23.28 mata (2.41 peratus) kepada 990.74 mata – seakan-akan menyediakan tapak yang kukuh untuk bermain dalam wilayah 1,000 mata sebaik-baik sahaja urus niaga bulan Mei bermula.
Seperti yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal pada 1 Mei, pasaran saham di seluruh dunia mengalami pemulihan yang lebih kuat sejak tahun 1991. Meskipun jatuh 17.61 mata (0.2 peratus) kepada 8168.12 pada hari Khamis, tetapi Dow mengakhiri bulan April dengan peningkatan sebanyak 7.4 peratus untuk dua bulan yang terbaik sejak bermulanya pasaran lembu jantan pada tahun 2002. Tambah akhbar itu lagi, pasaran saham dunia melepasi wabak selesema babi yang melanda 11 buah negara dan memaksa WHO meningkatkan tahap berjaga-jaga kepada lima. Malah, Chrysler LLC yang diisytiharkan muflis pada 30 April gagal menyekat keuntungan pasaran.
Namun, Dow yang meningkat sebanyak 168.78 mata (2.1 peratus) kepada 8,185.73 pada 29 April, jatuh sebanyak 17.61 mata (0.22 peratus) kepada 8,168.12 pada hari berikutnya. Kejatuhan Dow ini, menurut The Wall Street Journal, “tetapi, berkesudahan dengan peningkatan sebanyak 7.4 peratus pada bulan April untuk dua bulan terbaik sejak bermulanya pasaran lembu jantan yang lalu, iaitu pada tahun 2002.”
Kecergasan pasaran turut dirasai di Kota London apabila 30 April, FTSE meningkat 54.12 mata kepada 4,243.71 mata. Pertumbuhan ekuiti yang dilihat melalui peningkatan harga saham lebih 20 peratus sejak mencecah jurang pada bulan Mac. “Dalam minggu lalu,” tulis Larry Elliot, editor ekonomi, dalam The Guardian, “perasaan optimis mengetepikan banyak sekali berita buruk – angka pertumbuhan dari Amerika dan Britain, potensi pandemik selesema babi, dan pengangguran di zon euro tertinggi dalam tempoh 44 bulan – untuk memacu pasaran saham dunia kepada tahap tertinggi dalam tempoh empat bulan.”
Walaupun pada bulan Mei, serangan selesema babi masih berterusan serta jumlah negara yang menjadi sasarannya bertambah, jangkaan bahawa tidak ada jalan keluar yang mudah untuk kemerosotan ekonomi global, dan berita yang dianggap boleh menjejaskan pasaran datang satu demi satu, tetapi pasaran masih cergas. Pada bulan itu diumumkan bahawa 10 daripada 19 buah bank di Amerika yang terlibat dalam ujian stres perlu mengumpulkan AS$75 bilion modal baru untuk mengelakkan kerugian pada masa akan datang; defisit perdagangan Amerika semakin luas, iaitu AS$27.6 bilion pada bulan Mac; dan 539,000 hilang pekerjaan di negara itu pada bulan April, dan kadar pengangguran meningkat kepada 8.9 peratus, tertinggi sejak 25 tahun lalu.
Hanya pengumuman oleh Jabatan Perdagangan Amerika pada 13 Mei bahawa jualan runcit di negara itu yang tanpa diduga merosot 0.4 peratus pada bulan April selepas jatuh 1.3 peratus bulan Mac, menyebabkan saham yang cergas sejak beberapa minggu lalu mengalami kejatuhan. Dow jatuh sebanyak 184.22 mata (2.18 peratus) kepada 8,284.89 mata; dan FTSE jatuh sebanyak 94.17 mata (2.1 peratus) kepada 4,331.37 mata, antaranya kerana terpaksa tunduk kepada kejatuhan jualan runcit itu.
Pada hari berikutnya, beberapa pasaran Asia turut mengikut rentak Wall Street: Nikkei jatuh sebanyak 246.76 mata (2.6 peratus) kepada 9,093.73 mata, Kospi jatuh 33.57 mata (2.37 peratus) kepada 1,380.95 mata, Straits Times jatuh 63.18 mata (2.89 peratus) kepada 2,122.11 mata, Hang Seng jatuh 517.93 mata (tiga peratus) kepada 16,541.69 mata, Indeks SET jatuh 26.16 mata (4.73 peratus) kepada 526.55 mata, dan KLCI jatuh 10.85 mata (1.06 peratus) kepada 1,011.99 mata.
Walau bagaimanapun, kecuali Dow yang jatuh 62.68 mata (0.75 peratus) kepada 8,268.14 mata dan FTSE jatuh 14.47 mata (0.33 peratus) kepada 4,348.11 mata, kebanyakan pasaran bingkas semula pada 15 Mei jika dibandingkan dengan hari sebelumnya. Misalnya, Nikei kepada 9,265.02 mata, Kospi kepada 1,391.73 mata, Straits Times kepada 2,139.78 mata, Hang Seng 16,790.70 mata, Indeks SET kepada 533.92 mata, dan KLCI kepada 1,014.21 mata.
Setakat pertengahan Mei, serangan selesema babi dan pengumuman beberapa berita buruk gagal menumpaskan pasaran, meskipun dalam keadaan ekonomi dunia yang lemah. Bahkan, tidak berlaku pengunduran pasaran secara berterusan. Misalnya, KLCI yang pada 4 Mei – urus niaga pertama bulan berkenaan, memecah tahap 1000 mata apabila ditutup pada 1009.36 mata, meningkat 18.62 mata (1.88 peratus), masih menguasai wilayah ini.
Namun, para penganalisis mengemukakan pandangan yang berbaur-baur terhadap perkembangan pasaran sekarang. Sesetengahnya berpendapat bahawa para pelabur mencergaskan pasaran, walaupun adanya pengumuman berita buruk, seperti peningkatan kadar pengangguran. Dikatakan bahawa keyakinan ekonomi global telah meningkat, antaranya seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Keyakinan Global Profesional Bloomberg meningkat kepada 38.72 mata pada bulan Mei daripada 21.2 mata April, peningkatan tertinggi sejak tinjauan ini dilakukan pada November 2007. Ada yang berpendapat bahawa setelah terpikat dengan pasaran sejak dua bulan lalu, para pelabur mahu melihat isyarat bahawa keadaan bertambah baik sebenar ekonomi sedang berlaku. Jika isyarat ini tidak muncul, nescaya mereka akan mula menjualkan saham mereka. Mereka juga dikatakan menunggu katalis baru untuk terus mencergaskan pasaran.
Dalam teka-teki yang sukar ini pasaran menghadapi dua kemungkinan: larian lembu jantan yang berterusan atau lenggok beruang akan kembali semula. Yang pasti, sondolan babi tidak mungkin melemahkan keyakinan para pelabur dan menggugat kecergasan pasaran. Sebaliknya, faktor ekonomi dan petunjuk perniagaan yang menentukan sikap pelabur dan mencorakkan pasaran.
No comments:
Post a Comment