Artikel Popular

Thursday, October 4, 2012

Debat Pertama Presiden: Romney Menang?

KHAMIS, 4 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Debat pertama Presiden  berlangsung di Denver, Colorado, kira-kira pukul 9.00 pagi tadi waktu Malaysia, dan seperti yang dijangkakan, Mitt Romney, menurut tinjauan pendapat pascadebat CNN/ORC, muncul sebagai pemenang.  Debat pertama yang tertumpu pada dasar dalam negara lazimnya tidak memihak kepada penjawat kini, dan Presiden Barack Obama nampaknya tidak terkecuali daripada sumpahan itu.  Dalam kalangan pengundi yang tidak komited, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Romney mengatasi Obama.

Romney yang benar-benar tertekan untuk memenangi debat itu setelah mengharungi bulan-bulan sebelumnya, terutamanya bulan September dengan terumbang-ambing, seakan-akan  memulakan "kejutan Oktober."   Kepulangan semula Romney, isytihar Carter Eskew, bermula secara rasmi malam ini.  Beliau bukan sahaja memperlihatkan kelebihannya berbanding dengan Presiden Obama, tetapi beliau jujga berulang-ulang kali menggasak Presiden dari segi pekerjaan, cukai, tenaga, penjagaan kesihatan, dan defisit.  

Romney, menurut Howard Kurtz,  kelihatan bertenaga menangkis serangan Obama yang kelihan "malu kamera."  Jelas bahawa Obama bukannya pendebat, sebaliknya Romney pendebat, tetapi bukan pengempen.  James Fallows yang mengulas debat pertama itu mengakui bahawa Romney mempunyai kelebihan sebagai pendebat dan beliau kelihatan tenang dan peramah.  

Perbandingan lain antara kedua-dua calon ini, seperti yang dibahaskan oleh Chriss  Cillizza, "Obama kelihatan serius, manakala Romney lebih bersedia."  Bekas gabenor itu yang banyak menyerang memaksa Obama mempertahankan rekod prestasinya sebagai Presiden.  

Namun, Obama mempunyai kelebihannya dari segi topik penjagaan kesihatan yang tidak cuba dijawab oleh Romney: baucar.  Bahkan, Jon Lovett dalam blog langsungya, menegaskan bahawa Obama memperlihatkan banyak  perbezaan yang jauh lebih baik daripada Romney: baucar, cukai, dan sebagainya.

Dengan "kekalahan" Obama dalam debat pertama, meskipun dua lagi debat akan berlangsung sebelum Hari Pilihan Raya, adakah ini menandakan penguasaan Obama di negeri berayun akan tergugat?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...