Artikel Popular

Friday, October 12, 2012

Biden Sekat Jatuh Bebas Obama?

JUMAAT, 12 Oktober 2012 (dikemaskinikan sehingga 13 Oktober, pukul 1.30 petang)
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Sesiapa yang menyaksikan siaran langsung debat Naib Presiden antara Joe Biden dengan Paul Ryan, pastinya dapat merasakan keseimbangan antara kedua-dua calon jika dibandingkan debat pertama Presiden antara Barack Obama dengan Mitt Romney, apabila Romney menguasai perlawanan secara keseluruhannya.

Dalam debat terbaharu ini, keseimbangan antara Biden dengan Ryan jelas kelihatan, masing-masing memperlihatkan kelebihan masing-masing, seperti yang dicatatkan oleh James Fallows,  walaupun berlaku kelemahan di sana sini., misalnya bagi Biden, senyum dan ketawanya  yang berlebih-lebihan.

Selepas malapetaka debat pertama angkara Obama sendiri apabila beliau  mempamerkan prestasinya yang teruk, maka Demokrat menganggap debat antara calon Naib Presiden amat penting, dan mereka meletakkan harapan yang tinggi terhadap Biden. Bahkan, bagi Demokrat, debat ini merupakan "hidup mati" dalam perjalanan ke Rumah Putih pada 6 November ini.  Beliau tidak mempunyai pilihan, kecuali berdebat, dan memikul misi mustahil, iaitu menyekat jatuh bebas Obama.

Kesan debat di Denver amat mendalam sehingga menjejaskan peluang Obama untuk menang bagi penggal kedua, dan para penyokong beliau  mula panik.  Gambaran umum seakan-akan debat 90 minit mengubah segala-galanya.  Dalam tempoh kira-kira seminggu selepas debat tersebut, satu demi satu tinjauan pendapat menunjukkan  Romney mula mendahului perlumbaan dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, seperti yang diungkapkan oleh Molly Ball, "detik pelari hadapan untuk Mitt Romney."

Secara keseluruhanya, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Romney mendahului Obama, tetapi negeri berayun masih dikuasai oleh penjawat kini itu.  Meskipun tidak wujud kesepakatan dari segi tinjauan pendapat, sekurang-kurangnya calon Republikan itu merapatkan jurang.  Romney diperhatikan kini menguasai Florida, tetapi menghadapi kesukaran untuk mara di Ohio, tempat Obama mendapat sokongan padu daripada kesatuan sekerja.  Kajian oleh Pusat Penyelidikan Politik Universiti Suffolk pula menunjukkan bahawa Obama tidak akan menang di North Carolina, Virginia, dan Florida.

Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat tidak memberikan kepastian atau kemuktamadan siapakah yang benar-benar mendahului siapa.  Meskipun Romney didapati bangkit semula, kajian menunjukkan bahawa Obama masih berpeluang menang.  Romney diakui mempunyai masalah di negeri berayun, termasuk Wisconsin - tempat Ryan wakili sebagai anggota Perwakilan, manakala kajian di peringkat nasional oleh  YouGov/Economist dan Rasmussen, seperti yang dibahaskan oleh Nate Cohn, Obama mendahului lawannya.

Meskipun tinjauan pendapat adalah berbeza-beza, yang pasti, bahawa sejak debat pertama, Obama tidak lagi dalam keadaan selesa.  Justeru, pada Joe Bidenlah harapan diberikan oleh Demokrat yang mula naik berang terhadap Obama.  Walaupun Biden dikatakan tidak mampu menyelamatkan Obama, debat yang berlangsung pagi tadi (waktu Malaysia) di Danvillle, Kentucky,  pastinya tidak mengecewakan Demokrat, dan bahkan Obama sendiri. "Naib Presiden  berjaya," hujah Howard Kurtz, apabila Obama gagal, dan beliau menebus kekalahan bosnya.  Meskipun tidak ada pemenang yang jelas,  Biden menjalankan tugasnya untuk memberikan suntikan semangat kepada Demokrat yang dapat menarik nafas lega.  

Pada amnya,  cerdik pandai dan para pengulas memberikan pujian terhadap Biden, yang pada mulanya dikhuatiri tidak mampu menandingi Paul Ryan yang terkenal dengan sifat agresif dan berkemampuan berhujah, dan  meyakinkan Washington tentang geniusnya.  Ryan yang pernah disifatkan oleh Timothy Snyder dalam The New York Review of Books, sebagai "Marxis lama yang maha hebat," bersama-sama Friedrich Hayek dan Ayn Rand, dalam debat tersebut terpaksa menghadapi realiti, dan beliau benar-benar dikerjakan oleh Biden, termasuk kepura-puraan  beliau terhadap rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh Presiden Barack Obama.  Biden juga sempat menyindir Ryan dengan mencelah, "Oh, kini Jack Kennedy."

Walaupun tidak ada pemenang  dan tidak pihak yang kalah teruk,  beberapa ulasan, antaranya  oleh Dana Milbank, Eugene Robinson, dan Greg Sargent daripada The  Washington Post,  Jonathan Cohn, Joan Wash, John Dickerson, John Cassidy, Joe Klein,  dan Jonathan Chait,  memihak kepada Joe Biden.  "Demi kebaikan dan keburukan," tegas Daniel Politi, "Biden menjadi tumpuan cerdik pandai."  "Segala-galanya mengenai Joe."  Demokrat mengatakan bahawa Biden menang, Republikan mengatakan Ryan menang, tetapi hujah Clive Crook, "Biden menewaskan Ryan dari segi isi."

Jelas bahawa Naib Presiden ini mampu menyerapkan segala tekanan terhadap dirinya di Kentucky selepas Barack Obama jatuh  tersungkur dikerjakan oleh Mitt Romney. Biden naik ke  pentas pada malam itu (waktu Amerika), untuk membaiki kerosakan yang dilakukan oleh Obama, dan nyata beliau berjaya melakukannya - sesuatu yang diharapkan oleh Demokrat selepas peta  berubah begitu ketara sejak debat pertama Presiden, walaupun menurut Harry J. Enten, debat Naib Presiden itu tidak berkemungkinan memberikan kesan yang mendalam terhadap pertandingan Presiden.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...