Artikel Popular

Sunday, July 3, 2011

Demokrasi dan Anarki

AHAD,  3   Julai 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Demokrasi juga mempunyai sisi gelap, memetik judul buku Michael Mann, The Dark Side of Democracy:  Explaining Ethnic Cleasing yang ulasannya pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat  pada tahun 2008, dan telah pun dimasukkan dalam blog ini.  Demokrasi juga mempunyai cacat cela yang lain, iaitu  dikaitkan dengan kemiskinan, seperti yang dbahaskan dalam Povery and Democracy:  Self-Help and Political Participation in Third World Cities yang diedit oleh Dirk Berg-Schlosser dan Norbert Kersting.  


Demokrasi merupakan perkataan yang sangat popular sekarang.  Hakikatnya, tidak ada negara di dunia hari ini yang kerajaan tidak mengatakan bahawa kerajaan mereka demokrasi.  Demikian pemerhatian Immanuel Wallerstein dalam komentar dwibulanannya, "Democracy - Everywhere?  Nowhere?"  Namun, beliau menegaskan bahawa nampaknya, terlalu sedikit persetujuan tentang apakah yang kita maksudkan apabila kita berkata negara adalah demokratik. Selepas menyatakan bahawa demokrasi berasal daripada orang Greece, iaitu demos, atau orang ramai,  dan kratia, atau pemerintahan, iaitu pihak berkuasa yang membuat keputusan, beliau memetik Lucien Febvre yang mengatakan bahawa selalunya penting untuk melihat sejarah perkataan.  


"Perkataan demokrasi," tulis Wallerstein, "tidak selalunya terlalu popular dari segi universal.  Perkataan ini pertama kali mucul ke dalam penggunaan politik moden bersama pada bahagian pertama abad ke-19, terutamanya di Eropah Barat.  Pada masa itu, perkataan itu mempunyai kualiti nada keganasan hari ini."  Setiap orang kini mendakwa mereka mengutamakan demokarasi, seperti yang terjadi pada kita pada hari ini, tambah beliau lagi. "Walau bagaimanapun, masalahnya adalah bahawa tidak setiap orang yang yakin bahawa kita hidup di negara yang benar-benar demokratik, iaitu orang ramai, semua orang ramai adalah benar-benar yang memerintah, iaitu membuat keputusan.


Wallerstein mencadangkan supaya kita memikirkan demokrasi sebagai tuntutan dan aspirasi yang belum wujud di mana-mana lagi, dengan membangkitkan  bahawa "orang ramai"  selalu bertindak balas menerusi protes, melalui mogok, melalui pemberontakan ganas.  Adakah "demokratik" apabila demonstrasi diabaikan?  Atau adakah "demokratik" apabila kerajaan mengalah dan tunduk pada kehendak  "orang ramai"?  Dan siapakah orang ramai?  Adakah mereka majoriti dari segi bilangan?  Atau adakah kumpulan utama mempunyai hak yang sepatutnya dijamin?  Wajarkah kumpulan penting mempunyai beberapa autonomi relatif?  Dan apakah jenis tolak ansur antara "majoriti" dengan "minoriti" penting membentuk hasil "demokratik?"


Meskipun kepulauan Greece  merupakan tempat lahir demokrasi Barat 2500 tahun lalu, Robert D. Kaplan dalam  bukunya, Mediterranean  Winter:  The Pleasures of History and Landscape in Tunisia, Sicily, Dalmatia, and the Peloponnese, memerhatikan bahawa "bermulanya suku akhir abad  ke-20, Greece berkembang menjadi  negara Timur Tengah bukan Islam" - menjadi realiti masa kini: Dataran Syntagma di Athens menyerupai Dataran Tahrir di Kaherah. Apabila parlimen Greece meluluskan rancangan jimat cermat selama lima tahun yang boleh menenggelamkan dan menyelamatkan negara itu,  drama sebenar bermula di luar parlimen apabila satu lagi pendekatan untuk demokrasi menyaksikan penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan.  Gas pemedih mata memenuhi udara dan Dataran Syntagma, pusat saraf gerkan penentangan baru Greece, menjadi kacau-bilau.  Dalam beberapa minit, plaza itu menyerupai zon peperangan.


Memetik  Costas Douzinas dan Petros Papasconstantinou, "Greece is Standing up to EU Neocolonialism,"   Syntagma menjadi Dataran Tahrir dalam gerak perlahan.  Di sana tercetus pemberontakan yang aman dan demokratik yang lebih mudah untuk bermula.  "Syntagma tempat orang ramai berkumpul menjadi dewan rakyat atau parlimen untuk orang biaas, berhapan dengan dewan pertuanan yang lumpur dan menambah penyertaan popular untuk prinsip perwakilan yang gagal."  Meskipun Greece terpaksa bergelut dengan krisis ekonomi  dan pergolakan sosial, Douzinas dan Papasconstantinou,  masih mempunyai keyakinan yang agak berlebih-lebihan:  "Apa-apa jua hasilnya, demokrasi langsung kembali semula ke tempat lahirnya dan mengubah makna politik.  Dalam beberapa hari lalu terbukti bahawa orang ramai yang berkumpul bebas dan warga yang nekad dan cekal boleh mencapai kejayaan dalam menentang kuasa yang sangat kuat.  Hal ini merupakan janji dan harapan Athens tawarkan kepada Dublin, Lisbon, dan London."  


Namun, untuk menyempurnakan misi yang cukup besar tentang demokrasi, juga memerlukan pengorbanan yang tidak kurang besarnya, "Greece: As Petrol Bombs Fly," tulis editorial guardian.co.uk  pada pertengahan Jun lalu.  "Demonstrasi massa di luar bangunan  kerajaan adalah satu perkara.  Akan tetapi, berpuluh-puluh ribu orang warganegara di luar parlimen itu sendiri menghantar mesej orde yang berbeza.


Selama tujuh tahun tinggal di Greece, beberapa perkara menjengkelkan Kaplan lebih daripada untuk melihat koresponden asing menjelaskan kekacauan politik tempatan dengan ungkapan, seperti "Lagipun, orang Greece mencipta teater" dan "bukan sahaja demokrasi  perkataan Greece, tetapi juga anarki.  Tulis Kaplan dalam bukunya, Balkan Ghosts:  A Journey Through History untuk mengingatkan bahawa kedua-duanya, iaitu demokrasi dan anarki mempunyai "pertalian darah."  Lebih daripada itu, untuk menyatakan bahawa Greece bukan sahaja terkenal dengan demokrasi, tetapi juga pernah terjebak dalam kancah anarki.  


Jika semuanya berkemungkinan, maka dikatakan orang Greece akan berkembang maju dalam persekitaran penganut faham anarki.  Mereka tidak memberikan respons yang baik terhadap  autoriti, undang-undang,  dan peraturan.  Bahkan hari ini, bagi orang Greece, undang-undang hanyalah cadangan semata-mata, bukannya kuasa yang mengikat.  Hanya golongan benar-benar memerlukan keselamatan kolektif Greece Purba untuk membentuk beberapa jenis kerajaan, dan mereka cuba untuk menjadikannya tidak menyakitkan seberapa yang boleh, oleh yang demikian:  Demokrasi.


Berikutan berlaku rusuhan di Greece pada tahun 2008, Tim Marshall menulis dalam blogs. news.sky.com bahawa rusuhan itu munculnya daripada sejarah panjang kuasa warganegara, dan melontarkan misil ke arah polis dan membakar bangunan.  Beliau menjelaskan bahawa anarki ialah perkataan orang Greece, anarchos.  Satu maknanya ialah "tanpa pemimpin."  Demokrasi adalah daripada demos, sekali lagi mempunyai beberapa makna, tetapi berakar umbi pada idea bahawa manusia boleh menyertai demos mereka, atau perhimpunan tempatan, dan menjadi bahagian demos, iaitu orang ramai.  Dan apakah ini ada kena mengena dengan orang Greek menahan bongkah?  Rusuhan kelihatan muncul bersama-sama idea kedua-duanya, iaitu anarchos dan demos. 


Greece yang kini bergelut dengan krisis hutang sehingga terpaksa memohon pelan penyelamat kedua daripada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ada sesuatu yang menimbulkan kebimbangan, seperti yang dibangkitkan oleh Arianna Huffington baru-baru ini. Keadaan  ini sepatutnya tidak tentang jimat cermat, tetapi adalah tentang masa depan demokrasi, tulis Arianna akibat krisis Greece yang berpanjangan.  "Apa yang berlaku di Greece mungkin sangat elok memberitahu kita, sama ada demokrasi akan pulih daripada krisis kesahan yang diperburukkan oleh krisis kewangan, atau sama ada demokrasi akan susut - diperlemahkan oleh betul-betul kuasa yang mencetuskan krisis pada mulanya."  Pada penghujungnya, dengan nada retorik berbaur emosi, beliau menulis, "Dan bukan  hanya sekadar bahawa tempat saya dilahirkan dan dibesarkan, tetapi kerana perjuangan orang Greece, iaitu perjuangan untuk menuntut kembali demokrasi ialah perjuangan kita juga."

Sebelum ini,  Aditya Chakraborrty menulis bahawa adalah silap untuk memikirkan bahawa sifat krisis Greece adalah terutamanya ekonomi sosial; krisis tersebut kini politik dan sistemik juga.  Dan krisis ini  akan menjadi dalam, kecuali jentera parti memperkenalkan sesuatu yang dapat menyatakan dengan jelas altenatif yang boleh dipercayai.  Akan tetapi, setakat ini, dalam arus perdana, wujud kekosongan.


Tentang anarki, Robert D. Kaplan, menulis perkara itu dalam The Atlantic pada Februari 1994, kemudian diterbitkan bersama-sama makalah lain dalam The Coming Anarchy:  Shattering the Dreams of the Post Cold War.  Antaranya, beliau berhujah  bahawa "Afrika Barat menjadi simbol demografik, alam sekitar, stres masyarakat di seluruh dunia, yang anarki jenayah muncul sebagai bahaya "strategik" yang sebenar."  Kaplan yang meragui demokrasi dan pasaran bebas berikutan kemenangan Barat dalam Perang Dingin, menulis dalam prakata, "Akan tetapi, sebagaimana selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, kemenangan kita menunjukkan dalam perjuangan akan datang untuk kelangsungan, yang kejahatan dan kecelakaan memakai topeng baru."


Dalam bab seterusnya, "Was Democracy Just a Moment?"  Robert Kaplan cuba mengingatkan bahawa demokrasi tidak selalunya indah, terutamanya terhadap usaha untuk mengembangkan sistem ini di negara bekas komunis dan negara autoritarian.  Beliau menegaskan bahawa Hitler dan Mussolini setiap seorang berkuasa melalui demokrasi.  "Demokrasi tidak selalunya menjadikan masyarakat lebih sivil," tulis Kaplan, "tetapi demokrasi selalunya tanpa belas kasihan mendedahkan kesejahteraan masyarakat tempat demokrasi itu beroperasi."  Namun, beliau mengakui bahawa "pengajaran yang boleh diambil bukannya kediktatoran adalah baik dan demokrasi adalah buruk, tetapi demokrasi muncul dengan berjayanya hanya sebagai batu tukup (capstone) untuk pencapaian sosial dan ekonomi yang lain."  


Yang menarik untuk dipetik di sini ialah pandangan Kaplan tentang pilihan raya dan pembentukan negara.  Bagi beliau, negara tidak pernah dibentuk melalui pilihan raya.  Geografi, pola penempatan, kebangkitan borjuis terpelajar, dan secara tragik, pembunuhan etnik membentuk negara.  Pada bahagian lain dalam bab tersebut, beliau berhujah bahawa kestabilan sosial adalah hasil daripada pewujudan  kelas menengah. Bukannya demokrasi, tetapi sistem autoritarian, termasuk monarki yang mewujudkan kelas menengah, yang setelah mencapai saiz tertentu dan keyakinan diri, memberontak terhadap golongan yang sangat diktator yang menghasilkan kemakmuran mereka. 


Robert Kaplan, seperti yang diketahui memperjuangkan autoritarian lembut yang diamalkan di Singapura, dan golongan autokratik  di Timur Tengah.  Berikutan tercetusnya pemberontakan Arab, banyak cerdik pandai dan melompat keriangan kerana ini akan menyebarkan demokrasi dan kebebasan di rantau itu, tetapi Kaplan mempunyai pendirian yang berlainan, iaitu dengan keraguan,  seperti yang dapat dilihat dalam tulisan beliau, "One Small Revolution" dan "Arab Democracy and the Return of the Mideterranean World."


Di Tunisia,  kejatuhan kerajaan diktator Zine al-Abedin Ben Ali yang memerintah selama 23 tahun meninggalkan kekosongan politik dan sosial, yang menurut Juan Cole, memerangkapkan negara itu antara demokrasi dengan anarki. "Rakyat Tunisia bangun daripada tidur pada pagi Sabtu untuk  meraikan kegembiraan yang amat sangat dengan kedatangan hak kebebasan politik, tetapi banyak yang bimbang tentang kedatangan serentak anarki sosial." 


Adakah demokrasi satu langkah ke arah anarki? Demikian soalan yang dibangkitkan dan dibahaskan dalam "Anarchy and Democracy" yang cuba menunjukkan kemungkinannya.  Demokrasi tulen, iaitu satu orang satu undi, hanya satu langkah jauhnya daripada anakisme.  Kehendak majoriti hanya memerintah secara tidak teratur minoriti, yang diberikan separuh peluang, yang mengambil alih pada mulanya peluang.  Hanya majoriti mengawal kuasa, seperti tentera dan polis, menghentikan sistem daripada runtuh sepenuhnya.  Menjurut tulisan itu lagi, "berdasarkan pengalama sejarah, lagi sekali kita boleh merumuskan bahawa orang Greece Athenian purba memang betul.  Masyarakat memerlukan kerajaan dan perintah, tetapi tidak terlalu banyak kerajaan dan perintah.  Sekat dan imbangan memang perlu untuk memastikan kuasa daripada tertumpu dalam beberapa tangan sahaja, dan hak orang ramai untuk menghapuskan pemimpin yang teruk adalah paling utama.  Sistem demokratik membenarkan kebebasan orang ramai, tetapi masih melindungi masyarakat daripada kelakuan ekstrem."


James L. Ray mengemukakan makalah yang cukup menarik dari segi rangka teoritis dan analisis tentang persaingan antara anarki dengan demokrasi di Eropah pasca-Perang Dingin.  Makalah tersebut mengajukan kontroversi teoritis (dengan implikasi dasar yang jelas) dalam persoalan khusus berkenaan, sama ada anarki atau demokrasi akan terus wujud di Eropah.  Persoalan ini, tegas beliau, boleh ditafsirkan sekurang-kurangnya dalam dua cara asas.  Tafsiran pertama berasaskan andaian bahawa kedua-duanya, iaitu anarki dan demokrasi, akan terus wujud di Eropah.  Persoalan ini kemudiannya menjadi persoalan fenomena mana, anarki atau demokrasi mempunyai impak yang lebih besar terhadap masa depan hubungan antarabangsa di Eropah.  Dalam istilah yang mudah, jika anarki mengatasi demokrasi, maka peperangan antara negara Eropah akan tercetus.  Sebaliknya, jika demokrasi mengatasi anarki, maka menurut saranan penyokong keamanan demokratik, dengan apa-apa cara jua, keamanana kemungkinannya memerintah.  


Walau bagaimanapun, dalam kesimpulan, Ray sekadar mengatakan, sama ada masa depan anarki ataupun demokrasi di Eropah tidak terjamin sepenuhnya. Kesatuan Eropah mungkin berkembang ke takat bahawa sifat anarki subsistem antarabangsa mungkin dilemahkan pada darjah penting menjadikannya besar kemungkinan  kekal aman.  Masa depan banyak demokrasi, khususnya di Eropah Timur dan Eropah Tengah tidak pasti.


Sesuatu yang menarik untuk dinyatakan di sini bahawa pernah dibahaskan bahawa demokrasi dan rasuah merupakan saudara kandung anarki politik.  Namun, dari satu segi yang lain, untuk mengelakkan anarki, kerajaan perlu membuktikan bahawa  negaranya bukan "tanpa pemimpin."  Anarki, merujuk istilah neorealis, ialah ketiadaan entiti seperti kerajaan pusat, dan dengan itu, kerajaan pusat perlu memastikan serta   memperlihatkan bahawa rantaian perintah dan jangkauan kawalan sentiasa kukuh.  






.









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...