Artikel Popular

Friday, July 8, 2011

Penyelamat Ekonomi?

JUMAAT, 8 Julai 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Perubahan. Ya, kami boleh. Tetapi, mampukah Barack Obama? Sebagaimana Franklin D. Roosevelt dan Ronald Reagan, Obama mampu menggerakkan orang ramai. Tetapi, mampukah Obama menggerakkan Amerika? Demikian beberapa persoalan yang dikemukakan oleh para pengulas dan media berhubung dengan keupayaan Presiden Barack Obama melakukan sesuatu di tengah-tengah krisis ekonomi global.

Kemenangan Obama pada 4 November adalah muktamad dan sangat besar kerana beliau melihat apakah kesilapan yang berlaku terhadap negaranya, Amerika, iaitu kegagalan kerajaan yang sebenar-benarnya untuk melindungi warganegaranya. Beliau menawarkan kerajaan yang tidak cuba menyelesaikan setiap masalah, tetapi kerajaan yang melakukan perkara di luar kuasa setiap warganegara, iaitu mengawal selia ekonomi secara adil, memelihara udara yang bersih dan jaminan makanan, memastikan orang yang sakit menikmati penjagaan kesihatan, dan mendidik anak-anak untuk bersaing di dunia yang diglobalisasikan. Obama secara terus terang berbicara kegagalan dasar ekonomi Republikan yang berjanji memajukan seluruh penduduk Amerika, tetapi akhirnya mengabaikan berjuta-juta orang. Krisis kewangan membantu Barack Obama untuk mencapai kemenangan. Kini, tugas beliau mengatasi krisis itu, dan kejayaan pentadbiran beliau akan diadili dengan sewajarnya.

Detik-detik awal sebagai Presiden Amerika, pasaran saham seakan-akan enggan merestui Obama kerana beberapa kejutan yang berlaku menandakan bahawa pasaran masih jatuh bebas. Pada hari beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-44, pada 20 Januari 2009, Indeks Purata Industri Dow Jones (Dow) jatuh sebanyak 332.13 mata (empat peratus), kepada 7949.09 mata.

Walau bagaimanapun, dengan hujah “korelasi bukannya sebab akibat” Mark Hulbert dari MarketWatch menegaskan bahawa kejatuhan Dow pada hari itu tidak banyak mempunyai kaitan dengan hari angkat sumpah: “Pasaran saham lazimnya mengalu-alukan presiden baru dengan kemerosotan. Tidak ada korelasi antara arah Dow pada hari angkat sumpah dengan arah pasaran saham sepanjang empat tahun berikutnya, meskipun sesetengah pengulas cuba mengaitkan beberapa makna politk dengan kemerosotan hari Selasa itu.”

Apabila Setiausaha Perbendaharaan, Timothy F. Geithner mengumumkan pelan induk kestabilan kewangan bernilai AS$2 trilion pada 10 Februari, Dow jatuh sebanyak 381.99 mata (4.6 peratus) kepada 7,889 mata, ekoran kejatuhan yang teruk dalam Bank of America, Citigroup, dan bank besar lain yang telah pun bersandar pada pembayar cukai untuk mendapat sokongan. Ketika Setiausaha Perbendaharaan Amerika itu menggariskan pelan itu di Washington DC, FTSE 100 London turut jatuh, dan akhirnya ditutup pada 4213 mata, jatuh lebih dua peratus.

Dow yang jatuh serentak dengan pengumuman Geithner itu kerana para pelabur mengharapkan pentadbiran Obama mengumumkan penyelesaian kejutan dan kekaguman (shock-and-awe solution) untuk sistem perbankan yang pincang di negara itu. Namun, reaksi utama adalah mendukacitakan kerana pelan baru yang diumumkan itu menimbulkan banyak persoalan daripada memberikan jawapan, mengheret pasaran dan bank yang dijangka mempunyai aset toksid jatuh dengan ketara.

“Para pelabur dan ahli ekonomi menyelar pelan penyelamat Obama, dan Wall Street merudum kerana kurang perincian tentang pelan itu,” lapor Stephen Foley dalam akhbar The Independent.

“Dalam tempoh sebulan di Rumah Putih,” lapor Rupert Cornwell dalam The Independent, “beliau melakukan beberapa kesilapan orang baru dan berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin teruk, tetapi Obama masih belum hilang keseronokan yang memenangkan beliau dalam Pilihan Raya Presiden itu.”

Tempoh sebulan di Rumah Putih amat genting bagi Obama. Beliau terpaksa bertungkus-lumus untuk mendapat kelulusan Kongres terhadap pelan rangsangan ekonomi beliau. Anggota Republikan dalam Kongres tidak mahu Obama muncul sebagai Presiden yang berjaya, menentang pakej rangsangan ekonomi AS$838 bilion itu. Ketika kembali ke jejak kempen di Elkhart, Indiana pada 9 Februari, beliau mengingatkan para senator Republikan bahawa beliau diberi mandat oleh para pengundi dan mereka sepatutnya menghentikan daripada melengah-lengahkan rang undang-undang itu. Dalam sidang akhbar pertama sebagai Presiden yang berlangsung di Washington, beliau mendesak Kongres supaya meluluskan rang undang-undang pemulihan ekonomi itu dengan peringatan kegagalan untuk bertindak “boleh mengubah krisis kepada malapetaka.”

Pada 13 Februari, pakej rangsangan ekonomi yang nilainya dipinda kepada AS$787 bilion diluluskan oleh Kongres tanpa sokongan anggota perwakilan Republikan di Dewan Perwakilan, manakala tiga orang senator parti itu menyokong di Senat. Presiden Barack Obama dalam meraikan rang undang-undang yang diluluskan itu berkata: "Peristiwa penting dalam perjalanan ke arah pemulihan" yang bertujuan menyelamatkan atau mewujudkan 3.5 juta pekerjaan menerusi pelaburan besar oleh kerajaan, dan menggalakkan perbelanjaan pengguna melalui potongan cukai yang sederhana.

Sebagaimana pelan induk yang diumumkan oleh Geithner, pakej rangsangan ekonomi ini juga gagal meyakinkan pasaran. Para pelabur dikatakan tidak tertarik dengan kedua-dua daya usaha pentadbiran Obama. “Keraguan terhadap rangsangan kerajaan dan pelan penyelamat bank mendorong ekonomi jatuh bebas,” seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Associated Press pada 17 Februari, “mengheret Wall Street pada tahap paling rendah dalam tempoh 5 ½ tahun.” Keadaan menjadi kian buruk apabila Dow jatuh kepada 6594.44 mata pada pada 5 Mac, iaitu merosot sebanyak 20 peratus sejak Obama mengangkat sumpah, dianggap terburuk dalam tempoh 90 tahun untuk Presiden baru.

Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, melalui kolumnya dalam The New York Times, menulis bahawa rakyat Amerika diberitahu, khususnya oleh berita televisyen bahawa pelan rangsangan ekonomi Presiden Obama sangat “agam,” “besar,” “sangat banyak.” “Namun,” tulis Krugman, “banyak ahli ekonomi, termasuk saya, sebenarnya menegaskan bahawa pelan itu terlalu kecil dan terlalu berhati-hati. Data terbaru mengesahkan kerisauan itu dan menunjukkan bahawa dasar ekonomi pentadbiran Obama telah pun jatuh di belakang keluk: kadar pengangguran pada bulan Februari mencecah 8.1 peratus dan meningkat dengan pantas.”

Ketika bekas George W. Bush bersiap meninggalkan Rumah Putih, Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi menulis dalam Mother Jones bahawa tujuh defisit yang berat ditinggalkan oleh bekas presiden ini: defisit nilai, defisit cuaca, defisit kesamaan, defisit kebertanggungjawaban, defisit perdagangan, defisit belanjawan, dan defisit pelaburan.

Pastinya, ketujuh-tujuh defisit itu diwariskan kepada pengganti beliau, Barack Obama. Naib Presiden Joe Biden mengakui bahawa Presiden Obama mewarisi 100 hari pertama yang paling sukar berbanding dengan mana-mana Presiden Amerika, termasuk Roosevelt. “Meskipun masalah Roosevelt diwaris, tetapi masalah ekonomi yang berlaku sekarang lebih rumit. Kita tidak pernah berhadapan dengan masalah seperti ini sebelum ini, di Amerika atau di dunia,” tegas Biden.

Dengan mewarisi ekonomi dalam kemelesetan dan kebingungan daripada krisis kredit dan perumahan yang saling berkait, Obama berhadapan dengan defisit paling besar untuk tahun 2009 yang diunjurkan mencecah AS$1.75 trilion apabila tahun fiskal berakhir pada 30 September ini, hampir empat kali lebih tinggi jika diibandingkan dengan defisit tahun lalu. Defisit ini merupakan 12.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tahap defisit yang tinggi sejak Perang Dunia Kedua.

Pada akhir tahun 2008, ekonomi Amerika menguncup sebanyak 6.3 peratus, terburuk dalam tempoh suku abad. Keterukan dijangkakan berterusan ke suku tahun pertama 2009 kerana pada bulan Mac, kadar pengangguran di Amerika meningkat kepada 8.5 peratus, tertinggi sejak akhir 1983, apabila majikan menghapuskan 663,000 pekerjaan. Sejak kemelesetan berlaku pada Disember 2007, ekonomi kehilangan jumlah bersih 5.1 juta pekerjaan, dengan hampir dua pertiga berlaku sejak lima bulan lalu.

Meskipun berlaku campur tangan besar-besaran oleh Rizab Persekutuan dan agensi kerajaan yang lain untuk menyelamatkan ekonomi yang nazak dan melonggarkan kredit yang ketat, ekonomi Amerika dijangka pulih “secara beransur-ansur” dalam tempoh kedua tahun 2009, manakala ekonomi untuk satu tahun penuh menguncup antara 0.5 hingga 1.3 peratus. Jangkaan Rizab Persekutuan bahawa ekonomi akan tumbuh pada kadar antara 2.5 hingga 3.3 peratus pada tahun 2010, tetapi banyak kritik menganggap ramalan itu terlalu optimistik.

Di tengah-tengah krisis ekonomi global, Obama menghadiri forum antarabangsa pertama untuk beliau, iaitu sidang kemuncak G-20 di London pada awal April. Di sini, Obama memperlihatkan kepimpinannya bukan sahaja sebagai pemimpin negara kuasa besar, bahkan sebagai pemimpin dunia dengan melaungkan orde dunia baru. Pasaran saham meningkat apabila beliau mempelopori persetujuan bersejarah antara para pemimpin dunia untuk menamatkan kemelesetan.

Bersama-sama Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, Obama pada mulanya mahu sidang kemuncak itu menyediakan perbelanjaan kerajaan yang lebih besar dan potongan cukai, tetapi dibangkang oleh para pemimpin negara Eropah yang diketuai oleh Jerman dan Perancis. Namun, sidang itu akan mempertimbangkan opsyen ini pada tahun 2010 jika pelan rangsangan fiskal bernilai AS$5 trilion tidak berkesan. Sidang itu juga meluluskan pakej bernilai AS$1 trilion untuk merangsangkan pertumbuhan ekonomi yang akan memastikan dunia keluar dari kemelesetan segera.

Selama 12 minggu menjadi presiden, bertujuan untuk memperlihatkan kawalan terhadap perdebatan ekonomi negara, semasa berucap di Georgetown University, Washington pada pertengahan April lalu, Barack Obama mengingatkan rakyat Amerika yang sangat berminat menanti berita baik bahawa “ini tidak bermakna kita telah keluar daripada masalah.” Pakej rangsangan ekonomi dan pelan untuk menyelamatkan bank dan memperkukuh sektor perumahan mula “melahirkan tanda kemajuan ekonomi,” tetapi beliau memberikan amaran “kesulitan tidak diduga” menunggu di hadapan.

Dalam ucapan yang disampaikan sebagai simbolik menjelang 100 hari menjadi Presiden, Obama menegaskan pemulihan sepenuh bergantung pada pembinaan asas baru bagi ekonomi Amerika dan mengubah landskap politik. Kerajaan tempatan dan negeri bersama-sama syarikat pembinaan mula mengambil semula pekerja, pasaran kredit mula cair. “Ini semua berita yang dialu-alukan dan menggalakkan,” kata Obama. “Tetapi, tidak bermakna bahawa masa sukar telah berlalu; tahun 2009 akan terus menjadi tahun yang sukar bagi ekonomi Amerika.

Obama mengemukakan ringkasan punca krisis ekonomi dan petua beliau untuk menamatkan krisis itu. Beliau cuba menyeimbangkan amaran antara kemelesetan akan terus melanda ekonomi beberapa bulan akan datang dengan jaminan semula kepada para para pengguna yang kehilangan pekerjaan dan kredit yang ketat bahawa dasar yang beliau laksanakan mula memberikan kesan.

Ucapan yang disampaikan sebaik-baik sahaja selepas dikeluarkan laporan jualan runcit menjunam 1.1 peratus pada bulan Mac yang menandakan bahawa pemulihan mampan belum berlaku, Obama mempertahankan campur tangan kerajaan dan perbelanjaan besar kerajaan untuk membetulkan keadaan ekonomi yang bermasalah. Beliau menolak kritikan Republikan dan sesetengah anggota yang lebih konservatif dari Demokrat bahawa beliau “berbelanja dengan sekehendak hati dengan semberono, mendorong agenda sosial demokrat, manakala menggadai masa depan anak-anak kita.”

“Obama meminjam taktik daripada Presiden Franklin Roosevelt, dengan memberitahu rakyat Amerika bahwa beliau menyedari penderitaan mereka dan beliau melakukan segala yang terdaya untuk merancakkan pertumbuhan,” kata Pete Davis, Presiden Davis Capital Investment Ideas, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com.

Semasa sesi bersama Kongres pada awal Februari Obama berjanji bahawa tatkala ekonomi Amerika lemah dan keyakinan bergoncang, meskipun rakyat Amerika hidup pada masa yang sukar dan tidak pasti, “kita akan bangun semula, kita akan pulih, dan Amerika Syarikat akan muncul dengan lebih kuat lagi.” Tatkala pengangguran mencecah 8.1 peratus, tertinggi sejak lebih 25 tahun dan nilai saham lintang-pukang, jatuh pada tahap paling rendah sejak tahun 1997, dalam ucapan radio mingguan dan video pada awal Mac, Obama yang terkenal sebagai pemidato dan perangsang yang hebat, berjanji kepada rakyat Amerika bahawa hari-hari makmur akan kembali dan menganggap masa suram ini sebagai “peluang besar” yang mampu mereka harungi. 

Thomas Friedman, seorang lagi kolumnis The New York Times menulis: “Parti Republikan bertindak-tanduk seakan-akan ingin melihat negara menemui kegagalan berbanding dengan kejayaan Barack Obama. Untuk Presiden Obama, saya kagum dengan ketenangan beliau ketika dikecam.” Melihat Obama menjauhkan diri daripad krisis perbankan, tetapi mengutamakan daya usaha popular yang lain, Friendman menambah: “Saya faham bahawa beliau tidak mahu jawatan presidennya dijadikan tebusan kepada naik turun saham bank, tetapi tebusan beliau sendiri. Kita semuanya. Krisis yang besar dan sukar adalah yang melahirkan presiden agung. Satu perkara yang pasti, Obama menuju ke arah keagungan.”

Data terbaru menandakan penambahbaikan yang kecil, tetapi penting apabila pada 15 April, lima daripada 12 Rizab Persekutuan di peringkat daerah melaporkan kemerosotan ekonomi adalah sederhana di zon masing-masing dan mungkin telah pun mencecah paras paling rendah. Pada hari itu juga, Wall Street membawa khabar gembira, dengan Dow meningkat sebanyak 109.44 mata untuk ditutup pada 8029.62 mata, S&P 500 meningkat 10.56 mata kepada 852.06 mata, dan Nasdaq meningkat 1.08 mata kepada 1626.80 mata. Pemulihan saham sepanjang enam minggu lalu, menurut McClatchy Newspapers, juga menunjukkan mungkin kemerosotan ekonomi hampir mencecah paras paling rendah kerana dari segi sejarah, saham menjangkakan ekonomi pulih kira-kira enam bulan pada masa akan datang, iaitu pada musim luruh.

Ketika genap 100 hari pertama, iaitu pada 29 April lalu, ekonomi Amerika berbaur antara muram dengan ceria. Muram kerana KDNK suku tahun pertama 2009 menyusut pada kadar tahunan 6.1 peratus, terburuk sejak lima dekad dan lebih tinggi daripada unjuran. Ceria kerana Dow setelah dua hari disondol oleh selesema babi bersama-sama kebanyakan pasaran saham Eropah dan Asia-Pasifik, meningkat kepada 8185.73 mata (2.11 peratus) daripada 8016.95 mata.

Di tengah-tengah krisis ekonomi global dan kemungkinan terjebak dalam satu lagi Kemelesetan Besar, dunia sedang menantikan kelahiran pemimpin agung: Barack Obama?

(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Jun 2009.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...