Artikel Popular

Monday, October 29, 2012

Perjalanan ke Rumah Putih Melalui Ohio

ISNIN, 29 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala Hari Pilihan Raya hanya tinggal lapan hari lagi, beberapa tinjauan pendapat, seperti Rasmussen dan Gallup,  menunjukkan bahawa di peringkat nasional, Mitt Romney mendahului Barack Obama. Demikian juga tinjauan pendapat The Washington Post/ABC News yang melibatkan kemungkinan pengundi, menunjukkan Romney mendahului Obama 49 peratus berbanding 48 peratus dalam tiga hari berturut-turut.   Sementara Reuters/Ipsos dalam tinjauan pendapat yang dikeluarkan pada hari Ahad - sembilan hari sebelum pilihan raya,  menunjukkan Obama mendahului Romney 49 peratus berbanding 46 peratus dalam kalangan kemungkinan pengundi. Selain itu, kedua-dua kempen, iaitu kempen Obama dan kempen Romney mendakwa bahawa mereka mempunyai laluan untuk kemenangan.

Sejak debat pertama Presiden  di Denver, Colorado pada 3 Oktober lalu, Romney memperlihatkan kemaraannya, yang disebut "momentum"  Mitt, yang dibahaskan dengan mendalam oleh Andrew Sullivan, yang meraguinya.  Meskipun "perisytiharan" kemenangan Romney dianggap suatu pembohongan dan "Obama akan menang," bahas Robert Shrum,   kesan prestasi buruk Obama  amat serius, yang menurut Charlie Cook, "jika beliau kalah, salahkan debat itu." Sedangkan, kemenangan Obama dalam dua debat seterusnya, termasuk yang terakhir di Boca Raton, tidak banyak memberikan lantunan kepada beliau: sekadar menebus kekalahan debat pertama, tetapi tidak dapat mengembalikan sokongan yang hilang.

Perhatian bukan sahaja tertumpu terhadap kedua-dua kempen, iaitu kempen Obama dan kempen Romney, tetapi juga terhadap tinjauan pendapat yang turut mencorakkan pilihan raya, yang menurut Robert J. Samuelson, "menghadapi detik kebenaran," dan Mark Blumenthal, "bilakah mendahului benar-benar mendahului?"  Sementara ramalan  pilihan raya  mencetuskan polemik dalam kalangan cerdik pandai politik, seperti dalam kes "David Brooks lawan Nate Silver" - kedua-duanya daripada The New York Times.

Walaupun Romney diperhatikan mendahului Obama di peringkat nasional, hal ini tidak menjamin kemenangan untuk beliau kerana medan pertempuran sebenar ialah di sembilan negeri berayun, iaitu Florida, Ohio, Michigan,  North Carolina, Virginia, Wisconsin, Colorado, Iowa, dan Nevada, dengan lima daripadanya dikuasai oleh Obama: Ohio, Michigan, Wisconsin, Iowa, dan Nevada.  Tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Obama menguasai Ohio dan Virginia, yang menurut Nate Silver,  lebih penting.  Obama dan Romney bersaing sama-sama hebat, iaitu "Romney mahu Republikan yakin, Presiden Obama mahu Demokrat berasa takut," memetik Ezra Klein, tetapi  yang jelas  di Ohio, Obama masih mendahului Romney.  Masing-masing menguasai beberapa buah negeri berayun, tetapi penguasaan Obama di Ohio, Nevada, dan Wisconsin, memadai untuk memperoleh 271 undi badan perwakilan pemilih, hujah Nate Cohn.

Selain Nate Silver, bahas Robert Wright, The Huffington Post dan RealClearPolitics, menunjukkan Obama sebagai calon pilihan.  Bahkan,  di negeri berayun, menurut pemerhatian Gabriel Snyder dalam The Atlantic Wire, Romney sudah lama ketinggalan, maka kemenangan pilihan raya memihak kepada Obama.  

Presiden Barack Obama diperhatikan menguasai negeri berayun untuk membolehkan beliau memenangi sekurang-kurangnya 270 undi badan perwakilan pemilih. Jika pilihan raya diadakan pada hari ini (26 Oktober), isytihar The Economist, Obama menang dengan 286 undi badan perwakilan pemilih berbanding 252 untuk Romney kerana beliau menguasai negeri berayun, termasuk Ohio.  Sementara Sam Wang daripada Princeton Election Consortium dalam ramalannya pada 28 Oktober, Obama menang 300 berbanding 238 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney.



Debat terakhir itu, yang menurut pemerhatian, adalah semuanya  mengenai Ohio, meskipun mungkin tidak mengubah matematik pilihan raya, Romney, bahas Charlie Cook, menghadapi kesukaran untuk laluan ke 270 undi badan perwakilan pemilih. 

Jika pada tahun 2000, medan pertempuran di Florida yang menyaksikan kemenangan George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat, kali ini medan pertempurannya beralih ke Ohio.  Seperti yang dibahaskan oleh Daniel Politi, "potensi laluan ke Rumah Putih."  Ohio, yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih, menurut Danz Balz dan Felicia Sonmez yang menulis dalam The Washington Post, "negeri mata lembu" yang menjadi rebutan Obama dan Romney, yang menyaksikan  iklan kempen  tanpa henti selama 80 hari

Negeri tersebut akan menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden pada 6 November ini.  Obama nampaknya menumpukan segala kekuatan untuk memenangi Ohio - yang dikatakan tidak ada calon Republikan yang menang sebagai Presiden tanpa memenangi negeri ini.   Justeru, "Romney benar-benar perlukan Ohio," isytihar Mark McKinnon, dan Romney kelihatan benar-benar terdesak

Malangnya, langkah Obama menyelamatkan industri auto memberikan kelebihan kepada beliau, lebih-lebih lagi industri ini melantun semula.  Jika Obama menang di Ohio bersama-sama dua negeri lagi, iaitu Wisconsin dan Nevada, tegas Michael Cohen, tidak ada peluang bahawa beliau akan tewas dalam pilihan raya ini.

Obama, menurut Nate Silver terus mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu di Ohio dan negeri lain untuk meraih 270 undi yang menjamin kemenangan beliau untuk penggal kedua.  Silver dalam ramalannya yang dikemaskinikan pada 28 Oktober, masih meletakkan Obama sebagai pemenang, iaitu beliau memperoleh 296.6 berbanding 241.4 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney, manakala peluang Obama untuk menang ialah 74.6 peratus berbanding 25.4 peratus untuk Romney.

Sebaliknya, dari segi aritmetik, sukar bagi Romney untuk menang pilihan raya, seperti yang dibahaskan oleh Harry J. Enten, bahkan kemenangan di Colorado, Florida, dan Virginia masih tidak cukup untuk menggenapkan 270 undi.  Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa calon Republikan itu masih berpeluang untuk menang di Ohio dan/atau Wisconsin pada Hari Pilihan Raya.  Romney tidak perlu mendahului secara purta pada akhir kempen.  Sejarah menunjukkan, hujah Enten, beliau perlu mendahului sekurang-kurangnya sekali dalam tinjauan pendapat dalam dua pertandingan ini.  Malangnya, setakat ini, belum wujud tinjauan pendapat seperti itu, yang maksud Enten, tinjauan pendapat yang bebas, yang tidak ditaja oleh mana-mana kumpulan tindakan politik.

John Cassidy yang menjangkakan Obama memenangi 277 berbanding 235 undi badan perwakilan pemilih bagi Romney, manakala 26 undi disifatkan "lambung duit," masih dapat memenangi perlumbaan ke Rumah Putih tanpa Ohio, tetapi tugas ini amat sukar. Cassidy telah  mengubah kedudukan lapan negeri medan pertempuran, iaitu satu negeri cenderung kepada Romney (Florida), empat negeri cenderung kepada Obama (Iowa, Nevada, Ohio, dan Wisconsion), dan tiga negeri "lambung duit" (Colorado, New Hampshire, dan Virginia).  Sebagaimana beberapa pengulas lain, Cassidy memerhatikan keterbatasan laluan Romney untuk ke Rumah Putih  tanpa Ohio.

Berbanding dengan Obama, Romney sebenarnya mempunyai laluan alternatif yang agak terbatas di negeri berayun.  Selain itu, beliau setakat ini gagal mara negeri medan pertempuran yang amat strategik, iaitu Ohio.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...