Artikel Popular

Sunday, July 17, 2011

Kaki Skru

AHAD,  17 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Sejak awal bulan ini,  berlegar-legar jangkaan bahawa   domino Eropah memburu mangsanya yang seterusnya, selepas Ireland, Greece, dan Portugal.  Simon Johnson yang menulis dalam bloomberg.com begitu yakin bahawa Italy tidak dapat mengelakkan daripada krisis hutang yang sedang melanda zon euro itu.  Kemudian, menyusul  Andrew Watt dengan "The Next Stage of the Eurozone Crisis or How Italy Has Become the Fourth Domino" yang meramalkan suratan takdir yang akan menimpa negara itu, iatu krisis hutang. 

James Walston,  "The Economic Pain Grown in Italy" yang membangkitkan masalah kepimpinan.  Silvio Berlusconi memenangi pilihan raya bukan hanya beliau memiliki seperuh stesen televisyen di negar itu, tetapi kerana beliau mengunjurkan optimisme.  Akan tetapi, tegas Walston, "untuk tahun lalu, memang sukar untuk menyembunyikan keburukan;dan ini bukan kerana beliau mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah umur, bahkan tidak juga bahawa beliau dibicarakan kerana menubuhkan dana slusy... Optimismenya merudum kerana terlalu banyak rakyat Italy yang dibayar gaji yang kurang, atau menganggur, atau tidak digunakan sepenuhnya; terlalu banyak syarikat, sama ada terpaksa bertungkus-lumus atau meninggalkan bayangan itu.  Di Italy, beliau tidak lagi boleh dipercayai, dan di luar, Kesatuan Eropah, European Central Bank (ECB), dan agensi penarafan memerhatikan hutang Italy dan bilakah akan berakhir.

                                        Optimisme  Berlusconi terhakis  bukan kerana Karima"Ruby"

Pada hari Jumaat 8 Julai lalu, pasaran saham Eropah merudum akibat ketakutan bahawa krisis hutang zon euro akan merebak ke Italy.  Indeks penanda aras Italy, FTSE MIB ditutup 3.5 peratus rendah di tengah-tengah kebimbangan bahawa politik yang berasak-asak di Rome mengancam kestabilan fiskal negara itu.  Indeks CAC 40 Perancis juga merana, jatuh 1.6 peratus, dan DAX Jerman kerugian 0.9 peratus.  Di  Sepanyol, Ibex jatuh 2.6 peratus,  anakala PSI  20 berkesudahan dengan 1.3 peratus lebih rendah.

Italy, ekonomi ketiga terbesar di zon euro dan ketujuh di dunia, bukan sahaja terlalu besar untuk gagal, tetapi terlalu besar untuk diselamatkan.  Negara itu dijangkakan dapat keluar daripada situasi ini dengan kemampuannya sendiri dan dengan bantuan semua negara Eropah, tetapi bukannya dengan bantuan kewangan.  Di zon itu, selepas Greece, Italy mempunyai nisbah hutang kedaulatan tertinggi berbanding dengan ekonomi  keseluruhan.  Justeru, jika Italy memerlukan pelan penyelamat, Kesatuan Eropah memerlukan peruntukan yang amat besar yang mungkin tidak tertanggung oleh mereka.  

Tidak seperti Greece, Portugal, dan Ireland, saiz benar-benar ekonomi Italy dan skala hutangnya melampaui sumber dana penyelamat semasa Kesatuan Eropah atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Zon euro yang digoncangkan oleh kesusahan fiskal Greece, Portugal, dan Ireland, meskipun ekonomi ketiga-iga negara adalah kecil secara relatifnya.  Sebaliknya, ekonomi Italy lebih dua kali ganda saiz ketiga-tiga negara itu, seperti yang dilaporkan dalam The New York Times.  Italy mempunyai hutang yang sama dengan 120 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), salah sebuah yang tertinggi di zon euro.  Dengan jumlah hutang kedaulatan sebesar itu,  atau AS$2.6 trilion, The Economist mengingatkan kemungkiran akan mengakibatkan malapetaka terhadap euro dan ekonmi dunia. 

Dalam beberapa hari ini, Italy menjadi negara yang terjebak dalam krisis hutang  selepas Greece, Ireland, Portugal, dan Sepanyol, dibahayakan secara khusus oleh perebutan kuasa antara Perdana Menteri Silvio Berlusconi dengan Menteri Kewangan, Guilio Tremonti.  Pertikaian itu mengancam ekonomi ketiga terbesar di zon euro, selepas Jerman dan Perancis.

Berlusconi boleh tersenyum lebar kerana kejayaannya dalam bidang perniagaan yang menjadikannya salah seorang terkaya di Italy dan paling lama menjadi Perdana Menteri sejak Mussolini.  Namun, seperti yang diperingatkan oleh The Economist, era beliau akan menghantui Italy dalam beberapa tahun mendatang. Di sebaliknya kejayaan peribadinya, beliau membawa membawa bencana sebagai pemimpin negara, tegas majalah itu dalam "The Man Who Screwed an Entire Country."

Meskipun kadar pengangguran hanya lapan peratus berbanding dengan Sepanyol  lebih 20 peratus,  satu perempat golongan remaja lebih banyak lagi di bahagian selatan meleset adalah menganggur.  Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja ialah 46 peratus, terendah di  Eropah Barat.  Campuran produktiviti yang rendah dan upah yang tinggi menjejaskan daya saing, sedangkan produktiviti meningkat sebanyak satu perlima di Amerika dan satu persepuluh di Britain dalam dekad hingga 2010, di Italy, produktiviti jatuh lima peratus.  Italy menduduki tangga ke-80 dalam indeks Doing Business, di bawah Belarus dan Mongolia, dan tempat ke-48 dalam pemeringkatan daya saing Forum Ekonomi Dunia, di belakang Indonesia dan Barbados.

Tatkala Italy terhuyung-hayang di ambang krisis hutang,  John Foot, menulis "Silvio Berlusconi May Have Screwed Europe - Not Just Italy," tindakan ini jauh lebih serius daripada parti "Bunga Bunga.  Ketidakcekapan ekonomi Berlusconi meletup ke  mukanya sendiri.  Krisis ini satu lagi petunjuk yang melanda tamatnya kerjaya politik Berlusconi yang berwarna-warni dan luar biasa. Beliau bertelagah dengan menteri kewangannyha berhubung dengan belanjawan baru-baru ini, dan gagal.  Beliau cuba mengenakan potongan cukai, tetapi juga gagal.  Penguasaannya terhadap orang Italy menjadi lemah hari demi hari.  Tewas di bandarnya sendiri, iaitu Milan dan kemudian dalam tiga referendum, beliau kini bergelut, bahkan untuk mengawal jemaah menterinya sendiri.  Untuk pertama kali, wujud debat terbuka tentang penggantinya.  Dunia akhirnya membuka mata terhadap bahaya genggaman kuasa Berlusconi.  Untuk sekian lama, pemerintahan Berlusconi tertumpu terhadap aspek yang lebih eksotik dalam kehidupan peribadi, iaitu gadis, parti, kesilapan yang bodoh, rambut, dan skaf bandana.

Akan tetapi, Berlusconi adalah lebih serius, dan boleh membawa maut, jika dibandingkan dengan parti "Bunga Bunga," tulis John Foot.  "Jutawan ini  diberikan tanggungjawab untuk satu ekonomi yang terbesar di dunia untuk bertahun-tahun, meskipun tidak berminat seluruhnya dalam kejayaan ekonomi secara keseluruhan, atau apa-apa sahaja di luar situasi kehakimannya dan kekayaan syarikat peribadinya.

Bersetuju dengan apa yang dttulis oleh The Economist  beberapa tahun  dahulu bahawa "Berlusconi tidak layak memerintah negaranya," - bukan sahaja betul ketika aitu, dan bahkan lebih betul pada hari ini,  Foot menulis, "lebih cepat Berlusconi pergi, lebih baik, meskipun masalah struktur yang dalam yang berakar umbi dalam ekonomi Italy dan kasta politik pengabadian kendirinya akan terus kekal."  Namun,   bahawa lelaki yang "screwed an entire country" - memetik tulisan majalah itu, tegas Foot, kini jelas kelihatan bahawa kenyataan tersebut jauh terlalu lembut.  Berlusconi bukan hanya "screwed Italy," tetapi beliau mungkin juga "screwed Europe." 


Nampaknya,  "skru" sebati dengan Silvio Berlusconi, pada mulanya Italy, kini merebak ke Eropah.   Pastinya, skru itu mempunyai beberapa makna, baik yang tersurat mahupun yang tersirat.













No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...