Artikel Popular

Monday, August 8, 2011

Bolehkah Agensi Penarafan Dipercayai?

ISNIN,  8 Ogos 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Jika anda menghakimi seseorang, pastikan diri anda bukan sahaja kuat, tetapi juga tanpa sebarang cacat cela.  Lebih-lebih jika orang yang dihakimi itu mempunyai kedudukan, kuat, atau berpengaruh, pastinya anda diserang balas.  Demikian yang terjadi terhadap Standard &  Poor's  (S&P) yang bertindak secara luar biasa, iaitu menurunkan  penarafan kredit kedaulatan jangka panjang Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+ pada Jumaat lalu.  

Kesatuan Eropah telah pun melancarkan perang terhadap agensi penarafan kredit, dan pada Khamis lalu,  polis Italy menyerbu pejabat Moody's dan S&P di Milan untuk menyiasat, sama ada kedua-dua agensi penarafan berkenaan mematuhi peraturan.  Semua tindakan tersebut dapat difahami dengan mudah kerana agensi penarafan asyik menyibuk menurunkan gred negara demi negara dalam Kesatuan Eropah sehingga mengakibatkan negara berkenaan hilang kedaulatan mereka.

Timothy Geithner, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat dalam ulasan awam pertamanya pada hari Ahad semalam berkata, S&P menunjukkan "pertimbangan yang teruk" dalam merendahkan penarafan kredit kerajaan Amerika Syarikat.  Mereka menunjukkan diri mereka daif.  "Dan mereka menunjukkan ketiadaan pengetahuan yang menggamamkan tentang matemik belanjawan fiskal Amerika Syarikat asas"  - merujuk ralat AS$2 trilion dalam anggaran S&P tentang saiz defisit sepanjang dekad akan datang.

Setelah memperlihatkan keberangan dalam blognya, kemudian Paul Krugman,  muncul melalui kolumnya dalam The New York Times, mempersoalkan kebolehpercayaan atau kredibiliti S&P.  Dalam "Credibiliti, Chutzpah, and Debt," Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu, memulakan penulisannya denga mengemukakan dua idea yang kelihatan bercanggah.  Pertama, bahawa Amerika sesungguhnya, tidak lagi stabil, negara yang pernah boleh dipercayai.  Kedua bahawa S&P itu sendiri yang menurunkan kebolehpercayaan; agensi penarafan itu merupakan tempat terakhir yang sesiapa sahaja mendapatkan pertimbangan tentang prospek negara kita.  Mengibaratkan S&P "chutzpah" - yang ditakrifkan secara tradisional oleh contoh anak muda yang membunuh ibu bapanya, dan kemudian memohon belas kasihan kerana dia yatim piatu, Krugman menegaskan agensi penarafan itu kurang kebolehpercayaan.


Lagipun, tegas Krugman, Amerika mengalami defisit belanjawan yang besar adalah terutamanya akibat kemelesetan ekonomi berikutan krisis kewangan 2008.  Dan S&P bersama-sama agensi penarafan lain, memainkan peranan penting dalam menyebabkan krisis itu, dengan memberikan penarafan AAA kepada aset yang disokong gadai janji yang kemudiannya menjadi buangan toksik.  Diketahui umum, S&P memberi Lehman Brothers yang keruntuhan mencetukan panik global, penarafan A betul-betul hingga bulan firma itu berkubur.  Tanya Krugman, bagaimana agensi penarafan bertindak balas selepas firma bertaraf A itu jatuh bankrap?  Dengan mengeluarkan laporan bahawa agensi penarafan tidak melakukan apa-apa kesalahan.  Justeru, orang ini kini mengumumkan kepercayaan kredit Amerika Syarikat?


Krugman juga membangkitkan ralat matematik AS$2 trilion yang dilakukan oleh S&P yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pakar belanjawan. Selepas berbincang dengan pihak Perbendaharaan Amerika Syarikat, S&P mengakui itu memang silap, dan menurunkan gred Amerika,  bagaimanapun, selepas mengeluarkan beberapa analisis ekonomi daripada laporan itu.


Keterlibatan agensi penarafan, seperti S&P dalam memberikan gred tinggi kepada firma yang turut mencetuskan krisis kewangan  menampakkan agensi penarafan tidak boleh dipercayai.  Seperti yang dinyatakan oleh Nomi Prins dalam "Ratings Agency Hypocrites,"  S&P memperoleh bayaran untuk kelulusan AAA terhadap aset firma yang kemudiannya nyata tidak bernilai.  "Ingat balik, bank-bank mereka-reka AS$14 trilion aset toksik yang S&P memberikan penarafan AAA antara tahun 2003 hingga 2008, atau tertinggi dalam kewajaran kredit.  Kerajaan terpaksa menanggung hutang yang tinggi kerana menyelamatkan firma yang bermasalah sejak tahun 2008 yang langsung tidak disentuh oleh S&P.


Hal yang sama dibangkitkan Robert Kuttner bahawa orang yang sama yang membawa kita krisis, dengan merestui  pinjaman subprima junk sebagai sekuriti AAA.  "Dan mereka melakukannya kerana mereka dibayar sebagai perunding oleh bajingan kewangan yang sama yang mencipta sekuriti tersebut"  memberikan gambaran agensi penarafan tidak boleh dipercayai kerana pernah bersekongkol dengan firma yang mencetuskan krisis kewangan.  Kuttner mempersoalkan mengapa S&P memilih masa sekarang untuk menurunkan gred, iaitu semasa Presiden Barack Obama dan bukannya semasa pemerintahan Republikan yang mengacah-acah kemungkiran.  Mengapa menurunkan gred sekarang, sedangkan bayaran balik hutang dijamin?


Kritikan terhadap S&P juga datangnya daripada John Nichols, "Downgrading Democracy" yang antaranya membangkitkan agensi penarafan itu hilang kebolehpercayaan kerana penglibatan dalam krisis kewangan.  S&P adalah sebahagian masalah, dan bukannya penyelesaian.  Agensi penarafan itu agensi antarabangsa yang tidak dipilih dan tidak diaudit yang melakukan banyak kesilapan.  Agensi penarafan tidak membawa pengaruh  yang  mereka lakukan sebelum 2008.  Mereka melakukan banyak kesilapan pada masa itu.  "Saya fikir," tegas Nichols, "mereka kehilangan banyak kebolehpercayaan."  Beliau juga membangkitkan ralat matematik AS$2 trilion yang dilakukan oleh S&P itu yang sepatutnya "bercakap dengan sendirinya."  Akan tetapi, ralat itu tidak bercakap untuk S&P, firma yang tidak bertanggungjawab secara keseluruhannya, yang tetap tidak berganjak untuk menurunkan gred, meskipun keputusan itu berdasarkan analisis yang teruk.


Selain kebolehpercayaan, editorial The Guardian dengan merujuk kiasan "menembak utusan," hal yang sama patut dilakukan terhadap S&P, satu daripada tiga agensi penarafan yang melakukan kekotoran yang cukup besar ketika krisis suprima dan pada malam Jumaat menurunkan penarafan kredit Amerika Syarikat. Antara lain, editorial itu membangkitkan S&P dan agensi penarafan kredit yang lain mempunyai senarai yang panjang kesalahan yang melucukan,  bergelumang dengan konflik kepentingan, dan mereka tidak layak mendapat status yang diberikan kepada mereka dalam debat awam tentang ekonomi dan penggubalan dasar.  Selain itu, agensi penarafan mempunyi sudut pandangan pemberi pinjam wang dan bukannya sebagai ahli ekonomi atau pelabur atau warganegara.  Meskipun hal ini tidak menjadi kesalahan, bermakna mereka ialah partisan. 


Apabila sesebuah firma ingin menilai sesebuah negara, lebih-lebih negara Amerika Syarikat, sesungguhnya, bukanlah suatu tugas yang mudah.  Rekod lalu firma berkenaan, iaitu dalam kes ini, S&P yang menimbulkan keraguan dari segi kebolehpercayaan akan diperdebatkan.  Selain itu, tahap keprofesionalannya akan diteliti, misalnya bagaimana boleh melakukan kesilapan matematik.  Lagipun, S&P bersama-sama agensi penarafan lain pernah terbabit dalam krisis kewangan yang meletakkan Amerika Syarikat khususnya, dan dunia amnya,  dalam kesukaran.   Dalam lain kata, mereka menyebabkan banyak negara kesusahan, kemudian mereka mendenda negara berkenaan.  






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...