ISNIN, 15 Oktober 2012
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada tanggapan umum dan ulasan yang dikemukakan oleh cerdik pandai, kedudukan Presiden Barack Obama yang merudum berkait rapat dengan prestasi beliau dalam debat pertama Presiden di Denver pada 3 Oktober, meskipun sebilangan pengulas dapat mengesan bahawa Obama merosot sebelum itu lagi.
Walaupun Robert Shrum yang menulis dalam The Daily Beast, menegaskan bahawa kemenangan Mitt Romney dalam debat itu bukan merupakan pengubah permainan, hakikatnya, Romney memperlihatkan kemaraannya selepas debat itu, dengan menguasai negeri berayun yang penting, iaitu Florida yang sebelum ini dalam genggaman Obama. Shrum agak sukar dipegang kerana beliau terlalu memihak kepada Obama dan Demokrat, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan terbaharunya tentang debat Joe Biden dengan Paul Ryan, dan sebelum itu beliau pernah meramalkan bahawa jika Romney kalah, akan tercetus perang saudara dalam Republikan.
Menurut Pollster dan RealClearPolitics, seperti yang dipetik oleh Kevin Drum dalam Mother Jones, Romney mula bangkit sebelum debat minggu lalu. Dalam 10 hari sebelum debat itu, Pollster menunjukkan Romney memperoleh 2.4 mata dan RCP menunjukkan Romney memperoleh 1.8 mata.
Sejak itu, jelas Drum, Romney terus mara, dan Obama terus merosot, tetapi hal ini tidak semata-mata reaksi terhadap prestasi teruk Obama dalam debat itu. Keadaan ini bermula akhir September. Walau bagaimanapun, Drum tidak dapat mengemukakan faktor kemerosotan Obama itu, lalu beliau meminta sesiapa yang dapat mengagak dengan baik menyatakan apakah yang berlaku pada akhir September.
Dalam tulisannya yang terdahulu, tetapi selepas debat, Kevin Drum bertanyakan "guru" beliau, iaitu Sam Wang tentang ramalan keputusan pilihan raya kali ini: 332 untuk Obama, 206 untuk Romney. Pastinya, kedudukan yang begitu selesa untuk Obama tidak dapat dipertahankan lagi.
Obama dan Romney, bahas Dan Balz, "menempuh minggu yang benar-benar genting," dan perlumbaan di negeri berayun, menurut Jonathan Easley, semakin sengit. Di negeri tersebut, diperhatikan bahawa Romney melihatkan kemaraannya. Tinjauan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh Public Policy Polling (PPP), menunjukkan bahawa di Ohio yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih, Obama mendahului 51 peratus berbanding Romney 46 peratus. Di luar negeri berayun, mungkin agak mengejutkan, iaitu di Arizona yang memperlihatkan kemaraan Obama, tetapi peluang beliau untuk menang agak tipis, tegas Nate Cohn.
Tatkala kempen Romney mencurahkan perbelanjaan yang besar untuk iklan demi menyingkirkan lawannya, kempen Obama sepatutnya memberikan tumpuan terhadap beberapa buah negeri berayun yang menjanjikan kemenangan kepada beliau. Namun, Jim Messina, pengurus kempen Obama masih berpegang pada teori yang mereka bina sejak April 2011: untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih, mereka memerlukan seberapa banyak laluan.
Tatkala kempen Romney mencurahkan perbelanjaan yang besar untuk iklan demi menyingkirkan lawannya, kempen Obama sepatutnya memberikan tumpuan terhadap beberapa buah negeri berayun yang menjanjikan kemenangan kepada beliau. Namun, Jim Messina, pengurus kempen Obama masih berpegang pada teori yang mereka bina sejak April 2011: untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih, mereka memerlukan seberapa banyak laluan.
Walaupun Romney mara, Obama masih mempunyai kelebihan untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih. Obama yang sebelum ini mempunyai kedudukan selesa dengan lebih 300 undi badan perwakilan pemilih, menurut ramalan terbaharu Nate Silver, berkurangan kepada 285.4 undi berbanding dengan 252.6 untuk Romney. Peluang Obama untuk menang juga berkurangan, iaitu kepada 62.9 peratus berbanding dengan 37.1 peratus untuk Romney.
Selain itu, data yang dikumpulkan Reuters/Ipsos menunjukkan Obama mendahului Romney di negeri yang mengundi awal. Obama didapati mendahului Romney sebanyak 59 peratus berbanding dengan 31 peratus dalam kalangan pengundi awal. Bentuk pengundian seperti ini melibatkan sekurang-kurangnya 40 buah negeri.
Kali ini didapati jumlah pengundi awal meningkat setakat ini, tetapi Michael P. McDonald tidak dapat memberikan ulasan yang muktamad bahawa keadaan tersebut memberikan kelebihan kepada Obama, walaupun di beberapa negeri, bilangan pengundi Demokrat lebih banyak jika dibandingkan dengan Republikan. Pengundian awal ini dijangkakan mengubah landskap kepresidenan.
No comments:
Post a Comment