Artikel Popular

Tuesday, October 9, 2012

Romney Mara Obama Tertekan

SELASA, 9 Oktober 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Kira-kira seminggu selepas debat pertama Presiden di Denver, berlaku  perubahan yang agak luar biasa:  Mitt Romney melantunpeta pilihan raya berubah, dan penguasaan Barack Obama berakhir.  Sebaik-baik sahaja debat yang menyaksikan Presiden Barack Obama rebah tersungkur akibat dibelasah lawannya, Mitt Romney, berakhir, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa keadaan tidak lagi memihak kepada penjawat kini. "Romney menang minggu ini," isytihar Mark McKinnon

Walaupun tinjauan pendapat yang menunjukkan Romney melantun diragui,  dan Obama pula didapati masih menguasai permainan, tinjauan pendapat terbaharu oleh Pew Research Center,  menunjukkan Romney meninggalkan Obama dalam kalangan kemungkinan pengundi, iaitu 49 peratus untuk beliau berbanding 45 peratus untuk Obama.  Setelah mendahului lawannya  lapan titik peratusan pada bulan September, kekuatan Obama kini mula tercabar dan terhakis.

Debat dari segi sejarah,  seperti yang dibahaskan oleh Robert W. Merry  dalam The National Interest,  tidak menentukan keputusan pilihan raya, dan kemenangan itu tidak bermakna bahawa peristiwa tahun 1980 berulang lagi, namun bagi Romney, prestasi debatnya benar-benar membuahkan hasil.  Sebaliknya, bagi Obama pula, debat itu bukan sekadar menunjukkan dirinya di bawah prestasi, tetapi seperti yang dibahaskan oleh Thomas Pascoe dalam The Telegraph, "kita menyaksikan orang sebenar."  Kesan debat pertama itu amat dalam sehingga mendorong penyokong Demokrat sendiri berubah angin, iaitu menyokong Romney.

Romney yang sejak berbulan-bulan, terutamanya September yang kelihatan serba tidak kena, bahawa beliau terhuyung-hayang di curam kekalahan, kini mula mengorak senyum, walaupun tidak dapat dipastikan berapa lama lantunan dapat bertahan.  John Cassidy dalam tulisan terbaharunya, membahaskan bahawa lantunan Romney mengubah peta pilihan raya yang memihak kepada dirinya.  Obama, menurut Cassidy dijangkakan memenangi 281 berbanding dengan 206 badan perwakilan pemilih untuk Romney, manakala 51 lagi menjadi rebutan sengit.  Jangkaan  terbaharu untuk Obama ini, jauh lebih rendah daripada yang sebelum ini, iaitu 303 badan perwakilan pemilih, manakala Romney juga 206.



Sementara Nate Silver melalui ramalannya dalam FiveThirtyEight, yang dikemaskinikan pada 8 Oktober, masih menunjukkan bahawa Obama mendahului Romney, iaitu 302.5 berbanding 235.5 badan perwakilan pemilih, meskipun negari berayun mula memihak kepada Romney.  Peluang Obama untuk menang ialah 74.8 peratus, jatuh sebanyak 10.9 peratus sejak 1 Oktober.

Walaupun sepatutnya tidak banyak perhatian diberikan untuk satu tinjauan pendapat ini, seperti yang dibahaskan oleh Harry J. Enten, pasukan Obama sepatutnya berasa gelisah akan tinjauan pendapat  Pew Research Center yang lazimnya cenderung kepada Demokratik.  Sementara  Nate Cohn yang meneliti  tinjauan pendapat tersebut dengan beberapa panduan.  Demikian juga dengan Chris Cilizza yang membangkitkan beberapa isu untuk memperkukuh tinjauan pendapat Pew itu.  Sementara Jamelle Bouie, meragui bahawa Romney secara fundamental menganjak perlumbaan.

Dengan data terbaharu ini, pastinya Republikan  yang sebelum ini tidak mempercayai tinjauan pendapat yang menurut mereka cenderung memihak kepada Obama, memperoleh suntikan semangat baru.   Puak liberal pula pasti  berasa panik, walaupun tidak wujud kesepekatan dalam beberapa tinjauan pendapat tentang kemaraan Romney, seperti yang dilaporkan dalam The Huffington Post dan Bloomberg.  

Ketika Hari Pilihan Raya tinggal kurang sebulan lagi, manakala kedudukan Obama mula terancam, maka beliau sendiri sepatutnya menyalahkan dirinya kerana menolak peluang kemenangan yang terbentang luas.  

Balik kepada kartun Steve Bell yang dipetik di atas, adakah kemenangan Romney dalam debat pertama Presiden itu berkesudahan dengan kekalahannya dalam pilihan raya pada November ini?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...