Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tatkala Hari Pilihan Raya hanya tinggal dua minggu lagi, debat ketiga Presiden, antara Barack Obama dengan Mitt akan berlangsung di Boca Raton, Florida pada malam ini (pagi Selasa waktu Malaysia). Sebagaimana dua debat Presiden sebelum ini, debat terakhir ini yang tertumpu pada dasar luar, dijangkakan mempengaruhi para pengundi membuat pilihan.
Sejak debat pertama yang menyaksikan prestasi buruk Obama, Romney, seperti yang ditunjukkan oleh tinjauan pendapat Gallup dan penjejakan TPM, terus mara dan meninggalkan lawannya. Sebaliknya, Obama meskipun menang debat kedua, masih tidak dapat menebus kehilangan sokongan para pengundi akibat prestasi buruk tersebut, meskipun beliau kelihatan mula pulih, dengan kadar yang rendah. Menurut Katy Waldman, wujud lantunan terhadap Obama selepas debat kedua itu.
Di Colorado misalnya, selepas debat kedua, Obama masih mendahului Romney dengan tiga titik peratusan. Demikian juga di Iowa dan Wisconsin, Obama masih mendahului Romney, berdasarkan tinjauan pendapat sebelum dan selepas debat kedua, iaitu 15 - 17 Oktober.
Sementara tinjauan pendapat The Wall Street Journal/CBS News menunjukkan kedua-dua calon ini terikat dalam kalangan kemungkinan pengundi, iaitu masing-masing memperoleh 47 peratus. Walau bagaimanapun, Obama mendahului Romney dengan 49 peratus berbanding 44 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar. Secara keseluruhannya, berdasarkan pelbagai tinjauan pendapat, perlumbaan adalah sengit.
Sebelum serangan terhadap konsulat Amerika di Benghazi, Libya, Obama dikatakan mempunyai kelebihan dari segi dasar luar berbanding Romney. Sejak itu, kelemahan Obama terbongkar dan beliau sentiasa diasak oleh kempen Romney dan Republikan. Sementara Romney sendiri membangkitkan peristiwa 11 September itu dalam debat kedua, meskipun beliau, seperti yang dibahaskan oleh David Ignatius, salah tembak. "Detik Libya," tulis Michael Crowlay dalam Time. Benghazi berbanding dengan Pakistan yang lebih mendesak, tiba-tiba mewarnai kempen dan seakan-akan menentukan siapakah yang akan mara ke Rumah Putih.
Akibat peristiwa tersebut, Obama seakan-akan hilang kubunya selama ini, iaitu dasar luar, sedangkan ekonomi yang merupakan kelebihan Romney, beliau menujukkan kekuatannya untuk mempengaruhi para pengundi. "Ekonomi yang sedang bangkit," hujah Michael Tomasky, "ialah berita baik, terutamanya untuk Presiden yang akan datang" merujuk perumahan yang meningkat pada September dan kadar pengangguran turun kepada 7.8 peratus. Walaupun Wall Street tidak mengalu-alukan, Obama baik untuk saham," ulas Jeff Sommer dalam The New York Times.
Pada hari berlangsungnya debat pertama, iaitu 3 Oktober, Harold James menulis dalam Project Syndicate bahawa walaupun ekonomi teruk, Obama masih dapat meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden kali ini. Tiba-tiba Obama kalah teruk, tersungkur dalam debat itu dan detik Libya semakin mencorakkan kempen yang meletakkan beliau dalam keadaan tertekan. "Dalam kempen tentang ekonomi," menurut pemerhatian Alex Roarty, "dasar luar mendapat kata akhir."
Jika dasar luar benar-benar merupakan pengubah permainan, Presiden Barack Obama, seperti yang dibahaskan oleh James Jay Carapano dalam The National Interest, dapat melakukan empat kejutan pada Oktober untuk mencetuskan berita yang memihak kepada beliau: menyerang pengganas Libya, berurusan dengan syaitan, dapatkan pengganas nombor satu, dan pelayaran yang tenang di Laut China Selatan.
Walaupun dasar luar bukan lagi kekuatan Obama, Romney pula tidak mengemukakan alternatif yang padu - seperti juga dari segi ekonomi - hanya banyak mengkritik.
Walaupun dasar luar bukan lagi kekuatan Obama, Romney pula tidak mengemukakan alternatif yang padu - seperti juga dari segi ekonomi - hanya banyak mengkritik.
No comments:
Post a Comment