Artikel Popular

Wednesday, July 6, 2011

Penjaga Budak Guru Bahasa Kedua

RABU,  6 Julai 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH

Pada akhir September 2009, di Johor Bahru, berlangsung Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang menghangatkan semula sesuatu yang agak  lama sejuk.  Dalam persidangan itu,  lahir   “keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti.”  Antara hujahnya ialah pada masa ini, terdapat lebih kurang 6000 bahasa yang masih digunakan,  tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang.  Bahasa Melayu ialah salah satu daripada 20 bahasa itu. Untuk mengukuhkan lagi alasan,  maka statistik tentang jumlah penutur bahasa ini diperturunkan:  Jika dicampurkan  pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura serta di negara lain, maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (satu  bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur), dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur). Para sarjana luar negara yang “didatangkan” khas ke persidangan  itu turut melahirkan keyakinan mereka tentang bahasa Melayu sebagai bahasa dunia, dengan pelbagai pujian dan sanjungan yang ada kalanya untuk “menyedapkan hati” tuan rumah.
 Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, seperti  yang dilaporkan, meluluskan  resolusi tiga perkara, termasuk mendesak kerajaan memberikan kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Kuasa itu juga perlu diberikan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tujuan sama.  Resolusi berkenaan turut mendesak  kerajaan supaya  memperkukuhkan semula fungsi Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan menyediakan dana mencukupi untuk menggerakkan aktivitinya.  Selain itu, kerajaan diminta menyediakan peruntukan bagi memantapkan  dan memperluas jaringan antarabangsa di pusat-pusat pengajian Melayu di luar negara yang memperluas fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Secara keseluruhannya, rancangan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu, lebih  tertumpu pada  sebelah penawaran, dengan pelan tindakan dipertanggungjawabkan kepada kerajaan atau agensi kerajaan.  Sebaliknya, sebelah permintaan kurang diberikan perhatian.  Meskipun seperti yang dinyatakan di atas,  jumlah penutur bahasa Melayu agak  besar, sebenarnya jumlah ini  merupakan “pengguna”  yang sedia.  Sedangkan, potensi  pengguna di luar Alam  Melayu boleh dikatakan terlalu sedikit; atau dengan kata lain, permintaan masih rendah.  Lazimnya, permintaaan terhadap sesuatu bahasa didorongkan oleh faktor pendidikan, ekonomi, politik dan ketenteraan, dan budaya.
Jika dilihat dalam konteks permintaan terhadap bahasa asing  di peringkat antarabangsa, gambarannya  kurang memberangsangkan.   Pada Januari 2010, akhbar The New York Times dengan judul  “Foreign Languages Fade in Class:  Except Chinese” melaporkan  bahawa beribu-ribu sekolah awam di Amerika Syarikat menghentikan pengajaran bahasa asing pada dekad lalu.  Akhbar itu yang merujuk kepada  kajian yang dilaksanakan oleh Center for Applied Linguistics, dengan pembiayaan kerajaan, menegaskan “berita muram bagi negara yang memerlukan lebih banyak ahli bahasa untuk menjalankan perniagaan dan diplomasi global.”
Bilangan rakyat Amerika yang  mempelajari bahasa asing dilaporkan meningkat sebelum ini, hanya sekadar melihat keadaan gelembung meletup (bubble burst).  Banyak sekolah di Amerika yang memulakan pengajaran bahasa Jepun pada tahun 1980-an, selepas Jepun muncul sebagai saingan ekonomi.  Walau bagaimanapun, menurut kajian itu, beribu-ribu orang menggugurkan bahasa itu.  Bukan sahaja  bahasa Jepun mengalami kemerosotan sedemikan, tetapi bahasa lain, apabila beribu-ribu sekolah yang menawarkan pengajaran bahasa Perancis, Jerman, atau Rusia menghentikan pengajaran bahasa berkenaan. Menurut   laporan terbaharu,  meskipun bahasa Jepun dan bahasa lain penting di Amerika, tetapi kekangan belanjawan menyebabkan pengajaran bahasa berkenaan terpaksa diketepikan.  
 Kajian Center for Applied Linguistics, walau bagaimanapun, menunjukkan kemajuan yang menakjubkan terhadap bahasa Cina, iaitu meningkatnya bilangan sekolah di Amerika yang menawarkan pengajaran bahasa itu.  Sesetengah sekolah membiayai kelas bahasa Cina dengan peruntukan mereka sendiri, tetapi beratus-ratus sekolah mendapat pertolongan.  Kerajaan China menghantar para guru dari China ke sekolah-sekolah di seluruh dunia, dan membayar gaji mereka.  “Pada masa belanjawan yang ketat, banyak sekolah Amerika mendapati tawaran itu sukar ditolak.”  Meskipun angka sebenar tidak diketahui, pengiraan kasar menunjukkan bahawa 1600 buah sekolah awam dan swasta di Amerika mengajar bahasa Cina, meningkat daripada 300 buah atau lebih pada dekad lalu.
Sementara di Britain,  apabila keputusan General Certificate of Secondary Education (GCSE)    diumumkan pada Ogos tahun 2010, didapati bilangan murid yang mengambil bahasa Perancis dan bahasa asing lain merosot secara dramatik, kerana mereka mengambil mata pelajaran sains tunggal. Bilangan murid yang mengambil mata pelajaran bahasa merosot sejak kerajaan menjadikan bahasa pilihan dalam GCSE enam tahun lalu.  Kemerosotan dalam bahasa Perancis adalah ketara, iaitu hampir separuh, sekadar melebihi 170,000 orang murid jika dibandingkan dengan lebih 300,000 orang pada tahun 2004, dan jatuh daripada 10 mata pelajaran paling popular pada tahun ini.  Lebih banyak murid yang memilih untuk mempelajari geografi dan seni untuk GCSE.
Dalam keluaran Ogos 2010,  The New York Times mendedahkan kaedah baru dalam penyebaran bahasa  yang  tidak melibatkan tenaga pengajar atau ahli bahasa.  Juga tidak memerlukan institusi formal dan kerajaan tidak perlu menyediakan peruntukan.  Dengan tajuk “Looking for Baby Sitters: Foreign Language a Must”  akhbar itu melaporkan bahawa ibu bapa  mencari penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak yang dapat mengajar bahasa kedua untuk anak-anak mereka. Lazimnya,  ibu bapa tidak menguasai bahasa kedua itu, dan oleh itu,  mereka mengharapkan orang lain  mengajarkannya untuk anak-anak mereka.
Menurut  akhbar itu,  wujud kecenderungan  dalam kalangan ibu bapa di Amerika bahawa seseorang itu bukan sahaja menjaga  anak-anak mereka, tetapi  dia juga bercakap dengan   anak-anak mereka secara eksklusif  dalam  bahasa Sepanyol.  Bagi ibu bapa berkenaan, kemasukan anak-anak mereka di pusat jagaan kanak-kanak merupakan langkah pertama untuk mempelajari bahasa asing.  Seorang ibu dilaporkan berkata, “Satu kemestian bahawa penjaga budak  bercakap bahasa Sepanyol.  Kami berasa terlalu kuat bahawa anak kami mendengar bahasa lain,”  meskipun si ibu itu dan suaminya tidak menguasai bahasa Sepanyol. 
Walaupun  majoriti ibu bapa mencari penjaga untuk anak-anak mereka – penjaga yang akan bercakap dengan anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris,  blog dan laman Web keibubapaan (parenting) popular menunjukkan bahawa bilangan yang ketara dalam kalangan ibu bapa yang mencari penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak yang dapat membantu anak-anak mereka belajar bahasa kedua, iaitu bahasa yang mungkin ibu bapa berkenaan  tidak dapat tuturi.  Ibu bapa dilaporkan mensyaratkan jika pengasuh kanak-kanak  bekerja dengan mereka, dia hanya bercakap dengan anak-anak mereka dalam bahasa Sepanyol.  Bagi ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka mempelajari bahasa Sepanyol, mereka menegaskan bahawa “pengasuh itu  tidak akan diambil bekerja jika tidak kerana bahasa Sepanyol.” 
Ibu bapa menyatakan alasan yang berbeza untuk mengupah penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak untuk bercakap atau bertutur bahasa kedua dengan anak-anak mereka.  Sesetengah ibu bapa menghadapi kesukaran untuk memilih bahasa asing dan mahu menjadikan kehidupan yang lebih mudah untuk anak-anak mereka.  Sesetengahnya percaya langkah itu menjadikan mereka lebih pintar.  Dan lazimnya, di Bandar Raya New York, banyak ibu bapa mempunyai hubungan dengan bahasa lain dan mahu memperkukuhkan hubungan itu.  Ibu bapa mula sedar akan manfaat untuk anak-anak mereka untuk mempelajari bahasa lain.
Wujudnya kesedaran baru ini dalam kalangan ibu bapa agak memeranjatkan kerana tidak berapa lama dahulu, banyak ibu bapa yang mendesak  pengasuh kanak-kanak supaya tidak menggunakan bahasa ibundanya dan hanya bercakap dalam bahasa Inggeris dengan anak-anak mereka.  Hal ini demikian kerana mereka khuatir bahasa lain mungkin mengelirukan perkembangan bahasa Inggeris mereka.
 “Sebaik-baik sahaja anda tribahasa,” seorang ibu dilaporkan berkata, “anda boleh memecahkan bahasa baru yang lebih memudahkan anda untuk mempelajari bahasa keempat, kelima, dan keenam anda.”
Menurut  kajian “Bilingualism Consequences for Language, Cognition, Development, and the Brain” yang diterbitkan dalam The Asha Leader Online pada Oktober 2009, setiap tahun beribu-ribu anak kelas menengah dan kelas atas Amerika mempelajari bahasa asing untuk pengayaan.  Anak-anak ini, ibu bapa mereka, dan guru mereka didorong oleh kepercayaan bahawa mengetahui bahasa lain “adalah baik untuk anda.”
 Penyelidikan  menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa kedua akan memudahkan seseorang untuk mempelajari bahasa tambahan. Dipercayai bahawa kedwibahasaan adalah maha penting untuk otak.  Orang yang bercakap dua bahasa mempunyai “kelebihan yang ketara.”  Sejak umur awal, orang dwibahasa adalah “lebih mampu untuk mengikhtisarkan maklumat.”  Meskipun budak yang membesar di rumah yang menggunakan dwibahasa lebih perlahan jika dibandingkan budak  ekabahasa dari segi penguasaan bahasa, tetapi sebaik-baik sahaja mereka mempelajari kedua-dua bahasa itu, mereka kelihatan mempunyai beberapa kelebihan intelektual.  Budak-budak dwibahasa, memperlihatkan kebaikan yang luar biasa dari segi pembelajaran untuk “mengetepikan maklumat yang mengelirukan.”
Usaha  ibu bapa supaya anak-anak mereka menguasai bahasa asing melalui  pengasuh kanak-kanak, sesungguhnya merupakan penyelesaian yang menarik kerana usaha ini memberikan pendedahan yang konsisten kepada kanak-kanak.  Namun begitu, timbul persoalan bahawa  berapa lama pengasuh itu akan bersama-sama kanak-kanak berkenaan, dan dengan siapa lagi kanak-kanak itu  boleh menggunakan bahasa tersebut. Nampaknya, ibu bapa memahami persoalan yang mendepani mereka lalu  mereka berhasrat  menggunakan pengasuh kanak-kanak, selagi dia mahu bekerja, bahkan selepas anak-anak mereka mula bersekolah.
Sesungguhnya, banyak kaedah yang boleh diambil untuk menyebarkan sesuatu bahasa di peringkat antarabangsa.  Orang yang ingin belajar bahasa kedua atau bahasa asing pastinya mengutamakan kaedah yang lebih mudah menurut pertimbangan mereka.  Selain kaedah konvesional dengan kewujudan institusi formal, dan kini melalui Internet, penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak juga dapat memenuhi keperluan dan  kemahuan  untuk mempelajari bahasa asing atau bahasa kedua.  Melihat peranan penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak yang sedemikian rupa, maka boleh dikatakan berlaku pembaharuan, inovasi, dan kreativiti  dari segi  pengembangan bahasa, dan bukannya asyik memanaskan sesuatu yang telah basi. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa, Jun 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...