Artikel Popular

Saturday, August 13, 2011

Di Tapak Runtuhan

SABTU,   13  Ogos 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH






Di tapak runtuhan tinggalan purba
kuda  kayu Trojan  ciptaan menyirat  kisah  
konon  kala  malam  pahlawan  menjelma
memburu membunuh  membakar  menjarah.   

Di tapak runtuhan tinggalan purba
terjalin  cinta hangat  membara
Helen, Ratu Sparta  nan  jelita 
mencurangi  mahligai  meninggalkan  istana
dilarikan Paris  yang  tunduk   tergoda.

Di tapak runtuhan tinggalan purba
Hector dan Achiless bertarung mengadu kehandalan
darah kepahlawanan membuak meronta
menegak   legenda  mempertahan  ketuanan.

Di tapak runtuhan tinggalan purba
di tangan Homer   puisi epik terkarang
rangkap Iliad dan Odyssey mitos Perang Trojan
juga  mereka yang terlibat dalam bermacam adegan
terus    dikenali,  diingati  berzaman-zaman.

Di tapak runtuhan tinggalan purba
kehancuran  nusa  membangkit  pengajaran
wanita,  takhta dan harta  meniup  kesaktian
meruntun  manusia bergelumang   persengketaan
bercakaran berbunuhan memadam sempadan
layu kebijakan luntur kewarasan.

Di tapak runtuhan tinggalan purba
kumpulan  pelawat  menjengok  sisa binaan dan  tembok
mengagumi  khazanah   sejarah silam.




Troia, Turki
9 Mei 2010.

(Nota:  Sajak ini pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera Ogos 2010. Saya berterima kasih kepada Mohamad Shahidan dari Bahagian Penerbitan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sudi meneliti draf sajak ini dan mencadangkan pembetulan.) 









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...