Artikel Popular

Monday, October 1, 2012

Tinjauan Pendapat Bias?

ISNIN, 1 Oktober  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala Hari Pilihan Raya tinggal lima minggu lagi, tinjauan pendapat boleh dikatakan datang mencurah-curah, terus mendapat perhatian:  Siapa mendahului siapa? Tidak kurang juga ulasan politik berdasarkan pelbagai tinjauan pendapat, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan, antaranya Nate Silver dalam The New York Times, Nate Cohn dalam The New Republic, Michael Tomasky dalam The Daily Beast,  dan Harry J. Enten dalam The Guardian.

Presiden Barack Obama yang memperoleh lantunan selepas Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik berbanding dengan pencabarnya, Mitt Romney selepas Persidangan Kebangsaan Parti Republikan, bukan sahaja berjaya mengekalkan rentak tersebut, bahkan juga terus melebarkan jarak.  Penjawat kini, iaitu Obama bukan sahaja mendahului pencabarnya di peringkat nasional, tetapi juga di negeri berayun, yang terbaharu Ohio, dengan sembilan titik peratusan,  iaitu 51 peratus berbanding 42 peratus, menurut tinjauan pendapat Columbus Dispatch

Obama menurut carta harian The Economist 26 September, memperoleh 334 badan perwakilan pemilih berbanding 204 untuk Romney, manakala The Huffington Post, menjangkakan 332  badan perwakilan pemilih  untuk Obama berbanding   191 untuk Romney, dengan  North Carolina menjadi rebutan, apabila kedua-dua calon terikat dengan masing-masing 47 peratus. Sementara The Guardian, menjangkakan Obama memperoleh 319 berbanding 191 untuk Romney, dan negeri yang menjadi rebutan melibatkan 28 badan perwakilan pemilih.  Walau bagaimanapun, Obama sendiri mengambil sikap berhati-hati terhadap pelbagai berita baik yang melimpahi dirinya sejak kebelakangan ini.

Kecuali  Rasmussen dan Gallup - kedua-duanya condong kepada Romney, banyak tinjauan pendapat,  yang memihak kepada Obama sejak pascapersidangan partinya dan seterusnya mengekalkan lantunan itu, kempen Romney dan penyokong Republikan,  mempertikaikan kesahihan tinjauan pendapat tersebut.  Menurut mereka, kebanyakan tinjauan pendapat adalah bias dengan memencong kepada Obama dan tidak memihak kepada  Romney.  Kempen Romney menegaskan tinjauan pendapat di negeri berayun adalah silap, demikian lapor National Journal. Bahkan, Romney sendiri menolak tinjauan pendapat yang menurut beliau, sentiasa naik turun. Walau bagaimanapun, di tengah-tengah kebanjiran tinjauan pendapat yang didakwa memihak kepada Obama, wujud laman Web yang meramalkan Romney menang besar.

Dakwaan bahawa tinjauan pendapat melakukan persampelan berlebihan terhadap Demokrat disanggah oleh Nate Cohn bahawa jika diperhatikan Demokrat tidak sebanyak tahun 2008.  Sementara Nate Silver menegaskan bahawa purata tinjauan pendapat tidak mempunyai sejarah bias kepartian.  Silver dalam FiveThirtyEight Forecast yang dikemaskinikan pada hari ini, menjangkakan Obama memperoleh 320.1 badan perwakilan pemilih berbanding 217.9 untuk Romney. Tegas beliau lagi,  Pilihan Raya Presiden merupakan hal ehwal pertaruhan tinggi.  Maka, mungkin tidak memeranjatkan apabila para penyokong seorang calon tidak menyukai mesej yang mereka dengar daripada tinjauan pendapat, mereka cenderung menyalahkan utusan. 

Dalam wawancara dengan Salon, Nate Silver menunjjukkan keyakian dan kepercayaannya kepada tinjauan pendapat dengan menyatakan bahawa tinjauan pendapat tidak silap. Apabila tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat membawa berita muram untuk Romney, bahkan membayangkan bahawa beliau berakhir, pastinya perkara itu sukar diterima oleh Republikan. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...