Artikel Popular

Wednesday, August 3, 2011

Siling Hutang: Sorotan Detik Cemas

RABU,  3  Ogos  2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Setelah hari berganti  minggu, minggu berganti bulan, akhirnya Dewan Perwakilan meluluskan urus janji siling hutang dengan 269 undi menyokong dan 161 undi menentang.  Dewan Senat dijadualkan mengundi perundangan yang  sama pada petang Selasa.  Seperti yang dilaporkan oleh The Daily Beast, di Dewan Perwakilan 174 orang anggota Republikan dan 95 orang Demokrat menyokong, manakala 66 orang Republikan dan 95 orang anggota Demokrat menentang. "House Passes Historic Debt Deal on Eve of Deadline," demikian tajuk berita The Washington Post  mengingatkan bahawa tarikh akhir urus janji itu adalah pada tengah malam Selasa 2 Ogos.  Jika menempuh jalan buntu, Amerika Syarikat mengalami krisis hutang dan dunia berkemungkinan terhumban ke dalam krisis kewangan kedua yang sekali lagi ciptaan Amerika.  

Rang undang-undang itu menjamin sekurang-kurangnya AS$2.1 trilion dalam pengurangan defisit sepanjang 10 tahun, dengan para perunding berharap bahawa jaminan itu akan mencapai hampir AS$3 trilion dalam bentuk simpanan jika Kongres boleh menggubal langkah pengurangan defisit yang seterusnya pada Disember ini.

Rang undang-undang yang baru sahaja diluluskan oleh Kongres itu, seperti yang dilaporkan oleh National Journal,  "merupakan hasil berbulan-bulan pertengkaran antara Presiden Barack Obama dengan para pemimpin Kongres  diselang-seli oleh perasaan dendam partisan, tetapi akhirnya diselesaikan  kerana Amerika Syarikat kesuntukan masa berhadapan dengan tarikh akhir 2 Ogos, apabila kerajaan dijadualkan untuk mula memungkirkan hutangnya."

Pada bulan April lalu, Amerika Syarikat berhadapan dengan penutupan yang hanya berjaya dielakkan pada saat akhir, mewujudkan rang undang-undang perbelanjaan pengganti sementara bernilai AS$1 trilion untuk sepanjang tahun 2011 yang termasuk AS$38.5 bilion potongan.

Minggu lalu cukup mencemaskan bahawa kemungkinan siling hutang akan menemui jalan buntu.  Pelan tersebut sepatutnya dibentangkan dalam Dewan Perwakilan pada malam Khamis, 28 Julai lalu, tetapi Speaker John Boehner (Republikan-Ohio) menangguhkannya atas alasan bahawa beliau tidak yakin mendapat cukup sokongan yang diperlukan. Anggota Demokrat dan Republikan yang disokong oleh Tea Party menentang rancangan itu. Boehner dikatakan berhadapan dengan pemberontakan yang dicetuskan oleh anggota yang tidak mahu bertolak ansur daripada partinya sendiri.  Sebelum ini, Boehner meninggalkan perbincangan dengan Rumah Putih, akibatnya,  perbincangan siling hutang gagal mencapai kesepakatan.

Kemudian, iaitu pada keesokan hari, Dewan Perwakilan meluluskan rang undang-undang untuk menaikkan siling hutang dan memotong AS$22 bilion daripada perbelanjaan tahun depan, tetapi mati di Dewan Senat pada waktu petangnya, hanya beberapa hari sebelum kerajaan mungkin mula memungkiri pinjamannya. 

Untuk meningkatkan kefahaman tentang siling hutang Amerika Syarikat, Julia Kollewe  menjelaskannya dalam "Q&A:  US Debt Crisis" tatkala pertarungan antara Rumah Putih dengan  Kongres terus tegang berhubung dengan bagaimana untuk meningkatkan siling hutang itu.  Kerajaan Amerika Syarikat mempunyai had undang-undang berapa banyak hutangnya boleh cecah, iaitu AS$14.e trilion pada masa kini.  Hutang ini mencecah litupan pada bulan Mei yang bermakna kerajaan tidak boleh meminjam mana-mana wang lagi.  Menurut Perlembagaan Amerika Syarikat, semua pinjaman kerajaan mesti diluluskan oleh Kongres, dan ini membawa kebuntuan yang berlanjutan antara anggota Republikan dengan Demokrat.

Ewen MacAskill dan Dominic Rushe menjelaskan bahawa sejak tahun 1940, had siling hutang telah dinaikkan sebanyak 106 kali.  Semasa Presiden George W. Bush, siling hutang dinaikkan sebanyak tujuh kali antara 2001 hingga 2009, menambah AS$4 trilion kepada defisit persekutuan.  Semasa Presiden Reagan, siling hutang dinaikkan sebanyak 18 kali antara 1981 hingga 1988.  Hartawan Amerika yang terkenal, Warrent Buffett, Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway pada awal Julai lalu mengkritik tindak-tanduk Republikan apa yang beliau sifatkan bermain permainan yang bahaya dengan enggan meningkatkan siling hutang.  "Kita menaikkan siling hutang tujuh kali semasa Pentadbiran Bush," tegas beliau.  Kini, Kongres yang dikawal oleh Republikan, "cuba menggunakan insentif itu sekarang bahawa kita akan meletupkan kepala kita, iaitu Amerika, dari segi kewajaran hutang anda sepanjang masa."

Staf pemberitaan Mother Jones  menjelaskan siling hutang Amerika dan isu yang mendasarinya serta rentetan peristiwa yang dikemaskinikan sejak  27 Jun hingga 1 Ogos apabila Dewan Perwakilan meluluskan rang undang-undang siling hutang.  Kemudian rang undang-undang itu dibawa ke Dewan Senat untuk kelulusan yang memerlukan 60 undi.  Senat terdiri daripada 51 anggota Demokrat, dua bebas, dan 47 anggota Republikan.


Tatkala perbincangan semakin hangat dan tiada kesepakatan, Amerika Syarikat dijangkakan berhadapan dengan "malapetaka," kerana Presiden Barack Obama mempunyai pendirian tegas terhadap tuntutan Republikan untuk memotong perbelanjaan dengan lebih besar dan tanpa kenaikan cukai sebagai syarat untuk menaikkan had peminjaman negara itu dan mengelakkan kemungkiran hutang.  Rumah Putih memberikan kata dua bahawa jika tiada persetujuan pada 22 Julai, maka perbincangan tentang potongan belanjawan dan cukai akan dihentikan untuk menyokong perundangan berurusan semata-mata dengan peningkatan siling hutang sebelum had peminjaman tiba pada 2 Ogos.  


Dalam "Debt Roulette," Michael Brenner,  menegaskan bahawa pandangan bersama adalah keadaan yang teruk ini kerana konflik parti partisan dengan kedua-duanya, Demokrat dan Republikan menjadikan kepentingan negara tebusan demi mementingankan diri sendiri.  Sementara Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Timothy Geithner memberikan amaran bahawa masa semakin suntuk ketika anggota Kongres terperangkap dalam pergaduhan berhubung dengan perjanjian hutang.  "Kami melihat semua opsyen yang ada, dan kami tidak akan memberi Kongres lebih masa untuk menyelesaikan masalah ini."  Beliau juga mengingatkan bahawa Amerika Syarikat tidak boleh membayar semua bilnya seleaps 2 Ogos jika Kongres tidak meningkatkan litupan pada siling hutang AS$14.3 trilion.




Kira-kira seminggu lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberitahu Amerika Syarikat supaya menyelesaikan masalah rumah tangganya, iaitu menyelesaikan krisis hutangnya di tengah-tengah amaran daripada  satu pelabur yang terpengaruh di dunia bahawa negara itu berhadapan dengan risiko kehilangan penarafan kredit tiga-A dalam beberapa bulan kerana kerosakan reputasi yang disebabkan pertikaian yang berpanjangan tentang siling hutang.  Hanya tinggal seminggu lagi Uncle Sam kehabisan wang tunai, IMF mengingatkan segala-galanya cukup, menyeru ahli politik menghentikan bertengkar dan bertindak segera untuk menghalang kegawatan kewangan dengan menaikkan siling hutang mereka. Christine Lagarde, yang baru sahaja mengambil alih ketua IMF, memberitahu kumpulan pemikir Council on Foreign Relations bahawa kebuntuan politik di Washington akan membawa kesan yang serius terhadap ekonomi dunia.  Masa semakin suntuk dan jelas isu tersebut perlu diselesaikan segera.


Agensi penarafan Standard & Poor's memberikan amaran bahawa wujud satu dalam dua peluang yang penarafan tiga-A Amerika diturunkan jika urus janji tentang peningkatan siling hutang kerajaan tidak mencapai persetujuan segera.  Meletakkan Amerika Syarikat pada pandangan negatif, S&P mengingatkan  bahawa agensi itu boleh memotong penarafan tersebut pada bulan itu jika perbincangan antara Rumah Putih dengan anggota Republikan masih menemui jalan buntu.  Tatkala masa semakin suntuk untuk Washington bertindak bersama-sama tentang siling hutang, agensi penarafan Moody's meletakkan penarafan hutang Amerika Syarikat dalam kajian untuk kemungkinan diturunkan gred.  Agensi itu memberikan amaran bahawa pengumuman  kajian formal akan dibuat jika pertikaian siling hutang tidak diselesaikan pada bulan Julai.  Agensi itu berkata bahawa penurunan gred Amerika Syarikat akan dilakukan pada bulan Ogos jika kerajaan gagal menjelaskan hutang.  Bahkan, Moody's juga menyatakan dengan jelas bahawa peningkatan siling hutang sahaja tidak memberikan keyakinan kepada pihaknya tentang keupayaan Amerika Syarikat menyelesaikan masalah defisitnya yang meluas.  Kedua-dua agensi penarafan tersebut, menurut The Guardian,  menyokong penurunan gred Amerika Syarikat di tengah-tengah kebuntuan politik. Selain kedua-dua agensi penarafan itu, Fitch Ratings juga memberikan amaran bahawa jika siling hutang Amerika Syarikat dinaikkan sebelum tarikh akhir Ogos, agensi akan mempertimbangkan, sama ada menurunkan gred Amerika Syarikat dalam masa tiga hingga enam bulan.


Krisis hutang itu meletakkan Republikan yang kini menguasai Dewan Perwakilan, menurut perhatian Howard Kurtz yang menulis dalam Newsweek, dalam perpecahan.  Meskipun kebuntuan siling hutang akhirnya diselesaikan, peperangan pelindung antara anggota Perwakilan Republikan dengan Presiden Demokrat menunjukkan kepada negara bahawa Parti Republikan terperangkapa antara semangat antikerajaan dengan perlunya memastikan cahaya hidup.  Gerakan Tea Party yang membatu Republikan menguasai Dewan Perwakilan tahun lalu diapi-apikan oleh rasa meluat terhadap kerajaan dan enggan menyokong urus janji dengan anggota Demokrat menawarkan apa yang sesuatu tentang potongan belanjawan yang tidak dapat difikirkan.


Dalam "Conspiracy of Two," Jay Newton-Small dan Michael Scherer yang menulis dalam Time baru-baru ini bahawa Barack Obama dan John Boehner mengadakan pertemuan sulit untuk menyelesaikan krisis hutang.  Namun, soal kedua-dua penulis ini, mampukah mereka mendesak rakan-rakan mereka untuk bertolak ansur.   "Saya Presiden Amerika Syarikat,"  Obama memberitahu Boehner.  "Kamu Speaker Dewan Perwakilan.  Kita berdua merupakan pemimpin yang paling bertanggungjawab sekarang."   Justeru, mereka mula berbincang tentang kemungkinan epik sebenar menggunakan ancaman, bahaya sejati kemungkiran, untuk mengawal pelampau dalam kumpulan masing-masing, dan untuk mencipta jenis urus janji bersejarah  yang tiada seorang pun fikirkan suatu kemungkinan lagi.


Meskipun Amerika Syarikat mempunyai siling hutang sejak Perang Dunia Pertama, pada perhatian  Michael Barone, "tidak pernah sebelum ini, dalam ingatan saya sekurang-kurangnya mempunyai kontroversi tentang had hutang sepenting atau sepahit seperti yang berlaku sekarang.  Kedua-dua belah pihak memeting respons soalan tinjauan pendapat sebagai bukti bahawa orang awam menyebelahi mereka."  Hasil krisis had hutang Amerika Syarikat jauh daripada jelas, tetapi tidak dapat dielakkan rangka isu utama dalam kempen 2012: patutkah Amerika Syarikat terus-menerus bergerak ke arah set dasar awam Eropah?  


Simon Johnson dalam "What if the Government Defaults?" mengingatkan kemungkinan jika berlaku kemungkiran, iaitu kacau-bilau ekonomi: pengangguran besar-besaran, tiada kemudahan kredit, simpanan merosot, orang ramai beratur panjang di ATM.  Akan tetapi, akibat mana-mana kemungkiran, anehnya, biasanya meningkatkan saiz kerajaan berbanding dengan ekonomi Amerika Syarikat, hasil yang mula-mula lagi puak keras kepalan Republikan dakwa cuba elakkan.   "Justeru, inilah  kemungkiran hutang Amerika Syarikat kelihatan," tulis Johnson.  "Sektor swasta akan runtuh.  Pengangguran dengan pantas melebihi 20 peratus.  Akan akan menyusut. tetapi masih merupakan majikan langkah terakhir."  Anggota Dewan Perwakilan dan Senat Republikan yang tidak mahu meningkatkan siling hutang adalah bermain dengan api, beliau mengingatkan bahaya yang mendepani.  "Mereka menyokong dasar yang membawa kesan yang teruk, dan akan mencapai sesuatu yang bertentangan dengan apa yang mereka mahu.   Kemungkiran akan dengan serta-merta menjadikan kerajaan lebih dan bukannya kurang penting.  Hanya undang-undang yang Kongres tidak boleh pinda ialah undang-undang akibat yang tidak diingini.


Orang awam prihatin tentang kerja, bukannya tentang siling hutang, tegas Ari Berman dalam Nation in the News.  Presiden Obama dan Kongres sepatutnya menghabiskan masa yang mereka habiskan untuk rundingan siling hutang kepada sebenarnya menggalakkan pemulihan ekonomi.  Namun, kedua-dua parti terlalu memikirkan krisis hutang dan bukannya mengembangkan ekonomi, dan mengabaikan apakah yang rakyat Amerika benar-benar mahu, iaitu pekerjaan.


Sebaliknya, James Surowiecki muncul dengan pendapat yang lebih berbeza, iaitu runtuhkan siling. Hakikatnya, Amerika Syarikat tidak memerlukan, dan sepatutnya tidak mempunyai siling hutang.  Setiap negara demokratik lain, kecuali Denmark, berjalan dengan elok tanpa siling hutang.  Tidak ada had hutang dalam Perlembagaan. Beliau mengingatkan bahawa kegagalan meningkatkan siling hutang, pastinya mencampakkan ekonomi ke dalam kemelesetan semula.  Tidak seperti masalah lain, masalah ini secara keseluruhannya dicipta oleh Amerika sendiri.  Jika akibatnya ekonomi sengsara, maka peminat bola sepak mungkin mengatakannya jaringan gol sendiri terbesar dalam sejarah.   


Jika Amerika gagal merungkaikan kebuntuan siling hutang ini selewat-lewatnya 2 Ogos, nescaya bukan sahaja negara itu, tetapi juga dunia akan terjebak dalam krisis kewangan kedua dan seterusnya terbenam semula dalam kemelesetan.  Walau bagaimanapun, dengan lulusnya rang undang-undang itu, tidak bermakna bahawa segala-galanya akan menjadi elok dan sempurna.




















































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...