Artikel Popular

Sunday, July 31, 2011

Behring Breivik: Serigala Tanpa Kawanan?


AHAD,   31 Julai 2011
Oleh:    ZULKIFLI  SALLEH



Pengeboman bangunan di Oslo pada Jumaat 22 Julai lalu menyebabkan orang Islam yang berada di bandar raya itu disumpah seranah,   yang terlintas dalam fikiran orang Norway ketika itu,  orang Islamlah yang melakukannya.  Ledakan dan serangan di Norway yang  dilakukan oleh  Anders Behring Breivik yang mengorbankan 76 nyawa turut melibatkan atau mencomotkan Islam.  Meskipun dia mengakui dirinya Kristian, tetapi ada yang cuba meraguinya, dan bahkan  menafikan bahawa dia penganut agama itu.  Behring Breivik bukan Kristian: Kita boleh menggelar seseorang itu "pengganas Islam," tetapi tidak ada "pengganas Kristian."  Dan, dia juga bukan fundamentalis Kristian; dia tidak mempercayai apa-apa "fundamental asas agama Kristian.


Tidak cukup dengan penafian bahawa Behring Breivik beragama Kristian, Islam pula turut dibabitkan dengan mengatakan bahawa dia anti-Islam.  Seperti yang Andrew Brown tulis dalam blognya bahawa Anders Breivik bukannya Kristian,  jelas pada detik kewarasannya, ideologinya tidak ada kena mengena dengan Kristian, tetapi berasaskan kengerian atavistik terhadap orang Islam dan meluat terhadap "puak Marxis."  Cerdik pandai Fox News bukan sahaja menghentam media arus perdana yang mengatakan Breivik adalah Kristian dan bersikap dwistandard,  bahkan salah seorang daripadanya, Jon Stewart mendakwa bahawa pengganas Norway itu bukan Kristian, tetapi Islam pengganas Fort Hood.


Walau bagaimanapun, supaya tidak dituduh cuba menyembunyikan fakta, tulisan ini juga perlu merujuk kepada yang menegaskan bahawa Breivik adalah Kristian, seperti yang ditulis oleh Mark Juergensmeyer  dalam The Huffington Post:  Banyak orang Kristian yang mengekot apabila Anders Breivik  pembunuh orang ramai digambarkan sebagai pengganas "Kristian."  Akan tetapi, dia memang Kristian.  "Nota untuk golongan konservatif bahawa Anders Breivik adalah Kristian," tulis Alex Pareene dalam War Room Salon.  Meskipun Breivik bukan penganut Kristian yang baik, seperti yang Jason Linkins tegaskan, peringatan bahawa pengganas Norway itu merupakan pelampau Kristian yang menyebabkan orang Kristian yang bukan pelampau bersikap mempertahankan diri. 


Sebagaimana dahsyatnya ledakan dan serangan tu, demikian juga  komen atau respons cerdik pandai dan liputan media arus perdana yang kebanyakannyaa mengaitkan tragedi itu dengan Islam. "Banyak  dalam media yang menjadi terhuyung-hayang berhubung dengan fakta bahawa yang lain begitu cepat untuk melaporkan dan melontarkan komen bahawa orang Islam terlibat, sebelum mendapat bukti yang jelas." Demikian perhatian Ujala Sehgal sehari selepas tragedi itu yang juga mengingatkan bahaya ideologi sayap kanan yang dianuti oleh Breivik kerana ideologi itu menyokong Holokaus dan menyokong kebanyakan anti-Semitisme serta rasisme lain di seluruh dunia.  


Editorial The Wall Street Journal yang kemudiannya dipetik secara meluas (juga dikritik) mengaitkan serangan di Norway itu dengan kartun yang  menghina Nabi Muhammad yang diterbitkan dalam akhbar Denmark pada musim gugur tahun 2005 yang membangkitkan kemarahan umat Islam.  Dan sekali lagi, akhbar milik Rupert Murdoch yang belum reda dengan skandal penggodaman telefon, seperti yang dibahaskan oleh Simon Cohen memperlihatkan kelakuan tidak beretika dalam liputan tentang tragedi di Norway itu: membabitkan  Islam dan menuding jari kepada al-Qaeda.  Glenn Greenwald yang menulis dalam Salon mengkritik sikap melulu media arus perdana, "al-Qaeda selalu dipersalahkan, bahkan apabila mereka tidak melakukannya, bahkan kerja itu dilakukan oleh orang Nordic, yang membenci Kristian, nasionalis sayap kanan Eropah.  Keganasan itu tidak lebih daripada kekerasan yang dilakukan oleh orang Islam sendiri."


"Daripada The Wall Street Journal kepada Washington Post kepada Fox News kepada The New York Times," tulis Robert Koehler tidak cuba mencungkil mengapa serangan itu berlaku, sebaliknya menyalahkan Islam."  Media utama benar-benar gagal kerana seperti biasa, untuk melihat isu keganasan itu sendiri, dan sebabnya, dan menurun kepada analisis sudut pandangan dan memihak.  "Sesetengah cerdik pandai, pemberita, dan penulis editorial menuding jari dan menyalahkan pengganas Islam!  Dan perkataan  itu meletup.


Banyak saluran  media berita korporat masih mencuba untuk menghimpunkan naratif koheren, tetapi hanya sedikit pengajaran penuh dengan maklumat.  Pertama, media melaporkan  bahawa serangan di Norway itu dilakukan oleh orang  Islam atau Arab, dan kemudian, tegas Michelle Chen, "Muslim 'Terrorists,' White 'Lone Wolves,' and the Lessons of Oslo,"  dengan cepat digantikan oleh  "serigala tanpa  kawanan."  Teori "serigala tanpa kawanan" mengenal pasti bahawa individu boleh melakukan tindakan keganasan, bahkan tanpa arahan kumpulan yang telah bertapak.  Maksudnya, dari segi agama, Behring Breivik bukan Kristian, dari segi politik, dia bukan anggota populis sayap kanan, walaupun dari segi sosial dan budaya, dia anti-Islam, antiimigran, dan antifahaman pelbagai budaya.


Selain wujud kecenderungan  mengaitkan keganasan di Norway  itu dengan Islam, mangsa yang terkorban yang terdiri pemuda Parti Buruh yang berkhemah di Pulau Utoya, dituduh oleh pengulas konservatif, Glenn Beck ,  "Belia Hitler."  Keceluparan Beck (memang dia terkenal dengan fiil seperti itu), mengundang kritikan, antaranya daripada Amy Davidson dalam blog New Yorker bahawa  Beck sendiri, seperti yang dapat dilihat, menolong kem Tea Party.  Akan tetapi, dia menunjukkan kepura-puraan, dalam kes ini, menopengi persoalan yang lebih serius.  "Mengapa menghina politik, dan kanak-kanak yang mahu terlibat dalam tadbir urus?  Kem tersebut wujud sejak tahun 1927, dan adalah terutamanya projek sayap pemuda, dan dengan itu, tentang kepimpinan berbanding dengan hanya dipimpin semata-mata."  Mungkin jika mereka ialah Belia Hitler, maka wajar mati?  tanya  Anne Applebaum yang pada penghujung penulisannya menambah bahawa selain tidak siuman, Breivik tidak menerima peraturan demokrasi di Norway, dan kini kita dapat melihat akibatnya.


O'Reilly    Beck, dan kumpulan, sukar memahami apakah kekejaman:  serangan di Norway atau pemberitaan media liberal, tegas Sadhbh Walshe dalam "The Right World:  Telling Left from Right" yang mengkritik Bill O'Reilly yang tidak selesa dengan media liberal yang melabelkan Breivik pelampau Kristian; dan Glenn Beck yang keliru tentang apa yang berlaku di sana kerana dia kelihatan berfikir bukannya pembunuh, tetapi orang yang dibunuh itu merupakan pelampau sayap kanan.


Seminggu selepas berlakunya serangan itu, pegawai atasan polis Norway dipetik sebagai berkata bahawa lelaki yang mengaku membunuh 76 orang  dalam pengeboman dan pembunuhan kejam di kem pemuda minggu lalu merupakan sosiopath yang bertindak tanpa subahat atau rangkaian pelampau berfikiran seperti sayap kanan, dan menyimpan rancangannya untuk dirinya sendiri lebih satu dekad.




Setelah terbukti bahawa serangan tersebut bukannya dilakukan oleh pengganas Islam, maka muncul naratif baharu bahawa Behring Breivik ialah orang gila atau psikopat atau serigala tanpa kawanan. Bahkan, peguamnya, Geir Lippestad, berkata bahawa dia percaya si Breivik itu tidak siuman.  Seperti yang diketahui, Behring Breivik menulis manifesto "2083:  A European Declaration of Independent" kerana dia percaya perang untuk menyelamatkan Eropah daripada fahaman pelbagai budaya akan berakhir dalam 72 tahun lagi. Dia juga memperincikan manifesto yang diposkan pada Internet dan dihantar kepada lebih 1000 alamat e-mel.  Hal ini membuktikan bahawa dia tidak  sendirian, banyak penerima, setiap seorang dialamatkan oleh Breivik "patriot Eropah Barat," yang difikirkan bersekutu dengan organisasi kanan jauh merentas benua Eropah. Dia juga dikatakan hanya seorang daripada sayap kanan sulit yang antifahaman pelbagai budaya, anti-Marxis, antifeminis, antimasyarakat Islam, "Knights Templar" yang ditubuhkan di London pada April 2002.


Oleh sebab Breivik ialah sayap kanan dan fundamentalis Kristian, maka sebarang anggapan bahawa dia "seekor serigala sahaja" menimbulkan keraguan.  Bahkan, pembunuh itu, seperti yang dibahaskan oleh  Conor Friedersdorf, berkongsi kepercayaan tertentu golongan antijihad, seperti  Pamela Geller, Robert Spencer, Mark Steyn, dan lain-lain, bahawa golongan liberal Eropah membolehkan orang Islam ambil alih dengan falsafah pelbagai budaya mereka.


Meskipun dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, Breivik  tetap  mendapat sanjungan daripada Francesco Speroni, seorang bekas menteri dalam kerajaan Silvio Berlusconi, mempertahankan pemikiran pembunuh orang ramai rakyat Norway itu.  Speroni dalam wawancara pertunjukan radio popular, anggota utama Northern League, pakatan konservatif Berlusconi berkata:  "Idea Breivik adalah untuk mempertahankan peradaban Barat.


Dalam Time: "Norway Attacks:  The Worrying Rise of the Lone-Wolf Terrorist,"  William Boston menyatakan bahawa meskipun Norway tidak menganggotai Kesatuan Eropah, negara itu meminta pegawai Kesatuan Eropah untuk menyiasat dakwaan Breivik tentang rangkaiannya dengan pihak di luar negara itu.  Breivik mendakwa bahawa dia mempunyai hubungan yang meluas dengan English Defence League (EDL), misalnya - membuktikan bahawa dia bukan sendirian.  Boston memetik Janne Kristiansen, ketua siasatan dalam negara, Perkhidmatan Keselamatan Polis yang berkata:  "Breivik bukannya pengganas seorang diri.  Dia hanya seekor serigala yang sangat khusuk untuk tinggal di bawah perkhidmatan keselamaan dengan mendahului kehidupan sah."  




Bruce Bawer yang tulisannya dikagumi oleh Breivik, menulis selepas serangan Norway itu dalam The Wall Street Journal,  "beberapa orang daripada kita yang menulis tentang kebangkitan Islam di Eropah memberi amaran bahawa kegagalan para pemimpin politik arus perdana untuk  memberi respons menangani cabaran itu akan melahirkan pelampau, seperti Breivik.  Merujuk bahagian pertama manifesto itu, hujah Bawer jelas bahawa Breivik adalah kedua-duanya, iaitu terlalu pintar dan mempunyai pembacaan yang amat dalam tentang sejarah Eropah dan sejarah idea moden.  Hanya bahagian kedua, memperlihatkan dia benar-benar tidak siuman.  "Dalam manifestonya," tulis Bawer, "yang ditulis dalam bahasa Inggeris sedemikian baik bahawa seseorang berasa kagum, sama ada dia mempunyai pembantu penutur asli."


Dari segi tindakan, Anders Behring Breivik hanya seekor serigala, tetapi dari  rangkaian, dia serigala yang mempunyai kawanan.   Salakannya yang nyaring itu bukan sahaja mengaum di  seluruh Eropah, bahkan akan disambut oleh salakan serigala lain:  "Eurabia"  - ketakutan kemungkinan Islam mengambil alih Eropah.   Kesan serangan yang dia lakukan itu sungguh mendalam, iaitu membangkitkan Islamofobia bukan sahaja di Eropah, tetapi juga di Amerika Syarikat. Atau memetik Seumas Milne, "dalam keberangannya terhadap orang Islam, pembunuh  Norway itu bukannya orang yang menyendiri" - seakan-akan membayangkan sesuatu yang teruk akan berlaku pada masa hadapan.


Sekurang-kurangnya,  walaupun dituduh tidak siuman,  dia memenangi pertarungan ideologi yang mengingatkan ancaman Islam  di Eropah, dan dengan itu, orang Islam mesti diusir dari bumi Eropah.  Dan, dia melakukan sesuatu dengan nekad yang orang lain sebelum ini  belum tergerak  untuk melakukannya.  






























































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...